LARUT – Penduduk di Kampung Bukit Bertam, Selama di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau dahan yang dikatakan berkeliaran berhampiran kediaman mereka hari ini.
Kehadiran harimau jantan spesies ‘clouded leopard’ berusia antara tujuh ke lapan tahun itu disedari penduduk kira-kira pukul 10.50 pagi.
Haiwan yang kelihatan kurus dan kelaparan itu dilihat berkeliaran di sekitar rumah penduduk kemungkinan bagi mencari makanan.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau dahan itu dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran untuk mencari makanan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian anggota, tiada sebarang kecederaan pada haiwan itu namun ia seolah-oleh tercekik seperti cuba memuntahkan sesuatu.
“Haiwan itu berjaya ditangkap pada pukul 11.24 pagi dan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk rawatan, lapor KOSMO online.
“Pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh doktor veterinar termasuk ujian air kencing dan sampel darah bagi mengesan sama ada terdapat kecederaan atau masalah kesihatan lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. –
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LARUT: tular berdurasi satu minit 14 saat menunjukkan seekor ular sawa batik bersaiz ‘anaconda’ diangkat menggunakan jengkaut berlaku di Jalan Kubu Gajah dekat Selama di sini semalam.
Reptilia dengan anggaran berat lebih 100 kilogram itu dijumpai seorang lelaki ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut menggunakan jengkaut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd. Nor Khairi Johari berkata, sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.11 tengah hari.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat seekor ular sawa sepanjang hampir lima meter.
“Kawasan ini merupakan tanah milik persendirian dan sedang dibersihkan oleh kontraktor untuk pembinaan jalan.
“Ketika kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan, seorang daripada pekerja telah menjumpai seekor ular sawa di kawasan semak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan dengan anggota menggunakan alat penjerut sebelum ular itu diangkat menggunakan jengkaut ekoran saiznya yang agak besar.
Katanya, kerja-kerja menangkap reptilia itu tidak berhadapan kesukaran kerana ular itu tidak bertindak agresif, lapor Utusan Online.
“Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit dan reptilia itu dibawa balik ke balai untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PERAK – PENULARAN Penyakit Kulit Kental (LSD) dikesan menyerang ternakan lembu dan kerbau di Simpang Pulai, Perak. Ladang itu kini di bawah kawalan rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Sinar Harian melaporkan, Exco Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, JPV turut memantau semua ladang ternakan yang terdapat di Perak.
Beliau menegaskan, tiada pengeluaran daging haiwan berkenaan ke pasaran sekitar.
Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil kepada pengusaha yang tidak bertanggungjawab menjual daging lembu ini. Selain Itu, orang ramai juga diminta tidak panik dengan situasi tersebut kerana pihak JPV mengesahkan bahawa penyakit itu tidak menjangkiti manusia.
Penularan dilaporkan berlaku di beberapa negara Asia lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya namun baru dikesan di negara ini. Dalam perkembangan berasingan, Razman mengakui berlaku lambakan hasil pertanian di Perak seperti cili, timun, jagung, pisang dan sebagainya.
Justeru itu, kerajaan negeri harus dengan segera mengambil tindakan agar dapat memastikan tiada lambakan hasil pertanian berlaku.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERJASAMA SEMUA BERJAYA SELAMATKAN RUMAH TERBAKAR DI SUNGAI RETANG
JERANTUT: Sebuah rumah peneroka Felda terbakar hampir kira-kira 60 peratus di Felda Sungai Retang, dekat sini , kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 petang, hari ini.
Rumah tersebut disedari terbakar oleh jiran yang memaklumkan kepada anak tuan rumah tersebut yang berada di bandar Jerantut ketika kejadian.
Orang ramai turut membantu memberi bantuan awal memadamkan kebakaran.
Anak peneroka tersebut yang dimaklumkan oleh jirannya, Hasbullah Mat Isa, 31 tahun berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Taman Saujana Utama, manakala bapanya Mat Isa Mat Kassim,74 tahun, berada di rumah Taman Saujana Idaman.
“Saya terus memaklumkan kepada ayah dan kami bergegas balik ke Sungai Retang dan mendapati rumah kami terbakar kira-kira 60 peratus dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut berjaya mengawal kebakaran, kira-kira jam 3.30 petang.
“Bapa saya yang berada di rumah di Taman Saujana Idaman kerana memudahkan urusan untuk melawat ibu saya, Halimah Abdullah (71) yang sedang berada di wad Hospital Jerantut kerana sakit angin ahmar,”katanya.
Katanya, rumah itu hanya didiami bapa dan ibu sahaja kerana adik-beradik lain semua tinggal di luar, tetapi ketika kejadian bapa dan ibu tidak berada di rumah, mujur dan bersyukur semua selamat.
BBP Jerantut berjaya memadam keseluruhan kebakaran pada jam 5.18 petang.
“Rumah jiran di sebelah kiri rumah saya turut terjejas sedikit kerana dipercayai terkena haba panas disebabkan angin bertiup ke arah rumah tersebut. Punca kebakaran dan kos kerugian tidak diketahui, pihak bomba akan melalukan siasatan esuk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata tindakan pantas pihak Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jerantut, Pasukan Bomba Sukarela Felda Sungai Retang dan Pengurusan Felda Sg. Retang.
ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kanan) menenangkan Mat Isa Mat Kassim.
“Manakala bantuan turut diberi oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Retang serta orang ramai yang turut membantu memadamkan kebakaran tersebut.
Jurucakap BBP Jerantut menerima panggilan pada jam 2.47 petang dengan kekuatan pasukan seorang pegawai dan 8 anggota ke lokasi dengan dibantu 7 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Retang.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 25′ x 70′ dan dipercayai bermula dari bilik bersebelahan dengan ruang dapur, ketika kejadian tiada penghuni semasa kejadian, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.18 petang, punca dan kerugian masih dalam siasatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Hantaran Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob di laman sosial tentang pintu depan mengundang seribu tanda tanya di alam maya.
Dilampirkan bersama gambarnya – yang juga menteri kanan (Pertahanan) – sedang menutup pintu pejabatnya. Hantaran yang disertakan kapsyen tergantung itu mengundang teka-teki.
“Saya dah tutup pintu depan tapi ………………..” katanya disertai emoji sedih.
Meskipun hantarannya itu tidak merujuk kepada sesiapa atau menyebut mana-mana keadaan, di ruangan komen, nampaknya ramai juga warga maya mempunyai tafsiran sendiri terhadap kata-kata tersirat ahli parlimen Bera itu, lapor Malaysiakini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Datuk harus teruskan bersuara agar menteri yang lain itu dengar masalah yang berlaku. Selagi sektor kilang dibuka maka lockdown (sekatan pergerakan) kali ini umpama tiada erti pada rakyat.
“Fikir-fikirkanlah Datuk. Jangan biarkan diri Datuk dipersalahkan oleh rakyat. Kerana satu kutu habis semua jadi mangsa,” tulis seorang warganet di hantaran tersebut.
“Pintu belakang kilang banyak,” tulis seorang lagi.
“Tapi ada Menteri Sektor itu buka pintu belakang,” tulis yang lain pula.
Telahan warganet itu dipercayai merujuk kepada kebenaran beroperasi kepada sebahagian besar perkhidmatan perlu dalam sektor perkilangan, meskipun negara kini sedang dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) sejak semalam.
Pada 30 Mei, Ismail Sabri mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh, kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu.
Kilang juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu, melainkan perkhidmatan perlu mengikut sektor tertentu di bawah 12 kategori.
Pada 31 Mei, Putrajaya memutuskan mana-mana perniagaan yang ingin beroperasi dalam tempoh total lockdown 14 hari bermula semalam boleh mendapat pengecualian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), MITI akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mengeluarkan surat yang membolehkan perniagaan beroperasi dalam tempoh total lockdown.
GAMBAR HIASAN
Kebenaran pembukaan kilang tertentu beroperasi sebelum ini mengundang kritikan beberapa ahli politik, antaranya Najib Razak yang mendakwa dengan pembukaan sesetengah sektor, banyak lagi kilang atau sektor lain yang berkaitan akan turut dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Dia meminta kerajaan tidak membiarkan PKP kali ini menjadi separuh masak – seperti sebelum ini – dan agar total lockdown kali ini tidak menjadi tiga suku lockdown.
Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa Menteri Kanan Ekonomi Azmin Ali tampil menjelaskan isu penentuan sektor perkhidmatan penting semasa sekatan pergerakan terbaru, yang turut disokong Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.
Baru-baru ini juga tular di media sosial imej surat didakwa dari MITI yang membenarkan operasi sebuah syarikat pengeluar arak, namun Ismail Sabri semalam mengarahkan semua kilang minuman keras menutup operasi serta-merta.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TERIMA KASIH PENJAWAT AWAM BERI SUMBANGAN KEPADA NEGARA
KUALA LUMPUR: “Saya amat menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang akan turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi COVID-19 melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebagaimana diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, semalam”.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terharu dengan solidariti penjawat awam akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana COVID-19. Ini membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28 ini, solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para ‘frontliners’ yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik COVID-19.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini. Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT,” katanya.
Katanya, semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Mohon semua menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Insya Allah.
Pengumuman oleh KSN menyatakan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) telah dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada semalam.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal ‘in-trail’ pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain dan formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.
“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ackbal, kesemua pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu FIR.
“Pesawat-pesawat itu seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
“Susulan kejadian itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” ujar beliau, lapor KOSMO online.
Jelas Ackbal, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu FIR.
“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada pukul 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.
“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 iaitu pesawat pengangkut strategik yang berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.
Ackbal menegaskan, insiden itu merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam Kota Kinabalu FIR.
“Insiden berkenaan telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LAPAN BELAS DIKOMPAUN HARI PERTAMA PKP 3.0 DI BENTONG
BENTONG: Lapan belas warga tempatan dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Pasukan Task Force, hari ini.
Pasukan itu di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan penugasan pemantauan SOP di sekitar Bandar Bentong, Lurah BIlut dan Karak.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemantauan, 18 dikompaun dikenakan dengan pelbagai kesalahan melanggar SOP ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar.
“Kesemua yang dikompaun terdiri daripada 16 lelaki dan 2 wanita, berusia antara 20 hingga 46 tahun, dan sekiranya disabitkan kesalahan akan dikenakan sebanyak RM 1,500 sehingga RM 5,000 bagi setiap kompaun.
“Kompaun kepada mereka di bawah Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (No 2) 2021,”katanya.
Zaiham berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu dan premis yang gagal serta tidak endah dengan SOP yang sudah ditetapkan oleh Majlis keselamatan Negara (MKN).
Beliau juga menyeru orang ramai di Bentong berganding bahu bersama mematuhi SOP agar wabak maut itu dapat diputuskan dalam tempoh PKP 3.0. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bagi mengelakkan pemalsuan surat kebenaran syarikat beroperasi, surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan dilengkapi dengan kod respon pantas (QR).
Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, M V Srikumar M Nair, berkata kod berkenaan akan diimbas oleh polis di sekatan jalan raya bagi memastikan ia adalah tulen.
“Apabila kod berkenaan diimbas (pautan berkenaan) akan meminta satu nombor kod yang mana hanya pihak polis sahaja mempunyai kod berkenaan. Apabila kita memasukkan nombor kod itu, maka kita akan dapat tahu sama ada surat itu betul
selaras dengan pemegang surat,” katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu dalam Ruang Bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, malam tadi.
GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan wujudnya layanan dwistandard terhadap kebenaran merentas negeri dan daerah terhadap mana-mana individu atau kumpulan seperti mana yang didakwa sesetengah pihak, lapor BH Online.
“PDRM tidak melihat golongan kayangan atau sebaliknya…jika mempunyai dokumen yang sah dan bukti (kukuh), maka (permohonan rentas daerah atau negeri) adalah dibenarkan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KLANG: Polis Klang Selatan menutup tiga jalan sepenuhnya susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penutupan jalan sepenuhnya diadakan di Jambatan Musaeddin, Jalan Tengku Kelana, Klang; Jambatan Raja Muda Nala, Klang dan Jambatan Besi (Pengkalan Batu).
Menurut Shamsul Amar, bagi sekatan jalan raya kekal pula, pihaknya akan mengadakan di Persiaran Kota, Klang; (Susur keluar bangunan Majlis Perbandaran Klang) dan Batu 2, Jalan Langat, Klang (berhadapan Indah Water Konsortium), lapor Utusan Online
“Sementara itu, sekatan jalan raya bergerak (mobile) pula akan dilakukan di 24 kawasan dalam daerah Klang Selatan membabitkan 14 pasukan.
“Selain itu, pasukan pemantauan penguatkuasa prosedur operasi standard (SOP) PKP menyeluruh akan ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tambahnya, masyarakat dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP PKP dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhannya.
“Sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi hotline Covid-19 Polis Klang Selatan di talian 03-33762400,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!