KUANTAN: Hanya 34.6 peratus atau kira-kira 415,000 orang daripada sasaran 1.2 juta orang rakyat Pahang yang sudah mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin, setakat ini.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri merayu mereka yang masih belum mendaftarkan diri supaya segera berbuat demikian bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail
“Sekali lagi saya merayu kepada seluruh rakyat Pahang supaya segera mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera, bagi mendapatkan suntikan vaksin.
“Ini penting ke arah mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan rakyat dengan segera sekali gus membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat supaya sasaran ditetapkan dapat dicapai demi memelihara kesihatan dan manfaat kepada seluruh rakyat Pahang.
“Semoga dengan ini, usaha bersama dan tidak jemu-jemu rakyat Pahang untuk mengatasi pandemik COVID-19 ini berjaya, Insya-Allah,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RENTAS DAERAH, NEGERI KETIKA WABAK UMPAMA TIDAK HORMAT RASULULLAH
KUANTAN: Aktiviti rentas daerah dan negeri bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, bahkan lebih teruk lagi, mereka boleh dikira sebagai menderhaka kepada saranan Nabi Muhammad SAW.
Larangan merentas kawasan ketika wabak tercetus sudah dinyatakan secara jelas melalui sabda Rasulullah kira-kira 1,400 tahun lalu dan masih relevan sehingga hari ini.
Perkara itu dijelaskan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman ketika ditanya mengenai antara punca peningkatan mendadak kes positif COVID-19 sejak awal bulan ini.
“Kita dilihat terlalu mementingkan SOP hingga mengabaikan perkara utama yang sudah diingatkan Rasulullah melalui sabdanya berkaitan kaedah paling penting jika mahu menghentikan penularan sesuatu wabak yang sedang berlaku.
“Tindakan kerajaan memperketatkan aktiviti merentas daerah dan negeri sepatutnya perlu dipatuhi dan diberi perhatian kerana inilah sebenarnya cara seperti disarankan Rasulullah.
“Masalahnya masih ada yang tidak patuh dan tindakan mereka inilah yang akhirnya mengakibatkan jumlah kes (positif) COVID-19 semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, hadis Rasulullah adalah garis panduan jelas yang perlu difahami dan dijadikan rujukan apabila situasi wabak berlaku di dalam negara dilihat sebagai ancaman dan sukar dikawal akibat kegagalan rakyat mematuhi SOP ditetapkan.
“Pematuhan ini sepatutnya bermula di peringkat mukim sebelum daerah dan negeri. Kalau di peringkat mukim sudah boleh dikawal (pergerakan), tidak ada masalah untuk memutuskan rantaian (wabak) COVID-19.
“Begitu juga dengan aktiviti di masjid atau surau, kalau ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh memastikan hanya ahli kariah mereka sahaja yang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu yang lain, tidak ada masalah untuk dibenarkan masjid itu dibuka.
“Apa yang menjadi isu sekarang ialah kaedah pemantauan yang boleh dilakukan oleh AJK masjid, mereka tidak dapat memastikan hanya ahli kariah sahaja yang datang dan kita bimbang ada orang luar (bukan ahli kariah) turut hadir, hingga boleh mencetuskan penularan wabak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menguatkuasakan larangan merentas daerah dan negeri kerana ini adalah keputusan terbaik dalam usaha menamatkan penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya patuhi larangan (rentas daerah dan negeri) diumumkan kerajaan… kita perlu peka bahawa keputusan ini dibuat selepas mengambil pertimbangan sewajarnya dan menilai daripada pelbagai aspek.
“Rasulullah juga menghalang penduduk keluar dari kawasan wabak dan orang dari luar datang ke kawasan wabak… jika kita tidak patuh arahan ini, secara tidak langsung kita seolah-olah tidak mendengar dan tidak menghormati saranan Rasulullah dan boleh mengakibatkan kita berdosa, ” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sudah sampai masanya kerajaan memberi pertimbangan untuk menyenaraikan barisan imam dan bilal masjid di seluruh negara sebagai antara barisan hadapan dan diberi keutamaan menerima vaksin.
Dengan sebahagian besar daripadanya tergolong dalam kategori warga emas dan berisiko tinggi, disebabkan tugas dan tanggungjawab digalas, imam dan bilal masjid tetap perlu hadir ke masjid setiap hari.
Cadangan itu disuarakan Imam 1 Masjid Tengku Afzan, dekat Indera Mahkota, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile yang baru pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19, kira-kira seminggu lalu.
“Cadangan dan luahan ini bukanlah bermakna saya mahu mendabik dada dengan mengatakan bahawa kami juga layak dilabel sebagai ‘frontliner’… kita mempunyai barisan ‘frontliners’ yang hebat dan perkara itu tidak saya nafikan.
“Kalau boleh dipertimbangkan, saya minta jasa baik kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan memberi perhatian juga kepada imam dan bilal, bukan sahaja di Pahang secara khususnya, tapi kalau boleh, semua (imam dan bilal) seluruh negara.
“Macam kami yang ditugaskan di masjid sebagai contoh, kami tidak ada pilhan lain, tetap kena datang ke masjid seperti biasa dan ini berbeza dengan jemaah kerana boleh memilih… jika masjid ini penuh, mereka boleh ke masjid lain, tapi kami tetap kena jalankan tugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ketika diminta berkongsi pengalaman disahkan positif COVID-19 pada 14 Mei lalu, Mohd Hafidz berkata, keputusan ujian itu sangat mengejutkan beliau dan keluarga.
Katanya, walaupun berita itu diterima dengan pasrah, namun beliau akui bahawa keputusan ujian berkenaan menimbulkan rasa bimbang terhadap keselamatan isteri dan dua anaknya berusia lapan dan sepuluh tahun.
“Saya disahkan positif hasil ujian saringan berdasarkan kontak rapat dengan kakitangan masjid ini dan bukannya dari mana-mana kluster.
“Jadi, selepas dapat tahu (positif), saya meminta isteri turut melakukan ujian saringan dan dia turut disahkan positif kira-kira empat hari selepas saya ditempatkan di pusat kuarantin COVID-19 (PKRC) berisiko rendah, dekat Kompleks Sukan Pahang (SUKPA),” katanya yang mengakui setakat ini masih belum menerima suntikan vaksin.
Beliau yang tidak mengalami sebarang gejala sepanjang berada di PKRC itu kemudiannya disahkan pulih sepenuhnya pada 20 Mei lalu.
Mengulas mengenai tindakan sebahagian rakyat yang menolak untuk menerima suntikan vaksin, Mohd Hafidz berkata, perkara itu berlaku berkemungkinan disebabkan tidak menerima maklumat yang tepat dan terpengaruh dengan dakyah kumpulan anti-vaksin.
“Sangat rugi kalau diberi peluang (menerima vaksin) tapi tidak diambil, kita yang belum dapat pun berharap sangat untuk segera diberikan vaksin.
“Masalahnya mungkin mereka tidak mendapat maklumat betul daripada pakar kesihatan berkaitan vaksin dan selebihnya mungkin dipengaruhi dakwaan oleh kumpulan anti-vaksin.
“Benda seperti ini berlaku kerana mereka tidak melihat sendiri suasana di tempat kuarantin… saya sudah mengalaminya dan melihat kesan COVID-19 terhadap sistem imunisasi kita,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai rakyat mengambil peduli mengenai kepentingan vaksin dalam menghalang penularan wabak COVID-19 bertambah tidak terkawal dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih daripada pihak yang berkelayakan,. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
OPERASI KASINO GENTING DITUTUP BERMULA TENGAH MALAM INI
KUANTAN: Semua operasi membabitkan kasino di pusat peranginan Genting Highlands, dekat Bentong, akan ditutup sepenuhnya bermula tengah malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika diminta mengulas mengenai aktiviti di kasino berkenaan masih berjalan seperti biasa, walaupun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif COVID-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan
“Buat masa ini, memang (kasino) masih beroperasi dan kita sudah mengarahkan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan pemantauan bagi memastikan pihak terbabit mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan premis lain di sekitar pusat peranginan terbabit sudah menghentikan operasi mereka sejak minggu lalu.
“Kita tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka (pengendali kasino) kerana mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi sebelum ini,” katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu, mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah yang dikatakan mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino terbabit atau tidak.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP lebih ketat dikenakan terhadap sektor ekonomi, berkuatkuasa esok.
Difahamkan, operasi pusat perjudian berlesen termasuk kasino terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Sekitar tahun 2017, kebanyakan pelayar internet terpegun dengan usaha dilakukan penduduk di Bandar Tsuwano yang terletak dalam daerah Kanoashi, Wilayah Shimane, Jepun yang memelihara pelbagai jenis ikan koi di dalam longkang sekitar bandar berkenaan.
Usaha itu kemudiannya menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak di negara ini untuk turut mencuba teknik memelihara ikan dalam longkang di kawasan penempatan mereka.
SEMUA HASIL JUALAN DIINFAQ KEPADA TABUNG SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN TAMAN BESERAH RIA
Jika sebelum ini aktiviti itu pernah dilakukan pihak pengurusan sekolah di Utara Semenanjung, usaha itu turut menarik perhatian ahli kariah Surau Raudhah Al-Faiziin, dekat Taman Beserah Ria, di sini, untuk cuba menternak ikan jenis tilipia dalam longkang berhampiran surau berkenaan.
Longkang sepanjang 50 meter itu dijadikan kolam memelihara 1,200 ikan tilapia sebagai projek perintis yang mendapat kerjasama baik daripada semua ahli kariah dan penduduk di taman perumahan itu.
Uniknya, air dialirkan ke longkang sedalam 1.5 meter itu menggunakan sumber air bukit, memandangkan kedudukan surau berkenaan yang hampir dengan Bukit Tokki.
Pengerusi surau itu, Nazaruddin Mahmud, 60, berkata, usaha menternak ikan tilipia berkenaan dimulakan sejak sebulan lalu, selepas melihat longkang terbabit tidak mempunyai fungsi lain, selain sebagai saliran air semata-mata.
PENGERUSI SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN TAMAN BESERAH RIA, NAZARUDDIN MAHMUD
Menurutnya, selepas mengadakan perbincangan dengan ahli kariah, mereka kemudiannya sepakat memanfaatkan longkang terbabit dengan mengambil contoh usaha dilakukan penduduk bandar Tsuwano di Jepun.
“Kita tahu bila sebut longkang orang bayangkan tempat kotor, tetapi longkang di sini bersih dan kita menggunakan air bukit 100 peratus bagi tujuan penternakan ikan.
“Dalam tempoh tiga bulan lagi, ikan tilipia ini boleh dijual, dan kita bercadang hasil penjualan ikan akan diinfaqkan ke tabung surau,” katanya ketika ditemui di Taman Beserah Ria, di sini.
Beliau memberitahu, benih ikan tilipia diperoleh secara percuma melalui kenalannya dari Terengganu.
“Kita tidak menyangka ada yang ingin menyumbang benih ikan, bila kita bersungguh-sungguh untuk menjadikan longkang sebagai kolam ternak ikan.
“Jadi, kita rasa bersyukur kerana ada yang tampil membantu. Kita juga dimaklumkan bahawa individu itu akan menambah 1,000 lagi benih ikan untuk ditempatkan dalam longkang ini,”katanya yang berhasrat untuk menggunakan 10 meter lagi baki longkang yang belum digunakan, untuk dijadikan sebahagian daripada projek ternakan ikan.
Beliau berkata, sebelum memulakan ternakan ikan itu, pihaknya telah membina taman lestari di persekitaran surau terbabit bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan ahli kariah.
Tambahnya, banyak pokok-pokok herba, pelbagai sayur-sayuran seperti cili, bendi dan terung ditanam bagi memanfaatkan tanah terbiar.
AHLI KARIAH SURAU MEMANTAU KEADAAN AIR LONGKANG BERHAMPIRAN SURAU RAUDHAH AL-FAIZIIN, TAMAN BESERAH RIA
Jelasnya, hasil daripada tanaman itu dijual kepada orang ramai dan turut diinfaqkan ke tabung surau berkenaan.
“Kita tidak mengenakan bayaran yang tetap, tetapi aktiviti penjualan kita lebih kepada bayar seikhlas hati.
“Kaedah ini dibuat bagi membolehkan kita membina beberapa kemudahan yang masih terbengkalai akibat kekurangan dana,” ujarnya yang merupakan pesara tentera.
Mengulas mengenai penjagaan ikan diternak dan penjagaan kebersihan air longkang, beliau berkata terdapat dua kariah yang memantau dan memastikan kebersihan air longkang itu secara bergilir.
“Selain memantau kualiti air longkang, mereka juga diberi tanggungjawab untuk memastikan ikan tilipia itu mendapat makanan secukupnya dan turut menguruskan kebun komuniti yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Kerajaan Pahang akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di daerah ini sebagai persediaan menangani peningkatan jumlah kes positif wabak itu sejak awal bulan ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pengoperasian pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah itu diharapkan dapat memastikan sistem kesihatan di Pahang tidak lumpuh sekiranya pertambahan kes positif COVID-19 terus direkodkan di negeri ini.
“PKRC di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dijangka boleh beroperasi sepenuhnya esok dan satu lagi PKRC di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang sedang dalam proses disiapkan, kita jangka ia boleh mula digunakan dalam dua atau tiga hari lagi.
“Pembukaan PKRC di KUIPSAS ini menjadikan jumlah PKRC yang sedang beroperasi di Pahang kepada empat PKRC, selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Adam berkata, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan.
“Pertambahan PKRC yang dibuka di Pahang bukanlah bermakna situasi penularan wabak ini (COVID-19) berada di tahap membimbangkan… pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat terakhir baru kita nak buat (persiapan)
“Ingin saya maklumkan kepada semua rakyat Pahang bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini dan kita sangat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama, terutamanya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya, – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
POLIS SIASAT RAKAMAN VIDEO TULAR BABITKAN ANGGOTA RELA
TEMERLOH: Polis daerah Temerloh mengesahkan sudah menerima laporan berkaitan rakaman video pertengkaran membabitkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan seorang lelaki di perkarangan masjid di daerah ini, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, laporan itu diterima jam 2.25 petang semalam dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui punca sebenar pertengkaran itu tercetus.
“Hasil siasatan awal mendapati video berdurasi dua minit 55 saat itu mula disebarkan melalui aplikasi WhatsApp sebelum dikongsi di media sosial lain.
“Dalam video itu, terdapat rakaman pertengkaran membabitkan seorang lelaki dipercayai bilal masjid dan seorang anggota RELA.
“Semakan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di perkarangan Masjid Kampung Raja, dekat sini, dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Berdasarkan rakaman video itu, lelaki berkenaan dilihat mempersoalkan kehadiran anggota RELA bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid itu.
Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Peraturan 17 PU (A) 225/2020 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Polis berjaya memberkas tujuh lelaki dipercayai sedang mencuri mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM50,000 berhampiran kawasan premis perniagaan di Sungai Karang Pantai, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan kira-kira jam 3 pagi hasil risikan dan maklumat awam.
Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Beserah yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.
“Ketika pemeriksaan dilakukan mereka sedang mengangkat peralatan mesin bitcoin ke dalam lori.
“Hasil soal siasat awal juga mendapati mereka turut terbabit dalam kegiatan pecah bangunan yang dijadikan tempat melombong bitcoin sebelum meneruskan aktiviti pencurian peralatan berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dan tangkapan dilakukan oleh tujuh anggota yang bertugas ketika itu… tiada pergelutan berlaku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata, pihaknya merampas sebanyak 66 unit mesin bitcoin, peralatan pecah rumah dan menyita sebuah lori dan kereta jenis Proton Wira Aeroback.
“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan memiliki rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.
“Suspek ditahan reman sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan, termasuk berkaitan premis dan pusat lombongan bitcoin terbabit.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan dan Seksyen 28 (1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki peralatan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga enam bulan atau denda,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Noor turut memberitahu bahawa ekoran daripada kejadian itu kesemua suspek turut didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua dakwaan membabitkan penipuan perniagaan projek kuih raya pada Disember tahun lalu.
Wan Roshaidayati Wan Mohd Salleh, 51, berasal dari FELDA Jengka 8, dekat Maran, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Najwa Hashim, di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya RM2,000 kepada seorang wanita berusia 41 tahun.
Perbuatan itu mendorong wanita terbabit menyerahkan wang RM500 secara tunai kepadanya di sebuah restoran di Taman Seri Mahkota di sini, jam 9.30 malam, pada 31 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Roshaidayati didakwa menipu seorang pemuda berusia 28 tahun bagi tujuan sama dan mendorong menyerahkan wang RM500 kepada tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Taman Seri Mahkota Aman, pada masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Jun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas dakwaan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.
Tertuduh, Sabariah Hashim,45, mengaku tidak bersalah sebaik pendakwaan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Ibu kepada enam anak itu didakwa menggunakan gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri Bakti Setia Temasek’ yang merupakan anugerah luar yang tidak diiktiraf.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 3.30 petang pada 28 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika didapati bersalah.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin, meminta cadangan wang jaminan RM5,000 oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya, dikurangkan atas alasan tertuduh menyara enam anak dan seorang ibu yang sudah tua dan uzur.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sabariah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula 9 Jun depan.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!