TETAPKAN SEMULA KADAR CARUMAN: KWSP UMUM CARUMAN WAJIB SETIAP 15 HB BERMULA JANUARI
KUALA LUMPUR : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan semula tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib kepada 15 haribulan bermula Januari 2021.
KWSP dalam kenyataannya berkata, langkah itu selaras dengan tarikh asal bayaran caruman yang ditetapkan KWSP.
Dana persaraan pekerja swasta itu sebelum ini melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan kepada 30 haribulan bagi bulan April 2020 hingga Ogos 2020, sebelum sekali lagi bertindak melanjutkan tarikh caruman wajib itu bagi bulan September 2020 hingga Disember 2020.
“KWSP sebelum ini melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19.
“Tarikh pembayaran caruman dikembalikan kepada tarikh asal bagi memastikan caruman pekerja dibayar tanpa kelewatan,” katanya seperti dilaporkan BH ONLINE.
KWSP berkata, majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Berpegang prinsip tiada golongan tersisih daripada bantuan kerajaan dalam berdepan pandemik COVID-19, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengagihkan bantuan kepada 100 artis veteran.
Program penyerahan bantuan hasil inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Dewan Perdana Nur, KPWKM di Putrajaya, semalam, mengagihkan barangan keperluan harian, makanan, ubat-ubatan, fabrik dan wang kepada penerima.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata elemen seni dan tenaga penggeraknya selama ini menjadi suatu bentuk terapi kepada setiap insan.
“Sejajar prinsip tiada yang ketinggalan menikmati kemudahan kerajaan selain memahami artis veteran terjejas akibat pandemik COVID-19, kementerian bersetuju menyampaikan bantuan berupa makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada ahli PKAVM.
“Saya dimaklumkan penerima adalah pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik. Ada dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan kerana tidak berupaya memenuhi undangan seperti tawaran berlakon dan menyanyi akibat COVID-19 selain faktor kesihatan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu, semalam.
Rina berkata, kementerian berminat menjalin kerjasama strategik dengan PKAVM untuk menganjurkan program demi manfaat ahli.
“Semua artis veteran yang hadir ini pernah mewarnai industri seni. Menghiburkan kami di kala suka dan duka serta menceriakan hari kami melalui kaca televisyen (TV) dan radio dengan karya serta bakat masing-masing.
“Jadi, tiba masanya, kementerian menceriakan hari mereka.
“Disebabkan artis adalah figura dan personaliti yang sangat dekat dengan rakyat, kementerian berhasrat menjalin kerjasama erat dengan persatuan terutama dalam membantu penyampaian perkhidmatan KPWKM kepada rakyat,” katanya.
Rina berkata, pelbagai aktiviti boleh dirancang antara PKAWM melalui pembabitan artis veteran dalam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“Sehingga kini, ada 143 PAWE di seluruh negara. Saya percaya pembabitan artis veteran memantapkan lagi pelaksanaan PAWE dan mampu menarik lebih ramai lagi warga emas menyertainya,” katanya.
Rina juga mengalukan ahli PKAVM menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ KPWKM melalui aktiviti sukarelawan JKM.
“Ini selari dengan pelaksanaan Kembara Prihatin Negara (KPN) 2020 yang berkonsepkan turun padang membantu mereka yang memerlukan. Kita sasar seramai sejuta rakyat bakal menerima manfaat daripada pelbagai aktiviti.
“Ahli PKAVM boleh bertindak menyalurkan maklumat kepada JKM atau mana-mana agensi di bawah kementerian jika tahu ada pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan sebahagian artis pada majlis penyampaian bantuan kepada ahli PKAVM di Putrajaya.
BH Online melaporkan , Presiden PKAVM, Datuk Tomiran Mohd Kasdi, berkata pandemik COVID-19 memberi kesan kepada artis veteran yang terjejas pendapatan.
“Ada dalam kalangan mereka bergantung dengan lakonan semata-mata. Tawaran lakonan tidak ‘sekencang’ dahulu.
“Alhamdulillah, melalui usaha ahli jawatankuasa penyelaras PKAVM yang bertemu dengan JKM, ada sinar datang termasuk kerjasama lain pada masa depan,” katanya.
Tomiran berharap artis veteran usah dipinggirkan.
“Selama ini, artis veteran ini mewarnai persada seni. Malah, ada antara mereka terus kental berjuang di liga seni.
“Mereka berlakon atau menyanyi bukan untuk mengejar populariti. Sebaliknya, demi kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu, penyanyi era 1960-an, Datuk Jeffrydin, 75, bersyukur kerajaan, kementerian dan persatuan anak seni tidak melupakan artis lama.
“Kecil atau besar sumbangan tetap bermakna bagi artis veteran. Apatah lagi senario semasa pandemik COVID-19 ramai yang terjejas dan putus rezeki.
“Artis veteran meningkat usia dan tidak boleh aktif macam dahulu. Namun, minat mereka terhadap dunia seni tidak pernah berkubur,” katanya.
Mak Jah, 72, atau nama penuh, Maimunah Ahmad menganggap diri bertuah kerana masih mendapat perhatian dan dihargai.
“Kami tidak ramai… Nasi pun makan sedikit sahaja. Jadi, kecil atau besar sumbangan tetap bermakna.
“Alhamdulillah, saya masih meneruskan kelangsungan hidup dengan berlakon dan penyakit kanser rahim saya semakin pulih,” katanya.
Selain Mak Jah, antara artis veteran yang menerima bantuan adalah Hamid Gurkha, Hamidah Wahab, Wan Maimunah, Razak Ahmad dan Sofia Ibrahim.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Sejumlah 50 wartawan dan pengamal media dibunuh kerana isu berkaitan pekerjaan mereka sepanjang tahun ini, dengan majoritinya berlaku di negara yang tidak berlaku peperangan, kata Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan kes wartawan yang menyiasat jenayah terancang, rasuah atau isu alam sekitar menjadi sasaran, lapor RSF yang menyenaraikan Mexico, India dan Pakistan mencatatkan pembunuhan tertinggi.
Menurut laporan tahunan RSF, 84 peratus pembunuhan tahun ini adalah ‘sengaja disasarkan’ kerana tugas mereka, berbanding hanya 63 peratus tahun lalu.
Ketua Pengarang RSF, Pauline Ades-Mevel, berkata sejak beberapa tahun lalu, pihaknya mendapati wartawan penyiasatan menjadi sasaran kerajaan atau kartel jenayah.
“Mexico menjadi negara paling berbahaya untuk wartawan dengan merekodkan lapan pembunuhan.
“Kaitan antara penyeludup dadah serta politik adalah jelas dan wartawan yang berani membuat liputan mengenai perkara ini atau isu berkaitan lazimnya menjadi sasaran pembunuhan,” jelas laporan itu.
Tiada satu pun kes pembunuhan wartawan di Mexico menyaksikan pelakunya dihukum, kata RSF yang mengumpul data tahunan mengenai keganasan terhadap wartawan di seluruh dunia sejak 1995.
Menurut RSF lagi, lima wartawan dibunuh di Afghanistan selain terdapat peningkatan serangan terhadap petugas media sejak beberapa bulan ini, meskipun rundingan damai antara kerajaan dan Taliban sedang berjalan.
RSF turut mengetengahkan kes tokoh pembangkang Iran, Ruhollah Zam, pemilik saluran media sosial popular menghimpunkan rejim pembangkang, yang dihukum bunuh bulan ini.
RSF menyifatkan hukuman itu mengesahkan rekod Iran sebagai negara yang secara rasmi paling banyak menjatuhkan hukuman mati terhadap wartawan dalam tempoh setengah abad ini.
Tempoh setahun lalu juga menyaksikan 387 wartawan dipenjarakan termasuk 14 kerana leporan berkaitan penularan COVID-19, AFP melaporkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETUGAS LEBUH RAYA PANTAI TIMUR SIAP SEDIA: ALIRAN TRAFIK DIJANGKA MENINGKAT SEMPENA CUTI HUJUNG TAHUN
KUALA LUMPUR: Seramai 1,160 petugas lebuh raya termasuk anggota Ronda, pasukan penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bersedia membantu pengguna lebuh raya ketika menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Bagi lebuh raya KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sendirian Berhad, ketiga-tiga komponen lebuh raya ini menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke pantai timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.
Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sendirian Berhad memaklumkan, petugas akan bersiap sedia kerana bakal berlaku peningkatan trafik sempena cuti akhir tahun serta diramalkan laluan jalan pesisir negeri dan persekutuan yang dijangka ditenggelami air di beberapa kawasan rendah ketika musim tengkujuh ini.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa, malah menikmati kemudahan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24 jam yang disediakan di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer.
LPT Ronda akan membantu pengguna lebuh raya sekiranya berlaku kecemasan- Foto ANIH
“Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan pesisir negeri dan persekutuan, maka lebuh raya E8 menjadi pilihan yang terbaik untuk pengguna tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat.
“Secara keseluruhan, lebuh raya E8 menyediakan kemudahan dan keselesaan di kawasan rehat yang sedia ada seperti Hentian Sebelah Gombak, Lanchang, Maran dan Kuantan serta R & R Genting Sempah, Temerloh serta Gambang bagi LPT1, manakala R & R Ajil, Paka dan Perasing bagi LPT2,” katanya.
Plaza Tol Gombak, pintu masuk ke Pantai Timur
Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kedua-dua lebuh raya LPT 1 dan LPT 2, menempatkan seramai 1,160 petugas di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pengguna lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R & R, hentian sebelah dan plaza tol sempena musim cuti akhir tahun ini.
“Lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan 5 buah R&R serta 4 hentian sebelah yang memberi kemudahan kepada pengguna untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka,”katanya.
Pengendali lebuh raya tersebut menasihat pelanggan lebuh raya untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19, terutamanya apabila menggunakan kemudahan di hentian sebelah dan R&R.
Kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Genting Sempah.
Selain itu terdapat kemudahan gerai makanan dan minuman, surau, wakaf, stesen minyak, tandas awam dan tempat letak kenderaan yang mencukupi serta menasihati pengguna memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24 jam sehari dan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK & LPT1, manakala LPT2 Line di 1-800-88-0220.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SELANGOR CATAT KES HARIAN TERTINGGI: PENINGKATAN KES AKTIF DIKESAN
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,925 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif dalam negara sebanyak 108,615 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 21,443 kes.
Memetik laporan dari HARIAN METRO, menurutnya terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 1,915 kes membabitkan penularan tempatan.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes dengan 625 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti Kuala Lumpur yang mencatatkan 360 kes dan Pahang 288 kes.
“Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster berkaitan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga.
“Sebanyak 307 kes pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (282 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes) dan Kluster GK Tawau (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Noor Hisham berkata, terdapat 117 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Menurutnya, terdapat sebanyak 1,123 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 86,715 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini membabitkan seorang lelaki warganegara berusia 65 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan strok.
“Satu lagi kes membabitkan wanita berusia 68 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WARGA EMAS DIKHUATIRI LEMAS: MANGSA DIPERCAYAI DIBAWA ARUS DERAS
BENTONG: Seorang warga emas dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam Sungai Benus, berhampiran Bangunan Pusat Servis Perodua, Jalan Benus, dekat sini pada jam 7.30 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa Tan Kok Meng, 59 , merupakan seorang mekanik lori dikatakan membantu rakannya mengikat tali ke sebatang pokok di seberang Sungai Benus untuk mengerakkan jentera sedut pasir ke tengah sungai.
“Semasa mangsa turun ke dalam sungai untuk ke seberang sungai bersama tali, warga emas itu terus dihanyutkan oleh arus air sungai yang sangat deras dan rakan mangsa tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana kejadian berlaku sangat pantas.
Anggota penyelamat menyusuri Sungai Benus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) : Foto Ihsan PDRM
“Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dan jarak pencarian mangsa setakat ini sejauh lima kilometer dari tempat kejadian,”katanya.
Beliau berkata, operasi membabitkan lebih kurang 40 orang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), anggota Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) mulai jam pukul 8.00 malam semalam dan diteruskan sehingga ke hari ini.
Anggota penyelamat menerima taklimat SAR
Katanya sehingga jam 2 petang ini, mangsa masih belum ditemui dan difahamkan pasukan dari unit scuba Jabatan Bomba dan Pelyelamat Malaysia (JBPM) akan turut serta membantu mencari mangsa.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IBU MOHON SUMBANGAN PEMBEDAHAN ANAK: KOS PEMBEDAHAN SEGERA KANAK-KANAK MENGHIDAP PENYAKIT TULANG RAPUH DIPERLUKAN
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan yang menderitai penyakit ‘osteogenesis imperfecta’ atau tulang rapuh, memerlukan sumbangan untuk membiayai kos pembedahan segera dianggarkan RM80,000.
Suri rumah, Siti Salwa Abdul Wahab, 27, berkata anaknya, Nur Dhuha Sofia Mohammad Farid, 2, disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir.
Memetik laporan dari BH ONLINE, beliau berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
“Nur Dhuha Sofia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama hampir sebulan ketika berusia lapan bulan kerana patah tulang paha kanan.
“Malah tahun ini saja, dia sudah dimasukkan ke hospital sebanyak tiga kali,” katanya melalui sidang video, hari ini.
Pakar tulang kanak-kanak di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Abd Razak Muhamad, berkata secara umum penyakit tulang rapuh berlaku satu dalam setiap 100,000 kelahiran.
“Disebabkan kedua-dua tulang paha Nur Dhuha Sofia patah dan membengkok, kami menyarankan prosedur ‘telescopic nails’ dilakukan.
“Jika Nur Dhuha Sofia tidak menjalani pembedahan, tumbesaran kakinya akan terbantut dan dia tidak boleh berjalan kerana kaki tidak seimbang.
“Melalui pembedahan nanti, kami akan melakukan potongan di beberapa bahagian tulang dan memasukkan implan,” katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak itu turut diberikan ubat sejak setahun lalu bagi membantu menguatkan tulangnya.
Katanya, Nur Dhuha Sofia perlu menjalani rawatan ulangan dan berterusan hingga umur 17 atau 18 tahun kerana walaupun pembedahan itu berjaya nanti, risiko mengalami tulang patah masih ada.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.
Bagi sumbangan menggunakan cek pula, tulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SAMBUTAN TAHUN BAHARU TIDAK DIBENARKAN: KEBENARAN RENTAS NEGERI AKAN DIPERTIMBANGKAN SEMULA
KUALA LUMPUR: Sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Beliau berkata sambutan yang biasanya disambut secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran COVID-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini.
MENTERI KANAN (PERTAHANAN), DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB/FACEBOOK
“Sambutan ada pelbagai cara, ada sambutan secara bersendirian, bersama keluarga di rumah dan sebagainya tetapi secara perhimpunan memang tidak dibenarkan kali ini.
“Ini kerana ia akan melibatkan perhimpunan yang penjarakan fizikalnya tidak dapat dikawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, dipetik dari BERNAMA.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat ini, tiada cadangan untuk mewujudkan semula sekatan merentas negeri dan daerah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ia hanya akan dilaksanakan apabila disarankan kementerian itu.
“Kita belum ada perbincangan yang terperinci. Kita akan dapatkan pandangan KKM dan keputusan akan dibuat selepas kita dapat pandangan nasihat mereka.
“Setakat ini, masih kekal seperti diumumkan iaitu perjalanan rentas negeri dan daerah masih dibenarkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN: Gangguan bunyi melampau mengakibatkan seorang warga emas 61 tahun terpaksa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),Temerloh kerana mengalami tekanan perasaan dan turut bimbang bayi berusia 18 bulan mengalami gangguan yang sama.
Wakil penduduk, Zakiah Abd Aziz, 39, berkata, projek pembinaan jambatan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang sejauh kira-kira 10 meter dari rumah kediaman dan kilang menyebabkan penduduk mengalami pencemaran bunyi keterlaluan dan gangguan debu sejak sebulan lalu.
Tapak projek menanam cerucuk yang didakwa penduduk bunyinya mengganggu
“Kami bukan menolak pembangunan projak ECRL, tetapi projek ini telah mengakibatkan pencemaran bunyi yang dasyat kepada tiga keluarga dan pekerja sebuah kilang di Kampung Bak-Bak, di sini.
“Pencemaran bunyi yang sangat dasat mengganggu terutama ketika kerja menanam cerucuk yang boleh didengari kira-kira satu kilometer, apa lagi kami yang hanya 10.1 meter jaraknya dari tapak projek,”katanya kepada media hari ini.
Katanya, kerja projek dilaksanakan mulai jam 6.30 pagi sehingga 10.30 malam malah kadang-kala melebihi had waktu yang mengganggu kehidupan harian mereka.
“Ibu saya, Zauyah Ahmad,61, terpaksa mendapat rawatan di HOSHAS kerana tidak tahan dengan pencemaran bunyi melampau, saya bimbang kesan bunyi itu boleh menjejaskan kesihatan ahli keluarga termuda yang berusia 18 bulan,”katanya.
Beliau yang juga seorang usahawan Bee Herbs telah mengadu hal ini kepada beberapa pihak tertentu khususnya ketua projek itu bagi mencari mekanisme mengatasi masalah pencemaran bunyi sehingga sekarang tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan.
Menurutnya, pihak pemaju ada meletakkan mesin pengesan bunyi pagi semalam yang kononnya untuk mengetahui skala pencemaran bunyi ketika kerja-kerja dilakukan oleh pekerja.
“Data yang mereka dapat mungkin boleh dimanupulasikan, kami mahu mesin pengesan pencemaran bunyi itu dipasang dan sentiasa dihidupkan semasa kerja-kerja menanam cerucuk dilakukan.
“Berikutan masalah ini tiada kata sebarang tindakan susulan, oleh itu saya telah mengguna khidmat peguam untuk mewakili keluarga kami bagi mendapatkan ganti rugi dan faedah daripada pencemaran bunyi terlampau yang mengganggu emosi kami sepanjang hari,“ katanya.
Katanya, selain itu kilang Bee Herbs Production yang diusahakan dalam kawasan berdekatan terpaksa ditutup sejak sebulan lalu kerana pekerja terganggu dan tidak tahan dengan bunyi hentakan cerucuk itu.
Zakiah berkata, masalah yang mereka alami akan berterusan sehingga lebih tiga tahun sehingga projek itu siap dan kemudian mengalami gangguan bunyi tren pula setiap kali melalui kawasan itu.
“Kami bimbang bakal mengalami gangguan pendengaran akibat bunyi bising dalam tempoh begitu lama terutama membabitkan golongan kanak-kanak dan warga emas, komplikasi itu mungkin bersifat sementara atau kekal menjejaskan kesan deria pendengaran,”katanya.
Sementara itu Pengetua Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al-Islamiah Kampung Sungai Ling, Azizah Khatib Mat berkata, projek ECRL yang melalui maahad itu turut menyebabkan kesan debu yang teruk kepada penghuninya.
Katanya, lori yang berulang alik mengambil pasir sungai berhampiran dengan maahad itu meninggalkan kesan debu kepada bangunan berdekatan sekali gus menjejaskan kesihatan penghuni seperti batuk, sakit tekak dan mata.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Kemalangan jalan raya yang melibatkan empat kereta dan sebuah treler turut meragut nyawa pemandu sebuah kereta dalam kejadian itu di Kilometer (KM) 3, Jalan Bentong-Raub, kira-kira jam 1.30 tengahari, hari ini.
Treler yang dipandu oleh seorang pemandu warga tempatan berusia 40 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Proton Wira di hadapannya, treler tersebut terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
Kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Puganeswari A/P Suppiah, 42 yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya berusia 11 tahun terselamat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati pemandu treler itu yang datang dari arah Raub ke Bentong didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian awal air kencing.
“Mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Bentong, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952.
“Diharap semua pengguna jalan raya perlu berhemah , selain itu sering hormat-menghormati sesama pengguna jalan raya serta mengamalkan pemanduan yang cermat dan mematuhi arahan lalulintas,”katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!