Foto atas : Pertandingan basikal berhias mencuit perhatian ramai pada program berkenaan.
WALAUPUN tinggal di pedalaman atau kampung terpencil bukan alasan bagi penduduknya untuk tidak sama-sama menikmati sebuah kemerdekaan dengan penuh kedamaian serta keamanan dan seterusnya dapat diwarisi pula kepada anak-anak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Tangkak, Johor, Sahrihan Jani, berkata negara pernah dijajah dan menghadapi pelbagai cabaran serta ancaman seperti kegawatan ekonomi di samping politik, namun rakyat seharusnya dapat bersatu untuk berganding bahu bersama pemimpin bagi menghadapi masalah.
Senamrobik disertai pelbagai peringkat umur peserta mendapat sambutan ramai.
“Dengan cara sebegini sahaja kita mampu menghadapi pelbagai cabaran itu dengan jaya tanpa membezakan fahaman politik yang dipegang demi kesejahteraan hidup pada masa depan dengan lebih cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Program Sahabat Komuniti Desa (SKoD), KEMAS Daerah Tangkak bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sawah Ring, Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.
Sahrihan turut mengucapkan tahniah kepada semua masyarakat setempat khusus penduduk Kampung Sawah Ring yang sentiasa memberi kerjasama baik dalam setiap program kemasyarakatan yang diadakan dan beliau pula sering menghadiri aktiviti yang diadakan itu.
“Amat membanggakan Kampung Sawah Ring sudah menempa pelbagai kejayaan dan yang terbaharu apabila terbabit dengan pameran pada MAHA Serdang, Selangor baru-baru ini,” ujar beliau pada majlis yang turut dihadiri Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Mohamad dan Ketua Kampung Sawah Ring, Minhad Saidon.
Objektif Bulan Kemerdekaan dan SkoD diadakan itu adalah bagi menyemai semangat cintakan negara dan patriotisme, mewujudkan persekitaran kampung dalam suasana ceria pada Bulan Kemerdekaan, dan membina semangat perpaduan dan kekitaan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Sempena program berkenaan ahli jawatankuasa terbabit menyusun pelbagai aktiviti untuk disertai penduduk termasuklah senamrobik, pertandingan basikal berhias, mewarna kanak-kanak, sepak raga bulatan, dart, bowling padang, gubahan lipatan tuala, memasak kuih lapis dan gotong royong memasang bendera.
Program itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, Negaraku, lagu patriotik seperti Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan Tanggal 31.
Sementara itu, Zamri Mohamad ketika berucap berkata, SKoD merupakan satu program di bawah penyelarasan Jabatan KEMAS dan dilaksanakan di 182 kawasan Parlimen luar bandar bermula 2022 yang berperanan seperti rukun tetangga dengan fokus kepada komuniti luar bandar.
Menurutnya, jawatankuasa SKoD akan berperanan sebagai barisan hadapan ketika berlaku bencana seperti banjir dan sebagainya, manakala programnya seperti aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.
Jelasnya, selain itu program SKoD yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan hari-hari kebesaran Islam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemuda UMNO Lipis guna pendekatan ‘3A’ untuk pertahan tohmahan pembangkang
LIPIS – Pemuda Barisan Nasional (BN) menggunakan Pendekatan 3A ini, iaitu Aspirasi , Aktif dan Agresif yang digunakan menerusi platform media sosial untuk menangkis segala hujah pihak pembangkang dan isu yang digembargemburkan.
Pendekatan ini penting bagi memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 akan datang.
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan tersebut lebih menjurus kepada strategi yang perlu digunakan memandangkan Pemuda BN adalah jentera barisan hadapan parti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan tersebut lebih menjurus kepada strategi yang perlu digunakan memandangkan Pemuda BN adalah jentera barisan hadapan parti.
“Strategi untuk mendekati pengundi terutama golongan muda dalam menganjurkan pelbagai program serta bantuan sokongan untuk golongan yang memerlukan.
“Pemuda UMNO tidak perlu lagi dalam suasana bertahan sahaja ,tetapi perlu agresif menyerang parti lawan yang sentiasa memainkan pelbagai isu termasuk menghentam pemimpin BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 50 orang Pemuda UMNO Lipis yang diketuai oleh Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor.
Katanya, strategi ini mampu untuk mengempur pembangkang kerana Pemuda UMNO sangat dekat di hatinya, kerana aktiviti politik beliau lahir dan bermula dari pemuda.
“Saya percaya banyak kita belajar daripada kekalahan pada PRU14 dahulu dan kemenangan dalam PRK yang lalu dan akan datang
“Saya sebagai Ketua UMNO Lipis merakamkan penghargaan kepada kepada semua Pergerakan Pemuda UMNO kerana mereka adalah wira kepada parti itu terbukti setia di saat suka dan duka serta tetap bangkit dalam kesusahan dan terus bertahan sehingga saat ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Projek bersih Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 km pecah rekod Malaysia
RAUB – Projek pembersihan di Sungai Batu Malim sepanjang 17.1 kilometer berjaya memecahkan rekod ‘Malaysia Book of Records’ di samping dapat membersih dan memungut sampah sepanjang berakit di sungai itu seberat 841 kilogram
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon (Gibbon Conservation Society), Mariam Ramli
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gibbon (Gibbon Conservation Society), Mariam Ramli berkata, program ini sebagai memperkasakan kesedaran masyarakat untuk menjaga alam sekitar dan sungai sebagai satu sumber yang sangat penting kepada manusia dan hidupan lain.
“Penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu membangkitkan kesedaran betapa pentingnya sungai kepada kehidupan manusia dan diingatkan jangan sewenang-wenang membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan air dan alam sekitar.
“Selain itu, keperluan air bersih dari sumber sungai yang bersih memang diharapkan selain boleh dijadikan tarikan pelancong untuk beriadah di kawasan sungai yang bersih dan nyaman,” katanya di Batu Malim, hari ini.
Katanya, kali pertama pada Jun lalu iaitu program alam sekitar sedunia dan manakala hari sungai sedunia adalah penganjuran kali kedua di Batu Malim, di sini.
Remangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut mencemar duli dengan menyertai program berakit itu.
Seorang peserta berakit, Muhammad Sharizal Arman Shah (36) berkata, program sayangi sungai kita ini, selain beriadah dengan berakit yang turut disertai warga asing dan penduduk Orang Asli di kawasan ini dapat menghargai alam sekitar sepanjang mereka berakit.
“Sepanjang kami berakit sepanjang kira-kira 18 km bermula di Kampung Ulu Sungai banyak juga kami temui sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama, lampin pakai buang, bakul plastik lama dan sebagainya.
“Sewajarnya, penduduk yang tinggal di tepi sungai jangan amalkan sikap buruk ini kerana sungai sangat penting kepada manusia dan alam sekitar.
Seorang warga Australia, Paul Martin (60) berkata, sangat tertarik dengan berakit menggunakan buluh memakan masa hampir 7 jam dengan keadaan air yang jernih dan bersih.
“Malangnya, dalam sepanjang berakit kami sampah seperti tayar buruk, kerusi plastik lama dan sebagainya dibuangkan ke dalam sungai, ini merugikan kerana memburukkan pemandangan,” katanya.
Kumpulan Jamil memenangi hadiah pertama kerana berjaya memungut sampah sepanjang berakit seberat 104 kg, tempat kedua Kumpulan Hafiz memungut sampah seberat 100 kg dan tempat ketiga Kumpulan IPD Raub dengan pungutan sampah 83.4 kg.
Sumber : Astro Awani
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kaki tangan perubatan dan anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa untuk dihantar ke hospital dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis – Foto : BBP Kuala Lipis.
Dua warga emas parah dalam kemalangan di Lipis
LIPIS – Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua orang penumpang warga emas parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 23, Jalan Lipis – Benta berdekatan kawasan Rawat dan Rehat (RNR) Benta dekat sini pada jam 12.00 tengah hari, semalam.
Pemandu jenis Nissan Serena bernombor RAH 4068, Mohd Mustaffa Kamal Bidin, seorang guru berusia 35 tahun beralamat di Kuarters Institusi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Bukit Belah, Kelang mengalami kecederaan sakit di bahagian pinggang.
Turut tercedera dua orang warga emas, Ab Bidin A. Bakar berusia 69 tahun, ayah kepada pemandu yang duduk hadapan di sebelah kiri mengalami kecederaan patah tulang rusuk kanan, manakala emak pemandu, Aminah Dahalit berusia 72 tahun yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami patah peha kanan.
Emak saudara pemandu, Rohani Ahmad yang berusia 66 yang juga duduk di belakang tidak mengalami kecederaan. Mereka yang berada di dalam kereta tersebut berasal dari Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Nissan Serena dengan sebuah lori kontena muatan habuk kayu jenis Volvo bernombor pendaftaran TCC 6883 yang dipandu oleh Muhammad Zaki Hussin, berusia 34 tahun berasal dari Kampung Kerambit, Lipis.
“Siasatan awal di tempat kejadian, punca kemalangan apabila kereta yang dipandu Mohd Mustaffa Kamal dari arah Kuala Lumpur dipercayai telah terbabas dan memasuki laluan lori muatan habuk kayu tersebut lalu menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Pemandu bersama tiga orang penumpang antara usia warga emas merupakan sebuah keluarga telah mengalami kecederaan dan telah dibawa dengan ambulans ke Hospital Lipis untuk rawatan, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa dan keluarga berkenaan masih di wad kecemasan Hospital Lipis untuk rawatan susulan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) melegakan kira-kira lima ribu penduduk di FELDA Kota Gelanggi Satu dan Tiga kerana dapat membeli barangan harian dan keperluan asas dengan lebih murah.
Malah, penduduk dua tanah rancangan terbabit bertuah apabila Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris menaja RM9 untuk satu kilogram daging lembu dan RM1 setiap kilogram ayam yang dijual di JTDLKM, hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban peneroka khususnya yang mempunyai anak ramai.
“Kerajaan berharap program seperti ini dapat membantu ketua keluarga berbelanja dengan lebih jimat kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah,” katanya selepas melancarkan Program JTDLKM di pekan sehari FELDA Kota Gelanggi Satu dan Tiga.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang (Operasi), Shabudin Mohd Nor.
Ahmad Nazlan berharap FAMA dapat mengadakan lebih banyak program JTDL di kawasan luar bandar dan FELDA untuk memberi peluang kepada golongan itu menikmati barangan keperluan dengan harga lebih murah.
Sumber – Fikrah Pahang.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ahli perniagaan dilarikan individu dengan Toyota Vellfire putih di Ampang selamat
AMPANG – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih melarikan seorang ahli perniagaan lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/23D, kira-kira 5.30 petang, semalam.
Kejadian berlaku apabila mangsa sedang berada di restoran itu didatangi individu dengan menarik dan memaksa masuk ke dalam kenderaan MPV tersebut.
Ketua Polls Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang menerima panggilan kecemasan MER999 berlaku kejadian seorang lelaki dilarikan oleh individu kenderaan itu.
“Kejadian itu dirakam oleh orang ramai menunjukkan tindakan individu itu cuba menarik mangsa dan turut berlaku pergelutan.
“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk awam yang cuba membantu dalam kejadian berkenaan dengan cubaan menyekat kenderaan itu bergerak tetapi gagal,” katanya.
Katanya, pada 10.45 malam, pada hari sama, mangsa telah hadir ke IPD Ampang Jaya.
“Dipercayai mangsa telah dilepaskan di Klang selepas kejadian, mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.
“Punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang dengan pihak majikan, usaha mengesan suspek yang telah dikenal pasti sedang giat dijalankan,”katanya.
Katanya, kejadian disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, barang siapa menculik atau melarikan mana-mana orang dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan dengan salah.
“Hukuman akan dikenakan dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
“Video kejadian turut tular di laman social whatapps berkaitan kejadian berlaku di situ,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan pinjaman hutang tanpa lesen yang sah.-SAHIH.
Klip video kejadian di Ampang ditularkan di media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Lawatan kerja SKMM di menara Kampung Berembang, Kuala Tahan , baru-baru ini.
28 menara baharu sedang dibina dan 99 stesen pemancar naiktaraf ke 4G di Jerantut
JERANTUT – Sebanyak 28 menara komunikasi baharu sedang dibina di Daerah Jerantut melalui pelaksanaan JENDELA Fasa Satu.
Empat menara telahpun siap dan beroperasi sepenuhnya sementara 24 lagi kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan bertujuan menambahbaik perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Daerah Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff berkata, empat menara tersebut telah mula beroperasi adalah di Kampung (Kg) Bukit Dinding, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, Kg Pasir Durian dan Kg Seri Muda.
Katanya, berdasarkan status semasa dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), terdapat banyak menara telah menunjukkan kemajuan yang baik seperti telah siap pemasangan struktur sebelum kerja-kerja pemasangan peralatan elektronik dan kerja awal dimulakan di tapak-tapak menara tersebut.
“Antara lokasi tersebut, Kg Beruit, Kg Jeransong, Kg Berembang, Kg Sg Malik, Kg Ulu Teh, Kg Brau, Kg Perlok 2, Kg Sokti, Km 5 Jln Jerantut – Damak, Kg Binjai, Kg Bejuang 2, Kg Jeneris, Kota Gelanggi 5 dan Gelanggi 6, Kg Semena Mat Daling dan juga Kg Pulau Mansuk.
“Baki menara lain sedang dalam proses perolehan tapak dan kelulusan yang berkaitan. Antaranya di Jeti Kampung Orang Asli (KOA) Sg Tekal, KOA Sg Kucing, dan KOA Batu 10 Sg Retang, “ katanya melalui hantaran Facebook.
Katanya, semua menara komunikasi ini dijangka siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2022 hingga pertengahan tahun 2023 nanti.
“Melalui usaha yang sama, sebanyak 99 stesen pemancar sediada juga telah berjaya dinaiktaraf ke rangkaian internet 4G dan siap sepenuhnya pertengahan 2022.
“Antaranya adalah Kg Sungai Berjuang, KLPP Sungai Rengai, Kg Paya Garok, Felda Kg Ulu Rentang, Kg Bukit Ketupat, Kg Lada, Kg Bau, Mahawangsa Timber, Kg Ibol Jaya, Kg Perak, Kg Jaya Putra, Kg Kor, Kg Padang Saujana, Lepar Utara 3, Sungai Lekuk, Sg Tekam Utara, Kg Baru dan Kg Sg Retang,” katanya.
Tambahnya, semua Inisiatif ini, kadar liputan 4G Daerah Jerantut (di kawasan berpenduduk) meningkatkan daripada 72.2% pada Suku Kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 86.28%, Suku Kedua 2022.
“Kadar ini dijangka terus meningkat apabila semua projek JENDELA ini siap sepenuhnya tidak lama lagi.
“Bilangan premis yang mempunyai rangkaian gentian optik di daerah ini telah berjaya ditingkatkan daripada 5,543 premis Suku Kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 12,203 premis Suku Kedua 2022 (pertengahan tahun ini),” katanya.
Katanya, usaha penambahbaikan ini telah membolehkan penduduk di Daerah Jerantut mempunyai pilihan untuk melanggan internet talian tetap dengan kelajuan tinggi.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Warga emas mengikuti kuliah agama di surau yang dibimbang ustaz bertauliah.
Darul Hanan, Pulau Pinang pusat jagaan warga emas
ASPIRASI Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin dapat direalisasikan jika aspek kasih sayang dan penjagaan ibu bapa diabaikan atau dipinggirkan kerana elemen utama dalam sebuah keluarga ialah ibu bapa.
Malah kasih sayang seorang anak terhadap ibu dan bapa mereka boleh tetap terbela malah dipereratkan lagi oleh pusat jagaan seperti Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan (PJWEDH), Pulau Pinang, yang sekali gus mengetepikan anggapan mengatakan pusat berkenaan tempat anak melepaskan tanggungjawab.
Azman Rasman (kiri), Mohiadin Bahado, Siti Sarah Yahaya dan Alias Ahmad memberi isyarat bagus kerana Darul Hanan terbaik dalam mengurus tadbir warga emas dengan mendapat sokongan pelbagai pihak di Pulau Pinang.
Diwujudkan lebih 14 tahun lalu pusat berkenaan kendalian Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan di bawah naungan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menyangkal tuduhan masyarakat mengatakan pusat berkenaan tempat membuang ibu dan bapa khusus yang uzur.
Terletak di atas tanah seluas 3.2 hektar pusat itu menyediakan pelbagai kemudahan seperti bangunan asrama, perpustakaan, kafeteria, surau, wad, dewan serba guna dan bengkel. Selain keadaan yang selesa untuk beriadah dan pusat itu boleh menampung 150 warga emas pada satu masa.
Pengurusnya, Siti Sarah Yahaya, berkata pusat itu menempatkan warga emas lelaki dan perempuan yang berusia antara 57 tahun hingga 90 tahun dalam kalangan mereka yang tiada waris, tersisih daripada ahli keluarga, asnaf dan miskin membabitkan kes dirujuk pihak berkenaan.
Bagaimanapun menurut beliau, Darul Hanan turut menerima warga emas yang tidak dapat dijaga atau diuruskan dengan sempurna oleh ahli keluarga kerana pelbagai faktor dan demi memberi keselesaan serta keselamatan kepada ibu atau bapa pusat itu menjadi pilihan mereka.
Jelasnya, pihak pengurusan memahami perkara itu dan tidak sekali-kali menganggap mereka membuang ibu atau bapa di pusat itu malah kita menerima dengan tangan terbuka serta penuh kasih sayang di samping menyantuni sebaik mungkin.
“Sebelum ini ada sesetengah kes warga emas yang dihantar ke Darul Hanan mendiami pusat jagaan yang tidak sepatutnya selepas ditinggalkan oleh anak-anak apabila tidak dilayani dengan baik untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila semakin uzur.
“Di pusat ini anak-anak atau saudara mara bebas mengunjungi ibu dan bapa mereka atau warga emas yang dikenali pada setiap Sabtu dan Ahad kerana kita mahukan ikatan silaturahim mereka berkekalan tanpa sebarang rasa bersalah,” kata Siti Sarah ketika menerima kunjungan Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang Selangor, Mohiadin Bahado; dan guru agama dua pusat berkenaan, Alias Ahmad, baru-baru ini.
Siti Sarah menunjukkan model bangunan Darul Hanan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan warga emas yang mendiami pusat berkenaan bagi meneruskan kelangsungan hidup kepada Alias, Mohiadin dan Azman.
Siti Sarah berkata, pusat itu masih bergantung kepada sumbangan daripada pelbagai pihak untuk terus beroperasi bagi membiayai kos bekalan elektrik, air, barangan makanan, kesihatan, pampers pakai buang, pengangkutan, gaji kakitangan, keselamatan dan sebagainya.
“Setakat ini Darul Hanan sentiasa menerima sumbangan daripada pihak luar seperti membabitkan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan yang prihatin dengan nasib warga emas yang menetap di sini,” katanya.
Beliau menambah, kos operasi pengurusan Darul Hanan sebahagian besar ditanggung oleh Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui bajet tahunan yang diluluskan setiap tahun.
Peruntukan itu secara tidak langsung sebagai penghargaan untuk pembayar zakat kepada ZPP.
Penyelia pusat itu, Nur Aswani Aziz, berkata Darul Hanan akan sentiasa menguruskan penjagaan dan perlindungan yang sempurna serta terbaik kepada setiap warga emas dengan berteraskan agama Islam secara cekap dan berkualiti.
Tambahnya, sehubungan itu pihak pengurusan meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama Islam kepada warga emas berdasarkan konsep pendidikan sepanjang hayat termasuk mewujudkan kelas pengajian agama kepada mereka yang dikendalikan ustaz yang bertauliah.
Menurutnya, bilik yang diubah suai seperti wad hospital dan anjung terapi diwujudkan bagi mengekalkan taraf kesihatan warga emas yang optimum supaya mencapai kehidupan berkualiti di samping meningkatkan kesedaran serta mengurangkan stigma negatif terhadap insan melarat dan terbiar.
“Kita menganggap warga emas seperti emak dan bapa sendiri yang kadang-kadang berasa terharu serta sedih apabila melihat gelagat mereka termenung sendirian seperti mengingati atau merindui sesuatu manakala kepada kakitangan pusat tempat meluahkan perasaan itu,” katanya.
Sementara itu, Azman dan Mohiadin, berkata kunjungan mereka ke Darul Hanan adalah bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang terkini dalam menguruskan warga emas dengan lebih baik serta cekap.
“Kami ambil kesempatan ini apabila diuar-uarkan oleh pihak berkenaan Darul Hanan merupakan pusat jagaan yang terbaik khusus di Pulau Pinang dalam mengurus tadbir warga emas di samping tidak memutuskan hubungan silaturahim antara anak dengan ibu dan bapa yang mendiami pusat berkenaan,” kata mereka. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : cubaan culik kanak-kanak (gambar hiasan)
KGMMB puji sekolah ambil langkah proaktif bendung kes culik kanak-kanak
JERANTUT – Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) memuji langkah proaktif yang diambil pihak pentadbiran sekolah tanpa menunggu arahan pihak atasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengeluarkan surat rasmi mengingatkan waris murid sekolah berkenaan berkaitan kes culik yang semakin berleluasa sekarang.
Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik
Presidennya, Jasni Md Kechik memaklumkan beberapa sekolah telah mengeluarkan surat berkenaan memohon kerjasama waris turut serta menangani membenteras kejadian yang menakutkan.
“Saya puji ada sekolah sudah bergerak pantas dengan memberi ingatkan kepada waris sekolah berkaitan untuk bersama membendung kejadian tidak berulang lagi.
“Banyak kes cubaan culik sedang berlaku dan terkini, murid Sekolah Kebangsaan Jeram Landak, Lipis berjaya meloloskan diri daripada cubaan itu, “ katanya ketika dihubungi.
Katanya, banyak berlaku kes penculikan dilaporkan ada yang didedahkan warga maya melalui media sosial dan terbaharu, seorang lelaki yang didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berjaya dicekup orang ramai dalam kejadian pada Isnin malam.
Katanya, isu ini sangat serius dan perlu diambil langkah tertentu supaya keselamatan kanak-kanak sentiasa terhindar daripada ancaman culik.
“Kes begini, pihak perlu mengambil tindakan untuk mengahalang kejadian culik berlaku dalam kalangan murid sekolah khususnya sekolah rendah.
“Di samping menghantar peringatan kepada waris supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing, pihak sekolah perlu mengawal ketat pergerakan waris atau orang awam yang masuk ke kawasan sekolah,” katanya.
Jasni memaklumkan, pentadbir perlu memastikan pengawal keselamatan sekolah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa mematuhi dan meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah.
“Bagaimanapun kes culik yang sedang viral semuanya berlaku di luar kawasan sekolah. Justeru, waris, penduduk tempatan serta orang ramai perlu sentiasa mengambil tahu hal keselamatan anak-anak yang berada di luar rumah atau di luar sekolah.
“Mereka perlu sentiasa menasihati anak masing-masing tidak bergerak sendirian dan jika terdapat situasi yang mencurigakan mereka segera melaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis supaya keselamatan anak-anak terjaga,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Peluang ‘ubi muda’ dalam arena politik atau veteran, Ahmad Nazlan dipilih semula
JERANTUT : Beberapa orang jawatan kuasa UMNO bahagian Jerantut disebut-sebut oleh pemerhati politik di sini layak serta berkemungkinan diberi peluang oleh pucuk pimpinan BN Pahang dan Pusat untuk mengisi kerusi Parlimen bahagian itu pada PRU15 ini.
Penyandang Ahli Parlimen Jerantut , Datuk Ahmad Nazlan Idris
Hal ini mungkin berlaku sekiranya Barisan Nasional (BN) Pahang dan mahukan muka baharu yang dipercayai sebagai ‘winnible candidate’ untuk mengisi jawatan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggantikan pemimpin yang lama.
Mereka berkenaan, iaitu Datuk Ridzuan Mansor, Haris Saleh Hamzah, Datuk Zulkarmi Abu Bakar, Rozilan Salleh dan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Nazri Ngah antara tokoh penting dan muka baharu di Jerantut untuk memimpin peringkat Parlimen.
Namun penyandangnya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, yang sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen Jerantut masih berpeluang sekiranya pucuk pimpinan BN negeri dan Pusat mahukan perkhidmatannya sepenggal lagi.
Perbualan hangat dalam kalangan pemerhati di kedai kopi bandar ini masing-masing mempunyai pelbagai andaian dan pendapat tersendiri mengenai kewibawaan tokoh tersebut dan masih berteka-teki siapakah calon baharu yang bakal dipilih untuk mengisi kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Turut disebut-sebut bakal mebrtanding untuk PArlimen Jerantut, Datuk Nazri Ngah (kiri) dan Datuk Zulkarmi (kanan).
Namun sejak dua bulan ini, di peringkat Parlimen, ramai pemerhati di sini memfokuskan dua orang sebagai ‘ubi muda’ dalam politik sedang mencongak nasib serta peluang dipilih untuk menduduki kerusi Parlimen.
Kedua ubi muda politik dalam UMNO bahagian, iaitu Datuk Ridzuan Mansor dan Haris Saleh Hamzah masing-masing sudah bekerja keras sejak lama mendampingi penduduk menerusi program kemasyarakatan yang diatur atau dijemput oleh penduduk di kawasan Parlimen di sini.
Ridzuan, 48, kelahiran Kampung Bukit Nikmat, Pulau Tawar merupakan seorang usahawan berkelulusan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) antara disebut-sebut oleh pemerhati politik di sini antara tokoh berpeluang memimpin di peringkat Parlimen.
Beliau yang lebih dikenali penduduk kawasan ini sebagai Pak Cik Prihatin kini menjawat Naib Ketua UMNO bahagian serta memangku Timbalan Ketua UMNO bahagian, setelah Allahyarham Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak meninggal dulu pada September, 2018 dan Ahli Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan peringkat negeri.
Namun rakannya, iaitu Bendahari UMNO bahagian, Haris Salleh Hamzah, 43, seorang peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berasal dari Kampung Koi, Damak juga sama difokus oleh pemerhati politik di sini mempunyai kreadibiliti untuk mengisi jawatan berkenaan.
Haris Salleh juga seorang ahli MDJ, Ahli Malaysian bar Council, Pengerusi Persatuan Solidariti Nasional Pahang selain membuka firma khidmat guaman di Jerantut dan Kuala Lumpur.
Kedua ubi muda ini sejak akhir ini lebih kerap turun ke cawangan dan aktif menyertai pelbagai program kemasyarakatan serta usaha kebajikan terhadap penduduk yang memerlukan.
Bagaimanpun ada pemerhati yang sama juga memfokuskan Datuk Zulkarmi Abu Bakar selaku Setiausaha UMNO bahagian dan bekas wartawan dan Setiausaha Media mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rozilan Salleh juga mempunyai ketokohan berpeluang untuk jawatan Parlimen atau peringkat DUN.
Pemerhati politik di Jerantut juga berpandangan tidak mungkin Ketua UMNO bahagian Datuk Nazri Ngah bertanding kerusi Parlimen pada PRU15 ini kerana beliau difahamkan lebih menfokuskan kawasan DUN Pulau Tawar yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan juga sebagai salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, penyandang sekarang, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Lan’ masih tidak goyah dan mempunyai sokongan yang kuat dalam kalangan pengundi.
Beliau sudah dua penggal sebagai Ahli Parlimen setelah memenangi PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
Cikgu Lan sekali lagi memenangi dalam PRU14 dengan pemperoleh 22,640 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi) dengan majoriti 5,908 undi.
Dalam perkembangan yang sama, seorang veteran politik Jerantut, Ramli Awang Sulong, 73, berkata, semua barisan kepimpinan UMNO bahagian yang disebut memang ada ketokohan dan kredibiliti masing-masing cuma tuah dan nasib mereka berkenaan akan ditentukan oleh BN negeri dan Pusat menjelang PRU15 nanti.
“Saya berpandangan dalam kalangan Jawatan Kuasa UMNO di sini masih muda dan baharu kecuali Nazri, Zulkarmi dan penyandang, Ahmad Nazlan yang sudah lama berkecimpung serta berpengalaman dalam kancah politik.
“Daripada cakap-cakap politik yang didengar dari mulut penduduk di Jerantut, ramai yang masih menyokong dan mahukan penyandang (Ahmad Nazlan) terus bertanding, tetapi tidak menolak sekiranya beberapa tokoh bergelar ‘ubi muda’ dipilih sebagai calon baharu demi kekuatan parti (UMNO) dan perpaduan Melayu di sini,” katanya.
Hal yang sama juga disuarakan oleh Ketua Cawangan UMNO Kampung Pedah, Rahimi Malik, 63, juga berpandangan Ahmad Nazlan masih tetap masih ada ‘aura’ tersendiri serta mendapat sokongan ramai pengundi Jerantut.
“Cuma beliau (Ahmad Nazlan) tidak ada dalam jawatan kuasa UMNO bahagian, tetapi segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya khidmat beliau di Parlimen ini masih diperlukan di peringkat atasan.
“Tentangan kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15 ini dijangka berlaku lebih sengit daripada Pas sekiranya UMNO bergerak solo (tidak ada lagi Muafakat Nasional) termasuk PKR dan parti lain yang sudah beria-ria mencongak nasib di kawasan Parlimen dan DUN di sini,” katanya.
Berasaskan kenyataan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri untuk memenangi 14 kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN perlulah berfikir di luar kotak.
Dalam kenyataan Wan Rosdy itu, sememangnya BN perlu lebih berani memperkenalkan amalan politik baharu dan semasa yang tidak lagi terikat dengan tradisi politik usang.
“Sepatutnya pemilihan calon dalam pilihan raya tidak terikat dengan kuota parti sebaliknya yang perlu diutamakan adalah calon boleh menang dan diterima rakyat,” ujarnya.
Pemerhati politik kedai kopi, pengundi lama dan difahamkan kira-kira seramai 20,000 orang pengundi muda yang mencapai usia 21 tahun di kawasan Parlimen Jerantut, tepuklah dada, tanya selera.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!