SPRM tahan ketua polis daerah terima rasuah RM1 juta
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua polis daerah di Pahang kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.
Sumber SPRM berkata, pegawai kanan polis berusia 53 tahun ditahan petang tadi kerana disyaki menerima rasuah berjumlah anggaran lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.
“Bayaran rasuah ini disyaki bagi melindungi pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat urut yang tidak berlesen daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa,” kata sumber itu.
Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan dibawah seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Sumber : FMT.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
MB Terengganu salahguna kuasa, jual tanah kerajaan bernilai RM29.3 juta kepada ‘Isteri Wakil Rakyat’ hanya RM500 ribu?
MB Terengganu salahguna kuasa, jual tanah kerajaan bernilai RM29.3 juta kepada ‘Isteri Wakil Rakyat’ hanya RM500 ribu. Tanah strategik di kawasan bandar dan berkepentingan rakyat seluas 11,299 meter persegi di Batas Baru bernilai RM29.3 juta ‘dijual’ kepada isteri wakil rakyat PAS dengan hanya RM500 ribu.
Keputusan yang tidak bertanggungjawab itu dibuat oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk faedah dan kepentingan isteri-isteri mereka.
Rekod Pendaftar Tanah Kuala Terengganu mencatatkan, terdapat dua pihak yang tidak bersetuju tanah itu diserahkan kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Isteri Wakil Rakyat PAS Terengganu atau singkatannya Khairunnisa.
Pertama, Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Februari 2019 menyatakan TIDAK memberi pertimbangan kepada permohonan isteri wakil rakyat PAS kerana tanah tersebut telah dibuat pengambilan balik pada tahun 2005 dalam diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Jun 2006 bagi tujuan disimpan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi maksud tujuan awam dan diwartakan pada 28 April 2011.
Untuk rekod, tanah tersebut pernah diberikan kepada Koperasi Insaf Terengganu Berhad (Koinsaf) milik pemimpin PAS Terengganu pada tahun 2003 iaitu ketika Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu. Koinsaf ditubuh pada 29 Disember 2021 dan dipengerusikan oleh Bendahari PAS Kemaman, Roslin Abdul Rahman. Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang ketika itu, Hussain Ismail adalah Ahli Lembaga Pengarah Koinsaf.
Tanah yang pernah menjadi tapak mahkamah syariah dan pejabat kerajaan itu diberi kepada koperasi milik pemimpin PAS Terengganu dengan bayaran premium RM340 ribu. Memandangkan kedudukan tanah itu yang strategik dan berkepentingan rakyat, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional pada 2005 terpaksa membuat pengambilan balik tanah tersebut. Kerajaan negeri ketika itu terpaksa membayar kepada Koinsaf sebanyak RM8.06 juta, iaitu nilaian semasa tanah tersebut. Dengan pembayaran itu, Koinsaf dan pemimpin PAS Terengganu telah menerima ‘keuntungan’ sekitar RM7 juta.
KEDUA, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menerusi surat bertarikh 14 Julai 2019 juga TIDAK menyokong permohonan isteri wakil rakyat PAS itu.
‘Conflict of interest’ dalam perkara ini ialah; ‘Menteri Besar dan Ahli Exco’ selaku pembuat keputusan telah meluluskan permohonan ‘Isteri Menteri Besar dan isteri Ahli Exco’ untuk memiliki tanah kerajaan negeri yang bernilai tinggi.
Khairunnisa yang dipengerusikan oleh isteri Menteri Besar, Puan Seri Faizah binti Tuan Ab Rahman Tuan Abd Rahman telah didaftarkan di alamat Pejabat PAS Terengganu iaitu No. 33, Taman Seri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.
Tanah itu berada di lokasi strategik dalam kawasan pusat bandar Kuala Terengganu dengan jarak 500 meter dari Wisma Darul Iman dan ‘berjiran’ dengan Ibu Pejabat Polis Terengganu, Hospital Pakar Salam dan Menara Yayasan Islam.
Paling ‘strategik’, tanah itu terletak kira-kira 100 meter dari Pejabat PAS Terengganu dan sesuai untuk dibangunkan sebuah kompleks pentadbiran PAS Terengganu.
Sumber : Selayangpandang.net
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Rombongan 59 murid dari 6 sekolah di PPD Petaling Perdana bergambar kenangan di Hatyai, Thai baru-baru ini.
59 orang murid dari 6 sekolah sertai Program Silang Budaya di Thai
LIMA puluh sembilan murid dari enam buah sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana telah menyertai Program Siang Budaya Malaysia – Thai 2023 yang diadakan selama 4 hari di Bankhlongwa School, Hatyai, Thai, baru-baru ini.
Program jaringan itu disertai oleh sekolah di bawah pentadbiran PPD Petaling Perdana iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3 (SKJU3), SK Subang Bestari 2(SKSB2), SK Setia Alam (SKSA), SK Bandar Anggerik (SKBA) , SK Seksyen 20 (SKS20) dan SK USJ12 dengan mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian Melayu.
Guru Besar SKJU3, Md Hishamuddin Md Yaacob berkata, program silang budaya itu sebagai satu elemen penting dalam usaha sekolah untuk mengantarabangsakan sektor pendidikan di negara ini.
“Program ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang ingin diterapkan kepada semua murid dengan nilai-nilai teras dan sejagat serta kukuh dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Jalingan program ini juga dapat memberi pendedahan budaya masyarakat setempat yang dilawati selain itu untuk memupuk komunikasi berkesan, menanam keyakinan diri dan menerap nilai jati diri dan identiti nasional dalam kalangan murid,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar, SK Seksyen 20, Lutfee Ismail Amir berkata, tema persembahan yang diadakan di negara gajah putih itu bertemakan majlis perkahwinan tradisional Melayu.
“Dalam persembahan itu disisipkan adat persandingan Melayu dengan disulami persembahan perarakan pengantin oleh murid SKBA, turut diadakan persembahan permainan kompang oleh murid SKS20 dan turut diserikan dengan persembahan silat gayung oleh murid SKJU3.
“Malah, untuk melengkapkan persembahan, turut dilengkapi dengan tari raja sehari oleh murid SKSA dan sepasang pengantin dengan mengenakan busana Melayu yang lengkap, tarian Inang oleh SKUSJ12 dan persembahan Dikir Barat oleh SKSB2, ” katanya.
Seorang guru pengiring SKS20, Anis Huda Amir Hamzah berkata, program sebegini memberi peluang murid untuk mengetahui budaya Thai.
“Murid dan guru yang mengikuti program ini turut mengenali budaya, beberapa jenis tarian dan alat muzik Thai yang dipersembahkan oleh murid sekolah di situ kepada rombongan kami.
“Selain itu, murid dari 6 sekolah dari Shah Alam yang mengikuti program ini dengan mengadakan persembahan masing-masing mencerminkan negara kita kaya dengan budaya yang boleh dibanggakan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kuala Terengganu
Reunion KAWAN berjaya kumpul rakan sekolah 1984 – 1988
KEMERIAHAN mengakhiri sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hujung Syawal digunakan sebahagian bekas pelajar dengan mengadakan majlis perjumpaan semula (reunion) raya untuk berjumpa dan bersemuka dengan kawan-kawan yang sudah lama berpisah.
Sebahagian bekas pelajar tahun 1984 dan 1988 Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kuala Terengganu yang hadir pada Majlis Reunion merakamkan kenangan baru-baru ini.
Bantuan media sosial terutama menerusi penggunaan telefon pintar dalam beberapa minggu sahaja mereka berjaya mengumpul rakan lama dari satu sekolah untuk bertemu semula sambil meraikan perayaan Aidilfitri.
Pengerusi Kelab Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Manir (KAWAN), Kuala Terengganu, Mohd Johairi Ngah, berkata dengan penggunaan telefon pintar sekarang hanya dalam tempoh beberapa minggu sahaja kami dapat mengumpul semula rakan sekolah bagi tahun 1984 hingga 1988.
Menurutnya, dengan dibantu rakan selepas diwar-warkan menerusi telefon pintar dan media sosial lain seperti Facebook dan TikTok mereka berjaya mengumpul lebih 80 rakan yang juga ahli KAWAN untuk hadir pada Majlis Reunion Raya di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, baru-baru ini.
Tambahnya, usaha mengumpul semula rakan pelajar mungkin juga mudah dilaksanakan apabila ditubuhkan KAWAN berfungsi untuk mewujudkan hubungan erat antara mereka kekal di samping senang menghubungi semula rakan yang terputus hubungan.
Alias Ahmad (berdiri lima dari kanan) bersama-sama rakan bekas pelajar tahun 1984 dan 1985 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak, berjumpa dalam majlis reunion yang diadakan baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun sekolah sudah bertukar kepada nama Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong dengan adanya KAWAN perkara itu tidak menjadi masalah besar bagi berjumpa semula dengan rakan apabila ada antaranya sudah 35 tahun tidak bertemu.
“Dengan adanya KAWAN ini kami berjaya mewujudkan badan khairat kematian, bantuan kecemasan hospital, bantuan bencana alam dan sebagainya untuk ahli yang sama-sama menuntut di sekolah berkenaan dalam kelas sains, perdagangan dan sastera,” ujar beliau.
Pada majlis itu ahli-ahli KAWAN yang hadir mengambil peluang bertanya khabar serta beramah mesra di samping menikmati pelbagai hidangan tradisional Terengganu bersesuaian dengan sambutan Aidilfitri seperti nasi minyak, nasi dagang, sate, nasi impit, ketupat, rendang ayam dan daging, laksa kuah merah, tapai, kuih-muih selain pelbagai perisa air balang.
Sementara itu, 50 bekas pelajar tahun 1984 dan 1985 yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1985, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak, turut berjumpa dalam majlis reunion yang diadakan pada 20 Mei 2023.
Pengerusinya, Alias Ahmad, berkata sempena bulan baik dan mengakhiri sambutan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung Syawal mereka bertemu kembali selepas 40 tahun membawa haluan masing-masing selepas menamatkan pengajian pada peringkat menengah, kolej dan universiti.
Menurutnya, namun begitu masih ada antara mereka terus berhubung menerusi pelbagai media sosial yang digunakan bagi berbincang mengenai pelbagai hal semasa termasuk bidang kerjaya yang diceburi kerana sebilangan mereka berjaya menamatkan pengajian di universiti luar negara.
Jelasnya, selain dapat mengeratkan ukhuwah persahabatan antara mereka di samping bertanya khabar, reunion itu juga bagi memaklumkan perkembangan terkini proses pendaftaran persatuan alumni dengan jabatan berkenaan.
“Kami mencapai persetujuan dalam reunion sebelum ini untuk mendaftar menjadi sebuah persatuan alumni supaya dapat bergerak lebih aktif dan tersusun terutama dalam membantu rakan yang ditimpa musibah,” katanya pada Majlis Perjumpaan Aidilfitri 2023 di Homestay Harmony, Gopeng, Perak. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kawasan kejadian di Sungai Putat, padang Piol, dekat sini yang meragut dua nyawa remaja berusia 13 tahun.
Dua remaja mati lemas akan dikebumikan dalam satu liang lahat
JERANTUT – Dua rakan karib yang ditemui mati lemas di Sungai Putat, Padang Piol dekat sini pada jam 5.40 petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Putat sejurus keputusan bedahsiasat diperolehi di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.
Dua remaja tersebut berusia 13 tahun itu, Mohamad Hanapi Romzi (kiri ) dan Muhamad Safwan Mohamad Zamri,(kanan) ditemui lemas selepas di Sungai Putat, semalam.
Dua remaja tersebut berusia 13 tahun itu, Mohamad Hanapi Romzi dan Muhamad Safwan Mohamad Zamri, masing-masing dari Kampung Sungai Putat dan Kampung Kelantan dekat sini ditemui lemas selepas mandi bersama 5 lagi rakannya.
Bapa Muhammad Safwan, Zamri Shamsuddin (47) berkata, anaknya tidak memaklumkan kepadanya rancangan untuk mandi bersama rakannya pada pagi semalam.
“Arwah Safwan tidak mengambil sarapan pagi semalam dan tidak memberi makluman perancangannya bersama rakannya yang lain untuk mandi dan kali terakhir saya menatap wajah anak saya ketika makan malam di rumah sebelum kejadian.
“Saya dimaklumkan kira-kira jam 11.00 pagi anak saya dan kawan-kawannya telah menghala ke kawasan kejadian dengan menaiki motosikal melalui jalan ladang sawit yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jerantut, hari ini.
Katanya kira-kira jam 2.00 petang, salah seorang rakan anaknya datang ke rumah untuk mengetahui Mohd Safwan sudah balik atau belum dari mandi di sungai.
“Sejurus dimaklumkan oleh rakan anak saya, saya terus ke tepi sungai dan hanya menemui selipar dan baju anak saya dan kawannya masih berada di tepi sungai.
“Saya terus mencari di kawasan sekitar di tepi sungai tetapi tidak menemui sebarang tanda sambil memaklumkan kepada bapa Mohamad Hanapi serta beberapa kenalan di kampung,” katanya.
Manakala, bapa mangsa, Mohamad Hanapi Romzi , Romzi Mat Jusoh (45) berkata, anaknya Mohamad Hanapi telah membantunya sehari sebelum kejadian dengan melakukan kerja membaja pokok sawit yang sering dia lakukan untuk mendapatkan wang saku.
“Anak saya telah berkira-kira pendapatannya membantu saya pada malam sebelum kejadian dan menyatakan hasratnya wang itu akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan yang bakal dibuka Isnin depan.
“Saya juga terkilan kerana telah berjanji dan tidak sempat belanja makan malam bersama anak saya di sebuah kedai makan di Felda Padang Piol sambil untuk membayar ‘gajinya’ kerana membantu saya di ladang,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada penduduk kampung bersama anggota polis dan bomba telah melakukan operasi pencarian di kawasan kejadian. Mayat kedua-dua remaja ditemui pada jam 5.40 petang semalam.- – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Jalan dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela sepanjang 17.5 kilometer dalam proses pembinaan, dekat sini, semalam.
701 projek prasarana berjalan rancak, hanya 3 peratus lewat
LIPIS : Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebanyak 701 projek prasarana di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara sedang berjalan dengan baik dan lancar.
Katanya, hanya segelintir projek prasarana sahaja iaitu kira-kira 3 peratus yang lewat disebabkan beberapa faktor.
Datuk Seri Abdul Rahman (2 dari kanan) semasa lawatan kerja di Kampung Gemunchor, semalam.
“Antara faktor yang berlaku kelewatan bagi projek yang dibina pada tahun 2018 dan 2019 tertangguh disebabkan serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia dan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menjejaskan semua pergerakan.
“Kelewatan projek juga berlaku disebabkan proses pengambilan tanah dan juga bayaran pampasan yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan projek yang terlibat di atas tanah milik perseorangan,” katanya semasa lawatan Kerja Projek Jalan dan Jambatan Dari Kampung (Kg) Labu, Kg Gemunchor dan Kg Mela dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Cawangan Jalan, Datuk Ir Ibrahim Esa dan Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Katanya, selain itu, berlaku musim tengkujuh yang agak panjang bermula akhir tahun lalu menyebabkan penangguhan pembinaan projek, namun kontraktor sedang melibatganda usaha menjalankan projek masing-masing dengan kadar segera.
“Disebebkan PKP sebelum ini, berlaku kekurangan tenaga kerja kerana ramai pekerja mencari kerja lain dan menyebabkan kontraktor terpaksa mencari pekerja baharu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lebuhraya Karak-KL dilebarkan dan terowong ke-3 dibina
LIPIS : Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan cadangan pelebaran lorong lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) serta sebuah terowong ketiga bakal dibina oleh pihak ANIH Berhad
Cadangan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak itu dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KL-Karak terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KKR sentiasa cakna dengan keluhan rakyat yang terpaksa menghabiskan berbelas jam untuk pulang ke kampung terutama ketika musim perayaan.
“Kesesakan luar biasa sering berlaku pada waktu puncak menjelang hari perayaan, cuti umum dan hujung minggu oleh itu Lebuhraya KLK sepanjang 45.3 kilometer dengan kos RM 2.1 Bilion akan dibina.
“Pembinaan ini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna yang kerap menggunakan laluan tersebut, maka kerja pelebaran ini merupakan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, kerja pelebaran KLK tersebut akan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Mempaga, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Bentong dengan menambah satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala.
“ini melibatkan dari Seksyen 1, dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga Lorong sehala bagi Seksyen 2 iaitu dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong, sepanjang 45.3 kilometer.
“Kerja ini turut melibatkan tambahan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu yang akan dibina bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur dan penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran yang terlibat dengan kos keseluruhan RM2.1 billion,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kesatuan guru bakal lumpuh, kepimpinan diarah letak jawatan
PENTADBIRAN dan peranan kesatuan guru bakal lumpuh apabila pemimpin kesatuan yang berjawatan diarahkan meletak jawatan dalam kesatuan sekiranya diambil alih oleh guru baharu yang masih cetek dalam pentadbiran berkesatuan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Katanya, kesatuan adalah sebagai satu badan penghubung antara majikan dengan pekerja demi keharmonian , kebertanggungjawaban, ketelusan, menjaga kebajikan dan menggelak daripada berlaku sebarang pertikaian.
“Maka wakil kesatuan memerlukan barisan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa isu pekerja kepada pihak majikan dan pihak berwajib untuk menyampaikan keperluan kesatuan demi ahli itu sendiri.
“Kepimpinan yang terbaik datang dari kalangan pekerja yang bermotivasi, berperwatakan tinggi dan mempunyai semangat juang yang tidak pernah berasa putus asa, biasanya kepimpinan ini dari kalangan pekerja yang berjawatan kerana mereka ini memiliki asas kepimpinan dalam sesebuah organisasi,” katanya.
Katanya, barisan kepimpinan di kalangan berjawatan memahami permasalahan yang timbul dan sering dibincangan dihadapi oleh organisasi itu.
“Kalau guru yang tidak berjawatan bergiat dalam kesatuan di peringkat negeri dan kebangsaan akan banyak mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti kokurikulum dan sukar untuk mengatur jadual tugas harian kerana terikat dengan keperluan majikan.
“Kesatuan juga tidak dimaklumkan punca daripada mana arahan yang tidak membenarkan guru penolong kanan, pengetua, guru besar serta pegawai yang bertugas di pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) dan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hanya badan pelaksana dan terpaksa akur dengan arahan dan sangat terkilan sekiranya KPM yang mengeluarkan arahan tersebut, ini seolah-olah menidakkan peranan guru-guru tertentu yang berjawatan bergiat cergas dalam kesatuan.
mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin
Sementara itu, mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin, berkata larangan tersebut terpakai terhadap semua pengetua, guru besar, penolong kanan termasuk pegawai yang bertugas di PPD, JPN serta pegawai di kementerian pendidikan.
Katanya, apa yang berlaku sekarang semua jawatan yang disandang oleh guru yang berjawatan perlu dilepaskan dan disandang oleh guru muda yang masih baharu berkhidmat serta masih cetek dalam pengalaman pengurusan dan peranan kesatuan.
“Ini dilihat kekurangan guru biasa yang sanggup mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana bimbang menghadapi banyak kekangan pergerakan daripada pihak pentadbir bermula di peringkat sekolah.
“Perjalanan pentadbiran kesatuan guru akan terjejas kerana guru biasa yang memegang jawatan tidak bebas bergerak untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti kesatuan seperti menghadiri mesyuarat kesatuan samada di peringkat cawangan, kawasan atau kebangsaan,” katanya.
Katanya, guru biasa agak sukar untuk menghadiri aktiviti kesatuan guru kerana perlu berhadapan dengan karenah pentadbir di peringkat sekolah dan bakal melarang untuk bergiat aktif dalam berkesatuan.
“Selain itu, guru biasa yang masih muda yang memegang jawatan ini pula kebanyakkannya kurang berpengalaman dalam pentadbiran kesatuan dan memberikan gambaran bahawa KPM dipercayai tidak akan berhadapan dengan pemimpin kesatuan yang sebelum ini merupakan pentadbir yang lantang bersuara,” katanya.
“Kesatuan guru pernah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri sebelum ini untuk memberi pengecualian atau memansuhkan perkara 26(2) (f) yang berkaitan tetapi tiada sebarang jawapan balas yang diterima,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota melakukan operasi mencari mangsa di Sungai Leleh, Bukit Ibam, hari ini.
Anggota tentera ditemui lemas di Sungai Leleh, Bukit Ibam
MUADZAM SHAH : Seorang anggota tentera berusia 28 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Leleh, Bukit Ibam ditemui pada jam 6.55 petang, hari ini.
Mangsa yang bertugas di cawangan Sumber Manusia Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur telah mandi manda di situ pada jam 3.17 petang.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi, Roduan Sudin melaporkan, mayat anggota tentera itu, Mohd Sabrie Mohd Shah yang dipercayai terjatuh ketika mandi di situ.
“Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dan BBP Pekan telah bergegas ke kawasan kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan turut dipanggil untuk membantu dalam pencarian mangsa,” katanya.
Katanya, anggota bomba penyelamat di air Pekan dan Bomba telah membuat pencarian peringkat awal dengan teknik pencarian di permukaan air (surface searching}.
“Mangsa ditemui di dasar sungai oleh anggota bomba yang melakukan penyelaman pertama pada jam 6.38 petang dan mangsa ditemui pada jam 6.55 petang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Cikgu Aisah (kiri) dan Razak Daud (kanan) bertemu setelah 43 tahun di sini, hari ini.
Gembira dan terharu bertemu semula guru Pendidikan Islam setelah 43 tahun
JERANTUT : Ketua Peneroka Felda Jengka 24 gembira dan terharu apabila bertemu bekas gurunya yang pernah mengajarnya ketika berusia 13 hingga 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau tawar, dekat sini.
Beliau, Razak Daud (63) tahun tergamam pada mulanya apabila bertemu gurunya, Aisah Sheikh Ali berusia 72 tahun di Majlis Kad Pahang Pride sumbangan Menteri Besar Pahang di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut, pagi ini.
“Saya sangat terkejut apabila bertemu cikgu yang mengajar subjek Pendidikan Agama Islam di majlis ini, cikgu Aisah juga seorang warden asrama puteri ketika itu yang berasal dari Johor.
“Selama ini saya tidak menjangka cikgu Aisah menetap di Pulau Tawar, rupanya beliau berumah tangga dengan orang Pulau Tawar dan berkeluarga di sini,” katanya.
Razak berkata, hampir 43 tahun beliau ingatkan cikgu Aisah sudah balik kampung di Johor dan saya gembira dan bersyukur bertemu cikgu yang masih sihat walafiat.
“Ketika bertemu tadi, anak cikgu Aisah yang perkenalkan saya dengan ibunya, saya sendiri sudah lupa wajahnya, maklumlah hampir 43 tahun tidak bertemu, kalau tidak diperkenalkan mungkin saya tidak tahu.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Aisah yang pernah mendidik saya pada tahun semasa di Tingkatan 1 hingga 3 dan saya ucapkan Selamat Hari Guru walaupun sudah terlewat, namun ucapan Hari Guru adalah sepanjang zaman,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!