TANAH RUNTUH BERLAKU TIDAK MEMBABITKAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS
KUANTAN: Menteri Besar Pahang kesal dengan penularan mengaitkan kejadian tanah runtuh melalui media sosial sehingga menyebabkan penutupan jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang dikatakan berada di daerah Camron Highlands.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya, kejadian tanah runtuh itu berlaku di KM 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang berada di dalam daerah Kinta, Perak akibat kejadian kegagalan cerun yang berlaku menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya sejak semalam.
“Saya juga kesal dengan paparan video di media sosial mengaitkan banjir lumpur yang kononnya turut berlaku di Cameron Highlands sedangkan ia berlaku di tempat lain, ini sedikit sebanyak menjejaskan imej kawasan peranginan ini terutama kehadiran pelancong.
“Di harapkan dengan penjelasan ini, rakyat tidak terkeliru dengan apa yang sebenarnya berlaku khususnya yang melibatkan kawasan popular seperti tanah tinggi Cameron Highlands,”katanya melalui kenyataan media, semalam.
Sementara itu, seramai 790,024 pelancong direkodkan berkunjung ke Cameron Highlands pada tahun lalu sekaligus mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga dari segi jumlah kedatangan pelancong di negeri ini.
“Walaupun sektor pelancongan dunia terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 , Cameron Highlands terus dikunjungi oleh pelancong, manakala Genting Highland mencatatkan kedatangan 3.38 juta orang, dan Kuantan seramai 1.62 juta,”katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang basikal mengekori dengan rapat di belakang sebuah lori bagaikan menempah maut.
Tindakan penunggang basikal tersebut mengundang kemarahan orang ramai kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa malah menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Menerusi sebuah video berdurasi dua minit 34 saat, penunggang basikal berkenaan dengan jelas mengekori dengan rapat sebuah lori tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri.
Video berkenaan mendapat lebih 5,000 reaksi dan dihujani lebih 2,000 komen di media sosial Facebook.
Salah seorang pengguna @Watie Saran berkata, tindakan lelaki berkenaan bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah boleh melibatkan individu lain,lapor kosmo online
“Nak membahayakan diri tapi pada masa sama cuba nak membahayakan nyawa orang lain. Nak berbasikal tu boleh bang, tapi cari la tempat yang sesuai untuk berbasikal.
“Bukannya tunjuk taiko atas jalan raya. Follow bukan main rapat. Sekali kena sodok bawa lori, otak berkeliaran dah satu kerja nak kena kutip pulak,” jelasnya.
Sementara itu, @Adib Zakaria berkata, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, jangan salahkan pemandu lori sebaliknya salahkan diri sendiri.
“Selamba je penunggang basikal. Kalau ada kemalangan lori terbrek secara mengejut, jangan salahkan pemandu lori. Salahkan diri sendiri,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
164 Notis Semakan Harga Ayam Dikeluarkan KPDNHEP Di Seluruh Negara
KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan 164 notis semakan harga kepada pemilik premis dan peniaga ayam di seluruh negara sehingga semalam.
Notis itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati harga runcit ayam segar mencecah RM11.50 bagi setiap kilogram (kg) minggu lalu.
Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan) KPDNHEP, Azman Adam berkata, serahan notis itu dibuat pegawai dan anggota penguatkuasa kementerian ketika melakukan operasi pemantauan harga sejak awal bulan ini, selepas menerima laporan daripada pengguna mengenai kenaikan terlalu tinggi harga ayam dijual di pasar raya dan pasar pagi.
AZMAN ADAM
“Semua pemilik premis dan peniaga yang menerima notis itu memberi kerjasama baik dan kebanyakannya sudah mula menurunkan harga runcit ayam di bawah RM10 mulai semalam.
“Pihak KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan (penetapan) harga ayam, ini termasuklah peringkat peladang, pemborong dan juga peniaga runcit bagi memastikan usaha untuk menstabilkan semula harga ayam dapat dilakukan tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan harga ayam di pasar raya dekat Temerloh, petang semalam.
Azman turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.
“Kita tidak ada masalah kalau mereka (peniaga) ingin mengambil untung, cuma kena ikut peraturan ditetapkan dan janganlah sampai menyulitkan pengguna. Jadi, pemeriksaan seperti ini akan diteruskan bagi memastikan hak semua pihak terjamin, peniaga pun boleh dapat untung dan pengguna juga boleh membeli tanpa rasa terbeban,” katanya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu harga kit ujian kendiri COVID-19 yang sudah mula dijual di farmasi sejak awal bulan ini, Azman berkata, pihaknya sudah melakukan kira-kira 2,000 pemeriksaan sejak 5 September lalu untuk memastikan peniaga menjual kit itu pada harga ditetapkan kerajaan.
“Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan, sebanyak 199 premis atau farmasi didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 di bawah harga ditetapkan kerajaan dan ini adalah satu petanda yang baik kerana mereka memahami keperluan kit ini memandangkan jumlah kes (positif) COVID-19 masih tinggi di negara kita.
“Jumlah atau stok kit ujian kendiri juga dijamin mencukupi dan buat masa ini, terdapat 5.34 juta kit ujian pantas berada di pasaran, jadi tidak ada masalah bekalan.
“Selain itu, kita juga dimaklumkan sebanyak 18 syarikat sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk membekalkan atau membawa masuk kit berkenaan untuk pasaran di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, peniaga yang didapati melanggar arahan penjualan kit ujian kendiri melebihi harga ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pematuhan SOP di lokasi tumpuan orang ramai di Kuantan capai 95 peratus
KUANTAN: Pasukan pemantau dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan di sekitar daerah ini.
Pemeriksaan dijalankan sejak pagi tadi mendapati semua pengunjung sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan melepasi tempoh 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua, sebelum mengunjungi pusat rekreasi bersama keluarga mereka untuk berkelah dan aktiviti riadah lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, sejak Pahang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai lalu, tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk di daerah ini berada di tahap sangat memuaskan.
“Walaupun kita (Pahang) masih berada di Fasa Dua PPN, namun pengumuman kerajaan membuka lebih banyak aktiviti sosial kepada orang ramai perlu dipantau dengan lebih berhati-hati kerana kita belum lagi bebas (sepenuhnya) daripada COVID-19.
“Tapi setakat ini, pasukan pemantau dari IPD Kuantan dengan kerjasama Ketua Polis Balai dan pasukan kereta peronda (MPV) mendapati 95 peratus pengunjung di semua lokasi tumpuan di daerah ini, memenuhi (mematuhi) setiap SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan bersama pasukan pemantau SOP di kawasan rekreasi Sungai Lembing, dekat sini.
Muhammed Rizal turut menjelaskan bahawa pendekatan budi bicara lebih banyak digunakan pasukan pemantau bagi mendidik mereka yang masih belum memahami SOP perlu dipatuhi pada Fasa Dua PPN.
Katanya, pendekatan mendidik ini dilihat lebih berkesan kerana orang ramai mendapat maklumat lebih terperinci mengenai larangan yang masih perlu dipatuhi walaupun pembukaan lebih banyak sektor sudah dibenarkan oleh kerajaan.
“Kita ada rekod setiap kesalahan dilakukan individu tertentu yang melanggar SOP dan kalau ia membabitkan kesalahan berulang, maka tindakan tegas (kompaun) terpaksa diambil.
“Tapi kita lebih suka gunakan pendekatan mendidik orang ramai, guna budi bicara kerana mungkin masih ramai yang belum faham apa itu PPN Fasa Dua dan perkara yang dibolehkan atau tidak dibenarkan, jadi kita lihat pendekatan (mendidik) ini lebih berkesan,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOME CAKNA TEMERLOH SUMBANG BAKUL MAKANAN, LAMPU SOLAR
KUANTAN: Sebagai tanda prihatin dengan kesukaran dihadapi mereka yang terjejas pendapatan akibat COVID-19, Persatuan Orang Merdeka dengan kerjasama Kome Cakna Temerloh tampil menghulurkan sumbangan.
Pengerusi Kome Cakna Temerloh, Abd Jamil Yaakub berkata, sumbangan 30 bakul makanan itu diagihkan kepada penerima di Kampung Batu 8, dekat Lepar, di sini.
Selain menyampaikan bakul makanan, Kome Cakna Temerloh dan Persatuan Orang Merdeka turut menyumbang tiga unit lampu solar bagi dipasang berhampiran Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan.
Turut hadir YB ADUN Pulau Manis Dato Khairuddin Mahmud
“Sumbangan ini adalah tanda kepedulian kami terhadap mereka yang terjejas pendapatan sejak COVID-19 dan kita harap ia dapat meringankan sedikit bebanan ditanggung mereka.
“Selain makanan atau barangan keperluan asas, kita turut menyumbang lampin pakai buang dan topeng pelitup muka,” katanya.
Mengulas mengenai sumbangan lampu jalan bertenaga solar, Abd Jamil berkata, ia adalah berdasarkan permintaan penduduk kampung itu yang mengadu laluan berhampiran tanah perkuburan berkenaan agak gelap dan berbahaya untuk dilalui pada waktu malam.
Katanya, dengan adanya tiga unit lampu solar itu, orang ramai dapat menggunakan laluan terbabit dengan lebih rasa selamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hulu Selangor: Lelaki dipercayai lemas ketika menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam empangan di Jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.54 petang.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera dan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa dikenali sebagai Hamzah Ilya Azman, berusia 19 tahun. Dia lemas ketika menyelamatkan rakannya, Ahmad Nabil Yasin Abdul Rashih, berumur 20 tahun,” katanya pada kenyataan.
Menurut beliau, Ahmad Nabil Yasin berjaya menyelamatkan diri sebelum pihaknya tiba di lokasi, lapor kosmo online.
“Manakala mangsa pula gagal dikesan selepas terjun ke empangan itu,” katanya.
Norazam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.
Dalam pada itu, Norazam menasihati orang ramai yang berkhemah atau bercuti di kawasan berair seperti sungai, air terjun, laut atau empangan supaya mengambil langkah berhati-hati. “Jika hujan, segera beredar untuk mengelak banjir kilat, fenomena kepala air atau kenaikan paras air secara mendadak.
“Begitu juga yang melakukan aktiviti mendaki, mohon berhati-hati terutama musim hujan ketika ini bagi mengelak tersesat, terperangkap di laluan keluar atau terkena panahan petir di hutan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PAHANG – Tidak sampai 11 hari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan, tiga perkampungan Orang Asli di Pahang sekali lagi dikenakan sekatan sama membabitkan Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong.
Tiga lokaliti masyarakat Orang Asli etnik Semai di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands itu pernah dilaksanakan PKPD dari 26 Ogos sehingga 8 September lalu berpunca daripada kluster komuniti Sungai Kabuk dan menyaksikan kes indeks, seorang lelaki berusia 36 tahun maut sebelum menjangkiti 47 individu lain.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, turut dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 3 Oktober ialah satu lokaliti di Sabah iaitu Kampung Tamu Darat, Kota Belud yang majoritinya etnik Dusun.
Rodzi memaklumkan, tiga lokaliti masing-masing di tiga negeri bakal ditamatkan PKPD serentak seperti dijadualkan antaranya Mukim Kuala Kedah, Kota Setar, Kedah meliputi Taman Baru, Taman Seri Marina, Taman Seri Putra, Kampung Tepi Laut, Kampung Sematang dan Kampung Balai.
“Kawasan lain ialah Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kota Kinabalu, Sabah disebabkan Kluster Jalan Pahlawan yang menyebabkan PKPD dilaksanakan di sana bermula 6 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor kosmo online
Baki satu lagi lokaliti ialah Penjara Tapah termasuk kuarters di Batang Padang, Perak yang dikenakan PKPD pada 23 Ogos lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS HOME GUARD TERIMA RUMAH BAHARU SEMPENA HARI MALAYSIA DI LIPIS
LIPIS : Bekas home guard (pasukan kawalan tempatan), Kamarudin Li, 85, gembira apabila keluarga itu menerima bantuan rumah baharu sempena Hari Malaysia yang terletak di Kampung Seberang, Tanjung Buloh dekat sini, baru-baru ini.
Bagi warga emas dan isterinya, Khadijah Hamid, 50, yang mempunyai lima orang anak itu telah diziarahi oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor yang hadir ke kediaman baharu itu serta beramah mesra dengan keluarga berkenaan.
Rumah baharu Kamarudin yang dibina dengan perbelanjaan hampir RM70,000 terletak di tempat selamat hasil usaha Ibupejabat Polid Daerah (IPD) Lipis yang diketuai oleh Azli bagi menggantikan rumah lama yang usang dan uzur kerap dinaiki air ketika musim banjir Sungai Jelai berdekatan kampung tersebut.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri (kiri) dan Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor (kanan) bersama bekas home guard Kamarudin Li (tengah) di Kampung Seberang, Tanjung Buloh dekat sini, baru-baru ini.
Warga emas itu yang bertugas sebagai anggota home guard kawasan Lipis antara 1950 hingga 1959 berkata, dia terharu dan bersyukur kerana dapat menduduki rumah baharu hasil usaha IPD Lipis menguruskan perbelanjaan bahan binaan serta kerja membina dengan bantuan penduduk di situ sehingga siap dan boleh diduduki keluarganya.
“Pengorbanan semasa home guard sekdar membantu tanah air, hanya sebahagian sahaja tampil berjuang bersama pasukan ini untuk mempertahankan negara dan kampung daripada ancaman Komunis berbanding dengan sumbangan rumah baharu ini yang tinggi nilai binaannya.
“Namun, saya sangat berterima kasih kepada Timbalan Ketua Polis Pahang dan dan Ketua Polis Lipis yang sudi datang dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Jelai untuk melihat rumah baharu serta berziarah keluarga saya,” katanya di Kampung Seberang, Tanjung Buloh dekat sini.
Katanya, dia terkenangkan rakannya seramai 12 orang yang sama berjuang diketuai oleh Pawang Nong serta dibantu Wan Deraman yang menentang Komunis di Kampung Sepial, KualaTembeling pada 1952.
“Saya berharap kerajaan dapat membantu kebajikan rakan home guard lain yang masih hidup kerana kami berjuang dahulu tanpa dibayar gaji, malahan tanpa pencen selepas bersara demi mempertahankan agama, nusa dan bangsa,” katanya.
Sempena program ziarah Hari Malaysia, Mohd. Yusri telah menyampaikan sumbangan wang tunai, barang makanan daripada anggota Amanita IPD Lipis dan surat penghargaan Polis Pahang kepada Kamarudin.
Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, program ziarah itu untuk mengesan saki-baki home guard yang masih hidup untuk tujuan mengenalpasti kebajikan masing-masing supaya Polis Pahang dan IPD di tempat masing-masing berusaha membantu dengan apa cara sekalipun.
“Kita sangat menyanjung tinggi serta amat menghargai pengorbanan bekas home guard dan Special Constable serta anggota lain yang berjuang pada era Darurat 1948 sehingga negara merdeka dan pasca berikutnya untuk menghapuskan saki-baki Komunis.
“Tanpa pengorbanan mereka yang berbekalkan semangat, keberanian, titik peluh dan sebagainya, kita rakyat Malaysia dan generasi hari tidak dapat mengecapi kemakmuran, keselesaan dan kesejahteraan hidup sekiranya negara masih diancam musuh Komunis,” katanya.
Katanya, beliau berterima kasih dan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana memberikan sumbangan sebanyak RM30,000 dan selebihnya daripada pemimpin setempat, anggota polis IPD Lipis dan dermawan sehingga memolehkan kediaman baharu Kamarudin siap sempurna.
“Penghargaan juga kepada Ketua Polis Lipis, anggota IPD di sini dan penduduk Tanjung Buloh yang berusaha mengumpul dana termasuk kerja mengangkut bahan pembinaan menyeberangi Sungai Jelai serta membina kediaman ini sehingga siap dan boleh diduduki dengan selamat,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Olimpik Tokyo daripada pihak penganjur Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Sabtu lepas, berhubung isu melanda Muhammad Ziyad Zolkefli.
Presiden MPM, Megat D Shahriman Zaharudin berkata rakaman CCTV itu diyakini mampu membantu pihaknya merungkai persoalan di sebalik kontroversi melibatkan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan itu, pada temasya sukan berprestij tersebut di Jepun, baru-baru ini.
“Kami berjaya mendapatkan rakaman CCTV yang memaparkan situasi di bilik panggilan bermula dari pukul 5.45 petang sehingga 6.05 petang di mana Muhammad Ziyad dikehendaki melapor diri pada 5.55 petang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain rakaman CCTV, Megat D Shahriman juga memberitahu pihaknya menerima maklum balas rasmi, masing-masing daripada penganjur dan Olahraga Para Dunia (WPA) berhubung rayuan kontinjen Malaysia berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yang akan menamatkan tempoh kuarantin di sebuah hotel di sini pada esok selepas pulang dari Jepun 6 Sept lepas, enggan mendedahkan lebih lanjut butiran rakaman CCTV serta maklum balas diperoleh menerusi surat oleh penganjur dan WPA, kerana tidak mahu menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung ketika ini.
“Saya akan bermesyuarat pada Selasa ini mengenai rakaman CCTV diperoleh sebelum membawa rumusan mesyuarat MPM, termasuk menyerahkan maklum balas rasmi penganjur dan WPA kepada satu lagi mesyuarat jawatankuasa siasatan kes Muhammad Ziyad ini, yang dijadual hujung bulan ini,” katanya.
Megat Shahriman memberitahu jawatankuasa siasatan akan memaklumkan lebih lanjut mengenai perkembangan isu Muhammad Ziyad serta tindakan seterusnya diambil Malaysia tidak lama lagi, selain menuntut orang ramai agar bersabar serta memberi ruang dan masa bagi pihak terlibat menyelesaikan isu tersebut dengan baik.
Pada 31 Ogos lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94m, yang juga rekod baharu dunia.
Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa beliau lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang pingat emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Pada 3 Sept, Kementerian Belia dan Sukan bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman yang diseliakan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas, berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPLB DAN JAKOA GIAT LAKSANA PICK ORANG ASLI DI KELANTAN
JELI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terus mempergiatkan pelaksanaan Program Jangkauan (Outreach) Vaksinasi Orang Asli bagi memastikan masyarakat itu tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
KPLB dan JAKOA turut berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , CITF dan Jabatan Bomba dalam mengambil langkah proaktif dengan membawa bekalan vaksin ke kampung Orang asli yang jauh di pedalaman dan mempunyai cabaran dari segi akses.
Abdul Rahman (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut serta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 3,807 Orang Asli telah menerima vaksin; 1,748 menerima vaksin lengkap dan 1,146 menerima vaksin tunggal dos CanSino daripada 10,535 orang yang layak menerima vaksin di Kelantan setakat 17 September.
Katanya, bagi menjayakan program ini, sejak minggu lepas pasukan JAKOA Gua Musang telah menyusuri jalan darat bermula daripada RPS Kuala Betis menuju ke Pos Balar sehingga ke Pos Gob bagi melaksanakan kempen kesedaran secara bergerak mengenai jangkitan Covid-19.
“Selain itu terus memujuk dan memberi kefahaman tentang vaksin Covid-19 yang mampu menyelamatkan dari risiko kesihatan yang serius akibat jangkitan.
“Saya percaya bahawa Program ‘Outreach’ Vaksinasi masyarakat Orang Asli yang menggunakan helikopter ini boleh mengatasi cabaran akses dari segi logistik untuk mereka ke pusat-pusat vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan di bandar atau pekan terdekat,” katanya di Pos Gob, Gua Musang, hari ini.
Datuk Abdul Rahman menyaksikan suntikan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang.
Katanya, penggunaan secara optimum aset kerajaan seperti helikopter dan bot ke kawasan pedalaman ini mampu meningkatkan kadar vaksinasi keseluruhan masyarakat negara seperti yang dirancang oleh kerajaan menjelang Oktober ini.
“Sebanyak 200 dos vaksin Cansino yang hanya memerlukan 1 dos lengkap disediakan bersama dengan petugas kesihatan secara keseluruhan supaya mereka yang ingin mengambil dos pada hari ini akan menerimanya dengan kadar segera.
“Demi memastikan bahawa kebajikan dan keselamatan Orang Asli di Kawasan Pos Gob terjaga, saya hadir sendiri bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed merangkap Ahli Parlimen Jeli dan Ketua Pengarah Jakoa,Hajah Sapiah Mohd Nor,” katanya.
Katanya, setakat ini dianggarkan 57 peratus daripada 184,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara atau kira-kira 90,000 individu sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!