KLANG: Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam ditemukan di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan dekat sini, tengah hari tadi.
Bayi yang dibungkus dengan kain batik dan tuala itu masih bertali pusat serta uri.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki sekitar jam 12 tengah hari mendakwa menemui bayi perempuan di belakang sebuah rumah.
Katanya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dijumpai lelaki itu selepas diberitahu oleh kanak-kanak yang bermain di hadapan rumahnya.
“Tiada maklumat atau sijil kelahiran ditemui bersamanya.
“Pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di tempat kejadian mendapati fizikal bayi dalam keadaan normal serta stabil.
“Usia bayi dipercayai baru beberapa jam berdasarkan uri dan tali pusat masih basah. Bayi itu kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang paderi warga Korea dari gereja Persatuan Orang Pekak, ditahan pada 23 November lalu, kerana disyaki mencabul kehormatan lima lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) warga tempatan.
Kesemua mangsa yang juga penganut Kristian berusia antara 27 hingga 40 tahun yang pekak dan bisu kerap menghadiri kelas keagamaan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor termasuk dikendalikan oleh suspek terbabit.
Menurut laporan BHOnline, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata setakat ini, pihaknya menerima lima dan satu laporan masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor berhubung kes berkenaan membabitkan suspek berusia 54 tahun.
GAMBAR HIASAN
“Kita terima laporan pertama pada 12 November lalu dan susulan itu, lima lagi laporan kes sama diterima. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak di mana keluarganya berada di Korea dan dia datang ke Malaysia atas pelawaan oleh pengasas Persatuan Orang Pekak untuk menjadi paderi dan mengajar di gereja itu sejak 1998.
“Mereka adalah penganut Kristian dan ahli Persatuan Orang Pekak. Mangsa kerap hadir kelas keagamaan dan aktiviti gereja di sekitar Pulau Pinang dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Huzir berkata modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa ketika menghadiri kelas keagamaan dan aktiviti di gereja.
“Suspek mencabul mangsa dengan memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluannya dan kejadian dikatakan berlaku di gereja, dalam kereta dan rumah sewa suspek antara 2011 hingga 2016.
“Mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering mempengaruhi mangsa dengan mengatakan dia seorang pemimpin dan mereka perlu menuruti setiap arahannya,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati terdapat empat cawangan persatuan itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Perak manakala dua cawangan di Sarawak iaitu di Sibu dan Kuching.
“Suspek direman selama tujuh hari berakhir 30 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara l, Pulau Pinang, sebelum dikuarantin hingga 8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan yang disahkan positif COVID-19 di lokap.
“Suspek ditangkap semula bersabit laporan polis dibuat di Kepala Batas dan direman selama empat hari bagi siasatan dua kes di Pulau Pinang,” katanya.
Suspek direman selama enam hari bermula 13 Disember hingga esok bersabit laporan polis di Petaling Jaya, sebelum bakal berhadapan dengan dua tuduhan di Mahkamah Butterworth Pulau Pinang pada 21 Disember ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki dipercayai anggota geng curi lembu dan kerbau berpura-pura memancing ikan di Sungai Kulim, di sini sebelum menyumpit kerbau milik penduduk yang ditambat di tepi sungai berkenaan di Kubang Semang, di sini hari ini.
Bernama melaporkan, geng itu yang dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey untuk mencuri haiwan peliharaan penduduk.
Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Semang Saidin Yaakob berkata, sambil memancing, mereka menyumpit kerbau dipercayai dengan ubat pelali bagi melemahkan haiwan itu sebelum disumbat ke dalam MPV berkenaan untuk melarikannya.
Bagaimanapun, katanya gelagat empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dilihat seorang remaja yang kemudiannya memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum mereka cuba menahan geng berkenaan.
“Mereka yang bersenjatakan parang itu panik selepas melihat penduduk kampung, bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kerbau dalam MPV yang digunakan geng itu.
Empat lelaki itu bagaimanapun bertindak mencuri dua motosikal penduduk ketika cuba melarikan diri. Kerbau yang cuba dilarikan tersebut berharga antara RM7,000 hingga RM8,000,” katanya di sini.
Saidin berkata pemilik kerbau yang berusia 50-an itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan dia juga pernah kehilangan tiga ekor lembu dalam kejadian Ramadan lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya polis juga menerima laporan daripada pemilik kerbau berkenaan.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan polis percaya empat lelaki itu merupakan anggota sindiket mencuri lembu dan kerbau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Dua lelaki berputih mata apabila barangan rokok seludup yang dibawa mereka bernilai RM138,720 dipintas polis di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini semalam.
Memetik laporan BHOnline, kegiatan dua lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar selepas dua buah kenderaan, iaitu Perodua Alza dan Suzuki Swift yang dinaiki mereka ditahan di jalan berkenaan pada jam 1.45 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, hasil pemeriksaan ke atas Perodua Alza telah menemukan sebanyak 242 karton rokok seludup pelbagai jenama.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM138,000.
“Lelaki menaiki Perodua Alza dipercayai bertindak sebagai penghantar rokok, manakala sorang lagi adalah tonto,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dimin, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NIBONG TEBAL: Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta jenis Proton Perdana di Taman Gamelan Indah, Sungai Bakap di sini, malam tadi.
Kejadian itu berlaku ketika pemandu kenderaan terbabit cuba melarikan diri selepas merempuh seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal.
Bagaimanapun, cubaan pemandu berusia 43 tahun yang mempunyai rekod jenayah itu untuk meloloskan diri gagal selepas keretanya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Sungai Kechil, selepas dikejar kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai, Superintendan Lee Chong Chern, berkata kejadian itu berlaku pada jam 8.15 pagi ketika anggota polis sedang bertugas membuat pemantauan aktiviti jenayah.
Memetik laporan BHOnline, beliau berkata, pihaknya menahan dua lelaki berusia 36 dan 43 tahun di Taman Gamelan Indah, di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
“Namun, suspek berusia 43 tahun itu tiba-tiba meluru masuk ke dalam Proton Perdana menggunakan plat pendaftaran WGU8193, untuk melarikan diri.
“Suspek kemudiannya mengundurkan kereta dengan laju dan merempuh seorang Lans Koperal yang bertugas.
“Kejadian itu mengakibatkan anggota itu cedera di siku, jari tangan kiri dan belakang badan. Sebuah motosikal juga alami kerosakan pada bahagian lampu,” katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, Chong Chern berkata, seorang anggota polis di lokasi kejadian melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta suspek sebagai langkah mempertahankan diri selepas melihat rakannya dirempuh dan belum mendapatkan bantuan.
“Suspek memandu kereta itu dengan laju dan dikejar MPV polis sebelum merempuh bahagian belakang kereta jenis Proton Wira
“Ketika suspek tiba di kawasan Jalan Sungai Kechil, dia hilang kawalan dan terbabas. Kita berjaya menahannya di kawasan itu,” katanya
Chong Chern berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian membawa kepada penemuan paket kecil berisi syabu, dipercayai dibuang suspek.
“Kita percaya tujuan suspek melarikan diri adalah untuk elak ditahan kerana memiliki dadah.
“Pasukan forensik polis turut menemui lapan kelongsong peluru di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
“Selain suspek itu, kita turut tangkap seorang lelaki berusia 39 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERIAN: Seorang kontraktor lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan khianat dengan membuang beduk (gendang) dan mengoyakkan helaian al-Quran serta Muqaddam sebelum dibuang ke dalam parit berdekatan Surau Al-Rahman, Simpang 3, Kuala Kurau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata suspek yang dikenali sebagai Mie berusia 43 tahun itu berjaya ditahan pada hari sama selepas seorang penduduk membuat laporan di Balai Polis Kuala Kurau.
Mazuki berkata penduduk kampung menemukan peralatan surau seperti beduk, tikar, al-Quran dan Muqaddam di dalam parit berhampiran Surau Al-Rahman pada kira-kira jam 7.30 pagi.
GAMBAR HIASAN
“Pemeriksaan mendapati kulit beduk telah ditoreh dan dikoyakkan selain terdapat kesan racun dituang di kawasan parit sehingga menyebabkan beberapa ekor ikan mati.
“Selain peralatan surau, penduduk turut menemukan pelan rumah dan peralatan pertukangan berkaitan kontraktor perumahan dipercayai milik seorang penduduk di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama di Parit Buntar hari ini.
Mazuki berkata berdasarkan maklumat dan siasatan awal daripada isteri suspek, lelaki itu dikatakan mempunyai masalah mental serta masih dalam rawatan dan sering berhalusinasi.
“Suspek mendakwa melakukan perkara itu bagi mengelakkan bencana alam berlaku sekiranya barangan itu tidak dibuang ke dalam parit, namun polis masih menjalankan siasatan,” katanya.
Beliau berkata suspek direman selama tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seramai sembilan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur (KL) diberkas atas pelbagai salah laku jenayah.
Kesemua mereka berusia 29 hingga 58 tahun diberkas dalam beberapa siri tangkapan bermula 25 November hingga 8 Disember lalu.
GAMBAR HIASAN
Menurut laporan KOSMO! Online, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, tangkapan ke atas anggota polis itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung salah laku jenayah mereka.
“Antara salah laku yang dilakukan termasuk pemerasan, ugutan jenayah dan terlibat dalam sindiket penglibatan dadah.
“Selain itu, seorang daripada sembilan suspek itu didapati tidak hadir tugas selama 24 hari berturut-turut dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 86 Akta Polis 1967 iaitu pembolosan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya lagi, kesemua suspek sudah dituduh di mahkamah baru-baru ini.
“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999,” ujarnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEKAS SUAMI JUMPA MAYAT TERGANTUNG KETIKA DATANG HANTAR MAKANAN
MACHANG: Seorang wanita ditemui mati tergantung dalam rumahnya di Kampung Dusun Buruk, Temangan, di sini malam tadi.
Mayat mangsa ditemui bekas suaminya berusia 50 tahun jam 11 malam sebelum memaklumkan kepada polis.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata sebaik polis tiba di lokasi kejadian, mangsa berusia 34 tahun itu terbaring di lantai dapur selepas diturunkan bekas suaminya.
“Mangsa ditemui oleh bekas suaminya yang datang ke rumah berkenaan untuk menghantar makanan dan mendapati wanita itu dalam keadaan tergantung dan tidak sedarkan diri.
“Bekas suami mangsa kemudiannya menggunakan gunting bagi menurunkannya.
“Siasatan mendapati mangsa tinggal di rumah kayu lama yang usang dan pemeriksaan di dalam rumah mendapati tidak terurus, namun tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan BHOnline.
Beliau berkata, terdapat kesan lilitan tali di bahagian leher mangsa.
“Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa sudah bercerai dengan bekas suaminya itu yang bekerja sebagai tukang rumah sejak sebulan lalu dan tinggal berseorangan.
“Mangsa juga tidak mempunyai anak hasil daripada perkahwinan itu, namun menjadi rutin bekas suaminya datang ke rumah untuk menghantar makanan kepadanya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG : Polis merampas dadah bernilai kira-kira RM488,000, dipercayai untuk pasaran di Bentong dan Kuala Lumpur, serbuan di Genting Highlands kira-kira pukul 7.45 malam pada 10 Disember lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri itu menahan seorang lelaki Cina berusia 48 tahun berasal dari Petaling Jaya, Selangor dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah restoran di pusat peranginan terkenal berkenaan.
Jelasnya , dadah jenis syabu dalam 10 bungkusan teh Cina kedap udara itu dipercayai diperoleh dari negara jiran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM488,788 yang boleh dibekalkan kepada 20,776 penagih khususnya penduduk tempatan dan pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.
Beliau berkata, rampasan dadah di Genting Highlands tersebut adalah yang terbesar di daerah Bentong .
“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar daerah Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah.
Katanya, suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori sampai mati jika sabit kesalahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IKAN PATIN, IKAN TAPAH SELUDUP DARI INDONESIA KE SARAWAK DITAHAN PGA SIBU
KUCHING: Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup masuk lapan guni ikan patin dan tapah bernilai RM 10,000 dari Indonesia ke Sarawak digagalkan Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu.
Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Mancha Ata, berkata pada jam 6.30 pagi semalam anggota petugas Op Benteng COVID-19 sedang membuat rondaan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) di Jalan Enswang, Lubok Antu.
“Mereka telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah persempadanan Indonesia.
“Hasil pemeriksaan terdapat dua lelaki warga tempatan cuba menyeludup masuk ikan jenis patin dan tapah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari BHOnline hari ini.
Mancha berkata, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM 50,000 yang digunakan suspek.
“Laporan polis telah dibuat dan suspek telah ditangkap bersama barangan.
“Rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!