RUMAH ANAK YATIM, NGO DI PENDANG TERIMA SUMBANGAN RM155,000.00
Foto atas : Datuk Awang Hashim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada pengurusan Rayas.
PENDANG – Prihatin dengan keperluan semasa dan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat, RM155,000 telah disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Amal Solehah (RAYAS), Pendang dan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Pendang.
Bantuan kewangan khas tersebut disumbangkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.
Datuk Awang berharap, sumbangan ini dapat membantu RAYAS dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan tersebut dalam menganjurkan program yang dapat membangunkan modal insan yang terbaik kepada masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Rumah Anak Yatim Amal Solehah (RAYAS) di Pendang.
Datuk Awang turut mengingatkan anak-anak yatim di rumah berkenaan supaya tidak menjadikan situasi yang dilalui ketika ini sebagai penghalang untuk berjaya.
Sebaliknya, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh agar dapat melakar masa depan yang lebih cerah.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kewajaran pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sedangkan kos pelekat itu di bawah RM1 sekeping.
Najib turut mempersoalkan sama ada syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID atau sebaliknya
“Kos sticker (pelekat) RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?, adakah syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?
“Syarikat Touch ‘n Go dimiliki bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerika Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof mengarahkan PLUS mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi RFID.
PLUS mengumumkan peralihan kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula Sabtu lalu.
Namun sepanjang tempoh berkenaan sehingga hari ini, masih ada pengguna yang menggunakan pelekat RFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.
Mengulas lanjut, Najib berkata pelekat RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch N Go kerana kosnya rendah.
“Pada ingatan saya, sticker RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch N Go sebab kosnya rendah dan ia memang percuma dari tahun 2018 hingga Feb 2020. Bermula 15 Feb 2020, ia dijual pada harga RM35 sekeping pula,” tulis Najib.
Dalam satu lagi hantaran berasingan di Facebook, Najib berkata CIMB telah memperolehi keuntungan tambahan sebanyak RM1.16 bilion pada tahun lepas akibat kenaikan nilai syarikat Touch N Go.
‘Jadi, sebab apa masih mahu jual sticker RFID yang kosnya kurang dari seringgit pada harga RM35 sekeping?. Jika tidak mahu beri percuma lagi, turunkanlah harganya ke RM5,’ katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata fokus firma berkenaan sepatutnya pada perniagaan teras iaitu e-wallet atau e-dompet dan bukan melalui keuntungan melampau melalui penjualan pelekat tersebut.
“Jangan jaga kepentingan bank-bank besar sahaja sehingga membebankan rakyat biasa.”-SAHIH.
SUMBER – Malaysiakini
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penduduk abadikan nama tokoh tempatan pada jalan di Kampung Sungai Damar
LIPIS – Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Damar, Padang Tengku dekat sini menjadikan nama setiap jalan di kampung itu menggunakan nama tokoh penduduk kampung tersebut sebagai mengenang jasa mereka sebelum ini.
Pada peringkat awal, JKKK di situ telah memilih seramai 11 orang tokoh yang terkenal dalam bidang agama, pendidikan, pentadbir dan politik serta tokoh yang sudah meninggal dunia untuk dikenang semula dengan meletakkan nama pada beberapa jalan di kampung Sungai Damar.
Pengerusi JKKK Sungai Damar, Idzhar Ghazali, 61, berkata, hasrat berkenaan timbul setelah melihat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lipis dan Kuantan serta beberapa bandar lain di Pahang mengabadikan tokoh pada kebanyakan jalan atau lorong di bandar tersebut.
Pengerusi JKKK Sungai Damar, Idzhar Ghazali
“Projek penamaan nama jalan bermula pada penghujung tahun lalu dengan kos penyelenggaraan membina papan tanda telah dibantu oleh wakil rakyat Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang juga penduduk tetap kampung ini.
“Kita memperoleh nama tokoh berkenaan menerusi pengetahuan sejarah daripada wakil rakyat kawasan ini (Mustapa Long) termasuk maklumat serta mendapat keizinan daripada ahli keluarga tokoh berkaitan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Damar, dekat sini hari ini.
Katanya, nama tokoh kampung itu yang dilabelkan pada papan tanda jalan yang bertulisan rumi dan jawi di setiap muka lorong, seperti Jalan Tok Empat Salleh Kari, Jalan Tok 4 Haji Abu Bakar Mat, Jalan Abu Bakar Awang, Jalan Khatib Haji Long dan Jalan Imam Sani Saad.
ANtara nama tokoh kampung tersebut diabadikan namanya di sebatang jalan di Kampung Sungai Damar.
“Selain itu, turut diletakkan tokoh lain, itu Jalan Imam Awang, Jalan Mukim Teh Salleh, Jalan Cikgu Awang Mohd. Noor, Jalan Imam Mat Yassin Mat Ali, Jalan Bilal Mat Diah dan Jalan Zulkifli Muhamad.
“JKKK di sini akan meneruskan projek menamakan jalan di kampung ini berasaskan permintaan keluarga tokoh yang dikenali di Lipis yang lahir di sini sebagai menzahirkan nilai sejarah dan mengenang jasa penduduk Sungai Damar dan daerah ini,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, idea JKKK Sungai Damar wajar dipuji kerana mengambil nama tokoh kampung yang pernah berjaya dan berjuang dalam bidang agama, pendidikan, sosial dan politik sejak era penjajahan Jepun dan British.
JKKK memilih seramai 11 orang tokoh yang terkenal dalam bidang agama, pendidikan, pentadbir dan politik serta tokoh yang sudah meninggal dunia untuk dikenang semula dengan meletakkan nama pada beberapa jalan di kampung Sungai Damar.
“Usaha menamakan jalan di sini dengan tokoh tertentu juga menampilkan nilai sejarah untuk tatapan serta menjadi teladan generasi hari ini dan pada masa akan datang khususnya legasi perjuangan dalam bidang masing-masing.
“Projek ini juga mempamerkan keceriaan penempatan tradisional Melayu Lipis di Kampung Sungai Damar dan beberapa kampung berdekatan sekali gus menjadi tarikan orang luar menerusi sejarah tokoh berkenaan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Satu maut dan empat kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 18 , Jalan Lipis-Benta pada jam 7.39 pagi, hari ini.
ANtara kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di KM 18 , Jalan Lipis-Benta pada jam 7.39 pagi, hari ini. -Foto PDRM
Pemandu motokar Perodua Axia, Nik Mohd Yusri Raja Abdullah, berusia 27 tahun maut di tempat kejadian, manakala kakaknya berusia 32 tahun yang berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kenderaan yang dipandu Nik Mohd Yusri yang datang dari arah bandar Lipis menghala ke Benta , tiba di lokasi telah cuba memotong kenderaan lain di hadapannya tetapi gagal.
“Akibat kegagalan memotong, motokar Perodua Axia itu melanggar tayar belakang Proton Saga yang datang dari arah bertentangan seterusnya turut membabitkan dua buah motokar jenis Proton Persona yang dari arah sama.
“Nik Mohd Yusri meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian dalaman badan, manakala penumpang Perodua Axia dan pemandu serta penumpang Proton Saga masih dalam rawatan di Hospital Lipis,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Dua daripada 4 kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu
Katanya, lokasi kemalangan di kawasan jalan lurus, berturap, bahu jalan berturap dan terdapat garisan tengah berkembar sebagai pembahagi lorong dan jalan sibuk dengan kenderaan serta cuaca baik.
Mayat pemandu yang maut akan menjalani post-mortem pada jam 5.00 petang ini selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. Pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.
Semua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan, bumper depan pecah, cermin depan pecah, cermin sisi sebelah kanan pecah, fender sebelah kanan kemek. Motokar jenis Proton Saga tercabut roda belakang sebelah kanan.
Kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin turut meninjau tangki penyimpanan air daripada telaga tiub di Felda Sungai Retang, hari ini
JERANTUT – Sebanyak 32 buah telaga tiub telah dibina dan menelan belanja sebanyak RM 2 juta yang diperuntukkan dari dana Tabung Wakaf Air bagi menyelesaikan masalah air seluruh negara termsauk Sabah dan Sarawak, tahun ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini, 20 buah telaga itu sudah boleh digunakan dan 12 lagi sudah diserahkan kepada jawatankuasa dan wakil penduduk dan bakal dimanfaat oleh penduduk.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man lawatan tapak dan penyerahan projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang, di sini, hari ini.
“Tahun ini melalui mesyuarat jawatankuasa kami telah memutuskan untuk membelanjakan kira-kira RM2 juta dari jumlah dana terkumpul iaitu sebanyak kira-kira RM3 juta hasil sumbangan orang ramai.
“Melalui usaha ini, kawasan-kawasan pedalaman yang di luar capaian rangkaian paip air terawat dan kawasan yang kerap menghadapi masalah bekalan air dapat dibekalkan melalui sumber air alternatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu lawatan tapak dan penyerahan projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang, di sini, hari ini.
Katanya, Tabung Wakaf Air telah dilancarkan pada 17 Disember 2020 merupakan inisiatif KASA melalui kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.
Katanya, sumbangan wakaf ini boleh disalurkan menerusi sistem Wakaf Tunai yang boleh dicapai melalui pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air.
Sementara itu, penduduk Felda Sungai Retang yang kerap terputus bekalan air, Mat Diah Nasir berkata, dengan adanya telaga tiub sedalam kira-kira 52 meter (170 kaki) bakal menyelesaikan masalah bekalan air yang kerap berlaku ketika musim perayaan, cuti sekolah dan musim kemarau.
“Kawasan perumahan di Jalan Temelian dan Jalan Jengkuar di sini terletak agak tinggi dan menghadapi tekanan air rendah dan kerap gagal sampai ke rumah-rumah.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan yang cakna dengan masalah bekalan air yang sering kami hadapi dengan telaga tiub yang ada ini bakal memberi kemudahan,” katanya.
Seorang lagi penduduk di Jalan Temelian, Maznah Hassan berkata, masalah bekalan air kerap terputus telah dialami lebih sepuluh tahun terutama di musim perayaan
“Pada ketika ini, penggunaan air sangat tinggi apabila ramai ahli keluarga masing-masing balik ke kampung, aliran air akan ‘lemah’ bila ke kawasan tinggi seperti kawasan rumah kami.
Terdapat penduduk meletakkan tangki besar untuk menyimpan air ketika ahli keluarga ramai pulan ke kampung
“Sebab itu, ada rumah di jalan ini meletakkan tangki besar untuk menyimpan air ketika ahli keluarga ramai,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sisa kayu di Telemong akan dibersihkan – Tuan Ibrahim Tuan Man
Foto atas : Kejadian banjir lumpur dan kepala air di Telemong, baru-baru ini
JERANTUT – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), akan memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Hutan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk segera membersih sampah dan sisa kayu di kawasan Telemong, Bentong yang dilanda banjir lumpur dan kepala air baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan memohon kerjasama agensi terbabit untuk segera membersih sampah dan sisa kayu di kawasan Telemong, Bentong yang dilanda banjir lumpur dan kepala air di situ.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Katanya, ketika ini tumpuan lebih mengutama terhadap proses pembersihan rumah dan kawasan kediaman serta kawasan kebun bagi memberi keselesaan kepada penduduk dan pekebun untuk menjalankan aktiviti pertanian.
“Kita akui banjir baru-baru ini telah meninggalkan sampah sarap di sekitar kawasan perumahan dan kampung serta menganggu saliran sungai yang dipenuhi sisa-sisa kayu yang menghalang aliran air.
“Kita lebih memberi keutamaan kepada penduduk yang terkesan dengan musibah banjir seperti pembersihan rumah mangsa dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan penduduk berkaitan sisa-sisa kayu masih belum dibersihkan selepas lebih tiga minggu kejadian itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja dan merasmikan Projek Wakaf Air di sini, di Felda Sungai Retang, hari ini.
Turut hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Tahan Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin.
Katanya, selain membersihkan rumah penduduk dan cuba berusaha menyelesaikan dahulu masalah air yang masih bergenangan (bertahan) di beberapa kawasan tertentu.
“Kita akan menghantar pam-pam untuk mengalirkan keluar air terutamanya membabitkan kawasan perumahan dan ladang penduduk yang masih digenangi air kerana jika air tidak dipam keluar keadaan penduduk masih tidak selesa dan pekebun tidak dapat mengusahakan ladang mereka.
“Setelah semua masalah berkaitan penduduk dan penempatan dan kawasan kebun selesai, barulah tumpuan diberi kepada masalah sampah dan sisa kayu di kawasan Telemong dengan dengan segera,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Remaja Orang Asli maut dirempuh bas ekspres dari belakang
Foto atas: Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Sungai Koyan – Raub berdekatan Simpang Tiga, Pos Sinderut di Sungai Koyan, Lipis pada jam 3.25 petang, hari ini.
LIPIS : Seorang remaja Orang Asli berusia 18 tahun yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya apabila dirempuh sebuah bas ekspres daripada belakang di Kilometer 10, Jalan Sungai Koyan – Raub berdekatan Simpang Tiga, Pos Sinderut di Sungai Koyan, Lipis, pada jam 3.25 petang,hari ini.
Mangsa, Myhkel a/l Sali, maut di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak, John A/L Kamaruddin, 11, yang membonceng motosikal itu terselamat.
Manakala pemandu bas ekspres Scania, berusia 36 tahun dan pembantunya, 27, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa bas berkenaan yang membawa 17 orang penumpang dari Kelantan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari arah pekan Sungai Koyan menuju ke Raub.
“Tiba di lokasi kejadian, pemandu bas telah gagal mengawal kenderaan itu lalu melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggangi Myhkel dan pemboncang ketika dalam perjalanan daripada pekan Sungai Koyan untuk memasuki simpang 3 ke Pos Sinderut.
“Myhkel mengalami kecederaan parah di dada dan kepala lalu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng, John telah dikejarkan dikejarkan ke Hospital Lipis dan masih lagi menerima rawatan lanjut di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, selepas kejadian itu, polis menahan pemandu bas dan sampel darah diambil untuk menguji tahap alkohol di dalam badan dan hasil saringan air kencing didapati negatif.
“Bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas ujian saringan Covid-19 dan kedua buah kenderaan ini akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan,” ujarnya.
Katanya, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk, manakala bas ekspres cuma rosak di bahagian bumper dan cermin. Kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Khairuddin gugur jawatan AJK Pas tiada kaitan dengan Muafakat Nasional
Foto atas: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika melakukan lawatan kerja Projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang, hari ini.
JERANTUT – Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, kurang dua bulan selepas dilantik memegang jawatan itu tidak membawa sebarang kesan dalaman parti tersebut.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Khairuddin bukan calon yang menang dalam Pemilihan Pas dan hanya dicalonkan untuk mengisi kekosongan jawatankuasa yang dilantik.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
“Tiada membawa sebarang kesan kerana penyokong parti di peringkat akar umbi perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Dalam mesyuarat kedua yang dipengerusikan oleh presiden parti, namanya (Khairuddin) digugurkan dan digantikan nama lain yang dipersetujui bersama jawatankuasa.
“Oleh itu tiada isu besar yang berbangkit yang boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam lawatan kerja Projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang, hari ini.
Katanya, pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu diputuskan pada mesyuarat PAS yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Walaupun Dr.Khairuddin mempunyai prestasi yang baik ketika menjawat jawatan menteri tetapi disiplin tetap menjadi keutamaan dalam parti.
“Pengguguran mana-mana tokoh parti dan pemimpin adalah perkara biasa dalam PAS berdasarkan pelbagai faktor,” katanya.
Beliau mengakui pengguguran Dr.Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mempunyai alasan tertentu setelah mengambil kira pandangan jawatankuasa disiplin.
PAS sangat tegas dalam pematuhan disiplin di mana siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat.
“Namun, Dr. Khairuddin akan diberi tugas lain dalam parti khususnya dalam portfolio ekonomi sesuai dengan kepakarannya dalam bidang itu.
“Selain itu, pengguguran Khairuddin tidak langsung kaitan dengan Muafakat Nasional ( MN) yang dipengerusikannya bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Polis menasihat orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat modus operandi penipuan bentuk baharu yang dinamakan sebagai “Sim Swap”.
Selain itu pengguna jangan memuat turun aplikasi itu yang membolehkan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata mesej mengenai kewujudan modus operandi baharu itu dikenal pasti pihaknya menerusi sebaran informasi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Menurutnya, mesej itu adalah palsu dan setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan.
“Menerusi mesej itu, mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu sebelum telefon digodam serta diambil alih penjenayah bagi memindahkan semua wang mangsa ke akaun lain.
“Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya,” katanya.
Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat.-SAHIH.
SUMBER -Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Remaja 19 tahun yang terbabit dengan mencuri tabung masjid baru-baru ini dicadang untuk melantiknya sebagai petugas Masjid Al-Islahiah,Kuang.
Pengurusan Masjid itu, berhasrat untuk membantu remaja lelaki yang ditangkap itu sebagai membantu dia mempunyai pendapatan sendiri untuk membantu keluarganya.
Nazir masjid berkenaan, Supandi Samin berkata, cadangan melantik remaja berkenaan, Daniel Iskandar Mohd. Nasir, 19, sebagai petugas pembersihan masjid tersebut.
“Pengurusan masjid terfikir hendak jadikan dia petugas masjid, kita ada dewan mengaji di sini dan suruh dia jaga.
“Bagaimanapun kita dimaklumkan ada pihak mahu membantunya menyambung pelajaran. Jadi kita lihat dulu bagaimana keadaan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Supandi berkata, pengurusan Masjid Al-Islahiah tidak pernah berniat buruk terhadap remaja itu dan kejadian ‘mandi jenazah’ dialami Daniel Iskandar berlaku di luar kawalan.
Menurut beliau, remaja itu diserahkan kepada pihak polis juga atas permintaan datuk remaja itu yang mahu peristiwa tersebut menjadi pengajaran terhadap cucunya.
Jelas beliau, selepas remaja berkenaan ditahan oleh anggota ‘Kuang Krew’ dan rukun tetangga Ahad lalu, dia telah dibawa ke masjid tersebut untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, sementara menunggu datuk remaja itu tiba, beberapa ahli kariah masjid memandikan remaja itu di bilik jenazah yang menjadi tempat tabung itu disorokkan.
“Saya dimaklumkan mereka mandikan ‘budak’ itu untuk segarkan dia sebab dia dalam keadaan khayal.
“Kita sebenarnya tidak berhasrat menyerahkan remaja itu kepada polis, sebaliknya serahkan kepada datuknya tetapi datuknya yang mahu dia diserahkan kepada polis,” katanya.
Sebelum itu remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ dihukum penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!