KUANTAN: Seorang pengarah syarikat didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah satu daripada dua pertuduhan membuat tuntutan palsu yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini.
Tertuduh, Ibrahim Lamri, 59 tahun, didakwa mengarahkan kerani syarikat miliknya, CG Energy Resources Sdn Bhd yang beroperasi di Kompleks Makanan Halal Pahang di Taman Teknologi Pahang, dekat Gambang, menyediakan dan menandatangani dokumen iaitu invois tuntutan palsu untuk dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
GAMBAR IHSAN KOSMO ONLINE
Bagi pertuduhan pertama, Ibrahim didakwa mengarahkan kerani terbabit menyediakan tuntutan bayaran bulanan kepada kilang penapis minyak sawit tulen bagi bulan Mac 2019 dan pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengarahkan kerani berkenaan menyediakan tuntutan bagi bulan Mei 2019, juga untuk tuntutan bayaran bulanan kepada kilang penapis minyak sawit tulen, walaupun tidak ada pembekalan dibuat kepada peruncit berkenaan.
Jumlah tuntutan bagi bulan Mac ialah RM3,430.89 dan tuntutan bulan Mei pula berjumlah RM2,525.86, dipetik dari KOSMO! Online.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Hakim Datuk Zamzani Mohd Zain memutuskan hukuman itu selepas mendengar hujahan pembelaan tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Shaharuddin memohon pertimbangan mahkamah mengguna pakai TIC (Take Into Consideration) berikutan pengakuan tidak bersalah dibuat tertuduh hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas imbangan kebarangkalian bahawa penerimaan wang suapan oleh tertuduh seperti dalam sembilan pertuduhan adalah dilakukan secara rasuah sebagai upah membantu menguruskan pembelian hotel berkenaan.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pembelaan tertuduh bersifat pemikiran terkemudian, tidak konsisten dan hanya penafian tanpa sokongan yang berasas atau boleh dipercayai.
Katanya, mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh dalam konteks keseluruhan keterangan kes juga gagal menimbulkan sebarang keraguaan munasabah, lapor BH Online.
“Pihak pendakwaan dengan ini berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan.
“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesemua sembilan pertuduhan,” katanya.
Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 72, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebelum kes itu dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bermula 8 Oktober tahun lalu.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
GAMBAR HIASAN
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.
Terdahulu, seramai 20 wartawan, seorang daripada organisasi media terpilih, diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di sebuah bilik.
Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan liputan media semasa prosiding di mahkamah terbuka kecuali untuk kes melibatkan kepentingan awam, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung atau kemudahan liputan media menerusi aplikasi Zoom.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MEREKA DITUDUH MENGIKUT SEKSYEN 420 KANUN KESEKSAAN
IPOH: Dua peniaga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menipu tiga orang wanita berkaitan pelaburan Bitcoin berjumlah RM150,500 tahun lalu.
Redzuan Ismail, 38 dan Adan Ibrahim, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus di Mahkamah Majistret.
Bagi pertuduhan pertama, Redzuan dan Adan didakwa menipu Nur Raihan Shabila Md Noor sebanyak RM26,000 dengan menjanjikan pulangan pelaburan sebanyak 20 peratus selama tujuh bulan berturut-turut.
Kesalahan itu dilakukan pada 12 tengah hari di sebuah hotel di Meru pada 26 Julai tahun lalu, lapor Free Malaysia Today.
Bagi pertuduhan kedua, Redzuan dan Adan pada masa dan lokasi sama dituduh menipu Rozidah Yahya sebanyak RM120,000 dengan turut menjanjikan pulangan pelaburan dengan kadar yang sama untuk tempoh sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, kedua-dua mereka dituduh menipu Normah Shaari sebanyak RM4,500 di lokasi yang sama dengan menjanjikan pulangan pelaburan 20 peratus untuk tempoh sama pada 8 Mei tahun lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Aizul Rohan Anuar, Hazwa Mahira Azman dan Nurradiah Zaini.
Mahkamah menetapkan 9 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Terdahulu, Aizul memohon mahkamah supaya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan untuk anak guamnya kerana mereka memberikan kerjasama baik dalam kes berkenaan selain akaun bank perniagaan mereka sudah lama dibekukan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA PILAH: Dia hanya seorang suri rumah namun berani memecah masuk rumah jiran dan mencuri RM50,000 sebelum melarikan diri ke Kuala Lumpur.
Dengan wang itu, dia membeli barang kemas manakala bakinya pula diserahkan kepada ibu mentua kononnya ia hasil kemenangan loteri.
Itu tindakan D Mogana, 24, dari Kuala Pilah yang akhirnya menerima balasan atas perbuatannya apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadapnya.
Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Mogana yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Harian Metro.
Tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dengan memasuki rumah didiami R Letchmee, 78, dan mencuri wang tunai RM50,000 tanpa izinnya di sebuah rumah di Taman Bahagia Delima, di sini, pada 21 Januari lalu, 7 pagi.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 63 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan kes penawaran wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan kepada anggota polis untuk melepaskan individu yang ditahan.
Majistret Jamaliah Abd Manap mengeluarkan perintah reman itu, bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Jayarah, di Mahkamah Majistret di sini.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Wanita itu yang diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, lapor Bernama.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang wanita warga emas didakwa menawarkan wang tunai berjumlah RM28,150 sebagai sogokan bagi melepaskan enam individu yang ditangkap kerana disyaki terbabit sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di negeri ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TURUT DIKENAKAN HUKUMAN SEBATAN MAKSIMUM 24 KALI KERANA ROGOL ANAK TIRI
KLANG: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.
Hakim M Kunasundary menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas lelaki berusia 33 tahun itu selepas dia mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap, 20 Januari lalu, lapor Bernama.
Kunasundary dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.
Kesemua 105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah pada prosiding hari ini yang berlangsung hampir lima jam, bermula dari jam 2.45 petang hingga 7.30 malam.
Mengikut 105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.
Hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah keji dan amat berat serta memalapkan hidup seorang kanak-kanak.
“Saya harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minimum, namun mahkamah berasakan memadai dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu,” katanya.
Mengikut 105 pertuduhan, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon hukuman pemenjaraan berat dan sebatan maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam.
“Mangsa dalam kes ini berumur 12 tahun semasa mula-mula dirogol oleh tertuduh dan dia dirogol selama dua tahun sebanyak 105 kali.
“Tertuduh sepatutnya bertanggungjawab membela mangsa namun dia merosakkan harga dirinya.
“Akibat daripada perbuatan tertuduh akan menyebabkan trauma seumur hidup kepada mangsa sepanjang hayat,” katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber.
Nurul Qistini berkata kes merogol anak dalam jagaan merupakan kesalahan yang amat keji dan terkutuk serta dipandang serius oleh segenap masyarakat tidak kira agama apa sekalipun.
Perbuatan tertuduh diibaratkan sebagai haruan makan anak yang menjadi perhatian serius masyarakat umum yang bertentangan bukan sahaja dari segi undang-undang malahan ditegah oleh agama.
Dia turut memohon hukuman berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi mengurangkan hukuman.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa bercerai dengan bapa mangsa pada 2015 sebelum wanita terbabit berkahwin pula dengan tertuduh pada November 2016.
Semasa kejadian, hanya mangsa dan tertuduh berada di dalam rumah.
Mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana diugut dan dipukul tertuduh.
Kanak-kanak itu hanya menceritakan kejadian tersebut apabila ibunya membawa dia dan adik perempuan ke rumah ibu saudara mereka.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAHKAMAH PUTUSKAN TERTUDUH DIKENAKAN IKAT JAMIN RM90,000
GEORGETOWN: Remaja yang berdepan dengan pertuduhan membunuh bayi perempuan baru dilahirkannya, dibebaskan dengan jaminan RM90,000, hari ini.
Peguam RSN Rayer ketika dihubungi Bernama berkata, anak guamnya, M Santhiea, 19, dibebaskan dengan jaminan di mahkamah pada 1.45 tengah hari, hari ini.
Sebelum ini, Santhiea ditahan di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Perlis.
Rayer berkata, pada 15 Januari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amirudin Abd Rahman membenarkan permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan jaminan RM90,000 dengan dua orang penjamin serta memerintahkan Santhiea selaku pemohon dalam kes itu untuk melapor diri di Balai Polis Air Itam pada setiap Sabtu.
GAMBAR IHSAN HARIAN METRO
Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan gadis itu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan pemohon tidak dibenarkan untuk memohon sebarang dokumen perjalanan termasuk pasport dan dokumen perjalanan lain, lapor Harian Metro.
Selain itu, tertuduh turut dikehendaki berada di kediaman dari 7 malam hingga 7 pagi dan tidak dibenarkan meninggalkan Pulau Pinang tanpa kebenaran mahkamah.
Pada 16 Julai 2020, Santhiea dituduh membunuh bayi perempuan baru dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENGUTIP BESI TERPAKAI DIDAKWA MENGAMUK DI BALAI POLIS
IPOH: Seorang pengutip besi terpakai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merusuh, melakukan khianat dan mencederakan anggota polis di Balai Polis Lahat Ahad lalu.
Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.
Mengikut pertuduhan pertama, Arnee didakwa berkelakuan rusuh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum denda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
GAMBAR IHSAN BERNAMA
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat iaitu menyebabkan kerosakan pada pintu cermin Balai Polis Lahat bernilai RM380.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lelaki tersebut turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohamad Anuar Mohd. Noor dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar yang boleh menyebabkan kematian.
Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan, lapor Bernama.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat enkuiri, Balai Polis Lahat di sini pada pukul 11.40 pagi 24 Januari lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Ketua sindiket dadah terbesar negara serta empat lagi ahli sindiket berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap 18 pertuduhan mengedar dadah, awal bulan lalu.
Tertuduh membabitkan ketua sindiket, Goh Chee Kuang, 44; teman wanitanya, Lee Chia Hui, 33; serta Bally Paw Shaw Kiat, 38; dan dua beradik, Lye Chang Pung, 39 dan Lye Chang Lim, 36.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat, lapor Harian Metro.
GAMBAR HIASAN
Chang Pung berdepan lima pertuduhan, Shaw Kiat pula empat manakala Chee Kuang, Chia Hui dan Chang Lim masing-masing tiga pertuduhan.
Mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram (g) hingga 210 kilogram (kg).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah di sini, antara 9 hingga 15 Januari 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman mati mandatori iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K L Chee dan Kevin Quah Kai Weng.
Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula bagi serahan laporan kimia.
GAMBAR HIASAN
Sebelum ini media melaporkan polis Johor membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket membabitkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah, antara 8 sehingga 17 Januari lalu.
Dalam serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 dan 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah.
Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM327 juta yang dianggarkan boleh menampung 16.7 juta penagih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GEORGETOWN : Tujuh lelaki direman tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua remaja lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Kesemuanya yang berusia 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
Terdahulu, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam, lapor HarianMetro.
Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki terbabit turut mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja itu menyebabkan mereka terbabit kemalangan.
Video dan gambar provokasi itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!