BUKIT MERAH, PADANG PIOL UNIK DAN MENAKJUBKAN
JERANTUT: Menakjubkan, bagai dalam filem fantasi kerana dikelilingi batang pohon berwarna merah ketika tiba di puncak Bukit Buluh atau lebih popular dengan panggilan Bukit Merah di FELDA Padang Piol, dekat sini.
Pokok tersebut dipanggil kelat gelam berwarna merah atau nama saintifiknya Eugenia Cerina Hend banyak berada di sepanjang permatang di puncak bukit tersebut serta di sekitar lerengnya menjadikan bukit itu sangat unik dan menjadi tarikan utama pengunjung.
Bukit Buluh berada pada ketinggian 371 meter dan pastinya menjadikan pengunjung yang berminat dengan sukan ekstrem pendakian dan tidak sukar untuk ditawan serta mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak.
Pengerusi Kami Anak FELDA (KAF), Roszita Dzulkafli, 47, berkata Bukit Merah disedari oleh orang tempatan yang mendaki ke situ kira-kira 3 tahun lalu dan mula diikuti anak muda FELDA Padang Piol sebagai tempat riadah pendakian.
“Mulai tahun 2018, berita keunikan puncak bukit menjadi bualan ramai dan semakin ramai yang berkunjung khususnya penduduk dari daerah Jerantut terutama pelajar.
“Kemudian mula dikunjungi pelancong luar seperti Jepun, China dan negeri lain di semenanjung, kehadiran terhenti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu dan sekarang mula ramai semula dengan kawalan bilangan pengunjung dibenarkan untuk mendaki,” katanya.
Katanya, tempat untuk memulakan pendakian ke bukit itu tidak jauh dari jalan besar Jalan Padang Piol-Kuala Tahan dan dikelilingi pokok sawit sebelum tiba di kaki bukit serta terletak kira-kira 25 kilometer dari Bandar Jerantut.
Seorang pengunjung dari Jengka 8, Che Haslinawati Ahmad berkata sangat seronok ketika tiba di puncak dan terkejut banyak pokok merah dan pemandangan yang cantik tetapi pada hari ini laluan basah dan licin menjadikan agak mencabar.
“Memang terkejut, seolah menonton filem fantasi di kelilingi pokok merah, diharap pengunjung yang mendaki menjaga kebersihan dan juga keselamatan pokok ini agar tidak dirosakkan dengan apa cara sekali pun,”katanya.
Pengunjung dari Bandar Jerantut, Albert Mong, 59, ditemani isterinya, berkata bagus juga ada COVID-19, kalau tidak orang tidak akan mengenali banyak tempat menarik di Jerantut seperti Bukit Merah, Padang Piol.
“Wow, sangat cantik dengan pemandangan sekitar dari atas bukit serta ditemani pokok berbatang merah, kita kena jaga jangan bagi orang musnahkan, siapa lagi kalau kita orang Jerantut yang jaga.
“Laluan pendakian agak mencabar kerana ada beberapa tempat curam melebihi 45 darjah, tetapi sangat seronok, kita kaya dengan kawasan pendakian di Jerantut seperti Bukit Seladang, Bukit Panau dan Via Ferrata Paya Gunung,” katanya.
Pengerusi Peminat Burung, Roslan Abu Kassim berkata, pengunjung diharapkan tidak memegang batang pokok tersebut kerana mungkin pengunjung menggunakan cacair tangan pelindung kulit yang boleh memudaratkan pokok tersebut.
“Selain itu, pengunjung jangan memanjat pokok, mematahkan dahan dan mendekati pokok itu kerana bakal merosakan akar pokok ini dan mengugat jangka hayat pokok kelat gelam yang berwarna merah.
“Diharap pihak yang terbabit dengan pengurusan bukit ini, memasang tanda untuk mengawasi akar pokok itu agar tidak dipijak serta meletakkan tanda amaran tidak memanjat pokok untuk berswafoto,” katanya.