SIMPAN AIR KETUM DALAM BILIK GAS: RAMPASAN DILAKUKAN HASIL PEMERIKSAAN DI PANGSAPURI PENJAWAT AWAM
PUTRAJAYA: Sebanyak 61 botol membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 91.5 liter air ketum dirampas polis di pangsapuri penjawat awam di Presint 5 dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, air ketum yang bernilai RM1,525 itu ditemui di dalam tong berwarna oren yang disorokkan di bilik saluran gas.
SEBAHAGIAN AIR KETUM YANG BERJAYA DIRAMPAS PIHAK POLIS HASIL PEMERIKSAAN DI PANGSAPURI AWAM DEKAT PUTRAJAYA/IHSAN PDRM
“Atas maklumat awam pada jam 12.30 tengah hari tadi, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Putrajaya menuju ke bilik saluran gas yang terletak di salah satu blok pangsapuri itu,” katanya ketika dihubungi SINAR HARIAN pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SAMSENG DITAHAN SELEPAS BERGADUH: DIBERKAS POLIS KETIKA PEMERIKSAAN
AMPANG JAYA: Polis menahan 15 lelaki disyaki ahli sebuah kumpulan samseng kerana terbabit dalam pergaduhan dipercayai berebut kawasan di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek berusia antara 17 hingga 35 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, yang terserempak dengan mereka dalam keadaan mencurigakan di restoran terbabit, sekitar 10.30 malam.
ASISTEN KOMISIONER MOHAMAD FAROUK ESHAK
Mohamad Farouk berkata, semasa ditahan di kedai makan berkenaan, kumpulan berkenaan dipercayai baru selesai bergaduh di satu lokasi di Lembah Jaya di sini, kerana ingin merebut dan menguasai sesebuah kawasan bagi tujuan mendapatkan kepentingan tertentu, selain melakukan pemerasan.
“Semua suspek ditahan ini terdiri daripada ahli kumpulan samseng secara kecil-kecilan1 dan pihak polis sedang giat mengenal pasti serta mengesan ahli satu lagi kumpulan yang bergaduh dengan mereka.
“Hasil siasatan awal, empat daripada 15 suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau berhubung kes curi dan merusuh dan salah seorang turut didapati pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya yang dipetik BH ONLINE, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, lima daripada suspek ditahan didapati mengalami kecederaan di kepala dan kesan luka di badan serta sudah mendapat rawatan pesakit luar, manakala seorang lagi suspek ditahan di wad Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
“Berdasarkan keterangan dan kesan kecederaan dialami, kita percaya kedua-dua kumpulan bergaduh dengan menggunakan senjata berupa kayu dan topi keledar.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi 0.26 saat dipercayai merujuk kepada pergaduhan membabitkan dua kumpulan berkenaan.
Mohamad Farouk turut memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri serta membelakangi undang-undang, selain dilarang mengeluarkan kenyataan bercanggah dan tidak betul serta belum pasti kesahihannya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa susulan penahanan empat lelaki dalam empat serbuan di sekitar Muar dan Johor Bahru di sini Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua empat suspek yang diberkas itu terdiri daripada warga tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun yang bertindak sebagai penjaga bekalan dadah dan penghantar (runner).
DATUK AYOB KHAN (DUA DARI KIRI) MENUNJUKKAN SEBAHAGIAN DADAH DIRAMPAS POLIS JOHOR DALAM SIDANG MEDIA DI IPK JOHOR HARI INI/KOSMO! ONLINE
Menurutnya, dalam operasi khas bermula pukul 6.30 petang itu turut berjaya merampas 23.93 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.07 juta serta tiga liter air ketum dan 480 gram (g) daun ketum.
“Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor serta IPD Muar melakukan operasi khas dan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
“Empat suspek bertindak sebagai penghantar iaitu runner dan juga penjaga bekalan dadah sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia melalui jalan laut,” katanya dalam sidang akhbar dipetik dari KOSMO! ONLINE.
Ayob Khan berkata, siasatan polis turut mendapati sindiket ini menyorokkan dadah tersebut di dalam tempat penyimpanan barang sebuah trak tunda dan bonet kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.
Jelasnya, sindiket yang aktif sejak sebulan lalu itu menggunakan modus operandi terbabit bagi mengaburi daripada dikesan mata pihak berkuasa sebelum menggunakan bot untuk dibawa keluar ke negara jiran.
Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai dapat diedarkan kepada lebih 239, 250 penagih dadah di Indonesia.
“Kesemua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Januari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
DITETAK SUSPEK DIKENALI: PENGANGGUR CEDERA AKIBAT DENDAM
GUA MUSANG : Seorang lelaki cedera di tetak dipercayai dengan parang di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 1, dekat sini, semalam.
Mangsa berusia 30 tahun masih menganggur diserang seorang lelaki yang dikenalinya kira-kira jam 1.30 tengah hari dipercayai akibat dendam.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Sik Choon Foo, berkata mangsa didatangi lelaki dikenalinya berusia 35 tahun dan terus menetaknya dipercayai menggunakan senjata tajam.
Beliau berkata, mangsa cedera di tengah kepala, luka ringan di kaki serta luka kira-kira lima sentimeter di belakang badan.
“Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil,” katanya seperti dilaporkan BH ONLINE.
Choon Foo berkata, susulan kejadian itu, suspek yang menetak mangsa ditahan di rumahnya di Pondok Hidayah 1, Kampung Chawah, Tanah Merah, Kelantan.
Katanya, sebilah parang juga ditemui bersama suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Ikuti juga berita di sini:
https//sahih.com.my
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas video yang memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia disunting bagi tujuan menghina negara itu.
BH ONLINE melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Hamid memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Terdahulu, media melaporkan, Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video, yang menghina negara jiran itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi, menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan satu video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekehkan serta menghina Indonesia.
Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lalu oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, ‘Indonesia Raya’, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.
Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘DATUK’ RANCANG BUAT BANTAHAN: ISU BERKAITAN KES 4 PENYAMUN DITEMBAK
KUALA LUMPUR: Polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa sebagai ‘Datuk’ mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengadakan bantahan secara berkumpulan susulan kejadian empat suspek samun ditembak mati.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima laporan daripada lelaki itu kelmarin berkaitan isu bantahan sahaja dan tidak berbangkit sebarang cubaan untuk merusuh.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, setakat ini, keadaan masih terkawal dan pihaknya menolak sebarang kemungkinan rusuhan akan berlaku.
“Kita masih giat menyiasat perkara ini termasuk bila dan di mana mereka akan buat bantahan itu.
“Jangan bimbang, keadaan masih terkawal di Sungai Buloh,” katanya kepada BH ONLINE.
Kelmarin, polis dilaporkan menyiasat sama ada empat suspek kes samun ditembak mati mempunyai rangkaian kumpulan atau bekerjasama dengan pihak lain bagi menjalankan aktiviti jenayah itu di Selangor sejak awal tahun ini.
Arjunaidi dipetik berkata, polis juga menyiasat kemungkinan ada suspek lain yang ada hubungan dengan empat lelaki terbabit.
Empat suspek kes samun di Rawang maut ditembak polis ketika melarikan diri daripada pemeriksaan dengan menaiki sebuah kereta di Sungai Buloh, Jumaat lalu.
Semua lelaki berkenaan berusia lingkungan 20-an sebelum itu dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang dekat sini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
327 PEGAWAI, ANGGOTA PDRM TERBABIT DADAH: DITAHAN SEPANJANG 10 BULAN PERTAMA TAHUN INI
KUALA LUMPUR: Seramai 327 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan selepas terbabit penyalahgunaan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata tangkapan ke atas anggota dan pegawai itu dilakukan pihaknya melalui Ops Duri menerusi maklumat risikan serta aduan diterima.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, jumlah tangkapan tahun ini menunjukkan trend penurunan berbanding 566 yang ditahan tahun lalu.
Katanya, antara kes penyalahgunaan dadah membabitkan membekalkan, memiliki, keputusan ujian air kencing positif dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Pihak JSJN sentiasa melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Duri yang sebelum ini dikenali sebagai Op Blue Devil bagi mencegah pembabitan anggota dan pegawai dengan penyalahgunaan dadah.
“Daripada jumlah itu, 18 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 74 individu kerana memiliki dadah, 225 positif air kencing sementara 10 individu melalui LLPK setakat ini tahun ini,” katanya.
Bernama melaporkan, tahun lalu, 40 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 99 kerana memiliki dadah, 424 positif air ujian kencing serta tiga di bawah LLPK.
Razarudin berkata trend penurunan tangkapan turut direkodkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), membuktikan PDRM tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, sekiranya pegawai serta anggota yang ditahan tidak terbabit dalam isu integriti dan hanya mempunyai masalah disiplin diri serta dilihat tidak sesuai bertugas di JSJN, mereka akan ditukarkan bertugas di jabatan lain.
“Saya tidak boleh nafikan ada pegawai dan anggota polis terbabit penjualan ketum yang dilarang di bawah Akta Racun, kami ada terima laporan berhubung perkara ini,” katanya.
Razarudin berkata pihaknya akan mengambil tindakan sama ada mendakwa mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit di mahkamah atau menukarkan mereka.
“Selain itu, saya kena menunjukkan teladan bahawa saya dulu betul (menjadi contoh baik kepada anak buah), baru anak buah saya tengok saya adalah ketua yang betul.
“Jika saya hidup bermewah-mewah, pegawai dan anggota saya akan nampak saya tidak betul dan gaji saya tidak setara dengan kehidupan mewah.
“Saya minta kepada pegawai dan anggota polis yang terbabit sindiket supaya kembali ke pangkal jalan. Apabila ada pegawai dan anggota yang dibuang kerja selepas berkhidmat 10 tahun, ia akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta ringgit,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan terhadap semua rampasan dadah dilakukan PDRM, beliau berkata ia menjadi barang kes sehingga perkara itu diputuskan mahkamah.
“Apabila dadah dikembalikan kepada JSJN, kita akan melaksanakan pelupusan mengikut kaedah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kebiasaannya, pelupusan dilaksanakan dengan membakar barangan terbabit dan ada syarikat dilantik JAS itu sendiri,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menahan tiga lelaki selepas video merempit dan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban tular di aplikasi WhatsApp semalam.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, tangkapan dibuat selepas satu rakaman video berdurasi 38 saat tular menerusi aplikasi WhatsApp menunjukkan lagak mat rempit berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mereka melakukan aksi tersebut kira-kira pukul 12.50 tengah malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas singgah makan di Seremban, Negeri Sembilan.
“Berdasarkan video tersebut, ketiga-tiga suspek itu didapati berlumba sesama sendiri selain melakukan aksi zig-zag,” katanya ketika dihubungi KOSMO! ONLINE hari ini.
Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat pihak polis menahan ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 20 tahun itu di sekitar Puchong, Selangor.
“Tangkapan dibuat bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam sebelum kesemua mereka dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut
“Selain itu, kita turut menyita tiga buah motosikal yang digunakan suspek iaitu jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video/gambar: Polis/media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
30 DICEKUP SERTAI PARTI LIAR: SEJUMLAH DADAH TURUT DIRAMPAS HASIL SERBUAN
BENTONG: Seramai 30 lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun, termasuk seorang warga asing, ditahan dalam serbuan di sebuah banglo berhampiran kawasan Genting Sempah, dekat sini, awal pagi tadi.
Mereka ditahan kerana dipercayai menyertai parti liar yang dianjurkan sempena cuti Hari Krismas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya turut merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine, ketamine dan ganja dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 dalam serbuan itu hasil pemantauan dan maklumat awam.
“Ujian air kencing dijalankan terhadap semua suspek mendapati 15 lelaki dan 10 wanita yang menyertai parti liar itu positif dadah jenis methamphetamine dan seorang lagi wanita positif dadah jenis ketamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39a(1) akta sama; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Zaiham berkata, kesemua 29 warga tempatan yang ditahan itu dikenakan kompaun mengikut Akta 342 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) kerana melakukan aktiviti yang menyebabkan ramai orang berkumpul hingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan.
Katanya, semua suspek direman sehingga 31 Disember ini dan seorang warga asing yang turut ditahan dalam serbuan itu sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaraya bagi tujuan tindakan susulan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMANDU DAN SEORANG WANITA DITAHAN SELEPAS LARI DARI PEMERIKSAAN POLIS POSITIF DADAH
KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan dinaiki seorang lelaki dan wanita hampir melanggar anggota polis ketika nekad melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Gurney di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada 4.45 petang itu, pada mulanya lelaki berusia 26 tahun yang memandu pacuan empat roda bersama wanita berusia 24 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya cuba menahan mereka namun kenderaan itu memecut ke arah Jalan Tun Razak sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, anggota polis menuju ke arah kenderaan terbabit tetapi suspek cuba melanggarnya dan menyebabkannya terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan itu bagi memberhentikannya.
“Bagaimanapun, suspek memandu secara melulu ke arah pusat bandar sebelum cuba melanggar anggota polis trafik yang datang membantu pasukan sedia ada.
“Dalam perjalanan itu, suspek turut melanggar beberapa buah kenderaan sebelum ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan HARIAN METRO hari ini.
Rajab berkata, hasil siasatan mendapati kedua-duanya cuba melarikan diri daripada ditahan polis susulan berada dalam pengaruh dadah.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif syabu dan ganja.
“Pemeriksaan dalam kereta menemui satu buku lima dan semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi.
“Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga 29 Disember ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!