Mayat dikhuatiri lemas di Jambatan Sri Damai, Sungai Belat ditemui
KUANTAN – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 18 Disember lalu di jambatan Sri Damai, Sungai belat, Kuantan dijumpai tersangkut pada tebing sungai itu, kira-kira jam 8.10 malam, semalam.
Mayat Mohd Firdaus Supiardi, 28 tahun, ditemukan oleh pihak bomba kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir disyaki hilang.
Mayat Mohd Firdaus Supiardi, 28 tahun, ditemukan oleh pihak bomba kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir disyaki hilang, kira-kira 8.10 malam, semalam
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya sebelum itu dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh orang awam yang mendakwa ternampak mayat terapung daripada jambatan Sungai Belat pada 7.20 malam.
Susulan itu, 10 pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi dan membawa naik mayat mangsa dengan mengunakan satu bot fiber.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan selanjutnya.
Pada 18 Disember lalu, Mohd Firdaus dari Jaya Gading dilaporkan dihanyutkan arus deras di jambatan Sungai Belat di Kampung Sri Damai, Kuantan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pekerja kontrak Hospital Lipis maut dirempuh kereta
LIPIS – Seorang remaja meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Lipis setelah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Datuk Mahmud (berhampiran Institut Pertanian Kuala Lipis), kira-kira jam 1.00 pagi, hari ini.
Remaja maut yang menunggang motosikal itu, Syed Muhammad Razin Syed Jafri berusia 19 tahun, seorang pekerja kontrak Hospital Lipis dan beralamat di Kuarters Institusi Pertanian, di sini.
Motosikal yang ditunggang oleh Syed Muhammad Razin Syed Jafri terbabit dalam kemalangan di Jalan Datuk Mahmud (berhampiran Institut Pertanian Kuala Lipis), kira-kira jam 1.00 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, motokar yang dipandu oleh remaja berusia 19 tahun dari arah Bandar Baru Kuala Lipis menghala balik ke rumahnya di Taman Pertama dekat sini dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu itu gagal mengawal motokarnya dan masuk ke laluan bertentangan dan berlaku rempuhan dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan di jalan berselekoh dan bergaris putih berkembar, ketika kejadian jalan raya basah dan gelap.
“Kesan kemalangan itu, motokar itu rosak teruk di bahagian hadapan, fender kiri dan kanan kemek dan lain-lain kerosakan belum pasti, manakala motosikal terbabit rosak teruk di bahagian depan,” katanya.
Katanya, pemandu motokar telah ditahan dan dihantar ke hospital untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing untuk menguji tahap alkohol dan dadah, manakala mayat remaja akan dibedah siasat selepas ujian Covid-19 diketahui.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kampung Bantal mula dinaiki air, amaran angin luruan monsun timur laut bermula
Foto atas: Air Sungai Tembeling mula naik dan melimpah ke atas tebing Kampung Bantal, mulai petang ini.
JERANTUT : Siren amaran pertama berbunyi memberikan peringatan kepada penduduk supaya berwaspada kerana banjir akan berlaku setelah air dua batang sungai utama naik mendadak pada jam 5.30 petang hari ini
Ramalan angin luruan monsun timur laut yang dilaporkan berlaku melibatkan negeri di pantai Timur dan Pahang menyaksikan kenaikan paras air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke kampung pada jam 6.45 petang hari ini sekali gus amaran awal berlaku semula banjir di daerah ini bermula di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Seorang penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rasid berkata, hujan lebat sejak dua hari lalu sehingga ke hari ini menyebabkan paras kenaikan air di hulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia begitu cepat dan arus mula deras yang membawa batang kayu, daun reba ranting dan sampah.
“Air sungai utama ini sudah melimpah paras tebing dan memasuki kawasan kedai kopi, kedai runcit, jeti bot penambang dan kediaman di pesisir sungai sejak jam 6. 45 petang tadi.
“Saya yakin sekiranya hujan berterusan air akan melimpah masuk lagi ke kawasan rumah dan pusat inap di sini dan bermakna musibah banjir berulang semula seperti kejadian yang bermula pada 17 Disember 2021,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling dekat sini.
Zaimi Abdullah berkata, baharu sahaja air surut empat hari lalu, tiba-tiba air sungai melimpah semula berikutan hujan lebat sejak kelmarin.
“Namun, penduduk di sini sudah kerap mengalami suasana ini dan sudah bersedia sekiranya kemungkinan berlaku banjir semula ataupun keadaan yang sama sebelum ini.
Katanya, penduduk di situ berharap hujan tidak berterusan walaupun amaran angin monsun luruan bermula pada 28 Disember 2021 hingga 3 Januari tahun depan kerana penduduk tidak dapat bekerja di samping persiapan persekolahan tidak lama lagi.
Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut akan mula beroperasi secara menyeluruh mulai 31 Disember, jam 12.01 pagi untuk menghadapi segala kemungkinan banjir berdasarkan ramalan cuaca semasa.
Orang ramai perlu peka dengan keadaan sekeliling kawasan masing-masing terutama kawasan yang sring dilanda banjir dan mudah dinaiki air.
Hubungi pejabat PKOB di talian 09-2608812 dan 09-2608679
Orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jerantut di talian 09-2608812 dan 09-2608679.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
538 menara pemancar SKMM telekomunikasi dipulihkan daripada terjejas banjir
Foto atas: Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff (belakang, kanan) sedang melihat kerja membaikpulih struktur pemancar telekomunikasi di sebuah kawasan di Pekan, hari ini.
PEKAN – Sebanyak 538 atau 94 peratus menara pemancar yang rosak telahpun berjaya diaktifkan semula oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama kerajaan negeri serta syarikat telekomunikasi berkaitan.
Sebanyak 571 struktur menara pemancar yang dikendalikan oleh enam syarikat telekomunikasi dilaporkan terjejas berikutan ditenggelami banjir di Pahang minggu lepas turut mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga ini sebanyak 538 atau 94 peratus daripada jumlah yang rosak telahpun berjaya diaktifkan.
“Ketika banjir, TNB terpaksa memutuskan sementara bekalan elektrik sehinggalah air surut dan kerja membaiki kerosakan baharu dapat dilaksanakan segera, manakala syarikat telekomunikasi berkenaan membekalkan generator sebagai bekalan tenaga elektrik ketika kerja membaik pulih struktur menara pemancar di lokasi yang ditenggelami banjir.
“Syarikat telekomunikasi mengambil tindakan dengan pantas menggantikan peralatan elektronik yang rosak dengan bantuan generator untuk mengaktifkan talian bagi kemudahan penduduk,” katanya ketika melawat kerja membaik pulih sebuah menara telekomunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SKMM Pahang, Mohd Faisal Md Nor.
Menurut Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar berkata, SKMM dibantu syarikat pembekal talian telekomuniaksi di negeri ini sedang berusaha membaik pulih struktur pemancar yang lain dan dijangka siap dalam dalam masa terdekat.
“Kesukaran kerja membaikpulih serta mengaktifkan pemancar berkenaan berikutan kedudukan lokasi yang berbukit, hutan dan berlumpur terpaksa ditempuhi oleh petugas SKMM, TNB dan syarikat pembekal berkenaan,” katanya.
Beliau selanjutnya berkata, kerajaan negeri memahami masalah yang ditempuh oleh kakitangan SKMM, TNB, Syarikat Telco dan pejabat daerah yang bekerja hingga lewat malam malah berdepan dengan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan bagi mengaktifkan semula talian jalur lebar untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.
“Kerajaan negeri amat berterima kasih dengan usaha yang komited petugas berkenaan sejak selepas air surut bagi memastikan struktur menara telekomuniasi dapat diaktifkan sekaii gus talian internet berfungsi dengan baik untuk kemudahan pengguna.
“Saya berharap penduduk di lokasi yang masih mengalami gangguan perhubungan talian termasuk internet supaya bersabar sementara waktu dan memahami usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Pahang, SKMM dan syarikat telekomunikasi berkenaan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut beroperasi 24 jam
JERANTUT – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut akan mula beroperasi secara menyeluruh mulai 31 Disember, jam 12.01 pagi untuk menghadapi segala kemungkinan banjir berdasarkan ramalan cuaca semasa.
Orang ramai perlu peka dengan keadaan sekeliling kawasan masing-masing terutama kawasan yang sring dilanda banjir dan mudah dinaiki air.
Orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jerantut di talian 09-2608812 dan 09-2608679.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tular MB lambai hanya tangan kepada mangsa banjir adalah tidak benar
Foto atas: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri sekali) bersama Adun Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah bersama bergotong royong membersihkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar yang dilanda banjir, baru-baru ini
JERANTUT – Ketua UMNO Cawangan Jengka 24 terkejut dan merasa kecewa berkaitan laporan yang disairkan oleh sebuah portal yang bersifat fitnah dan provokasi terhadap Menteri Besar Pahang didakwa hanya lalu sambil melambaikan tangan kepada mangsa banjir.
Razak Daud yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut berkata, berita itu sangat bercangah dengan apa yang sebenar dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini.
Ketua UMNO Cawangan Jengka 24 , Razak Daud
“Beliau sendiri telah turun padang membersih kawasan yang dilawati di tempat banjir terbabit, selain itu beliau (MB) turut mengeluarkan peruntukan untuk mangsa banjir yang terjejas bagi meringankan beban.
“Sebenarnya persediaan awal telah dilakukan oleh pihak Kerajaan negeri bagi menghadapi banjir dari segi peruntukan dan kesiapsiagaan namun perlu juga difikirkan dengan rasional cabaran lokaliti yang luas dan berskala banjir yang berlaku agak luar biasa terutama di kawasan yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir seperti di Mentakab dan Bentong,” katanya.
Katanya, kebebasan bersuara yang dicanangkan oleh portal itu sebagai isu sejagat perlu direnung kembali dengan teliti oleh rakyat terutama golongan muda yang menjadikan media sosial sebagai sumber rujukan.
“Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut mengiringi Datuk MB sempena lawatan ke tempat-tempat yang terjejas banjir di sekitar daerah Jerantut.
Wan Rosdy turut turun padang membersihkan kawasan yang dilanda banjir, baru-baru ini
“Datuk MB turut serta bergotong- royong pasca banjir membersihkan sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dan turut mencadangkan SMK Pulau Tawar yang sering dilanda banjir dipindahkan ke tempat selamat dan cadangan tapak telah disediakan,”katanya.
Razak berharap, orang ramai sewajarnya meneliti portal yang menyiarkan berita seperti itu samada benar atau tidak kerana berita palius boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri Pahang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Perubahan jalur lebar 4G, penduduk luar bandar terkesan tukar peranti dan liputan meluas
LIPIS – Penamatan rangkaian 3G di negara ini sepenuhnya pada akhir 2021 sebagai satu usaha ke arah peningkatan liputan jalur lebar yang lebih komprehensif dan berkualiti tinggi di bawah infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Sebilangan besar penduduk khususnya di bandar sangat gembira dengan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mempersiapkan negara ke arah peralihan teknologi 5G.
Namun, penduduk atau pelanggan luar bandar masih berdepan dengan kesukaran seperti alat peranti yang masih menggunakan rangkaian 3G di samping kebanyakan lokasi pedalaman masih sukar diakses internet.
Ketua Kampung Chegar Perah, Lipis, Ahmad Awang Derani berkata, perubahan rangkaian itu akan memberikan manfaat kepada semua pihak dengan peningkatan kapasiti, kelajuan dan liputan jalur lebar.
Ketua Kampung Chegar Perah, Lipis, Ahmad Awang Derani berkata, perubahan rangkaian itu akan memberikan manfaat kepada semua pihak dengan peningkatan kapasiti, kelajuan dan liputan jalur lebar.
“Negara ini sudah memasuki pemulihan sektor ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan memberikan banyak manfaat apabila beralih kepada liputan 4G dapat memperceptkan urusan masing-masing dalam bidang usahawan dan perniagaan.
“Cuma kemungkinan kebanyakan penduduk luar bandar masih menggunakan alat peranti dalam rangkaian 3G yang tidak dapat ditukar kepada liputan 4G sekali gus memerlukan (peranti) yang baharu serta mampu menyokong fungsi atau liputan 4G,” katanya ketika dihubungi di Kampung Chegar Perah dekat sini hari ini.
Rakannya, Ketua Kampung Tanjung Buloh, Lipis, Najid Abu pula menyokong peralihan tersebut yang dianggap signifikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dari segi pengalaman yang lebih baik ketika melayari internet menerusi kelajuan jalur lebat 4G.
Ketua Kampung Tanjung Buloh, Lipis, Najid Abu pula menyokong peralihan tersebut yang dianggap signifikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dari segi pengalaman yang lebih baik ketika melayari internet menerusi kelajuan jalur lebat 4G.
“Namun ada sesetengah kawasan di luar bandar dan pedalaman masih lagi belum ada capaian internet yang sempurna misalnya di kampung saya sendiri ada sesetengah lokasi masih belum boleh diakses dengan talian internet dan telefon,” katanya.
Selanjutnya Najid menambah usaha SKMM menerusi Jendela meningkatkan liputan 4G dan kapasiti untuk memasuki asas liputan 5G merupakan langkah terbaik kerajaan, tetapi kesan akan timbul kepada penduduk golongan B40 dan miskin yang menggunakan alat peranti yang kurang canggih.
Bagi Ketua Kampung Kuala Sat, Jerantut, Abdul Jabar Dollah berkata, penduduk luar bandar dan pedalaman masih keliru dengan peralihan liputan tersebut, tetapi dia berpandangan amat baik bagi negara sudah melangkah ke bidang teknologi komunikasi yang lebih tinggi serta peralatan yang canggih.
“Apapun terkesan juga bagi penduduk di luar bandar yang menggunakan alat peranti 3G yang murah memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan peralatan yang baharu dan canggih yang boleh mengakses maklumat menerusi liputan 4G.
“Bagi pandangan saya, peralihan jalur lebar 4G memberikan kemudahan pembangunan sektor ekopelancongan dan pasaran makanan tempatan menerusi pusat internet sekiranya direalisasikan sepenuhnya pada 2022,” katanya di Kampung Kuala Sat, dekat sini.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Kadirun dari KRT Bandar Jerantut siap sedia bergabung dengan NGO di Mentakab membawa alatan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Taman Mentakab Indah
JERANTUT – Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jerantut bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Mentakab berkongsi rezeki dengan menghulur sumbangan berupa barangan kegunaan harian kepada mangsa banjir di Taman Mentakab Indah, semalam.
Wakil KRT Bandar Jerantut, Kadirun Mat Yatim berkata, dia mewakili KRT bersama NGO Mentakab telah mengagihkan set pinggan mangkuk dan cawan untuk kegunaan mangsa terjejas.
Antara NGO di Mentakab membawa sumbangan kepada mangsa di Taman Mentakab Indah, semalam
“Kebanyakan rumah mangsa di sini habis rosak kerana paras air banjir sehingga bumbung rumah dan banyak barangan dihanyutkan dan rosak.
“Kebanyakan mereka di kawasan ini amat memerlukan bantuan peralatan rumah untuk digunakan kerana sumbangan makanan sudah mencukupi,”katanya.
Katanya dia bersama KRT Bandar terpanggil untuk menghulur bantuan set pinggan mangkuk dan cawan kerana mangsa amat memerlukannya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kayu berselerakan pasca banjir hanya sampah sarap, bukan pembalakan – JPNP
KUANTAN – Kayu yang berselerakan bukan kayu balak daripada kegiatan pembalakan sebaliknya hanya sampah sarap selepas dihanyutkan air deras semasa banjir yang berlaku di Hutan Simpan (HS) Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong, baru-baru ini.
Hasil pemantauan melalui udara menggunakan dron mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah atau haram di hutan itu.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerusi kenyataan malam ini, memaklumkan semakan di kedua-dua lokasi mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan menerusi media sosial, merupakan sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lepas.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Sr Mohd Hizamri Mohd Yassin (kiri) meninjau kawasan kejadian di jambatan Sri Telemong.
“Semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu bermula di HS Lentang akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember hingga banjir besar di Bentong pada 18 Disember lepas.
“Ini turut disokong data taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong dengan mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Disember serta dikategorikan sebagai sangat lebat mengakibatkan ribuan batang kayu hanyut berikutan banjir deras kuat yang melanda Karak,” melalui kenyataan itu.
Menurut JPNP, semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam HS Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa sampah sarap terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai-sungai tersebut.
“Melalui semakan itu di lapangan turut menemukan pelbagai sisa batang pokok dan kayu terdiri daripada pelbagai spesies antaranya pokok hutan, durian, getah dan kelapa sawit yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa sampah sarap dari kawasan luar HS Lentang.
“Kejadian kepala air di dua lokasi itu, menurut JPNP, tiada kena mengena dengan aktiviti pembalakan di tanah kerajaan Sungai Gapoi seperti dakwaan sesetengah pihak kerana jaraknya adalah sejauh 16 kilometer (km) dari Jambatan Telemong dan 23 km dari jalan Bentong-Karak,” melalui kenyataan itu.
JPNP juga memaklumkan bahawa HS Lentang telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sejak 2002 menyebabkan tiada aktiviti pembalakan dibenarkan selain kawasan seluas 30 hektar dalam hutan itu telah dijadikan sebagai petak Hutan Pemuliharaan Bernilai Tinggi (HCVF) pada 2012 yang bermaksud kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
Berhubung sisa kayu itu, JPNP berkata, tindakan lanjut akan dilakukan bagi memastikan sisa itu dialihkan segera dan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 selain tinjauan lanjut menggunakan helikopter akan dibuat pada awal Januari bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air dalam HS Lentang.
JPNP juga mencadangkan kawasan tanah kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan HS Lentang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Seksyen 10 APN 1984 supaya kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di masa hadapan.
Selain itu, JPNP juga menyarankan pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlaku hakisan lebih serius.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Anggota ATM kekal berada di tahap tertinggi hadapi banjir
MENTAKAB – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan dengan kesan banjir diminta jangan bimbang soal bantuan dan hanya memerlukan kekuatan semangat, menjaga diri dan sentiasa menjaga kesihatan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamumuddin Tun Hussein berkata, semua bantuan akan disalurkan secepat mungkin kepada 104 keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tinggal di Kuarters Kem Batu Tiga, Mentakab, di sini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamumuddin Tun Hussein menyerahkan sumbangan kepada anggota ATM yang terkesan musibah banjir di Mentakab.
Katanya, pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) juga akan mendapatkan kediaman sementara untuk disewa di lokasi bebas banjir kepada 30 keluarga yang teruk terjejas dengan musibah banjir di dalam kem itu.
“Pihaknya juga akan menyalurkan bantuan awal berbentuk wang tunai RM500 kepada setiap keluarga selain peruntukan tambahan sebagai langkah persediaan sekiranya kem ini dilanda banjir gelombang kedua.
“Jangan bimbang soal bantuan hanya kuatkan semangat, jaga diri, dan jaga kesihatan,” nasihatnya semasa melakukan lawatan mangsa banjir di Kem Batu Tiga, di Temerloh Pahang, hari ini.
Selain itu, mangsa banjir di kem itu turut menerima bakul makanan serta kelengkapan asas rumah seperti peti ais, mesin basuh, periuk nasi, cerek, dapur, katil, tilam, selimut, cadar, dan bantal
Sementara itu, Pihak MINDEF juga turut menyumbang RM10,000 bagi membaikpulih kerosakan Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kem itu akibat banjir.
Pihaknya akan mengumumkan bantuan tambahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), awam MINDEF, dan vateran ATM yang terjejas banjir di seluruh negara dari masa ke masa.
Turut hadir , Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dalam sesi taklimat dan lawatan ke Kem Batu Tiga, Mentakab.
“Operasi ATM di kawasan banjir yang masih belum surut supaya kekal berada di tahap tertinggi dan bagi kawasan yang telah surut, anggota akan ditambah bagi memastikan kerja pembersihan dapat selesai dengan cepat,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!