KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang, tamat hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan penamatan PKPD lebih awal bagi lokaliti itu diambil hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang pada hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.
“PKPD di lokaliti itu sepatutnya dijadualkan tamat pada 23 Mei depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya dalam tempoh itu, KKM sudah melakukan 297 ujian saringan, namun tiga daripadanya disahkan positif COVID-19, lapor BH ONLINE.
“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan sampel kedua untuk semua kontak rapat sudah diambil dan diasingkan di stesen kuarantin.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk memutuskan masa yang sesuai membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata di bawah perlembagaan negeri, tempoh DUN semasa akan berakhir pada 6 Jun, iaitu genap lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan di bawah perlembagaan negeri tidak mempunyai kesan, susulan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
“Oleh itu, pembubaran DUN akan ditetapkan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Al-Sultan Abdullah, selepas berunding dengan Abdul Taib. Kami mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan, lapor Bernama.
“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) juga akan menghadap Al-Sultan Abdullah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat majlis tertinggi GPS, di sini hari ini.
Menurut Nanta, sepanjang situasi semasa pandemik COVID-19, kehidupan rakyat keutamaan GPS.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NETIZEN PERSOAL FOTO AIDILFITRI SELEBRITI DAN MENTERI
PETALING JAYA – Gambar seisi keluarga termasuk bersama bekas isteri yang dikongsi pelakon Norman Hakim mengundang persoalan netizen tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang tidak membenarkan sesi ziarah ketika Aidilfitri.
Berdasarkan satu hantaran foto yang dimuat naik pelakon itu dalam Instagramnya, kelihatan Norman bersama isteri, Memey Suhaiza dan anak-anak bergambar bersama keluarga bekas isterinya iaitu penyanyi dan juga pelakon, Abby Abadi.
Turut berada di dalam gambar tersebut adalah suami kepada Abby iaitu Muhammad Faizal Zakaria serta anak angkat mereka dengan jumlah individu yang berada dalam gambar tersebut adalah seramai 13 orang.
Persoalan dalam kalangan netizen mula timbul apabila rata-rata mereka mempertikaikan keberadaan Abby dan suami serta anak-anak mereka berada dalam satu kediaman bersama Norman dan juga Memey.
Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, Norman telah bertindak menutup ruangan komen pada gambar tersebut berkemungkinan selepas mendapat tekanan daripada pengikutnya dalam Instagram.
Manakala, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 44, telah menukar status Instagramnya kepada mod privasi.
Perkongsian gambar keluarga oleh pelakon Rozita Che Wan sempena sambutan Aidilfitri kelmarin turut mendapat perhatian netizen apabila dia memuat naik foto bergambar bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain.
“Anak menantu dan cucu,” tulisnya ringkas pada kapsyen gambar tersebut.
Perkongsian gambar tersebut menjadi buah mulut netizen apabila rata-rata mempersoalkan kemungkinan pelakon jelita itu melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Ramainya ahli keluarga. Duduk serumah ke atau datang berziarah. Tanya sahaja,” soal seorang pengikut Instagramnya.
“Alamak. Ini semua memang duduk bawah satu bumbung ke (satu rumah) pada 1 Syawal,” komen seorang lagi pengikut nya, lapor KOSMO online.
Terdahulu, Pada 10 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara selain tidak membenarkan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur bermula 12 Mei sehingga 7 Jun.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan Kampung Paya Teh, Jerantut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 17 Mei hingga 30 Mei ekoran kes penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan di kawasan itu, hari ini.
Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 54 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 35 daripadanya disahkan positif pandemik itu disebabkan peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.
Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.
Sementara itu, satu lagi kawasan dikenakan PKPD di Pahang ialah PKPD Seri Kemunting, Kuantan yang berkuat kuasa dari 17 hingga 30 Mei.
Sehingga kini KKM telah melaksanakan 62 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Jambatan gantung Sungai Semantan berdekatan bandar Mentakab yang digunakan oleh kira-kira 400 orang penduduk Kampung Kampung Lubuk Serdang dan Kampung Sungai Dingin yang sudah uzur dan boleh rebah ke dalam sungai bila-bila masa.
Penduduk Kampung Sungai Dingin, Mentakab, Nur Muhammad Alias, 21, berkata, jambatan gantung yang uzur itu dibina pada 1984 berikutan struktur permukaan lantai berlekuk, manakala penghadang besi bahagian tepi banyak yang tercabut dan terdedah kepada keselamatan penduduk di situ.
“Jambatan ini rosak ekoran banjir pada 6 Januari tahun ini dan selepas kejadian itu tidak dibaiki sehingga ini menjadi kerisauan penduduk kerana jambatan ini merupakan laluan utama keluar ke tempat kerja, pelajar ke sekolah dan berurusan ke bandar terdekat.
Jambatan UZUR itu sebagai jalan pintas ke bandar bagi penduduk kerana lebih dekat berbanding menggunakan jalan raya ke bandar Mentakab dan Temerloh
“Jambatan itu sebagai jalan pintas ke bandar bagi penduduk kerana lebih dekat berbanding menggunakan jalan raya ke bandar Mentakab dan Temerloh, ia juga sebagai jalan alternatif ketika jalan kampung berdekatan ditenggelami air ketika banjir,” katanya di Kampung Sungai Dingin, Mentakab semalam.
Katanya, pernah berlaku kemalangan melibatkan penunggang motosikal tumbang di atas jambatan tersebut, tetapi tidak mengalami kecederaan malahan insiden itu mengingatkan penduduk setempat seperti mana yang berlaku di Kampung Rekoh, Rompin bulan April lalu yang melibatkan nyawa.
“Saya berharap pihak berwajib segera membaik pulih jambatan ini supaya penduduk lebih selesa merentasi laluan ini serta jaminan keselamatan masing-masing,” katanya.
Penduduk Kampung Sungai Dingin, Mohamad Daud, 62, berkata, dia bimbang ketika merentasi jambatan itu ketika air Sungai Semantan naik selepas hujan dan arus deras ketika berlaku banjir.
“Dengan struktur permukaan yang berlekuk dan sesetengah laluan tiada penghadang tepi berkemungkinan berlaku kecelakaan sekali gus dibimbangi penunggang bermotosikal boleh jatuh ke dalam sungai yang dalam.
“Mahu tidak mahu, saya terpaksa merentasi jambatan ini setiap kali mahu ke bandar kerana laluan ini yang lebih dekat walaupun berdepan risiko keselamatan,” katanya.
Mohamad berharap, kerajaan segera membaik pulih kemudahan tersebut bagi mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak dingin berlaku membabitkan nyawa penduduk.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dikenakan kompaun RM2,000 kerana menerima tetamu pada pagi Aidilfitri semalam.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dikenakan tindakan kompaun hari ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad, berkata Dr Azman bersama jirannya dipanggil memberi keterangan selepas kehadiran tetamu itu di kediaman wakil rakyat terbabit tular di Facebook sejak semalam.
Beliau berkata, kedua-duanya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan kompaun RM2,000 setiap seorang dikenakan kerana melanggar SOP ditetapkan.
“Walaupun kita tidak menerima laporan rasmi berhubung kejadian itu namun tindakan diambil berdasarkan pemerhatian dan aduan berasas orang awam di sosial media,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Azman Ibrahim (tengah) menerima surat tawaran kompaun daripada Asisten Superintendan Syed Mohammad selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, hari ini. - Foto ihsan Facebook Dr Azman Ibrahim.
Sebelum ini tular di Facebook menunjukkan kehadiran seorang tetamu di kediaman Dr Azman di Jabi, Besut selepas solat sunat Aidilfitri.
Sementara itu, Dr Azman ketika dihubungi berkata, lelaki terbabit adalah jirannya merangkap kakitangan Pejabat Pusat Khidmat ADUN Jabi, lapor BH ONLINE.
“Saya akur apabila dikenakan kompaun itu, tiada siapa yang terkecuali daripada dikenakan tindakan jika berlaku pelanggaran SOP dan Insya-Allah, kompaun itu akan dijelaskan di Pejabat Kesihatan Besut pada Ahad ini,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG NASIHAT JANGAN KERAP KE PASAR AWAM
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai supaya tidak berkunjung ke pasar awam setiap hari atau dengan kerap buat sementara waktu bagi mencegah penularan COVID-19.
Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan lawatan harian ke tempat tumpuan ramai dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.
Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, sejak kebelakangan ini warga emas dan kanak-kanak semakin ramai dilihat mengunjungi pasar awam. Tindakan itu menunjukkan mereka sudah tidak peduli mengenai penularan COVID-19.
“CAP percaya penularan COVID-19 boleh menurun sekiranya pengguna tidak berkunjung ke pasar awam dengan kerap atau setiap hari. Jika tidak kita akan mengalami lebih daripada 5,000 atau lebih peningkatan kes dan kerjasama orang awam amat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Subbarow berkata, pengguna pergi ke pasar setiap hari bagi membeli sayur-sayuran dan bahan lain untuk memasak namun ada yang menghabiskan masa berjam-jam di pasar tetapi hanya membeli satu barang, lapor BH ONLINE.
Dengan itu CAP menyarankan pengguna supaya merancang bagi membeli keperluan selama tiga hingga empat hari sekali gus.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Meskipun kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) hampir penuh, sistem kesihatan negara belum lumpuh, sehingga perlu memilih pesakit kritikal yang harus ditempatkan di kemudahan itu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi status di Facebook memaklumkan sememangnya semua katil yang ada di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum.
“Pun begitu, sistem kesihatan di negara kita belum lagi sampai ke tahap perlu memilih siapa yang perlu berada di atas katil ICU untuk dirawat.
“Frontliners (petugas barisan hadapan) yang merawat pesakit pun tidak ke mana-mana. Mereka tetap ada di wad ICU untuk merawat pesakit yang kritikal ini.
“Demi menyelamatkan nyawa, semua ‘frontliners’ meneruskan tugas harian mereka seperti biasa pada ketika Hari Raya pertama dan kedua Aidilfitri ini,” menurut perkongsian terbabit.
Menerusi perkongsian itu juga, KKM memuat naik beberapa gambar keadaan katil di hospital bagi merawat pesakit COVID-19.
Menurut status terbabit, itu keadaan sebenar dalam wad ICU ketika ini yang memaparkan petugas barisan hadapan melawan virus maut berkenaan.
“Hari ini merekodkan 34 kematian akibat COVID-19. Gambar dari Hospital Kajang ini menunjukkan semua katil yang berada di Hospital Kajang sudah pun penuh.
“Begitu juga di Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital COVID-19 yang lain. Keadaan sudah sesak,” katanya.
Semua rakyat Malaysia diminta patuh kepada peraturan ditetapkan.
Semua katil di Hospital Kajang juga sudah penuh. - Gambar Facebook.
“Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini.
“Sayangilah mereka, putuskan rantaian COVID-19,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GAJAH LIAR MENGANAS DI KAMPUNG GOL, RENCAT KEMERIAHAN SAMBUTAN RAYA
JERANTUT : Dua gajah liar yang berkeliaran di Kampung Gol, Mukim Tembeling Tengah mendekati kawasan kediaman serta memusnahkan tanaman penduduk di situ membimbang dan merencatkan kegembiraan serta kelancaran sambutan hari raya Aidil Fitri tahun ini.
Penduduk di kampung itu sering berwaspada terutama di waktu malam kerana haiwan itu sering bertandang terutama di kawasan kebun tanaman penduduk di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud berkata, kehadiran dua gajah liar, iaitu seekor jantan yang sudah dikenali menerusi tanda ‘tag’ oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Gol, Abu Jamil Awang Mahmud
“Manakala, seekor lagi tidak diketahui status jantina kerana kami penduduk di sini hanya berpandukan kesan tapak kaki haiwan itu berkeliaran di kawasan tanaman pada waktu malam.
“Dalam kejadian pada pukul 11 malam dua hari sebelum raya, haiwan ini telah menceroboh kawasan kebun getah seluas 1.2 hektar milik seorang penduduk dan merosakkan 10 batang pokok,” katanya.
Katanya, ancaman haiwan liar ini bermula pertengahan bulan Ramadan lalu apabila waktu siang bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan kampung pada watu malam juga turut merosakkan tanaman seperti kelapa, pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk di sini.
Antara tanaman yang dimusnahkan di Kampung Gol oleh gajah liar tersebut.
Kata Abu Jamil, keadaan itu membimbangkan penduduk ketika keluar mencari buluh lemang, daun palas malah ketika berbelanja di bandar Jerantut bagi membuat persiapan hari raya semalam tetapi belum ada lagi kejadian yang mengancam keselamatan mereka.
“Sehingga ini, kita telah memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya dapat menangkap gajah liar itu sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap penduduk di sini.
“Kita berterima kasih kepada Perhilitan kerana telah menugaskan seramai 10 orang renjer untuk menangkap haiwan ini dua hari sebelum hari raya dan kerja pemantauan dan penangkapan haiwan tersebut disambung selepas hari raya ini,” katanya.
Seorang pekebun, Jama Ahmad berkata, hampir 10 batang pokok getah muda yang belum ditoreh mengalami kerosakan akibat pencerobohan gajah liar itu.
“Saya menjangka lebih banyak tanaman getah ini akan dirosakkan termasuk pisang dan sayur-sayuran komersial penduduk di sini sekiranya haiwan liar ini tidak ditangkap,” katanya.
Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah menerima laporan mengenai ancaman gajah liar itu sejak seminggu sebelum hari raya.
Katanya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah maklum dengan kejadian pencerobohan gajah liar itu dan memohon Perhilitan menangkap serta memindahkan gajah liar berkenaan.
“Saya menasihatkan penduduk supaya berwaspada dengan ancaman haiwan ini ketika masuk bekerja di kawasan kebun dan tanaman sayur serta mengurangkan pergerakan di tempat tertentu sebelum gajah ini ditangkap oleh pihak renjer,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan kemunculan kluster baharu tempat kerja dikenali Kluster Menara Jalan Putra di Kuantan serta sehingga jam 5.00 petang, sebanyak 178 kes positif baharu dilaporkan di Pahang, hari ini.
Empat (4) hari sebelum ini menunjukkan bilangan kes positif baharu yang tinggi di daerah Kuantan berbanding seluruh Pahang iaitu 38 kes daripada 77 kes pada 10 Mei; 40 kes daripada 85 kes pada 11 Mei; 39 kes daripada 63 kes pada 12 Mei; dan 22 kes daripada 56 kes pada 13 Mei.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sudah terdapat empat (4) lokaliti dan kawasan dalam daerah Kuantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baharu yang masih berkuatkuasa, bermula 5 Mei sehingga 18 Mei.
Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, penularan Covid-19 di Pahang sangat membimbangkan.
“Tiga (3) lokaliti dan kawasan lain yang pernah dikenakan PKPD yang sama dan telah pun tamat tempoh penguatkuasaannya ialah Indera Mahkota 2, Astaka Village dan Galing.
“Maklumat yang diperolehi ini sangat membimbangkan saya, saranan berkali-kali telah dikeluarkan sebelum ini termasuk terbaharu dalam perutusan sempena Hari Raya Aidil Fitri 1442 Hijrah, tentang keperluan kita mematuhi segala nasihat dan panduan yang kerajaan keluarkan,” katanya melalui kenyatan media yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, beliau merayu agar rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan, memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya bimbang jika situasi sekarang berlarutan, malah berlaku lagi peningkatan terutamanya di daerah Kuantan, MKN mungkin akan mencadangkan langkah-langkah yang lebih ketat lagi bagi membendunginya,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!