Foto : Ahli Jiran Wanita bersama biskut raya yang dapat disiapkan dalam program itu.
KRT Sungai Buaya gotong royong buat biskut raya
Program Gotong-Royong Buat Biskut Raya yang dianjurkan oleh Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Zon Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor melalui Jiran Wanita mencerminkan semangat “Muafakat membawa berkat” seperti yang terkandung dalam peribahasa Melayu.
Program yang pertama kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan 25 peserta dari lapan cawangan KRT di kawasan tersebut.
Walaupun perancangannya agak singkat, program ini tetap berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu dari Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor, Nor Faizah Kamaruddin, dan komitmen daripada semua pihak terlibat.
Ahli Jiran Wanita bergotong-royong sambil belajar membuat biskut raya.
Program yang berlangsung di Pusat Komuniti KRT Kasturisari Presint 14 ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama antara Jiran Wanita dari pelbagai cawangan KRT, termasuk Mawarsari, Kasturisari, Kembojasari, Melursari, Melatisari 2, Melatisari 3, Kantan Cempaka, dan Persiaran Bakawali.
Selain mengeratkan hubungan komuniti, program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada Jiran Wanita agar lebih berdikari dalam penyediaan biskut raya.
Di samping itu, ia juga membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan berpotensi menjadi usahawan berjaya. Kos bahan dan peralatan memasak dikongsi bersama antara peserta, dan biskut yang telah siap dimasak diagihkan kepada semua yang hadir.
Pada majlis penutup program, Nor Faizah menyampaikan ucapan tahniah kepada KRT Zon Bandar Sungai Buaya atas kejayaan menganjurkan program ini yang melibatkan lapan cawangan KRT.
Beliau juga berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan lebih ramai peserta, termasuk golongan muda.
Selain itu, beliau turut menghargai KRT Kasturisari sebagai tuan rumah kerana menyediakan tempat yang selesa untuk aktiviti tersebut, yang turut menyemarakkan semangat perpaduan dan muhibah antara kaum.
Program ini bukan hanya berfokus pada keperluan sosial, tetapi juga pada pembangunan ekonomi komuniti setempat, mengukuhkan rasa kekitaan dan meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jerantut Terus Cemerlang, Kekal Bandar Paling Bahagia 2025
Hebat! Jerantut sekali lagi dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia untuk tahun 2025.
Ini pastinya pencapaian yang membanggakan bagi warga Jerantut dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
Kejayaan ini menggambarkan bagaimana pentingnya semangat kejiranan, kebersihan, dan kesejahteraan sosial dalam membentuk sebuah komuniti yang harmoni.
Semoga Jerantut terus kekal sebagai tempat yang terbaik untuk dihuni dan dikunjungi, dan budaya positif ini dapat diteruskan.
Tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat! -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Cikgu Muslimin menunjukkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat hasil tulisannya kepada Fadhlina.
Guru hasil dua buah naskah buku dirinya
Bergelumang sebagai pendidik selama 37 tahun tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Guru Cemerlang Sejarah, Muslimin Fadzil @ Syed Musleem apabila dia menghasil dua naskhah buku berjudul Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri untuk tatapan umum yang telah diterbitkan selepas bersara pada 13 Januari 2024.
Buku itu merupakan kesinambungan naskhah buku Memoir Budak Kampung terdahulu yang ditulis oleh Muslimin mengisahkan suka duka beliau ketika zaman remaja, sebagai pendidik, mahasiswa, ahli politik, kolumnis dalam media arus perdana dan jurulatih utama matapelajaran Sejarah.
Cikgu Muslimin menyemak buku tulisannya yang baru diterima dari syarikat pencetak.
Beliau juga terbabit secara langsung membina kurikulum pendidikan Sejarah, pembabitan pada peringkat Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Bahagian Buku Teks (BBT), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Guru Cemerlang (MGC) dan penulis buku teks.
Cikgu Muslimin yang bertekad meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan dengan menimba begitu banyak ilmu pengetahuan tidak hairanlah sehingga kini merupakan Guru Cemerlang Sejarah yang sewajarnya beliau menerima Anugerah Inovasi 2007 dan beberapa kali memenangi Anugerah Cemerlang Serba Daya anjuran kerajaan negeri Selangor.
Namun dengan kesibukan sebagai pendidik, penceramah, pakar motivasi, aktif dalam politik serta terbabit secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bukanlah penghalangnya untuk menulis dua naskhah buku itu yang sarap dengan isu semasa, perangai dan lagak manusia.
Beliau berkata, naskhah itu merupakan garapan jujur beliau merakam pelbagai kisah kembaranya dalam dunia pendidikan selama lebih 30 tahun. Kisah digarap merangkumi penglaman pendidik yang meneroka dan merintis dunia pendidikan sejarah tanah air apabila sentiasa berubah mengikut arus.
Menurutnya, menerusi dua buku itu dengan jumlah 420 halaman dia menjadi tukang cerita yang kreatif, hebat dan menghiburkan dengan mengumpan pembaca ikut menyelami liku-liku suka duka dan tangis tawa dalam menjejaki perjalanan hidup beliau melalui cerita bervariasi dan kebinekaan, naratifnya mirip karya sastera sejarah, santai, bersahaja, lucu serta disulami pengajaran.
Tambahnya, bagi memastikan buku itu mampu membuka minda pembaca mengenai dunia pendidik, dalam ruang terbatas, dia menempelkan nota kaki, peribahasa, unsur sejarah dan budaya setempat di samping menjadi persaingan kepada buku Memoir Budak Kampung.
“Dalam menjamin keaslian dan ketulenan hasil penulisan, saya melakukan penyelidikan, pengumpulan bahan dan temu ramah dengan orang yang sumbernya disaring, informasi yang diterima akan disemak supaya tidak mencalarkan reputasi personaliti tertentu manakala fakta, pertarikhan nama dan peristiwa ditulis dalam bentuk sekunder.
“Hal ini dilakukan demi mengekalkan keharmonian kerana bahan yang digarap dalam dua buku berkenaan turut menerima buah fikiran dan saranan kawan-kawan rapat yang terjerumus dalam bidang pendidikan sama sezaman saya.
“Kerana itu saya percaya cerita yang dihidangkan berupaya bergenang air mata dan sukma warga pendidik yang ikhlas melaksanakan tugas dengan menempuh pelbagai ranjau, cacian, bebanan, kepayahan dan sebagainya demi kecemerlangan anak bangsa,” ujarnya yang ditemui di Tanjong Karang, Selangor.
Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah (SM) Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor iaitu sekolah mula ditugaskan mengajar sehinggalah bersara.
Cikgu Muslimin berkata, dia bukanlah selebriti popular atau tokoh korporat terbilang mahu pun orang politik tersohor yang kisah hidupnya boleh menjadi karya magnum opus, dia hanya orang kecil apabila cerita komitmen pendidik mendidik anak didik dan individu yang prihatin, pasti dialami oleh pendidik lain malah lebih hebat lagi.
Pada Mac 2020 hingga 2021 apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beliau meningkat usaha menulis dua buku berkenaan dengan memanfaatkan waktu senggang terutama pada malam sebelum tidur bagi mengupas ingatan lampau.
Beliau berpendapat tidak ramai orang membukukan pengalaman hidup mereka semasa berkhidmat, hal itu disebabkan orang kita keberatan bersikap jujur terutama apabila kisah yang digarap boleh menyentuh sensitiviti personaliti atau warisnya.
Menurutnya, ekoran itu dia akan mengajukan pertanyaan kepada rakan rapat mengenai perkara serupa yang ramai mencadangkan supaya beliau meneruskan usaha murni menulis dua buku berkenaan kerana akan menjadi bahan bacaan berguna kepada mereka yang baru menceburi bidang pendidikan.
“Secara keseluruhan, isi ceritanya mengujakan, kerana ada kisah lucu, cerita sedih, insiden yang seakan tidak logik tetapi realitinya berlaku mungkin akan ditempuhi pendidik baharu apabila sesetengahnya terpaksa memulakan tugas di pedalaman serba kekurangan,” ujarnya.
Kepada mereka yang berminat mendapatkan buku berkenaan boleh menghubungi Cikgu Muslimin menerusi nombor telefon bimbit 019-388 7874. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Skuad Prihatin Asnaf (SPA), Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut menyantuni 20 murid asnaf daripada empat buah sekolah di sini.
Pengerusinya, Mohd Zamri Mat (58) berkata, 20 murid tersebut dipilih daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, SK Inderapura, SK Jerantut dan SK Pulau Mansuk dekat sini.
AJK Skuad Prihatin Asnaf membantu kanak-kanak sekolah memilih pakaian di sebuah pasar raya di sini.
“Pada tahun ini semua murid terbabit mendapat pakaian untuk menyambut Aidil Fitri tahun ini berjumlah RM150 dan wang tunai sebanyak RM50 setiap orang.
“Pada tahun ini juga, murid tersebut bertuah menerima sumbangan daripada orang perseorangan yang sudi menyumbang,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Katanya, SPA turut mengadakan lawatan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar 20 kilometer dari masjid ini.
“Golongan ini menerima bantuan berbentuk barang dapur bernilai RM150 yang turut menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah menerima agihan bakul barangan keperluan asas harian yang dilakukan oleh KESUMA’24 hasil infak penaja utama Yayasan Bank Rakyat dan penyumbang prihatin pada Disember 2024.
KESUMA 24 dapat perhatian Kebajikan Mahmudah
Kegigihan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dan sikap bertanggungjawab dalam membantu masyarakat ditimpa musibah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) untuk mengizinkan sebuah kontena menjadi pejabat operasi mereka.
Kontena sepanjang 40 kaki itu merupakan sumbangan sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor kepada PKMM untuk digunakan bagi tujuan aktiviti amal kebajikan supaya berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Setiausahanya, Rozita Yaakob, berkata kontena yang belum dilengkapi kemudahan bekalan elektrik akan dijadikan pejabat, bilik mesyuarat ahli KESUMA’24 dan stor untuk menyimpan barangan serta peralatan apabila keluar untuk mengadakan misi amal kebajikan.
Menurutnya, kontena itu juga akan dipasang bumbung untuk melindungi bahagian atas daripada hujan serta panas terik supaya kekal lama, manakala persekitarannya pula akan diturap tar atau disimen untuk dijadikan dataran bagi warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menjalankan aktiviti senaman dan sebagainya.
Tambahnya, persekitaran kontena yang terletak di belakang PJMM itu juga akan dijadikan ahli KESUMA’24 taman mini yang akan dihiasi dengan pelbagai pokok bunga bagi mencantikannya untuk menimbulkan suasana nyaman bagi warga emas beriadah pada waktu pagi atau petang.
“KESUMA’24 juga akan mempelawa dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan aktiviti di situ kerana ia lebih luas yang membantu melahirkan suasana tenang serta lapang kerana selama ini warga emas di PJMM menjalankan aktiviti atau atur cara dalam dewan.
“Sehubungan itu sejak dua bulan lalu KESUMA’24 giat mengumpul dana bantuan sumbangan pembangunan RM30,000 bagi tujuan pemasangan bekalan elektrik, bumbung luar dan melengkapkan prasarana pejabat dalam kontena serta akan digunakan untuk aktiviti amal kebajikan,” ujarnya.
KESUMA’24 yang dianggotai ramai sukarelawan berpengalaman dalam aktiviti amal kebajikan bernaung di bawah PKMM beralamat di Lot 459/5, Kampung Sungai Purun, Batu 1½ Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.
Rozita berkata, sebelum ditubuhkan setahun lalu sebagai sebuah kelab secara rasmi, ramai sukarelawan KESUMA’24 membantu PKMM yang mengurus selia PJMM dalam aktiviti amal kebajikan seluruh negara.
Jelasnya, sebagai mengelak salah faham KESUMA’24 diwujudkan untuk mencari dan mengumpul sumbangan dana bagi menganjurkan aktiviti sosial masyarakat dan amal kebajikan di samping meringankan kos operasi PJMM yang sentiasa meningkat terutama membabit penyediaan makanan warga emas.
Tambah Rozita, KESUMA’24 juga akan bertindak sebagai perantaraan kepada PKMM dengan badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain dalam menyalurkan bantuan amal kebajikan untuk mereka yang memerlukan bantuan termasuklah mangsa bencana alam seperti banjir.
Menurutnya, ahli KESUMA’24 mengikuti pelbagai misi yang dianjurkan oleh PKMM berkenaan seperti agihan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat atau pondok tahfiz dan mangsa banjir.
Beliau berkata, seperti mangsa banjir, hasil sumbangan serta infak pelbagai pihak mereka mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas harian antaranya di Temerloh, Pahang: Tumpat, Kelantan: Kota Tinggi, Johor: Hulu Langat, Selangor: Jerteh, Terengganu, Jitra, Kedah dan sebagainya.
Katanya, semua tugas sukarela itu dilakukan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak berkenaan sampai ke sasaran sebagaimana hasrat mereka yang bekerjasama dengan KESUMA’24.
“Sehubungan itu KESUMA’24 amat berharap mendapat sokongan serta infak daripada pelbagai pihak dan masyarakat dalam projek Bantuan Sumbangan Dana Pembangunan yang boleh disalurkan terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor atau scan Kod QR,” ujar Rozita lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Muhammad Badrul Amin Derome (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pensyarah pengiring di KLIA sebelum berlepas ke OXCIS, United Kingdom.
Empat pelajar, tiga pegawai UPSI imam solat terawih di tiga negara
Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dipilih mengikuti Program ‘Qari in Residence’ sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025, sekali gus mengharumkan nama institusi itu pada peringkat antarabangsa.
Empat pelajar itu adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, manakala seorang lagi adalah pegawai universiti berkenaan.
Dr Azmil Hashim (dua dari kiri) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Singapura kepada Wan Muhammad Irsyad (tengah) dalam satu majlis yang diadakan di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
Menurutnya, dia berbangga dengan pencapaian itu kerana membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.
Jelasnya, pemilihan mereka itu adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan UPSI, sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluas jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing pada peringkat tempatan, tetapi juga persada antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi juga sebagai duta kecil yang memperkenal keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar,” ujar beliau.
Pelajar Muhammad Badrul Amin Derome yang diiringi Prof Madya Dr Ibrahim Hashim berangkat ke United Kingdom untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom dan akan berada di sana bermula 22 Februari hingga 1 April 2025.
Manakala Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia serta pelajar Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Prof Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura bermula 28 Februari hingga 1 April 2025.
Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Prof Dr Azmil Hashim, berkata pemilihan mereka adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga dalam bidang keagamaan.
Menurutnya, pemilihan itu membuka ruang kepada mereka untuk mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.
Katanya, pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta merebut peluang mengembangkan kemahiran mereka pada peringkat antarabangsa.
“Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program seumpama pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, berkata Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia.
“Selain menjadi imam tarawih beliau juga akan memberi kuliah kepada pelajar dan kakitangan Malaysia di situ.
“Menjadi imam di negara asing bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang berbeza, namun pengalaman ini menjadikan mereka lebih matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak,” jelasnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masjid India Muslim Klang kekalkan tradisi agih bubur lambuk sejak lebih 50 tahun
KLANG – Masjid India Muslim Klang terus mengekalkan tradisi turun temurun mengagih bubur lambuk kepada orang ramai yang dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu.
Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Al Ali Shamsul Ariffin
Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Alalif Samsul Arifin (29) berkata, agihan bubur lambuk sudah dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu hasil daripada sumbangan orang perseorangan, ahli perniagaan sekitar masjid itu serta sumbangan tetap ahli jemaah.
“Setiap petang sepanjang bulan Ramadan, sebanyak empat periuk disediakan dan setiap periuk sebanyak 18 kilogram (kg) beras diperlukan dan termasuk bahan-bahan lain seperti kekacang, kismis dan beberapa bahan yang diperlukan untuk penyediaan juadah ini.
“Sebanyak kira-kira 400 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang datang ke masjid ini untuk mendapatkan juadah itu dan kira-kira RM3,000 diperlukan untuk penyediaan juadah ini setiap hari, ” katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.
Katanya, selain itu bubur lambuk turut diperlukan untuk juadah berbuka puasa kepada kira-kira 300 jemaah.
Sukarelawan bersiap sedia mengagih bubur lambuk. Jamali Mohd Salleh (duduk kanan) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Pasukan memasak diketuai oleh seorang ketua tukang masak dan dua pembantu memulakan memasak pada jam 9.00 pagi dan siap pada jam 1.00 tengah hari.
“Kerja-kerja membungkus dilakukan oleh tiga orang sukarelawan dimulakan pada jam 2.00 petang dan diagihkan dimulakan pada jam 4.30 petang,” katanya.
Katanya, pihak masjid mengagihkan kepada orang ramai yang hadir tidak kira bangsa dan agama, di sini, ini menunjukan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia turut diraikan.
Seorang veteran, Jamali Mohd Salleh (71) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Seronok dapat berbakti dalam penyediaan bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai sebagai satu amal jariah masjid ini.
“Konsep menyediakan bubur lambuk secara gotong royong yang dikendalikan seorang ketua tukang masak turut dibantu oleh pembantu.
Katanya, mula tahun ini, pemuda masjid ini mula mengambil bahagian bermula memasak sehingga mengagih kepada orang ramai.
“Masjid ini selain menyediakan untuk jemaah berbuka puasa, moreh selepas terawih turut disediakan untuk kira-kira 500 orang, sahur juga disediakan oleh pihak masjid,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Jawa, Abdul Shukur Nordin (58) berkata, sejak dia masih dibangku sekolah rendah lagi sudah datang mengambil bubur lambuk di masjid itu dan ketika itu masjid itu tidak seperti sekarang.
“Hampir setiap petang saya dan beberapa orang jiran akan mengayuh basikal untuk mengambil bubur lambuk ini.
“Pada ketika itu kami perlu membawa bekas sendiri seperti cerek dan bekas plastik, tetapi sekarang pihak masjid sudah siap membungkus bubur lambuk di dalam bekas plastik,” katanya.
Katanya, yang uniknya, rasa dan aroma bubur lambuk ini tetap sama. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Murid menghadiri perhimpunan mingguan di Laman Seri Budiman.
SR Sri Budiman, UPSI mula sesi persekolahan baharu
Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, yang memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2025/2026 menyaksikan murid-muridnya hadir dengan penuh semangat dan keterujaan pada awal sesi persekolahan tahun 2025.
Seramai 58 murid hadir pada hari pertama yang terdiri daripada 30 murid Tahun 1 dan 28 murid Tahun 2.
Guru Besar SRSB, Dr Kama Shaffeei, berkata seawal pagi, murid-murid tiba di sekolah dengan wajah yang ceria dan penuh rasa ingin tahu, mereka kemudian menuju ke kelas masing-masing untuk memulakan perjalanan baharu dalam dunia pembelajaran dalam suasana yang penuh disiplin dan tenang.
Murid Tahun 1, sekolah tersebut dalam sesi taklimat.
Katanya, bagi murid Tahun 1, katanya, hari pertama itu menjadi pengalaman yang sangat bermakna kerana mereka mula mengenali suasana sekolah yang baharu dan melalui sesi persekolahan bermula dengan perhimpunan mingguan di Laman Seri Budiman.
“Perhimpunan ini turut menjadi platform bagi memperkenal barisan guru kepada murid, terutama kepada Tahun 1 yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke SRSB.
“Saya menekankan kepentingan disiplin, kesungguhan dalam belajar, serta menggalakkan murid-murid supaya menikmati pengalaman persekolahan dengan penuh minat dan kegembiraan,” ujarnya.
Tambahnya, seterusnya selepas perhimpunan, sesi taklimat khas diadakan di dalam kelas untuk membantu mereka menyesuaikan diri.
Sementara dalam sesi bersama guru diterangkan peraturan asas sekolah, rutin harian serta memperkenalkan mereka kepada persekitaran baharu.
Dr Kama berkata, murid juga diberikan pendedahan awal mengenai jadual pembelajaran dan aktiviti sekolah termasuk Minggu Orientasi Khas untuk murid Tahun 1 yang diisi pelbagai aktiviti menarik untuk membantu mereka menyesuaikan diri, mengenali rakan-rakan baharu, serta membina keyakinan diri dalam suasana pembelajaran lebih formal.
Menurutnya, dengan bimbingan guru yang dedikasi dan persekitaran sekolah yang mesra, diharapkan semua murid dapat menikmati pengalaman awal persekolahan dengan penuh keseronokan dan motivasi untuk terus belajar.
Tambahnya, dengan permulaan yang baik itu, diharapkan sesi persekolahan tahun 2025/2026 akan menjadi satu pengalaman yang bermakna buat semua warga sekolah, khususnya murid yang baru melangkah ke alam persekolahan rendah. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Roti John dua rasa, murah dan sedap untuk berbuka puasa laris
JERANTUT : Pasangan suami isteri menjual Roti John yang mempunyai dua rasa campuran daging dan ayam menjadi tarikan pembeli untuk berbuka puasa dijual di hadapan rumahnya di Felda Sungai Tekam dekat sini.
Bekas pekerja kilang, Noor Izam Ahmad, 52, berkata dia dan isterinya, Sharifah Mas’Aza Mohamad, 44, memilih menjual roti john bagi menambah pendapatan dan yakin laris sepanjang bulan Ramadan ini kerana tiada penjual yang menjual itu di kawasan tanah rancangannya.
“Sebelum ini saya dan isteri pernah menjual burger, char kuey tiaw, cheezy wedges dan beberapa makanan segera, tetapi memilih membuat roti john kerana tidak ada penjual lain di bulan Ramadan di sini selain memulakan perniagaan selepas berpindah kembali ke Felda ini.
“Perniagaan ini semata-mata untuk menampung keluarga terutama untuk perbelanjaan untuk sambutan hari raya, sejak balik ke kampung (FELDA), saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya di sini
Katanya, bahan utama disediakan untuk membuat roti john, iaitu roti, bawang, daging dan ayam kisar yang diperoleh dari kedai frozen, rempah ratus seperti serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam, sos mayonis dan sos cheezy juga boleh didapati di kedai bandar Jerantut.
“Bahan berkenaan dimasak terlebih dahulu mengambil masa agak lama dan menyediakan roti john cuma sekejap sahaja dalam tempoh kira-kira tiga minit untuk diadun dengan telur setiap satu buku makanan ini.
“Selepas menyiapkan bahan berkenaan, kami memulakan perniagaan di gerai di sini pada pukul 5 sehingga pukul 7 petang, ramai pelanggan sudah membuat tempahan menerusi talian whatsapp dan mereka cuma datang mengambil selepas siap dimasak,” katanya.
Katanya, awal Ramadan berniaga, hanya 30 hingga 35 buku rotinya terjual dalam tempoh dua jam sebelum berbuka puasa, selepas beberapa hari Ramadan, permintaan bertambah.
“Harga roti john yang saya jual berharga RM 7 iaitu roti john biasa ayam dan daging biasa , tetapi ada pelanggan mahu tambahan sos cheezy menjadi RM9 dan roti john special berharga RM10, pendapatan permulaan jualan awal Ramadan antara RM250 hingga RM300.
“Roti john paling popular mendapat permintaan ramai ialah kedua perisa daging dan ayam serta campuran tambahan bahan makanan itu menepati selera pelanggan,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hospital pakar Al-Islam akan jadikan PJMM pusat warga emas mesra ibadah
Hospital Pakar Al-Islam Specialist di Kampong Bharu, Kuala Lumpur akan memberi kerjasama bagi merealisasikan hasrat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor untuk menjadi pusat jagaan warga emas mesra ibadah pertama di Malaysia.
Kesediaan dalam usaha itu sebagai satu sokongan dan juga dakwah berikutan hospital berkenaan sudah pun dikenali juga sebagai hospital mesra ibadah sejak 1996.
Dr Ishak Mas’ud (dua dari kanan) bersama rakan jalinan kerjasama melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada PJMM.
Pengarahnya, Dr Ishak Mas’ud, berkata, sehubungan itu hospital berkenaan akan membuat kajian dan perancangan terlebih dahulu untuk memastikan usaha yang dilaksana bagi tujuan mesra ibadah mencapai matlamat yang dikehendaki khusus oleh PJMM.
Menurutnya, banyak perkara perlu didalami termasuklah selaras usaha itu akan diadakan program latihan untuk membimbing petugas PJMM melaksanakan tanggungjawab yang selari mesra ibadah bagi memberi peluang warga emas mendalami ilmu ibadah sebagai seorang Islam beriman.
Tambahnya, kemudahan yang disediakan PJMM untuk warga emas sebahagiannya sudah mencakupi untuk keperluan kerohaniah dan mental supaya dapat menjadi umat Islam terbaik walaupun menjadi penghuni pusat jagaan.
“Kerjasama yang bakal dijalinkan ini akan memastikan PJMM melakar satu sejarah tanah air menjadi pusat jagaan mesra ibadah yang pertama malah sebagai contoh terbaik kepada pusat jagaan atau rumah kebajikan lain untuk mempraktikkan perkara itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan di PJMM hasil jalinan kerjasama dengan Malaysia Relief Agency (MRA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), baru-baru ini.
Turut hadir pada program itu, Vice President 1 MRA, Khairil Annuar Khalid; Setiausaha Agong MRA, Dr Shahrizal Azswan Samsudin; Setiausaha Agong ABIM, Muhamad Aliemran Norasid; dan Pengurus Jenama Zayan Fm Radio Astro, Wan Syahrul Amry Wan Mansor; staf Hospital Pakar Al-Islam Specialist; dan ahli MRA serta ABIM.
Selain menghulurkan sumbangan dan barangan keperluan asas harian, Dr Ishak bersama rakan jalinan kerjasama, staf hospital dan ahli MRA serta ABIM menyantuni warga emas PJMM dengan menghidangkan juadah berbuka puasa, beramah mesra dengan mereka yang uzur dan terlantar.
Dr Ishak berkata, program berkenaan juga ibarat satu simbolik kesediaan hospital menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan PJMM supaya dapat membantu dalam memastikan mereka berjaya menjadi pusat jagaan mesra ibadah.
Jelasnya, untuk memberi bimbingan dan latihan bukanlah suatu yang sukar cuma perlu mengenal pasti kaedah yang bersesuaian dengan warga emas di pusat jagaan berbanding staf hospital sudah biasa dengan amalan mesra ibadah apabila menyantuni pesakit yang menerima rawatan.
“Bagaimanapun kami akan melakukan dengan cara terbaik supaya hasrat pihak pengurusan PJMM dapat direalisasikan dan terus maju serta sentiasa hebat dalam menyantuni warga emas yang mengharapkan pembelaan meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, sejak penubuhan lebih sembilan tahun lalu, warga emas yang menjadi penghuni disantuni dengan nilai murni dan kerohaniah sebagaimana ajaran agama Islam.
Menurutnya, bagi memastikan perkara itu menjadi kelangsungan tanpa sebarang pengabaian PJMM melantik seorang ustaz juga bertindak sebagai imam surau sepenuh masa, dua ustazah untuk mengendali kelas al-Quran dan seorang ustaz mengajar fardu ain dan fekah.
Tambahnya, walaupun ustaz dan ustazah terbabit meneruskan tugas hakiki namun mereka sentiasa memberi input-input terkini mengenai ajaran agama Islam supaya warga emas tidak mensia-siakan masa tanpa diisi dengan ilmu agama.
“Dalam hal demikian PJMM berasakan amat wajar diberi peluang atau mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak untuk menjadi pusat jagaan mesra ibadah malah akan menjadi contoh kepada rumah kebajikan lain dan sebagainya,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!