LIPIS – Ibupejabat Polis daerah (IPD) Lipis mengadakan Program Gaya Hidup Sihat dengan melakukan larian sejauh 3 kilometer, hari ini
Program tersebut bermula dari Perkarangan IPD Lipis melalui Tanjung Lipis, Jalan Hospital dan berakhir di IPD Lipis
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, program itu amat baik dan sesuai untuk anggota polis mengekalkan kecergasan masing-masing.
“Seramai 18 pegawai kanan polis, 54 orang pegawai pangkat rendah polis dan kakitangan awam polis berjumlah 80 orang turut terlibat.
“ Program ini diatur bagi memastikan kesihatan pegawai, anggota serta kakitangan awam sentiasa dalam keadaan sihat dan cergas dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
Katanya, pegawai sukan yang bertugas, Inspektor Mohd Fariduddin Hassan diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut.-SAHIH.
Foto : FB Polis Daerah Lipis.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUKSIS – UKM beri peluang pelatih babit aktiviti PJMM
Foto : Mohd Padzil (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama-sama warga emas dan Kor SUKSIS UKM selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat “Bakti Murni’ di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
PROGRAM khidmat masyarakat “Bakti Murni’ anjuran Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu memberi input positif kepada keseluruhan pelatihnya yang terbabit dalam aktiviti di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC), Mohd Padzil Mohd Zain, berkata bertepatan dengan slogan program berkenaan ‘Sentuhan Kasih Menjalin Ikatan’ merupakan inisiatif terbaik mengeratkan hubungan antara pelatih dengan warga emas yang disantuni.
Menurutnya, melalui aktiviti yang dilaksanakan secara bergotong-royong antara pelatih pula secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama yang tinggi sekali gus membuktikan kerja berpasukan amat penting dalam melakukan tugas untuk kebaikan orang lain.
Mohd Padzil menyampaikan sijil penghargaan dan terima kasih kepada Mohiadin sambil diperhatikan oleh Sazali Mohiden (kanan).
Tambahnya, sikap itu juga ibarat pepatah ‘tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah’ iaitu memuliakan orang lain merupakan satu tanggungjawab yang diharapkan menjadi amalan pelatih untuk sentiasa dikongsikan demi membawa kebaikan dalam kehidupan.
“Prihatin terhadap orang lain dan memupuk amalan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat tanpa mengira umur, bangsa, kaum, agama serta latar belakang wajar dipelihara di mana sekalipun berada,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan di PJMM pada 8 Jun 2024.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintenden Polis, S Suzana S Abdullah; Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UKM, Asisten Superintenden Polis (ASP), Siti Zam Zarina Ali; Pegawai Latihan Akademik Kor SUKSIS UKM, ASP Kor SUKSIS, Dr Frankie Marcus Ata; Pegawai Latihan Kor SUKSIS UKM, Inspektor Abdul Hadi Zainudin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.
Sementara itu, Ketua Pengarah program berkenaan, Muhammad Firdaus Al Iman Abdullah Taib, berkata program itu merupakan aktiviti kali pertama Kor SUKSIS yang membabitkan pusat jagaan atau rumah kebajikan kerana sebelum ini mereka lebih kepada aktiviti beruniform seperti berkawad dan menembak ke arah membina jati diri.
Menurutnya, 58 ahli Skuad 18 yang terbabit dalam program itu agak terkejut dan terkedu seketika apabila melihat keadaan warga emas yang menghuni PJMM sebagai tempat berlindung ke akhir hayat selepas disisih oleh ahli keluarga, hidup sebatang kara, mualaf dan orang kelainan upaya (OKU).
Tambahnya, mereka berpandangan antara satu sama lain dan berasa sebak apabila dimaklumkan sebilangan besar warga emas yang berlindung di PJMM dibuang oleh keluarga sendiri termasuk anak, dibiarkan di hospital tanpa dituntut selepas selesai menerima rawatan serta tinggal sehelai sepinggan selepas harta dirampas oleh ahli keluarga atau saudara mara.
Jelasnya, situasi itu memberi dorongan dan semangat kepada ahli Kor SUKSIS untuk bersungguh-sungguh penuh berdisiplin melakukan pelbagai aktiviti gotong-royong seperti membersih bilik warga emas dengan menyapu sampah, mengelap lantai, mencuci peralatan di dapur, surau, tandas serta persekitaran PJMM.
“Ini amat memberi keinsafan kepada kami semua walaupun sibuk dengan aktiviti di universiti termasuk menelaah pelajaran seharusnya tidak melupai bagi menabur bakti atau membuat kebaikan untuk mereka yang berada di luar khususnya warga emas di pusat jagaan atau rumah kebajikan.
“Kami berasa bersyukur dengan menyertai Kor SUKSIS ini rupanya memberi peluang untuk menyantuni mereka yang memerlukan sokongan atau bantuan serta mendidik untuk menjadi seorang pelajar memiliki hati mulia.
“Program ini juga menjadi kami bijak untuk menguruskan diri malah menjadi lebih berdisiplin apabila diberikan tugas melayani warga emas yang amat merindui keramahan dan celoteh seorang anak selepas terasing di PJMM sekian lama,” ujarnya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tujuh penduduk Jerantut sumbang 17 ekor lembu korban di Kemboja
Jerantut – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, seramai enam orang penduduk Jerantut telah menyumbang sebanyak 17 ekor lembu untuk ibadah korban tahun ini di beberapa buah kampung yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.
Penduduk tersebut terdiri daripada pekebun sawit, ahli perniagaan dan pesara guru telah pergi ke Kampung Jong Prek, Kampung Dobprami Mesa, Kampung Torsangker, Kampung Lngsan Krom, Kampung Prek Kathit, Kampung Koh Thmey, Kampung Long San Koh Thom dalam daerah Kaoh Thum, Wilayah Kandal dan Kampung Cham, Wilayah Cham.
Rombongan itu yang diketuai oleh seorang pengusaha sawit, Azlan Zakaria telah menyumbang sebanyak 17 ekor lembu berharga RM42,500 untuk disembelih di lapan buah kampung tersebut.
Katanya, sumbangan tersebut untuk menunaikan ibadat korban dan sekali gus dapat membantu sesama Islam dalam kalangan penduduk di kampung tersebut yang hidup serba kekurangan.
“Kesedaran ini memberi peluang rombongan kami untuk melakukan ibadah korban di negara ini selain mengenali masyarakat dan budaya setempat,” katanya.
Rakannya, Mohd Fadhilah Zakaria, 51 yang turut menyertai rombongan itu berkata, inilah pertama kali dia menjejakkan kaki di bahagian pedalaman kampung di Kemboja serta dapat melihat sendiri kesusahan penduduk Melayu Champa khususnya ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Saya turut bersimpati serta terpanggil apabila dipelawa untuk melaksanakan ibadat korban di Kemboja secara langsung dapat membantu serta berkongsi rezeki bersama masyarakat Islam di sini,” katanya.
Penduduk Kampung Cham, Zakaria Sop, 49, berkata, dengan kehadiran enam orang penduduk Malaysia menziarah ke kampungnya untuk menunaikan ibadat korban tidak dapat dibalas atas nilai pengorbanan sesama Islam untuk membantu mereka di situ yang hidup serba kekurangan.
“Saya terharu dengan kehadiran orang Malaysia, sudah tujuh tahun kami di sini tidak menyertai ibadat korban kerana miskin dan tiada bantuan pertubuhan Islam dan dermawan dari luar negara ini, hari ini kami sangat bertuah dan bersyukur dapat merasai daging lembu korban.
“Kami bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kerana ada orang Malaysia yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan sumbangan lembu untuk ibadat korban tahun ini,” katanya.
Imam Masjid Kampung Long San Koh Thom, Wilayah Kandal, Kemboja, Husen Isa (70) berkata, dia dan penduduk setempat bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kerana sudah lima tahun penduduk di sini tidak merasa daging korban.
“Kami berdoa semoga Allah melimpahkan ganjaran kepada dermawan dari Jerantut, datang memberikan sumbangan lima ekor lembu untuk disembelih dan diagih kepada seramai 685 orang penduduk di sini.,
“Penduduk di situ yang rata-ratanya berpendapatan kurang RM500 (442,635 Riel Kemboja (KHR) tidak mampu membeli seekor lembu berharga antara RM2,500 hingga RM3,000 (antara 500USD – 600USD) untuk ibadat korban sempena setiap kali Aidiladha,” katanya.
Katanya, walaupun ternakan lembu dikira murah dengan harga RM2,500 seekor, tetapi penduduk Islam di luar bandar negara ini (Kemboja) tidak mampu membeli untuk ibadat korban dan hanya mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada luar setiap tahun ketika Hari Raya Aidiladha.
“Kami amat bersyukur apabila dermawan dari luar yang sanggup memberikan sumbangan ternakan dan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini cukup bermakna kerana dapat mengadakan ibadat korban dan bergotong-royong majlis jamuan di masjid selepas solat sunat Aidiladha,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kerbau curi sumbat dalam Honda Odyssey -IPD Bera
BERA – Tiga ekor lembu yang disyaki kebau curi yang disumbatkan dalam sebuah kereta Honda Odyssey di Kampung Bukit Serdang, dekat sini, pada jam 3.20 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superitendan Zulkeflee Nasir berkata, siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati sebuah motokar itu yang berwarna kelabu dalam keadaan melintang di tengah jalan.
“Seorang orang awam berusia 50 tahun menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Semasa pemeriksaan terdapat tiga ekor kerbau yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang dalam keadaan tidak bermaya kerana disyaki kesan ubat pelali,” katanya dekat sini.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan dan memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau pemilik yang kehilangan kerbau memaklumkan kepada pihak polis. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penduduk Taman Inderapura gotong royong sembelih enam ekor lembu
JERANTUT – Penduduk Taman Inderapura bergotong royong menyempurnakan ibadah korban di sini, semalam.
Penyelaras Ibadah Korban 1445H taman itu, Mahmud Ahmad berkata, tahun ini sebanyak enam ekor lembu disembelih mulai jam 9.30 pagi dan selesai kira-kita 12.30 tengah hari.
Daging lembu itu diagihkan kepada peserta korban yang terdiri daripada penduduk di taman itu dan golongan asnaf.
Penduduk taman itu, Abdul Jamal Nasir berkata, program seperti ini satu ibadah yang wajar diadakan bagi yang berkemampuan, selain itu secara tidak langsung dapat merapatkan siratulrahim di kalangan penduduk setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT : Orang awam dan penduduk taman perumahan berdekatan dengan sebuah hotel di bandar ini terkejut apabila melihat beberapa buah khemah perniagaan berterbangan ditiup angin kencang sehingga terbang melintasi sebuah parit besar ke salah halaman sebuah rumah berdekatan.
Kejadian angin kuat itu berlaku kira-kira jam 6.00 petang selama hampir 15 minit turut menggemparkan tetamu dan penghuni sebuah hotel dekat situ disusuli dengan hujan lebat sederhana.
Seorang penghuni hotel itu, Sulaiman Azman (59) berkata, ketika dia bersama beberapa orang lain yang berada di hadapan hotel itu gempar seketika apabila ribut membadai beberapa buah khemah gerai perniagaan dan bimbang akan meranapkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di situ.
“Saya dengan beberapa orang lain sedang berada di hadapan hotel melihat khemah-khemah itu berterbang setinggi kira-kira 3 meter dan ‘menyebarang’ parit besar ke sebuah rumah di situ.
“Mujur tiada orang terutama kanak-kanak dan kenderaan berada di situ kerana hentaman besi khemah itu kedengaran sangat kuat,” katanya.
Difahamkan khemah tersebut masih kosong dipasang sebagai persediaan pemindahan sementara peniaga gerai jualan berdekatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Seorang penduduk, Abd Manaf Mat, 60, berkata, dia sedng memandu kereta untuk ke sebuah pasar raya di bandar itu ketika ribut mula melanda.
“Setiba berdekatan kawasan perniagaan di sini, saya nampak dua buah khemah diterbangkan angin dan terjatuh di hadapan rumah berdekatan.
“Saya memberhentikan kereta dan melihat ribut membadai sehingga beberapa buah khemah lagi tercabut dan diterbangkan ribut, manakala beberapa yang lain runtuh,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Seorang penunggang motosikal dalam perjalanan balik kampung untuk menyambut Aidil Adha maut dalam kemalangan di KM 25, Jalan Lipis-Benta menghala Kuala Lipis pada jam 5.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, penunggang tersebut, Mohamad Suhamel Ismail (24) yang datang dari rumahnya di Kepong dalam perjalanan balik ke kampungnya di Kampung Bertam, Gua Musang.
“Hasil siasatan awal, apabila sampai di tempat kejadian di Bulatan Benta di laluan tersebut, lori terbabit telah mengelak sebuah kereta yang rosak di tengah-tengah bulatan akibat kemalangan yang berlaku sebelum itu.
“Dalam keadaan menggelak itu, lori itu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh penunggang motosikal yang sedang berehat di tepi jalan tempat berlaku kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, lori itu yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun yang datang dari Klang sedang menuju ke Tanah Merah untuk menghantar muatan tilam.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Taman Tema, Genting Skyworlds, Genting Highlands terbakar.
BENTONG – Taman tema, Genting Skyworlds di pusat peranginan Genting Highlands dilaporkan berlaku kebakaran pada bahagian luar bangunan empat tingkat, pada jam 4.55 petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kebakaran melibatkan bahagian luar (outdoor) bangunan tingkat dua hingga tingkat empat.
“Kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan dan sistem pepasangan kebakaran bangunan berfungsi serta tidak melibatkan mangsa.
“ Seramai 39 anggota dan pegawai termasuk empat unit jentera LFRT dan FRT termasuk dua unit ambulan (EMRS),’ katanya.
Katanya, sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 5.01 petang dengan empat anggota daripada BBP Genting Highlands.
“Sebanyak tiga BBP, BBP Genting Highlands dengan 8 anggota dan dibantu oleh anggota BBP Bentong dengan 10 anggota dan BBP Selayang dengan (10) manakala PBS Janda Baik (8) dan Unit Kebakaran Genting seramai 20 orang,” katanya.
“ Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 6.30 petang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superitendan Zahaim Mohd Kahar mengesahkan kejadian itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Sebanyak 200 kampit beras dan 200 sarang telur habis terjual dalam tempoh sejam di Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) yang diadakan di Perkarangan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut yang diadakan hari ini.
Jurucakap FAMA berkata, seawal program itu dibuka pada jam 9.00 pagi, orang ramai datang dan membeli beras dan telur untuk kehadiran sambutan Aidil Adha yang bakal disambut pada hari Isnin ini.
Katanya, sekampit beras seberat 10 kilogram dijual pada harga RM26, manakala telur bersaiz gred A dijual RM 13.00 sebanyak 30 biji, gred B (RM 12.00 ) dan saiz gred C berharga RM 11.00, daging dan tulang turut dijual di situ pada harga RM 28 sekilogram.
Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, memfokuskan kepada golongan B40 dengan membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Produk terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, dan barangan runcit dan ditambah dengan produk barang kawalan seperti gula, minyak, tepung dan beras serta keperluan produk makanan asas terpilih.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) usaha membantu rakyat
KUANTAN – Program Karnival Jualan Agro Madani (JAM) yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah satu pendekatan bagi mengembangkan usaha membantu rakyat pada skala yang besar.
Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, memfokuskan kepada golongan B40 dengan membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Produk terpilih seperti sayur, buah, ayam, ikan, daging, dan barangan runcit dan ditambah dengan produk barang kawalan seperti gula, minyak, tepung dan beras) serta keperluan produk makanan asas terpilih.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu bermula pada 13 Jun 2024 sehingga 15 Jun 2024, bertempat di Pasar Tani Kekal Chini ini mendapat kerjasama dari pihak kerajaan negeri dan juga pengurusan Felda Gugusan Chini.
Seramai 100 orang peserta mengambil bahagian yang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengunjung.
Selain dari penjimatan pada harga jualan, pelbagai acara menarik disediakan yang bertujuan mengeratkan perhubungan antara penduduk, keluarga dan juga pihak pentadbiran.
FAMA Negeri Pahang terus membawa pelbagai usaha dalam membantu usahawan dan pengguna untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini.
Antara program khas yang dibawa adalah “Go Casless’ yang menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai yang lebih selamat, mudah dan cepat.
Pengarah FAMA Negeri Pahang, Saiful Sadri mempelawa penduduk Chini dan penempatan yang berhampiran untuk dapat dan terus berjimat dalam program yang diadakan itu. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!