KEBENARAN RENTAS NEGERI DIJANGKA DIMUKTAMAD DALAM MASA TIGA MINGGU LAGI
JOHOR : Kebenaran merentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi, selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa di negara ini diambil dalam masa terdekat
Menteri kanan pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencapai sasaran itu iaitu 90 peratus orang dewasa selesai divaksin .
Katanya ,inshaallah cuba akan mengumumkan kelongaran itu apabila kita mengecapi 90 peratus vaksiknasi dewasa dana perancangan yang kita telah pun lakukan bersama KKM akan dapat jayakan dalam masa 3 minggu ini
Katanya antara tindakan segera yang dilaksanakan ialah mengaturgerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) bagi memberi lebih banyak suntikan kepada orang awam di kawasan pedalaman- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Putrajaya: Disepak di muka kerana bertanyakan baki gaji tertunggak. Itu nasib malang dialami seorang wanita warga Indonesia yang diselamatkan selepas dijadikan buruh paksa oleh majikannya di Ayer Tawar, Perak.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan tadi, memaklumkan operasi menyelamat bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan polis itu dilakukan susulan aduan serta maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Menurut KSM, majikan itu dipercayai mengeksploitasi mangsa dengan ugutan bahawa mangsa bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.
“Mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak,” menurut kenyataan itu.
KSM memaklumkan mangsa wanita itu masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen dikenalinya.
Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa dipotong RM350 sebulan selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen itu.
“Mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian termasuklah bayaran kepada ejen berkenaan,” katanya.
Menurut KSM, siasatan awal menunjukkan mangsa yang tamat tempoh sah permit pada Jun 2020, diklasifikasikan sebagai buruh paksa berdasarkan beberapa indikator antaranya gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 berjumlah kira-kira RM25,000.
Berdasarkan situasi yang dihadapi mangsa, indikator menunjukkan bahawa majikan melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, menurut KSM.
KSM memaklumkan mangsa yang masih trauma ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada hari sama beliau diselamatkan,lapor Bernama
IPO adalah untuk tempoh 21 hari iaitu hingga 13 Oktober ini bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK dan kertas siasatan itu akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.
“Ini (operasi yang dijalankan) jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ORANG ASLI LARI DARIPADA GAJAH, PROGRAM VAKSINASI TERGENDALA
JERANTUT: Program Jangkauan Vaksinansi (POV) Covid-19 yang sepatutnya dijalankan minggu ini di perkampungan Orang Asli etnik Bateq Kampung Aur, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan tergendala.
Program itu tergendala disebabkan seramai 40 penduduk di kampung itu melarikan diri kerana bimbang dengan gangguan gajah liar yang masuk ke kampung itu dan ada yang pergi ke tempat lain atau menumpang sementara di rumah rakan mereka di perkampungan lain.
Seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Roslan Abu Kassim memberitahu sebanyak 14 buah keluarga yang tinggal di Kampung Aur, Kuala Tahan lari sementara daripada kediaman mereka apabila kumpulan gajah liar menceroboh pada waktu malam minggu lalu.
Roslan Abu Kassim
“Sepatutnya Orang Asli berkenaan yang dijadualkan mengambil suntikan vaksin daripada petugas Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) pada minggu ini, tetapi akibat kejadian berkenaan, mereka lari ke tempat lain.
“Saya yang kenal rapat dengan Tok Batin Kampung Aur dan anak buahnya dimaklumkan penduduk lari menyelamatkan diri ke dalam hutan dan selebihnya menumpang tinggal di rumah rakan mereka di kampung berdekatan Taman Negara,” katanya di sini semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Bird Group Taman Negara merupakan pengantara membantu JKD Jerantut melaksanakan program vaksinasi di penempatan Orang Asli di Taman Negara di Kampung Yong, Kampung Dedari, Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Atok dan beberapa kampung terpencil lain.
“Selain sumber hutan, kebanyakan Orang Asli etnik Bateq di sini khususnya golongan belia bekerja sebagai pemandu pelancong, pemandu bot penambang dan ‘porter’ sebelum ancaman pandemik Covid-19.
“Suku kaum ini memahami dan sedar bahayanya pandemik Covid-19 malahan bersetuju untuk divaksinasi bagi membolehkan mereka bergerak keluar dan bekerja semula di Taman Negara dan mereka akan balik bila keadaan tidak membimbangkan,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA SANTUN MASYARAKAT INDIA DI LIPIS
LIPIS: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyumbangkan sebanyak 200 bakul makanan kepada penduduk kaum India yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 di Kuala Lipis, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah mewakili KPN menyempurnakan sumbangan berkenaan kepada Ketua MIC Lipis, A. Subramaniam a/l Apalasamy yang mewakili masyarakat India di sini.
Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah mewakili KPN menyempurnakan sumbangan kepada masyarakat India di Lipis.
Katanya, sumbangan bakul makanan itu merupakan keprihatinan KPN kepada penduduk yang memerlukan serta mereka yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya sehingga ini.
“Sumbangan barang keperluan dapur ini amat bermakna bagi keluarga atau masyarakat kaum India di kawasan Parlimen Lipis kerana ada antara mereka tinggal di lokaliti yang masih di bawah penguatkuasaan PKP Diperketatkan (PKPD) yang akan berakhir penghujung bulan ini.
“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique menerusi sumbangan ini secara langsung merealisasikan iltizam konsep Keluarga Malaysia sekali gus dapat mengeratkan solidariti antara pemimpin setempat dengan semua kaum di sini,” katanya di Kuala Lipis, Lipis Pahang baru-baru ini.
Katanya, konsep Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah direalisasikan ke kawasan Parlimen Lipis dan akan terus menjadi satu hasrat negara kepada solidariti nasional.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENYELIDIK USM KAJI KETUM MENANG ANUGERAH PENYELIDIKAN ANTARABANGSA
Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Zurina Hassan menerima anugerah penyelidikan antarabangsa pada 4 Ogos lalu.
Penyelidik berasal dari Pulau Pinang itu menerima anugerah penyelidikan Georg Forster daripada Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman di atas kajiannya berkenaan ketum.
Daun ketum yang menjadi kajian Prof Madya Zarina Hassan yang memenangi anugerah antarabangsa
Beliau seorang pensyarah dalam bidang farmakologi, Zurina menyertai pemenang lain dan diberikan dana berjumlah 60,000 euro (RM294,679) untuk menyambung penyelidikannya di negara itu.
“Untuk program ini, saya diberi tempoh enam hingga 12 bulan untuk selesaikan kajian dengan dana sebanyak 60,000 euro disediakan.
“Saya bercadang untuk pergi ke Universiti Erlangen, Jerman bagi memulakan kajian saya pada Januari tahun depan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Zurina, 45, berkata penyelidikannya dilihat bagaimana ketum dapat memberi kesan kepada ingatan manusia dan menyebabkan ketagihan.
“Saya nak lihat macam mana ketum akan ‘bekerja’ apabila masuk ke badan manusia, contohnya berapa dos yang boleh menyebabkan ketagihan dan berapa dos yang beri kesan kepada memori manusia,” katanya yang telah membuat penyelidikan berkenaan dengan ketum sejak 2010.
Selain itu, dia juga berhasrat untuk membawa hasil penyelidikannya berkenaan bunga telang dan potensinya untuk merawat penyakit dementia dan alzheimer untuk dibincangkan di Jerman.
“Saya turut menggunakan bunga telang yang biasa kita buat nasi kerabu, untuk memulihkan ingatan terutamanya orang-orang tua yang selalu lupa.
“Kalau boleh saya nak bawa pergi ke sana untuk bertanya dan berbincang dengan mereka berkenaan cara untuk komersialkannya dan bercadang untuk jadikannya dalam bentuk kapsul dan boleh dijual di pasaran,” katanya lagi.
Zurina merupakan penasihat pakar sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dan 2016.
Dia juga pernah dijemput oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Nida) untuk membentangkan kajian berkenaan ketum di San Diego, Amerika Syarikat.
Mengulas tentang pemilihannya, Zurina berkata, ia bukanlah perkara mudah kerana dia perlu bersaing dengan lebih dua ribu penyertaan dari seluruh dunia dan hanya sepuluh penyelidik yang akan terpilih.
“Cabaran memang berat kerana kebanyakan mereka yang terpilih adalah profesor yang sangat berkaliber,” katanya.
Katanya lagi, pihak Jerman menganjurkan program tersebut untuk menggalakkan penyelidik dari luar – terutama di negara membangun yang menyumbang kepakaran masing-masing kepada institusi penyelidikan di sana.
“Anugerah ini berdasarkan pencapaian kita dalam penyelidikan yang dibuat sebelum ini, tujuannya adalah untuk kita kongsikan kepakaran kita di sana, jadi ia akan banyak memberi faedah kepada mereka,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TANAM KELADI HIASAN BOLEH JADI PENDAPATAN SAMPINGAN
JERANTUT: Seorang surirumah menjadikan tanaman keladi hiasan sebagai salah satu pendapatan sampingan memandangkan spesis keladi itu sudah menjadi kegemaran orang ramai sejak kebelakangan ini dan ada yang sanggup memilikinya walaupun perlu berbelanja mahal.
Surirumah itu, Normah Abah yang tinggal di Felda Jengka 24, pada mula memiliki beberapa pasu pokok keladi hiasan selain pokok hiasan lain dan pokok kegunaan masakan yang diperlukan ditanam sekeliling halaman rumahnya.
Normah Abah menunjukkan salah satu spesis keladi hiasannya.
“Setelah pokok keladi saya semakin membiak, bermula dengan jiran saya dan kenalan yang datang ke rumah sanggup membeli beberapa pasu untuk dijadikan hiasan di rumah mereka, maka saya mula mencari jenis keladi hiasan spesis lain untuk menambah koleksi tanaman di rumah.
“Kini saya ada 45 jenis spesis keladi hiasan di rumah termasuk yang saya beli di pekan sahari atau di mana-mana kalau terjumpa di nurseri, saya akan membelinya jenis spesis yang saya tiada,” katanya.
Katanya, dia dimaklumkan ada orang kecurian pokok keladi hiasan yang berharga hingga ratusan ringgit, maka dia terus menanam pokok itu untuk dijual dengan harga yang berpatutan sebagai pendapatan sampingan.
Antara spesis keladi hiasan yang terdapat di halaman rumah Normah Abah di Jengka Felda 24.
“Saya pernah menjual pokok keladi jenis Mickey mouse berharga RM50, ada juga jenis lain sehingga RM100 seperti jenis cat tumpah, black carol dan beberapa spesis lagi.
“Saya turut memiliki keladi jenis Caladium gingerland, Caladium moonlight, Caladium white queen, Caladium Thai beauty atau keladi batik dan beberapa spesis lain,” katanya.
Katanya, penjagaannya sangat mudah, seminggu sekali diberi baja dan 3 atau 4 hari sekali saya akan menyiram pokok itu dengan air basuhan beras yang dikumpul bagi memberi kesegaran kepada pokok keladi itu selain sedikit terlindung.
“Pihak pengurusan Felda Jengka 24 sangat memberi sokongan kepada saya dan juga penduduk di sini untuk menghiasai rumah masing-masing di samping memperoleh pendapatan sampingan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pihak pengurusan Felda turut membantu peneroka untuk mempelbagaikan cara meningkatkan pendapatan sampingan yang boleh dihasilkan hanya di sekeliling rumah.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud
“Selain tanaman seperti keladi hiasan, peneroka di sini turut menanam seperti lada dan sayur-sayuran secara fertigasi, malah ada yang menternak arnab daging yang dipasarkan di sekitar Felda ini, Bandar Pusat Jengka atau tempahan daripada luar
“Itulah untungnya tinggal di kampung di mana segala jenis pokok boleh ditanam di sekeliling rumah dengan mudah kerana kawasannya yang ada dimanfaatkan untuk kegunaaan sendiri atau boleh dijual,” katanya.
Katanya, peneroka di sini turut menternak ayam daging, kambing dan lembu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan selain menguruskan ladang sawit masing-masing.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUSAHA INDUSTRI PELANCONGAN HARAP KERAJAAN BUKA TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN SEGERA
JERANTUT : Pengusaha industri pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan mahukan ‘gelembung pelancongan’ yang dilaksanakan ke Pulau Langkawi dapat diperluaskan ke kawasan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu.
Pengusaha pelancongan di situ mahukan pengunjung ke pusat peranginan tersebut dibuka semula sekurang-kurangnya dapat memulihkan pendapatan sebelum musim tengkujuh yang bakal berlaku pada penghujung tahun ini.
Mereka berharap Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara khususnya bagi kemudahan melawat dan berekreasi di kawasan itu seperti sebelum ini antara daya tarikan pelawat domestik dan pelancong antarabangsa.
Kira-kira 300 orang penggiat dan pengusaha yang sudah menerima suntikan vaksin yang lengkap dan berharap kerajaan segera membuka semula dan membenarkan kemasukan pengunjung ke situ seperti yang dijalankan kepada kemasukan pelancong ke pulau lagenda itu mulai minggu lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd. Rahman berkata, penggiat dan pengusaha di situ berharap kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan membuka semula Taman Negara untuk pengunjung domestik selari dengan kebenaran rentas daerah malahan penduduk di situ sudahpun mencapai imuniti kelompok.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman
“Harapan kami supaya kerajaan membuka taman ini memandangkan cuma sebulan sahaja lagi aktiviti ekopelancongan boleh beroperasi sebelum musim tengkujuh pada penghujung bulan Oktober hingga akhir tahun ini.
“Penduduk tempatan yang bergiat aktif di sektor ekopelancongan sebelum ini terjejas teruk setelah pelaksanaan Peraturan Kawalan pergerakan (PKP) bersilih ganti PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) sejak tahun lalu sangat berharap aktiviti pelancongan dihidupkan semula dengan kebenaran melawat kemudahan di hutan tropika Taman Negara,” katanya.
Katanya, JKKK dan persatuan pengusaha pelancongan di situ telah bersedia menerima pengunjung serta akan akur dan patuh dengan peraturan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan dan keselesaan pelawat ketika berkunjung ke sini dalam tempoh penguatkuasaan PKP.
Pengusaha pusat inap Greenland Guesthouse, Afzal Abd. Aziz berkata, dia juga menaruh harapan supaya gelombang pelancongan yang laksanakan oleh kerajaan diperluaskan kesemua pusat pelancongan di Pahang bukan hanya memfokuskan sebuah tempat sahaja.
Pengusaha pusat inap Greenland Guesthouse, Afzal Abd. Aziz
“Penggiat dan pengusaha di sini sudah menjadikan aktiviti pelancongan Taman Negara sebagai punca rezeki dan sewajarnya taman ini dibuka untuk kami memperoleh pendapatan dalam tempoh sebelum musim tengkujuh.
“Saya yakin sekiranya taman ini dibuka sudah tentu ramai pengunjung domestik dari daerah lain di negeri ini yang sudah melengkapi suntikan vaksin akan datang memenuhi pusat inap di sini di samping menyertai aktiviti rekreasi dan riadah seperti tahun-tahun sebelum ancaman pandemik Covid-19,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANDA ACEH: Pegawai polis syariah, Wilayatul Hisbah menahan lebih 30 orang kerana memakai pakaian ketat dan tidak menepati undang-undang agama.
Antara melaporkan, operasi dilakukan di depan pejabat Ketua Daerah Aceh Barat di Meulaboh.
“Lebih 30 orang yang ditangkap, semuanya memakai pakaian ketat, sementara yang lelaki pula memakai seluar pendek,” kata Ketua Jabatan Polis Wilayatul Hisbah Aceh Barat, Dodi Bima Saputra di Meulaboh semalam.
Menurut beliau, operasi dilakukan sebagai usaha meningkatkan syiar Islam serta menegakkan penerapan hukum agama di Aceh.
Jelasnya, ini bertepatan dengan Qanun (Peraturan Daerah) Nombor 6 Tahun 2014 mengenai Hukum Jinayat termasuk Undang-Undang Penerapan Syariat Islam di Aceh.
Beliau berkata, kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi itu merupakan penduduk di luar Aceh Barat.
“Mereka yang ditahan akan dibimbing petugas Wilayatul Hisbah dan diberi nasihat agar di masa depan tidak akan mengulangi perbuatan yang sama lagi.
gambar hiasan
“Buat masa ini, mereka yang ditahan akan diberikan panduan, mereka tidak akan dikenakan sebatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PASARAYA ECONSAVE JADI PUSAT PEMBERIAN VAKSIN DI PASAR RAYA PERTAMA DI MALAYSIA
JERANTUT: Pasaraya Econsave Jerantut akan menjadi Pusat Pemberian Outreach Vaksin (PPOV) di pasar raya yang pertama di Malaysia bakal diadakan pada 25 September ini.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut akan menjalankan pemberian vaksin di pusat membeli belah itu mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato’ Mohd Khairi berkata, pemberian vaksin itu terbuka kepada warga negara dan bukan warga negara yang berusia 18 tahun ke atas.
“Semua yang hadir perlu membawa kad pengenalan atau pasport ke Pasaraya Econsave Jerantut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
EMPAT DITANGKAP TIPU TAWAR PEKERJAAN SECARA ATAS TALIAN
BENTONG: Empat orang lelaki tempatan diberkas oleh pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kerana melakukan penipuan tawaran pekerjaan kepada orang ramai pada jam 12.00 tengahari, semalam.
Sindiket itu terbongkar setelah tertangkapnya empat suspek kerana melakukan penipuan tawaran pekerjaan pembelian atas talian menggunakan platform e-dagang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, anggota polis telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas empat lelaki tersebut berusia antara 20 hingga 29 tahun di sebuah apartment yang terletak dekat sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dengan pembelian secara atas talian yang beroperasi sejak awal bulan ini.
“Modus operandi suspek adalah menawarkan peluang pekerjaan sampingan “easy money” kepada orang awam untuk menjadi ejen pembelian dalam talian pelbagai platform pembelian secara atas talian.
“Suspek mengunakan laman sesawang Facebook (FB) untuk mengiklankan tawaran pekerjaan itu untuk perhatian orang awam,”katanya.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran pekerjaan itu akan menghubungi suspek melalui nombor telefon yang dipaparkan menggunakan aplikasi Whatsapp yang disediakan oleh suspek di ruangan iklan.
“Suspek juga akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan pekerjaan, bayaran pendahuluan perlu dibuat oleh mangsa dan akan dikembalikan bersama komisyen pembelian bergantung kepada jumlah bayaran mangsa.
“Setelah mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek, suspek akan menyekat nombor mangsa daripada menghubungi suspek semula,” katanya.
Zaiham berkata, semua yang ditangkap ditahan reman selama 2 hari bermula pada hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sekira disabitkan kesalahan, hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan.
“Orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sindiket tawaran pekerjaan yang sangat aktif ketika ini yang mengunakan platform media sosial,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!