BERSATU BINCANG ISU UNDI PERCAYA DI PERAK
KUALA LUMPUR: BERSATU akan mengadakan perbincangan khas berhubung keputusan undi percaya yang tidak menyebelahi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan berkata, apa yang diputuskan dalam DUN Perak itu akan diperincikan sebelum pendirian parti dijelaskan.
GAMBAR HIASAN
“Perkara ini insya-Allah akan dibincangkan pimpinan BERSATU dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya dalam hantaran Facebook milik beliau, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dibentangkan oleh ADUN Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim.
Sebanyak 48 undi menolak usul berkenaan dan 10 menyokong manakala satu undi rosak atau berkecuali.