Seorang maut, kereta rentung bertembung dengan lori dalam kemalangan di Jerantut
JERANTUT : Seorang maut, empat cedera parah serta sebuah Proton Exora rentung dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah lori Isuzu di Jalan Jerantut- Sungai Salan, berdekatan Pusat Tahfiz, Pulau Tawar pada jam 12.39 tengahari semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata Pegawai Operasi, Rosdi Talib yang mengetuai operasi itu melaporkan, tiba di tempat kejadian sebuah kereta jenis Proton Exora dianggarkan terbakar 100 peratus akibat kemalangan dengan sebuah lori.
“Seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan 2 wanita dewasa mengalami kecederaan parah.
“Lelaki dewasa disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala dua wanita mengalami kecederaan dihantar ke Hosptial Jerantut untuk rawatan selanjutnya,” katanya..
Katanya, seramai 8 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan berjaya memadamkan api kebakaran.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jalan baharu Kg Mat Daling – Kg Pasir Raja beri impak besar kepada Jerantut dan penduduk
JERANTUT : Pembinaan jalan baharu dua lorong (single carriageway) sepanjang kira-kira 50 kilometer dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu akan memberi impak besar kepada daerah Jerantut dan penempatan tradisional sepanjang pesisir Sungai Tembeling.
Jalan yang dibina dengan kelebaran 6.5 meter (20 kaki) serta berturap bakal memberi limpahan kepada ekonomi tempatan, pelancongan dan sosial.
Salah satu papan tanda yang menunjukkan arah ke Kampung Pasir Raja.
Kira-kira 5,000 orang penduduk Kampung tradisional di pesisiran Sungai Tembeling, Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta peluang menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak berkata, pengguna jalan baharu ini bakal menikmati pemandangan indah di sepanjang jalan dengan kawasan tinggi berbanjaran yang menghijau serta air sungai yang cantik seperti kawasan perkelahan Jeram Perahu yang terletak berdekatan Kampung Mat Daling.
“Kemungkinan pengguna laluan akan berhenti menghirup udara segar dan juga mandi manda bersama anak masing-masing sebelum meneruskan perjalanan di tempat yang menarik.
“Banyak tempat menarik dengan anak sungai dengan aliran air sungai yang jernih, tempat ini yang selama ini tidak diketahui umum kecuali orang kampung yang sering ke tempat tersebut,” katanya.
Katanya, penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu bakal memberi impak besar kepada penduduk tempatan yang sudah lebih 50 tahun menunggu kemudahan seperti jalan raya ini.
Antara lalauan di Kampung Mat Daling menghala ke jalan utama ke Jalan Mat Darling-Kampung Pasir Raja yang sedang dibina.
“Sebelum ini, penduduk di kawasan Hulu Tembeling terutama penduduk di Kampung Mat Daling mempunyai pertalian kekeluargaan dan persaudaraan di Kampung Pasir Raja, Dungun.
“Sebelum tiada jalan raya sebelum tahun 1980an, penduduk di Kampung Mat Daling berjalan kaki melalui denai hutan yang mengambil masa 2 hari satu malam untuk menziarah keluarga mereka di sana begitu juga sebaliknya,” katanya.
Penduduk bandar Jerantut, Rosmadi Sulaiman (60) berkata, orang ramai yang bakal menggunakan laluan itu daripada bahagian Pahang Barat dan Pahang Selatan, meliputi daerah Bera, Temerloh, Bentong, Lipis, Raub dan Jerantut akan menjadikan daerah Jerantut sebagai persinggahan sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
“Mereka (pengguna laluan) akan berhenti berehat, minum dan makan malah turut mengisi minyak di stesen minyak di bandar ini sebelum meneruskan perjalanan dan bakal melonjakkan ekonomi tempatan.
“Selain itu, penduduk di sepanjang laluan ini seperti penduduk Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan juga penduduk di Tembeling Tengah termasuk Kuala Tahan boleh membuka gerai makan masing-masing di tempat yang sesuai di sepanjang jalan.
“Begitu juga penduduk di kampung-kampung berkaitan boleh merebut peluang berniaga dan menjadikan mata pencarian baharu mereka selain pertanian yang mereka lakukan sejak zaman- berzaman itu,” katanya.
Aktivis pelancongan, Sabri Abdullah berkata, laluan baharu ini akan sibuk menjelang musim perayaan dan cuti sekolah kerana pengguna akan mengambil jalan pintas terutama ke arah daerah Dungun dan sebaliknya, seterusnya ke daerah berdekatan di Terengganu dan Kelantan.
“Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1 ) dan LPT2 menghala ke pantai timur akan ‘lega’ kerana ada jalan pintas sebagai pilihan baharu, pengguna akan keluar dari lebuh raya LPT1 dan masuk ke jalan persekutuan ke bandar Jerantut.
“Manakala, pemain industri pelancongan pula akan turut menerima kesan besar dengan bilangan kehadiran pengunjung tempatan sekiranya laluan ini siap sepenuhnya,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, kalau dahulu untuk ke Cameron Highlands hanya ada satu laluan sahaja melalui pekan Tapah, tetapi kini ada empat penjuru dari daerah Lipis melalui Sungai Koyan, Gua Musang, Simpang Pulai (Perak) dan Tapah menyebabkan bilangan pengunjung bertambah.
“Kepada pengusaha, inap desa, chalet dan perhotelan di Kuala Tahan dan di kampung berdekatan perlu bersiap sedia akan turut meraih pertambahan bilangan pengunjung khususnya di musim cuti panjang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu Perodua Myvi maut tersepit dalam kemalangan
TEMERLOH – Pemandu Perodua Myvi maut tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Maran-Temerloh pada jam 1.38 petang, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kereta Perodua Myvi bertembung dengan sebuah kereta Kia Sportage dalam kemalangan itu dan seorang penumpang lelaki dewasa Perodua Myvi dan pemandu kereta Kia Sportage turut cedera.
Katanya, pegawai operasi, Ridzuan Hashim dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin melaporkan, pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, “ katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pahang hadapi kes karies gigi tertinggi di Malaysia
KUANTAN -Sebanyak 80.5 peratus kanak-kanak prasekolah di negeri Pahang pada tahun 2015 mengalami karies gigi dan ke-5 tertinggi di Malaysia melalui satu hasil tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan.
Selain itu, tinjauan itu menyatakan 40.1 peratus murid sekolah Tahun 2017 yang berumur 12 tahun di negeri ini mempunyai kerosakan gigi dan ke-5 tertinggi di Malaysia.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, manakala bagi orang dewasa sebanyak 90.5 peratus mengalami kerosakan gigi dan 82 peratus mengalami masalah kesihatan gusi pada tahun 2010.
“Sebanyak 64 buah Klinik Pergigian dibuka setiap hari manakala sembilan buah lagi menjalankan perkhidmatan secara lawatan.
“Pada tahun 2022 didapati kadar penggunaan fasiliti pergigian oleh penduduk negeri ini adalah 24.6 peratus kira-kira 1 dalam 4 penduduk sahaja yang menggunakan perkhidmatan kesihatan pergigian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di program Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, di sini, hari ini.
Katanya, negeri Pahang mempunyai 73 buah fasiliti Kesihatan Pergigian Primer yang menyediakan rawatan asas pergigian, namun, masalah karies gigi (kerosakan gigi) merupakan salah satu masalah pergigian utama yang dihadapi oleh kanak-kanak dan golongan dewasa.
“Pada tahun 2022, sebanyak 39 program berkerjasama dengan institusi agama telah dijalankan dengan melibatkan 24 buah masjid, 6 buah tokong, 4 buah kuil, 1 buah gereja dan 4 buah institusi keagamaan lain sebagai memberi perkhidmatan kesihatan gigi di negeri ini.
“Manakala 11 buah Kolej Komuniti turut dikunjungi bagi pelaksanaan program perkhidmatan kesihatan gigi dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.
Nor Azimi berkata, selain itu, sebanyak 27 buah institusi warga emas dan 45 buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti juga telah dilawati.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Deretan lori yang terlibat berjaya disita.
Unit penguatkuasaan Pahang gagalkan pelombongan bauksit secara haram
KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah berjaya membenteras kegiatan perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular, Kuantan kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Melalui laporan diterima, tiga anggota UPNP melakukan penugasan, pemantauan dan rondaan kawasan kegiatan perlombongan itu pada jam 6.00 petang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rodsy Wan Ismail berkata, ketika rondaan di kawasan sekitar yang dilaporkan, anggota UPNP telah menerbangkan dron sebagai intipan awal pada jam 6.20 petang.
“Setelah mengenalpasti kawasan diceroboh, terdapat kegiatan perlombongan bahan mineral (Bauksit) berlaku di sekitar Sungai Ular.
“Pasukan UPNP telah bergegas ke kawasan kejadian dan meminta pemandu lori mengemukakan dokumen, pemandu tersebut gagal mengemukan dokumen yang diperlukan,” katanya.
Wan Rosdy berkata, anggota UPNP kemudiannya telah menahan dan menyita empat buah lori dumper dan dua buah jengkaut di bawah seksyen 137 (1) Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 iaitu penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan yang sah.
“Terima kasih dan syabas anggota UPNP kerana telah berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan haram ini.
“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penerokaan tanah secara haram di seluruh negeri ini dan usaha-usaha membanteras aktiviti sebegini akan sentiasa diteruskan setiap masa,” katanya. -SAHIH..
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu seorang wanita untuk menyeberangi Sungai Sepan.
Sebelas rumah dilanda banjir kepala air di Kampung Sempadan
JERANTUT : Sebelas buah rumah dilanda banjir kepala air menyebabkan paras air Sungai Sepan tiba-tiba naik mendadak sehingga kira-kira satu meter pada jam 2.00 pagi di Kampung Sempadan, dekat sini, awal pagi ini.
Tiga puluh Sembilan orang daripada sebelas keluarga tidak sempat menyelamatkan peralatan dan dokumen penting kerana tidak sedar air tiba-tiba naik dari arah Sungai Sepan yang terletak kira-kira 30 meter daripada rumah penduduk kampung itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapt. (PA) Muszaidi Musa melaporkan, ekoran daripada hujan lebat yang bermula pada jam 9.00 malam semalam, menyebabkan berlaku paras air naik dan melimpah memasuki rumah penduduk berdekatan sungai itu.
Seorang pelajar menjemur sijil-sijil persekolahan yang tidak sempat diselamatkan dalam kejadian itu di Kampung Sempadan, hari ini.
Katanya, terdapat lima buah rumah di Kg Sempadan dan tiga buah rumah di Kg Batu Balai dimasuki air dan mangsa di Kg Sempadan menumpang sementara di Balairaya Kg Sempadan dan paras semasa air menunjukan trend menurun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian banjir dipercayai berlaku disebabkan kepala air dari hulu Sungai Relai, Sungai Cheka dan Sungai Sepan akibat hujan lebat yang berlaku malam tadi.
“Penduduk yang terlibat memang tidak menjangka berlaku banjir kali ini kerana kejadian ini di luar musim tengkujuh.
“Paras air cepat menyebabkan 11 keluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing kerana perlu menyelamatkan diri dan berlindung di Balai Raya Kampung Sempadan sebelum dibenarkan pulang sehingga air surut,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Lehan Yushak, 64 tahun berkata, hujan lebat mula berlaku pada jam 9.00 malam sehingga jam 11 malam dan paras air mula naik kira-kira jam 12 tengah malam.
“Selepas itu air bertenang dan tidak menjangka pada jam 2 pagi, datang sekali air melanda kawasan rumah dan memasuki dalam rumah dan dianggarkan sehingga satu meter.
“Memang terkejut kerana ahli keluarga ramai sudah nyenyak dan terpaksa dikejutkan untuk menyelamatkan barang,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut.
.Seorang penduduk di kampung itu, Rosmaniza Mohd Isa (43) tahun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 pagi dan air mendadak bermula di bahagian dapur rumah dan semua ahli keluarga tergamam kerana baru tersedar dari tidur.
“Kejadian banjir kali ini sangat cepat dan kejadian banjir berlaku setiap tahun berlaku, kadang-kadang berlaku 2 kali setahun setiap musim tengkujuh.
“Tapi kali ini kejadian banjir luar jangka kerana di luar musim tengkujuh, saya sekeluarga sudah letih kerana setiap kali berlaku banjir banyak peralatan di rumah banyak yang rosak, diharap ada jalan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Damak, Haris Salleh Hamzah ketika ditemui berkata, beliau akan cuba melakukan sesuatu untuk membantu rumah penduduk yang terlibat yang terletak berdekatan kawasan Sungai Sepan.
“Mungkin akan berbincang dengan pihak berkaitan sama ada akan mendalamkan sungai itu sebagai langkah jangka pendek,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Seorang pemandu lori treler meninggal dunia kerana tersepit dalam kemalangan di KM 43, Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi pada jam 3.45 awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi Che Anuar Ahmad melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah lori treler dengan muatan pasir.
“Lori treler tersebut yang dipandu oleh Mohamad Hasrul Abdul Halim dipercayai terbabas dipercayai hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung kira-kira pada kedalaman 10 meter.
“Mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan alat haidraulik dan tali,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, mangsa disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seramai 15 anggota dan 3 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong terlibat dalam operasi tersebut. Operasi tamat pada jam 6.45 pagi,” katanya.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Jajaran Lingkaran Tengah Utama bakal digunakan menjelang Aidil Adha
LIPIS – Pakej Jajaran Jalan di dalam Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 5B dan sebahagian jajaran jalan LTU Pakej 5A (CH8700 – CH9600) – Krau Interchange bakal dibuka menjelang sambutan Aidil Adha tidak lama lagi..
Orang ramai dari arah ibukota ke pantai timur boleh menarik nafas lega untuk menyambut sambutan hari raya Aidil Adha nanti.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Andul Rahman Mohamad dalam lawatan singkatnya berkata, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan projek Krau interchange yang sepatutnya siap pada Disember 2023, bakal dibuka.
Katanya, projek LTU Pakej 5B telah siap sepenuhnya pada 15 Februari lalu, manakala Program Kerja Asal LTU Pakej 5A, Krau Interchange dijangka siap pada 1 Disember 2023.
“Lawatan singkat saya di sebahagian jajaran ini , memohon kepada kontraktor pakej projek Krau interchange menyegerakan pembinaan kerana ramai orang hendak balik ke kampung untuk beraya nanti.
“Program kerja khas bagi Krau Interchange diwujudkan untuk mempercepatkan penyiapannya sebelum atau pada 25 Jun 2023,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, pembukaan jajaran ini yang bakal digunakan akan mempercepatkan perjalanan, mengurangkan kesesakan trafik dan keselesaan menjelang raya nanti.
“Saya sendiri melihat perkembangan kerja-kerja di Pakej Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama @ CSR bagi pakej 5A dan 5B (Exit UiTM Raub), semalam.
“Namun, diharapkan semua pengguna laluan ini nanti turut menjaga keselamatan semasa dalam perjalanan dan menjaga kebersihan di sepanjang lebuhraya LTU ini,” katanya-SAHIH.
.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wanita 60 tahun maut, kereta masuk gaung di Sungai Yu, Maran
MARAN : Seorang wanita berusia 60 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Rush maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Yu, Lubuk Jering dekat sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Sungai Jerik dan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi
“Operasi diketuai oleh Nor Dzaini Md Zin dengan enam orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka Pusat bersama sebuah kenderaan bergegas ke tempat sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi hari ini.
“Di tempat kejadian , disahkan kemalangan berlaku dan anggota melakukan penugasan menaikkan mangsa ke atas dengan menggunakan tali dan peralatan pengusung daripada gaung sedalam 15 meter,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, mangsa dari arah Sungai Jerik menghala ke Maran itu berjaya dinaikkan ke atas dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Pelajar lelaki berusia 19 tahun dari Pondok Bustanul Ashrafiah, Tanjung Malim yang dikhuatiri lemas ditemui pada jam 9.52 pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria melaporkan mangsa yang dikhuatiri lemas, Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan yang dihanyutkan air deras di Air Terjun Chamang pada jam 9.58 pagi semalam.
”Mayat mangsa ditemukan pada jarak lima meter dari tempat mangsa dilaporkan jatuh dengan kedalaman 1.5 meter di dalam sungai.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, mangsa bersama 15 orang pelajar dari Pondok Bustanul Ashrafiah, Tanjung Malim mengikuti program perkhemahan selama 4 hari dan dijadualkan tamat esuk.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!