Lebih banyak pembangunan dan kemajuan perlu dibawa ke bandar Maran bagi merancakkan ekonomi di daerah ini.
Jika sebelum ini terdapat usaha menjadikan Maran sebagai bandar ayam kampung, namun ia dilihat sebagai impian yang sukar menjadi kenyataan.
Calon BN Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin hari ini melakukan tinjauan sekitar bandar Maran dan pasar besar Maran bagi mendengar luahan hati mereka.
“Antara yang saya dengar adalah keluhan mereka mengenai kekurangan pelanggan, hingga ada yang cakap ‘kedai makan lebih banyak daripada pelanggan’.
“Jadi, kita kena lihat perkara ini dan mencari jalan merancakkan kegiatan ekonomi di bandar Maran,” katanya.
Shahaniza berkata, beliau komited untuk membangunkan dan membawa industri baru ke daerah Maran.
Katanya, antara sektor yang sedang dirancang di Maran adalah bidang pembuatan dan pelancongan.
Selain itu, sebuah institusi pengajian tinggi juga perlu dibina di daerah Maran bagi memastikan setiap kawasan berpeluang menikmati limpahan ekonomi secara sama rata.
“Kita juga akan memberikan nafas baru kepada Maran supaya daerah ini lebih maju berbanding sebelumnya,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Calon Perikatan Nasional (PN) parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib mengingatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) tanpa sokongan PAS Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin dapat jawatan perdana menteri.
Ismail berkata, sebarang tindakan dan keputusan Umno dan BN selepas menolak penubuhan kerajaan bersama Bersatu dan PAS sebelum ini adalah sesuatu yang sangat dikesali.
“Semasa kita dalam proses penubuhan parti ataupun kerajaan di bawah tiga parti ini (Umno, PAS dan Bersatu), banyak orang menuduh (dan) mengatakan kita ini ‘enam jahanam’, ’12 jahanam’ dan sebagainya.
“Tetapi tujuan kita adalah untuk memberi kekuatan kepada gabungan parti ini sehingga dapat membina kerajaan dan akhirnya kita dapat menobatkan Ismail Sabri daripada Umno sebagai perdana menteri.
“Kalau tidak ada sokongan daripada PAS, kalau tidak ada sokongan daripada Bersatu, Ismail Sabri daripada BN tidak boleh menjadi perdana menteri, dan ini mendapat sokongan daripada kami yang menang dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui media di Maran, malam tadi.
Terdahulu, Ismail bersama calon PN bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak mengadakan pertemuan dengan jentera gabungan parti itu di Felda Sungai Nerek, dekat Maran.
Penyandang kerusi parlimen Maran itu mengulas demikian ketika ditanya mengenai keputusan dia meninggalkan Umno dan menyertai PN dalam pilihan raya umum kali ini.
Ismail bagaimanapun menafikan punca dia memilih bertanding menggunakan tiket PN dalam PRU15 akibat kecewa kerana digugurkan oleh BN Pahang.
“Tidak ada istilah kecewa kerana saya melihat apa yang berlaku dalam parti itu sudah semakin teruk dan sukar untuk diubati lagi.
“Kebanyakan ahli Umno seolah-olah tidak boleh menegur pucuk pimpinan dan kalau berlaku perkara sebegitu, tindakan akan dikenakan,” katanya.
Ismail bagaimanapun mengakui masih mempunyai hubungan baik dengan perdana menteri sementara, Ismail Sabri.
Dia turut berpanjangan kenyataan Ismail Sabri semalam menunjukkan penyandang kerusi parlimen Bera itu kecewa dengan beberapa keputusan dibuat pucuk pimpinan Umno.
“Sebab itu semalam dia menyatakan kekesalan, kecewa dan kesal kerana ramai menteri dan timbalan menteri dia yang ‘winnable’, boleh menang tidak dipilih (sebagai calon).
“Bukan kerana dia tak nak pilih, kerana adanya kuasa lain, presiden parti yang tak nak orang-orang ini (dan) satu kerugian kepada kita,” katanya.
Selain Ismail yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, turut tidak disenaraikan BN dalam PRU15 adalah menteri wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan menteri usahawan dan koperasi, Tan Sri Noh Omar.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bagi memeriahkan lagi sukan elektronik dan meraikan penggemar sukan digital itu, Maran Esports akan menganjurkan Kejohanan PUBG Mobile esok.
Kejohanan itu akan diadakan di Dewan Komuniti Maran dan anjuran bersama calon BN parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Sebanyak 128 pasukan dijangka menyertai kejohanan julung kali itu.
Bagaimanapun, setiap kumpulan hanya boleh disertai remaja dan belia berusia 17 tahun ke atas sahaja.
Konsep kejohanan itu adalah merangkumi pusingan kelayakan diadakan secara luar talian atau fizikal.
Pelbagai hadiah menarik bernilai kira-kira RM4,000 disediakan, termasuk cabutan bertuah menawarkan dua kerusi khas ‘gaming’ untuk direbut peserta.
Mereka yang berminat menyertai kejohanan PUBG Mobile Maran Esport boleh menghubungi jawatankuasa penganjur di talian 016-2005265 (Melor) dan 011-11825456 (Zaty) untuk mendapatkan maklumat lanjut.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN- EXCO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menganggap keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkannya di kerusi Parlimen Maran sebagai satu amanah.
Sambil mengakui agak berat hati untuk meninggalkan kerusi DUN, namun beliau yakin pemilihannya itu adalah bukti BN Pahang percaya dengan kemampuan calon wanita dalam PRU15.
“Mungkin kerana pucuk pimpinan merasakan (khidmat) saya diperlukan untuk membantu Pahang dan juga di peringkat ‘federal’ dan saya menerimalah tanggungjawab tersebut.
“Walaupun, saya pun berat hati jugalah nak tinggalkan ‘state’, banyak jugalah yang kita dah buat, membantu MB (Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), tapi saya rasa satu pengiktirafan kepada pemimpin wanita di Pahang.
“Kita pun dah lama tak ada pemimpin wanita (dari) Pahang di peringkat ‘federal’ dan saya amat menghargai amanah dan kepercayaan diberikan Menteri Besar dan pucuk pimpinan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Chenor Seberang, dekat Maran.
Terdahulu Shahaniza mengiringi Wan Rosdy pada majlis ramah mesra bersama penduduk kampung itu.
Sementara itu, mengulas mengenai fokus utama beliau dalam siri kempen PRU15, Shahaniza berkata, peluang pekerjaan adalah antara yang patut diberi perhatian.
“Misi kita ialah untuk membawa pembangunan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Maran ini, itu yang kita nantikan selama inilah,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Konvoi motosikal dekati rakyat di Kampung tradisional
MARAN – Selain berkempen melalui media sosial, pendekatan turun padang dilihat masih relevan dan berkesan.
Bagi memastikan tempoh kempen yang terhad dimanfaat sebaik mungkin, kaedah menyantuni pengundi melalui konvoi bermotosikal antara paling popular.
Tidak terkecuali calon BN parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang meluangkan masa menaiki motosikal untuk mengunjungi penduduk sekitar Kampung Berkat, dekat Luit.
Beliau bersama calon BN kerusi DUN Luit, Jamaluddin Md Marzuki menggunakan motosikal dalam program Ziarah Kasih di kampung itu.
Shahaniza memaklumkan beliau sangat gemar melakukan aktiviti mengunjungi kediaman penduduk kerana ia adalah peluang terbaik berjumpa dengan mereka.
“Program sebegini membuka ruang kepada saya berjumpa empat mata dengan penduduk setempat dan boleh mendengar dengan lebih jelas luahan hati mereka.
“Perbualan antara saya dan penduduk juga lebih bebas dan santai, jadi kita boleh dengar isi hati mereka dan apa yang mereka mahu lihat di Maran ini,” katanya.
Shahaniza memaklumkan kebanyakan penduduk ditemuinya berharap perubahan lebih baik dapat dilakukan di daerah Maran.
Katanya, selain agenda pembangunan lebih mampan, penduduk di Maran juga mahu lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi dapat diwujudkan dalam masa terdekat.
“Saya sentiasa berkongsi dengan penduduk mengenai apa usaha yang sudah saya lakukan untuk Maran dan apa perancangan masa depan untuk daerah ini.
“Mereka mahu saya teruskan segala perancangan itu dan berharap sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan selepas PRU15.
“Semua impian penduduk Maran akan saya cuba realisasikan dan meminta mereka untuk terus menyokong saya dan BN di Pahang,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pembangunan di daerah Maran seolah-olah ‘diperlahankan’ sejak empat penggal lalu, kata calon Barisan Nasional (BN) parlimen Maran, Shahaniza Shamsuddin.
Dia mengakui sebagai seorang daripada penduduk daerah itu rasa seperti dipinggirkan daripada arus pembangunan dinikmati daerah lain di Pahang.
“Maran ini sebenarnya lokasi strategik, tetapi tak tahu kenapa ia ketinggalan berbanding daerah lain.
“Sebab itulah misi dan visi saya, sekiranya diberi mandat selepas ini, kita bawa lebih banyak lagi pelabur datang ke Maran,” katanya ketika ditemui di Maran.
Shahaniza sebelum ini menjadi wakil rakyat bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kuala Sentul sejak 2008.
Dia dipilih BN Pahang bertanding di kerusi parlimen Maran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggantikan penyandang kerusi itu, Ismail Abd Muttalib.
Ismail adalah bekas ketua Umno Maran dan memenangi kerusi parlimen itu sejak tahun 2004.
Dia bagaimanapun tewas kepada Shahaniza dalam pemilihan Umno peringkat bahagian Maran pada tahun 2018.
Ismail tidak terpilih sebagai calon BN Pahang di kerusi Maran dalam PRU15 dan kemudiannya mengumumkan akan cuba mempertahankan kerusi itu melalui Perikatan Nasional (PN).
Tindakannya itu menyaksikan dia dipecat daripada Umno, parti yang disertainya sejak tahun 1982.
Shahaniza yang juga Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang mengakui daerah Maran mempunyai banyak potensi yang belum diteroka sepenuhnya.
Katanya, keunikan nama tanah rancangan FELDA- FELDA New Zealand yang berada dalam kawasan Maran juga tidak dimanfaatkan untuk dijadikan tarikan pelancong.
“FELDA New Zealand ini sebagai contoh, dia dah ada ‘branding’- New Zealand, bila orang sebut New Zealand orang tanya kat mana.
“Jadi, saya fikir dan galakkan penduduk di situ merancakkan sektor inap desa, kita bawa pelancong datang dan tengok cara hidup masyarakat di FELDA, itulah yang kita nak,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangan jangka panjang pula, dia memberitahu, sekurang-kurangnya ada satu pusat pengajian tinggi diwujudkan di Maran.
“Kita kena ada pelan jangka pendek dan jangka panjang, kalau jangka panjang, kalau boleh kita nak ada IPT (institusi pengajian tinggi) di sini, ada macam-macam lagi kat Maran ni.
“(sekarang)’mall’ pun takde.. ‘super market’ pun ada satu je, itulah antara benda disuarakan anak muda yang sempat saya temui.
“Kalau kita tengok bandar Maran sendiri pun, sunyi… orang kata macam ‘bandar mati’ kan, kita tak nak lagilah, kita nak dalam tempoh lima tahun lagi, kita boleh bawa kemajuan ke Maran,” katanya.
Shahaniza juga yakin projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap kira-kira dua atau tiga tahun lagi, dapat membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi setempat.
Katanya, pemilihan Maran sebagai salah satu hentian kargo dan penumpang juga bakal merancakkan pelaburan di daerah ini.
“Memang saya tidak nafikan projek ECRL ini menjadi ‘spill over factor’ kepada pembangunan dan (peluang) ekonomi di Maran.
“Sebab itulah saya lihat keperluan untuk memastikan BN menang di sini (Pahang) dan di peringkat Pusat, kerana apabila kerajaan yang sama (memerintah), jadi lebih mudah untuk membuat apa-apa keputusan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Sektor pelancongan Pahang yang terjejas teruk akibat COVID-19 sejak kira-kira dua tahun lalu, sudah mula pulih dengan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini mencecah 5 juta sejak pintu sempadan negara dibuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, lebih banyak promosi perlu dilakukan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini kekal kompetatif dan terus menjadi destinasi pilihan pelancong tahun depan.
“Walaupun sasaran kita adalah 8 juta (pelancong) berkunjung ke Pahang tahun ini, namun jumlah yang ada ketika ini (5 juta pelancong) menunjukkan (sektor pelancong) semakin pulih.
“Cuma, kalau berlaku banjir dalam dua atau tiga bulan akan datang, memang akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong, semua akan terkesan, bukan saja pelancongan di Pahang, seluruh negara pun terkesan kalau banjir,” katanya ketika ditemui media di Esplanade Temerloh, semalam.
Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memaklumkan kerajaan negeri sedang meneroka pasaran baharu bagi menarik pelancong dari New Zealand dan Australia.
Katanya, lebih banyak maklumat mengenai produk pelancongan terdapat di Pahang perlu dipromosikan di negara berkenaan.
“Pemilihan New Zealand dan Australia ini disebabkan kita ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sydney (Australia) dan Auckland (New Zealand).
“Maknanya, kemudahan untuk pelancong dari negara berkenaan sudah sedia ada dan kita perlu menawarkan kepada produk (pelancongan) yang kita ada.
“Sebagai contoh, ada pelancong yang tahu mengenai Genting Highlands, Pulau Tioman, tapi mereka tidak tahu ia berada di Pahang, jadi inilah tugas kita untuk menarik mereka datang ke Pahang kerana produk eko pelancongan selalunya menjadi pilihan pelancong dari negara seperti New Zealand dan Australia,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa sekolah yang tidak sesuai dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir.
Katanya, ini disebabkan sekolah berkenaan turut dilanda banjir hingga menyukarkan proses pemindahan mangsa banjir ditempatkan di situ ke PPS lain.
“Jadi kita dah kenal pasti dan gazetkan mana satu sekolah yang boleh jadikan PPS dan mana yang tidak boleh dijadikan PPS.
“Begitu juga dengan kemudahan seperti tapak pendaratan helikopter, semuanya sudah dan sedang disiapkan untuk memastikan proses menghantar barangan keperluan asas tidak terganggu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SERAMAI 127 penyokong pasukan bola sepak maut selepas perlawanan ‘derbi’ Jawa Timur antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur, Indonesia, malam tadi.
Turut terkorban dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri), kata Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia Daerah (Kapolda) Jawa Timur, Irjen Pol Nico Afinta dipetik dari Kompas.com.
“Ada 34 maut di stadium manakala yang lainnya meninggal dunia di rumah sakit.
“Sekitar 180 lagi penonton dan penyokong sedang dirawat di beberapa rumah sakit sekitar Jawa Timur,” katanya.
Difahamkan, rusuhan itu membabitkan penyokong kedua pasukan selepas perlawanan berakhir.
Punca kecederaan dikatakan akibat tindakan Polri melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan rusuhan itu.
Kebanyakan mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas dan dipijak oleh perusuh ketika pihak Polri cuba mengawal keadaan kecoh di dalam stadium terbabit.
Berdasarkan laporan kronologi kejadian, sebahagian besar penyokong mula menceroboh padang selepas pasukan Arema tewas 2-3 ditangan musuh tradisi mereka, Persebaya dalam perlawanan itu.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan kelapa sawit di Jalan Selendang, dekat Kuala Rompin, pagi tadi.
Mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan dipandunya itu.
Berdasarkan alamat pada kad pengenalan mangsa, dia berasal dari FELDA Selendang, dekat Kuala Rompin, Pahang.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan jam 9.43 pagi.
“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin terbabit dalam operasi itu.
“Mangsa maut berjaya dikeluarkan dari kenderaan menggunakan ‘rescue tools’ manakala seorang lelaki dipercayai pemandu lori sawit yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Wayar Pendingin Hawa Pusat Kanser Sang Riang Dicuri
BERA : Sistem pendawaian bagi pusat rawatan kanser kendalian Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menjadi mangsa vandalisme apabila dipotong oleh pihak tidak dikenali.
Wayar bagi sistem pendingin hawa di pusat itu disedari sudah dipotong individu yang tidak bertanggungjawab hujung minggu lalu.
Pengerusi rumah berkenaan, Yap Yoke Moey berkata, petugas rumah kebajikan yang melakukan pemeriksaan di pusat itu mendapati terdapat kesan wayar dipotong dipercayai untuk dicuri.
“Kita sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Bera pagi semalam.
“Pekerja pemasangan pendingin hawa memberitahu kami wayar mengandungi tembaga sudah dipotong, dipercayai dicuri oleh pihak tertentu.
“Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000 dan kejadian ini menjejaskan perancangan kami untuk membuka pusat rawatan kanser bagi keselesaan penduduk sekitar bandar Triang dan Bera,” katanya.
Yoke Moey berkata, pusat rawatan kanser itu sedang dalam proses mendapatkan bekalan elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum boleh memulakan operasi.
Katanya, perbincangan lanjut dengan pihak TNB juga sedang dijalankan bagi mempercepatkan penyaluran bekalan elektrik ke pusat rawatan itu.
“Saya percaya selepas bekalan elektrik disalurkan ke pusat ini, masalah atau kejadian kecurian tidak akan berulang.
“Sekarang pusat (rawatan kanser) belum ada (elektrik), jadi mungkin ia beri peluang kepada mereka (pencuri) ambil kesempatan dan memotong wayar yang berharga.
“Jadi, kita lihat pihak TNB juga sedia membantu dan ia dapat diselesaikan tidak lama lagi untuk mempercepatkan operasi pusat rawatan (kanser) ini,” katanya. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!