Foto : Selvaraj (tengah) bersama barisan pentadbir SMK Dato’ Haji Mohd Taib.
Guru SMKDHMT Catat Rekod Malaysia, Mengajar 18 Jam Tanpa Henti
CHEMOR – Seorang guru muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Taib (SMKDHMT), Selvaraj a/l Selvam, 31, berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records apabila mengajar selama 18 jam tanpa henti, sekaligus dinobatkan sebagai Duta Guru 18 Jam.
Selvaraj, yang mengajar subjek Matematik Tambahan, Sains dan Reka Bentuk Teknologi (RBT), mencipta sejarah pada 7 Februari 2025 apabila memulakan sesi pengajaran secara dalam talian dari 8.00 pagi hingga 2.00 pagi keesokannya, melibatkan lebih 200 pelajar.
Selvaraj bersama sijil Anugerah The Malaysia Book of Records yang diterimanya.
Antara topik yang diajar termasuk Rumus Algebra, Poligon, Statistik, Kebarangkalian serta Inovasi dalam Pengajaran Matematik.
Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan membudayakan subjek Matematik dalam kalangan pelajar serta menyuntik minat mendalam terhadap pembelajaran STEM.
Rekod ini adalah antara pencapaian terbaharu beliau, selepas menerima pelbagai anugerah seperti Duta Guru STEM Kebangsaan (Yayasan Petronas), Anugerah Ikon Guru Ko-Akademik, dan juara dalam beberapa pertandingan inovasi dan debat peringkat kebangsaan.
Pengetua SMKDHMT, Norelawati Jawahir, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti dedikasi dan semangat luar biasa Selvaraj dalam dunia pendidikan.
“Mencapai rekod sebegini memerlukan keberanian mencabar had diri serta semangat juang tinggi. Ia menjadi inspirasi kepada pelajar dan warga pendidik seluruh negara.
“pencapaian ini selari dengan prinsip Kepimpinan Madani – memimpin, menyokong, mengangkat dan menonjol – dalam membawa kecemerlangan sekolah dan komuniti,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PKR Cabang Jerantut berlaku persaingan empat penjuru Ketua Cabang
JERANTUT – Pertandingan empat penjuru berlaku untuk jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerantut yang bakal diadakan pada 19 April ini.
Persaingan untuk jawatan ketua cabang berlaku di antara penyandang jawatan itu, Mohd Rafly Mohd Satar akan berdepan calon Hassan Awang Mat Dahan, Mohd Hasnizam Md Daud dan Muhammad Khairul Asri Badrun.
Turut berlaku persaingan empat penjuru untuk jawatan Timbalan Cabang di antara calon, Ahmad Daud, Wan Ahmad Asmawi Wan Mohd, Aw Kah Thim dan Sinnappan a/l Palanisamy.
Pertandingan empat penjuru turut berlaku antara Amutha a/p Narayan, Rosmariana Zulkifli Endar Singh, Narrul Akma Kamaruddin dan Norizan Muhammad untuk perebutan jawatan Ketua Wanita Cabang Jerantut.
Timbalan Wanita Cabang akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Suganeswary a/p Subramanian, Ho Sook Yin dan Dayang Sen Mat Derus.
Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jerantut memperlihatkan tiga calon iaitu, Wan Solehhudin Wan Abdullah, Muhammad Hafami Jaafar dan Roymi Rosli.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Peserta merakam kenangan selepas Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Muslimat MKKRH anjur Tadarus sepanjang Ramadan lalu
Biro Muslimat Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, menganjurkan program Tadarus Al-Quran setiap tahun sepanjang bulan Ramadan.
Program ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat, khususnya generasi muda, supaya lebih dekat dengan al-Quran serta memperoleh ganjaran pahala yang besar di bulan yang penuh keberkatan ini.
Ketua Biro Muslimat MKKRH, Hayati Yusop, berharap program ini bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat dengan al-Quran tetapi juga melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir membaca al-Quran, malah aktif dalam solat berjemaah dan pengajian agama.
Peserta mendengar penerangan mengenai manfaat dan kesan program tadarus al-Quran yang disertai mereka.
“Tahun ini seramai 180 peserta yang terdiri daripada Muslimat dari beberapa masjid dan surau dalam kariah MKKRH menyertai program ini.
“Program ini turut mengutamakan pembelajaran al-Quran dengan memberikan penekanan pada hukum tajwid, sebutan yang betul, serta kefahaman terhadap makna ayat-ayat al-Quran,” katanya.
Katanya, kumpulan-kumpulan peserta ini dipimpin oleh seorang yang berpengetahuan dalam bacaan al-Quran bagi memastikan setiap peserta dapat memperbaiki bacaan mereka dengan tepat.
“Selain daripada mencapai khatam al-Quran sebelum berakhirnya Ramadan, objektif utama program ini bukanlah untuk mempercepatkan pembacaan tetapi untuk mendalami dan menghayati al-Quran dengan lebih mendalam, sambil membina ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan peserta.
“Aktiviti ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mengenali satu sama lain dan berkongsi ilmu dalam membaca al-Quran, yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Katanya, secara keseluruhannya, program Tadarus Al-Quran ini memberi impak yang besar dalam meningkatkan kecintaan masyarakat terhadap al-Quran serta memperkukuh ikatan ukhuwah sesama Muslim, terutamanya dalam kalangan wanita.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Abang Belon cedera akibat tindakan kasar penguat kuasa DBKL
JERANTUT – Kes yang melibatkan kecederaan yang dialami oleh Muhammad Zaimuddin Azlan (Abang Belon) akibat tindakan kasar penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika mereka sedang menjalankan tugas penyitaan barangan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Kejadian ini telah menimbulkan rasa sedih dan kecewa di kalangan keluarga Zaimuddin, terutamanya neneknya, Som Ali, yang kini berusia 78 tahun.
Wakil Pejabat Umno Bahagian Jerantut turut menziarah nenek Abang Belon di Kuala Tembeling, hari ini.
Zaimuddin yang kini dirawat di Hospital Serdang, cedera di bahagian belakang, dan akibatnya, dia tidak dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga di Kuala Tembeling, seperti yang dirancang sebelumnya.
Som Ali mengungkapkan bahawa dia mengetahui kejadian itu daripada anaknya yang tinggal di Temerloh.
Dia juga menekankan bahawa Zaimuddin adalah rakyat Malaysia dan telah membesar serta bersekolah di Kuala Tembeling.
Ibu saudara Zaimuddin, Nor Asmah Mat Isa, turut berasa sedih setelah melihat video kejadian tersebut yang tular di media sosial.
Dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan keadilan diberikan.
Polis telah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut, dan siasatan akan dijalankan untuk memastikan keadilan ditegakkan.
Video berdurasi 1 minit 42 saat yang tular menunjukkan pergelutan antara penguat kuasa DBKL dan peniaga, yang akan menjadi bahan siasatan untuk menilai tindakan yang diambil oleh pihak penguat kuasa.
Keadaan ini turut menimbulkan persoalan mengenai hak peniaga dan cara tindakan penguat kuasa dijalankan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Rekabentuk sebuah rumah kampung menjadi elemen penting kesenian Melayu dalam persediaan dan persiapan membina Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 yang diletakkan di perkarangan Taman I-City, Jerantut, dekat sini.
Tujuan utama elemen ini diketengahkan agar menyedarkan masyarakat setempat tentang adat seni budaya dan falsafahnya yang kian pudar selain dapat mengimbau kenangan bagaimana masyarakat dahulu membuat persediaan menyambut raya seadanya tetapi meriah.
Yang DIpertua Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Sharuddin Jali berkata, penyediaan Rumah Pelita Raya Jerantut 2025 itu sangat menitik beratkan elemen seni yang terdapat di rumah kampung zaman dahulu dengan mempamerkan persekitaran rumah itu dengan pelbagai elemen.
Rumah Pelita Raya 2025 Jerantut dihiasi lampu
“Di laman rumah terdapat alat lesung kaki untuk menumbuk padi menggunakan kaki sebelum mesin padi seperti sekarang digunakan sebagai lambang penduduk yang mengerjakan sawah padi sebagai makanan utama masyarakat.
“Selain itu, turut mempamerkan tempayan untuk membasuh kaki yang diletakkan di tepi tangga sebelum naik ke rumah menunjukkan bertapa kebersihan diutamakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, terdapat juga telaga yang memang sinonim di rumah kampung dan pagar buluh turut digunakan untuk mengelilingi rumah atau kebun, malah buluh bukan sahaja tahan lasak tetapi juga mempunyai nilai seni dalam corak susunannya dalam pembinaannya.
“Menariknya, reban ayam atau serkap ayam turut terdapat di sekitar rumah kampung kerana masyarakat kampung dahulu turut memelihara ternakan seperti ayam, itik, kambing atau lembu kerana menjadi penting dalam kehidupan desa untuk sumber makanan dan jualan.
“Pembinaan rumah kampung Pelita Raya 2025 tidak meminggirkan anjung rumah iaitu kawasan separa terbuka di rumah tradisional untuk berehat atau menerima tetamu dan dihiasai seni bina Melayu sering menghiasi anjung dengan ukiran kayu dan reka bentuk yang berfungsi untuk pengudaraan,” katanya.
Kakitangtan MDJ bergambar kenangan di hadapan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ
Beliau menambah, meriam buluh yang menjadi alat permainan penduduk kampung khususnya remaja dengan menggunakan karbait dan diisi air untuk menghasilkan bunyi dentuman kuat, selalunya dimainkan di waktu malam menjelang sambutan hari raya.
“Lampu Panjut dipasang di sekitar laman rumah terutama menjelang seminggu sambutan hari raya yang turut digelar ‘lampu tujuh likor’ dan diperbuat daripada buluh atau tin berisi minyak tanah.
“Walaupun Bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia itu tidak menjadi keutamaan di rumah kampung, oleh kerana hidupan ini terdapat di dalam hutan di daerah ini, pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) mengambilnya sebagai satu simbol yang turut menjadi kebanggaan daerah ini turut dipamerkan di laman rumah ini,” katanya.
Katanya, pembinaan Rumah Pelita Raya 2025 MDJ, halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung dengan meletakkan kolam ikan.
Pegawai Unit Pelancongan MDJ, Yusliza Mat Yunus berkata, susunan dan binaan di Rumah Pelita Raya 2025 sangat teliti, sebelum membina pihak MDJ berbincang dan meneliti daripada gambar-gambar rumah kampung agar pembinaannya tidak mahu terlepas elemen penting itu.
“Antaranya, membina kolam ikan mini di halaman rumah melambangkan ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup masyarakat kampung.
“Setelah melihat senibina dengan dihiasi pelita di laman rumah itu, terkenang pula saya semasa zaman kanak-kanak yang berlari riang di sekitar rumah malah sekeliling kampung rumah sanak saudara berdekatan.
“Kalau tiada pelita dipasang di sekitar rumah dan laluan ke rumah makcik, pakcik pasti takut kerena gelap, tetapi apabila lampu pelita dipasang, menjadi meriah dan kami sekumpulan kanak-kanak ‘berarak’ dari rumah ke rumah sanak saudara tanda rasa takut kerana terang benderang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Ahli Jiran Wanita bersama biskut raya yang dapat disiapkan dalam program itu.
KRT Sungai Buaya gotong royong buat biskut raya
Program Gotong-Royong Buat Biskut Raya yang dianjurkan oleh Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Zon Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor melalui Jiran Wanita mencerminkan semangat “Muafakat membawa berkat” seperti yang terkandung dalam peribahasa Melayu.
Program yang pertama kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan 25 peserta dari lapan cawangan KRT di kawasan tersebut.
Walaupun perancangannya agak singkat, program ini tetap berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu dari Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor, Nor Faizah Kamaruddin, dan komitmen daripada semua pihak terlibat.
Ahli Jiran Wanita bergotong-royong sambil belajar membuat biskut raya.
Program yang berlangsung di Pusat Komuniti KRT Kasturisari Presint 14 ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama antara Jiran Wanita dari pelbagai cawangan KRT, termasuk Mawarsari, Kasturisari, Kembojasari, Melursari, Melatisari 2, Melatisari 3, Kantan Cempaka, dan Persiaran Bakawali.
Selain mengeratkan hubungan komuniti, program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada Jiran Wanita agar lebih berdikari dalam penyediaan biskut raya.
Di samping itu, ia juga membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan berpotensi menjadi usahawan berjaya. Kos bahan dan peralatan memasak dikongsi bersama antara peserta, dan biskut yang telah siap dimasak diagihkan kepada semua yang hadir.
Pada majlis penutup program, Nor Faizah menyampaikan ucapan tahniah kepada KRT Zon Bandar Sungai Buaya atas kejayaan menganjurkan program ini yang melibatkan lapan cawangan KRT.
Beliau juga berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan lebih ramai peserta, termasuk golongan muda.
Selain itu, beliau turut menghargai KRT Kasturisari sebagai tuan rumah kerana menyediakan tempat yang selesa untuk aktiviti tersebut, yang turut menyemarakkan semangat perpaduan dan muhibah antara kaum.
Program ini bukan hanya berfokus pada keperluan sosial, tetapi juga pada pembangunan ekonomi komuniti setempat, mengukuhkan rasa kekitaan dan meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jerantut Terus Cemerlang, Kekal Bandar Paling Bahagia 2025
Hebat! Jerantut sekali lagi dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia untuk tahun 2025.
Ini pastinya pencapaian yang membanggakan bagi warga Jerantut dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
Kejayaan ini menggambarkan bagaimana pentingnya semangat kejiranan, kebersihan, dan kesejahteraan sosial dalam membentuk sebuah komuniti yang harmoni.
Semoga Jerantut terus kekal sebagai tempat yang terbaik untuk dihuni dan dikunjungi, dan budaya positif ini dapat diteruskan.
Tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat! -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Cikgu Muslimin menunjukkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat hasil tulisannya kepada Fadhlina.
Guru hasil dua buah naskah buku dirinya
Bergelumang sebagai pendidik selama 37 tahun tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Guru Cemerlang Sejarah, Muslimin Fadzil @ Syed Musleem apabila dia menghasil dua naskhah buku berjudul Cerita Dari Dalam dan Cerita Dalam Diri untuk tatapan umum yang telah diterbitkan selepas bersara pada 13 Januari 2024.
Buku itu merupakan kesinambungan naskhah buku Memoir Budak Kampung terdahulu yang ditulis oleh Muslimin mengisahkan suka duka beliau ketika zaman remaja, sebagai pendidik, mahasiswa, ahli politik, kolumnis dalam media arus perdana dan jurulatih utama matapelajaran Sejarah.
Cikgu Muslimin menyemak buku tulisannya yang baru diterima dari syarikat pencetak.
Beliau juga terbabit secara langsung membina kurikulum pendidikan Sejarah, pembabitan pada peringkat Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Bahagian Buku Teks (BBT), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Guru Cemerlang (MGC) dan penulis buku teks.
Cikgu Muslimin yang bertekad meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan dengan menimba begitu banyak ilmu pengetahuan tidak hairanlah sehingga kini merupakan Guru Cemerlang Sejarah yang sewajarnya beliau menerima Anugerah Inovasi 2007 dan beberapa kali memenangi Anugerah Cemerlang Serba Daya anjuran kerajaan negeri Selangor.
Namun dengan kesibukan sebagai pendidik, penceramah, pakar motivasi, aktif dalam politik serta terbabit secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bukanlah penghalangnya untuk menulis dua naskhah buku itu yang sarap dengan isu semasa, perangai dan lagak manusia.
Beliau berkata, naskhah itu merupakan garapan jujur beliau merakam pelbagai kisah kembaranya dalam dunia pendidikan selama lebih 30 tahun. Kisah digarap merangkumi penglaman pendidik yang meneroka dan merintis dunia pendidikan sejarah tanah air apabila sentiasa berubah mengikut arus.
Menurutnya, menerusi dua buku itu dengan jumlah 420 halaman dia menjadi tukang cerita yang kreatif, hebat dan menghiburkan dengan mengumpan pembaca ikut menyelami liku-liku suka duka dan tangis tawa dalam menjejaki perjalanan hidup beliau melalui cerita bervariasi dan kebinekaan, naratifnya mirip karya sastera sejarah, santai, bersahaja, lucu serta disulami pengajaran.
Tambahnya, bagi memastikan buku itu mampu membuka minda pembaca mengenai dunia pendidik, dalam ruang terbatas, dia menempelkan nota kaki, peribahasa, unsur sejarah dan budaya setempat di samping menjadi persaingan kepada buku Memoir Budak Kampung.
“Dalam menjamin keaslian dan ketulenan hasil penulisan, saya melakukan penyelidikan, pengumpulan bahan dan temu ramah dengan orang yang sumbernya disaring, informasi yang diterima akan disemak supaya tidak mencalarkan reputasi personaliti tertentu manakala fakta, pertarikhan nama dan peristiwa ditulis dalam bentuk sekunder.
“Hal ini dilakukan demi mengekalkan keharmonian kerana bahan yang digarap dalam dua buku berkenaan turut menerima buah fikiran dan saranan kawan-kawan rapat yang terjerumus dalam bidang pendidikan sama sezaman saya.
“Kerana itu saya percaya cerita yang dihidangkan berupaya bergenang air mata dan sukma warga pendidik yang ikhlas melaksanakan tugas dengan menempuh pelbagai ranjau, cacian, bebanan, kepayahan dan sebagainya demi kecemerlangan anak bangsa,” ujarnya yang ditemui di Tanjong Karang, Selangor.
Beliau menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah (SM) Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor iaitu sekolah mula ditugaskan mengajar sehinggalah bersara.
Cikgu Muslimin berkata, dia bukanlah selebriti popular atau tokoh korporat terbilang mahu pun orang politik tersohor yang kisah hidupnya boleh menjadi karya magnum opus, dia hanya orang kecil apabila cerita komitmen pendidik mendidik anak didik dan individu yang prihatin, pasti dialami oleh pendidik lain malah lebih hebat lagi.
Pada Mac 2020 hingga 2021 apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beliau meningkat usaha menulis dua buku berkenaan dengan memanfaatkan waktu senggang terutama pada malam sebelum tidur bagi mengupas ingatan lampau.
Beliau berpendapat tidak ramai orang membukukan pengalaman hidup mereka semasa berkhidmat, hal itu disebabkan orang kita keberatan bersikap jujur terutama apabila kisah yang digarap boleh menyentuh sensitiviti personaliti atau warisnya.
Menurutnya, ekoran itu dia akan mengajukan pertanyaan kepada rakan rapat mengenai perkara serupa yang ramai mencadangkan supaya beliau meneruskan usaha murni menulis dua buku berkenaan kerana akan menjadi bahan bacaan berguna kepada mereka yang baru menceburi bidang pendidikan.
“Secara keseluruhan, isi ceritanya mengujakan, kerana ada kisah lucu, cerita sedih, insiden yang seakan tidak logik tetapi realitinya berlaku mungkin akan ditempuhi pendidik baharu apabila sesetengahnya terpaksa memulakan tugas di pedalaman serba kekurangan,” ujarnya.
Kepada mereka yang berminat mendapatkan buku berkenaan boleh menghubungi Cikgu Muslimin menerusi nombor telefon bimbit 019-388 7874. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Skuad Prihatin Asnaf (SPA), Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut menyantuni 20 murid asnaf daripada empat buah sekolah di sini.
Pengerusinya, Mohd Zamri Mat (58) berkata, 20 murid tersebut dipilih daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, SK Inderapura, SK Jerantut dan SK Pulau Mansuk dekat sini.
AJK Skuad Prihatin Asnaf membantu kanak-kanak sekolah memilih pakaian di sebuah pasar raya di sini.
“Pada tahun ini semua murid terbabit mendapat pakaian untuk menyambut Aidil Fitri tahun ini berjumlah RM150 dan wang tunai sebanyak RM50 setiap orang.
“Pada tahun ini juga, murid tersebut bertuah menerima sumbangan daripada orang perseorangan yang sudi menyumbang,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Katanya, SPA turut mengadakan lawatan kepada golongan asnaf yang berada di sekitar 20 kilometer dari masjid ini.
“Golongan ini menerima bantuan berbentuk barang dapur bernilai RM150 yang turut menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Sebahagian mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Kedah menerima agihan bakul barangan keperluan asas harian yang dilakukan oleh KESUMA’24 hasil infak penaja utama Yayasan Bank Rakyat dan penyumbang prihatin pada Disember 2024.
KESUMA 24 dapat perhatian Kebajikan Mahmudah
Kegigihan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dan sikap bertanggungjawab dalam membantu masyarakat ditimpa musibah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia (PKMM) untuk mengizinkan sebuah kontena menjadi pejabat operasi mereka.
Kontena sepanjang 40 kaki itu merupakan sumbangan sebuah syarikat swasta dari Kelang, Selangor kepada PKMM untuk digunakan bagi tujuan aktiviti amal kebajikan supaya berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Setiausahanya, Rozita Yaakob, berkata kontena yang belum dilengkapi kemudahan bekalan elektrik akan dijadikan pejabat, bilik mesyuarat ahli KESUMA’24 dan stor untuk menyimpan barangan serta peralatan apabila keluar untuk mengadakan misi amal kebajikan.
Menurutnya, kontena itu juga akan dipasang bumbung untuk melindungi bahagian atas daripada hujan serta panas terik supaya kekal lama, manakala persekitarannya pula akan diturap tar atau disimen untuk dijadikan dataran bagi warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menjalankan aktiviti senaman dan sebagainya.
Tambahnya, persekitaran kontena yang terletak di belakang PJMM itu juga akan dijadikan ahli KESUMA’24 taman mini yang akan dihiasi dengan pelbagai pokok bunga bagi mencantikannya untuk menimbulkan suasana nyaman bagi warga emas beriadah pada waktu pagi atau petang.
“KESUMA’24 juga akan mempelawa dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan aktiviti di situ kerana ia lebih luas yang membantu melahirkan suasana tenang serta lapang kerana selama ini warga emas di PJMM menjalankan aktiviti atau atur cara dalam dewan.
“Sehubungan itu sejak dua bulan lalu KESUMA’24 giat mengumpul dana bantuan sumbangan pembangunan RM30,000 bagi tujuan pemasangan bekalan elektrik, bumbung luar dan melengkapkan prasarana pejabat dalam kontena serta akan digunakan untuk aktiviti amal kebajikan,” ujarnya.
KESUMA’24 yang dianggotai ramai sukarelawan berpengalaman dalam aktiviti amal kebajikan bernaung di bawah PKMM beralamat di Lot 459/5, Kampung Sungai Purun, Batu 1½ Jalan Bangi, Semenyih, Selangor.
Rozita berkata, sebelum ditubuhkan setahun lalu sebagai sebuah kelab secara rasmi, ramai sukarelawan KESUMA’24 membantu PKMM yang mengurus selia PJMM dalam aktiviti amal kebajikan seluruh negara.
Jelasnya, sebagai mengelak salah faham KESUMA’24 diwujudkan untuk mencari dan mengumpul sumbangan dana bagi menganjurkan aktiviti sosial masyarakat dan amal kebajikan di samping meringankan kos operasi PJMM yang sentiasa meningkat terutama membabit penyediaan makanan warga emas.
Tambah Rozita, KESUMA’24 juga akan bertindak sebagai perantaraan kepada PKMM dengan badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta NGO lain dalam menyalurkan bantuan amal kebajikan untuk mereka yang memerlukan bantuan termasuklah mangsa bencana alam seperti banjir.
Menurutnya, ahli KESUMA’24 mengikuti pelbagai misi yang dianjurkan oleh PKMM berkenaan seperti agihan bakul makanan barangan keperluan asas kepada keluarga miskin, asnaf, rumah anak yatim, pusat atau pondok tahfiz dan mangsa banjir.
Beliau berkata, seperti mangsa banjir, hasil sumbangan serta infak pelbagai pihak mereka mengagihkan bakul makanan barangan keperluan asas harian antaranya di Temerloh, Pahang: Tumpat, Kelantan: Kota Tinggi, Johor: Hulu Langat, Selangor: Jerteh, Terengganu, Jitra, Kedah dan sebagainya.
Katanya, semua tugas sukarela itu dilakukan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sumbangan serta infak daripada pelbagai pihak berkenaan sampai ke sasaran sebagaimana hasrat mereka yang bekerjasama dengan KESUMA’24.
“Sehubungan itu KESUMA’24 amat berharap mendapat sokongan serta infak daripada pelbagai pihak dan masyarakat dalam projek Bantuan Sumbangan Dana Pembangunan yang boleh disalurkan terus ke akauan KESUMA’24 bernombor 100 7621 0000 12282 (Kelab Sukarelawan Mahmudah) Agro Bank, Semenyih, Selangor atau scan Kod QR,” ujar Rozita lagi. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!