KUANTAN – Seorang penolong akauntan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.
Wanita berusia 42 yang bertugas di pejabat setiausaha kerajaan Pahang ditahan semalam ketika dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, petang semalam.
Perintah reman sehingga 21 Mac itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Suspek dikatakan meminta dan menerima suapan antara RM50 hingga RM2,500 daripada seorang pemilik syarikat bagi mempercepatkan pembayaran tuntutan kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan di bengkel milik syarikat itu.
Dia dipercayai melakukan kesalahan itu antara bulan April 2021 hingga Februari lalu membabitkan jumlah suapan RM41, 768.
Siasatan terhadap suspek dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Sebanyak 40 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk penduduk di bandar raya ini yang bermula minggu depan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, kebenaran itu membabitkan 33 bazar Ramadan dan tujuh bazar Aidilfitri.
“Kita sudah meluluskan 1,775 permit kepada peniaga untuk aktiviti jualan juadah berbuka puasa dan kelengkapan menyambut Aidilfitri.
“Antara lokasi bazar Ramadan adalah di Mahkota Square; Serambi Teruntum (tapak B), Stadium Darul Makmur, Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Dataran Sekilau dan Tasek Commercial Center di Kotasas,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Norkamawati berkata, anggota penguat kuasa MBK bertanggungjawab memantau aktiviti serta perjalanan perniagaan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi memastikan peniaga mematuhi semua peraturan ditetapkan.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan akan mengeluarkan kad kesihatan bagi setiap peniaga dan mereka akan membantu kita memantau kebersihan makanan dijual di bazar Ramadan itu,” katanya.SAHIHA
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Bendahari UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah menampilkan tujuh garis panduan untuk ditawarkan kepada ahli UMNO bahagian itu.
Beliau yang juga peguam profesional berpendapat UMNO Bahagian Jerantut sudah sedia untuk bangkit dan mendepani cabaran ketika ini.
“Semua tawaran ini saya gariskan secara terperinci supaya ahli UMNO Bahagian Jerantut dapat menilai apa yang saya ingin bawa jika dipilih sebagai ketua Bahagian,” katanya.
Haris Salleh berpandangan setiap tujuh teras disediakan itu boleh dilaksanakan dengan sokongan kukuh daripada ahli UMNO di Jerantut.
Katanya, perkara pertama yang diberi perhatian ialah semangat bersatu padu dalam kalangan ahli UMNO itu sendiri.
“Kalau semua boleh kembali bersatu padu dan mengukuhkan kerjasama, matlamat perjuangan UMNO itu sendiri akan menjadi lebih jelas,” katanya lagi.
Perkara kedua pula ialah perhatian khusus kepada golongan anak muda kerana mereka inilah akan menjadi penerus agenda perjuangan parti.
“Jadi kita kena perhebatkan proses pendaftaran ahli baru dalam kalangan anak muda supaya mereka dapat dilatih menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Garis ketiga pula merangkumi nikmat ekonomi untuk dinikmati semua pihak dan memudahkan proses mewujudkan hub ekonomi dan pelancongan di daerah Jerantut.
“Untuk perkara ke empat pula, saya tekankan kepada usaha memulihkan semula parti dan mengembalikan semangat ahli selepas apa yang berlaku ketika PRU15.
“Seterusnya, perkara kelima diberi perhatian adalah aspek kestabilan sosial dengan mewujudkan suasana harmoni membabitkan semua kaum di daerah ini,” katanya lagi.
Haris turut berhasrat mengembalikan konsep kesederhanaan dalam UMNO melalui garis keenam dan akhir sekali mengembalikan semula kuasa pemerintahan di Jerantut kepada UMNO.-SAHIH
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Program ‘Turun Padang’ dan ‘Ziarah Kasih’ sudah menjadi rutin Bendahari UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah sejak dulu lagi.
Bahkan ketika beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian pada 2013, program itulah yang berjaya membantunya mendekatkan diri dengan masyarakat.
Beliau dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Jerantut pada 2013.
Haris Salleh yang kini berusia 44 tahun juga sentiasa meluangkan masa apabila UMNO Bahagian Jerantut mengadakan program bersama penduduk sekitar daerah itu.
“Pembabitan saya sama ada secara langsung atau tidak langsung, adalah untuk mempersiapkan diri meneruskan khidmat bakti kepada penduduk di Jerantut.” katanya yang berasal dari Kampung Koi, dekat Damak.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari UIAM dan berkhidmat sebagai peguam professional.
“Sudah menjadi kebiasaan apabila saya menyertai program ‘Ziarah Kasih’ sebagai contoh, saya dapat bertemu mata secara terus dengan orang ramai dan ini dapat memberikan saya keyakinan untuk meneruskan khidmat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau juga sering menganjurkan program bersama masyarakat sekitar Jerantut sejak dulu lagi dan tidak kekok untuk bersama dengan generasi muda atau veteran di daerah ini.
“Kerja turun padang bertemu masyarakat bukanlah perkara yang baru saya buat, sudah lama dan sudah biasa dengan kebanyakan penduduk di sekitar Jerantut.
“Saya selesa apabila bersama mereka kerana mereka inilah yang memberi semangat kepada saya untuk terus berbakti di kawasan ini,” katanya.-SAHIH
tamat
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Bendahari UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah bukanlah nama asing dalam kalangan ahli dan penduduk sekitar daerah berkenaan.
Beliau mula menyertai UMNO sejak tahun 2005 dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti di peringkat Bahagian itu.
Anak muda berusia 44 tahun itu juga diberi kepercayaan memegang jawatan Bendahari UMNO Bahagian sejak tahun 2018.
Sejak aktif dalam pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Bahagian pada tahun 2013, Haris Salleh yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tidak pernah berhenti menabur khidmat kepada penduduk di daerah Jerantut.
Haris Salleh ketika ditemui baru-baru ini memaklumkan, keputusan menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut dibuat selepas mengambil pandangan semua pihak, termasuk pemimpin lama di kawasan berkenaan.
“Saya cuma ingin meneruskan khidmat bakti di sini, untuk penduduk dan juga ahli UMNO di Jerantut.
“Keputusan untuk bertanding hanya dibuat selepas mendapat pandangan pelbagai pihak, termasuklah pemimpin veteran serta mendengar luahan anak muda di sini.
“Saya percaya kita di sini memerlukan suntikan semangat selepas apa yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya.
Pada PRU15, kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) dalam kawasan Jerantut jatuh ke tangan calon daripada Perikatan Nasional.
Ditanya mengenai penerimaan ahli UMNO terhadap keputusannya untuk bertanding itu, Haris Salleh yang juga anak jati Kampung Koi, dekat Damak berkata, beliau sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada ahli UMNO Bahagian Jerantut.
“Mereka semua sudah lama kenal saya dan saya juga sentiasa berada di sini untuk bersama mereka.
“Penduduk di sini juga memahami apa yang sebenarnya kita semua mahu dan apa yang saya boleh sumbangkan kepada mereka untuk memastikan Jerantut terus menjadi tumpuan sama ada dalam aspek pembangunan ekonomi atau peluang pekerjaan,” katanya.SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
OPERASI memindahkan gajah yang sesat berhampiran taman perumahan Pandan Damai, dekat Kuantan, semalam, akan dilakukan hari ini.
Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Daud berkata, kaki gajah berkenaan sudah dirantai malam tadi oleh kakitangan Unit Tangkapan Gajah jabatan itu.
“Lewat petang semalam kita sudah tembak ubat pelali dan mengikatnya (merantai), dan proses memindahkan gajah itu ke habitat asal boleh dimulakan hari ini.
“Untuk proses pemindahan gajah, kita akan meminta bantuan petugas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Lanchang, Temerloh,” katanya.
Dalam kejadian petang semalam, penduduk taman perumahan Taman Pandan Damai, dekat Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini, gempar apabila menyedari kehadiran haiwan itu dalam kawasan hutan kecil berdekatan taman perumahan terbabit.
Gajah jantan memiliki sepasang gading itu dipercayai tersesat dari Bukit Goh dan menjadikan Hutan Simpan Cerul, di sini sebagai kawasan habitat semulajadi.
Difahamkan haiwan itu menyusur sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sebelum dikesan dalam hutan kecil dekat taman perumahan berkenaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA – Kira-kira 400 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang sentiasa mendapat perhatian dan layanan terbaik daripada semua pihak.
Selain diberi rawatan secara percuma, pemeriksaan kesihatan termasuk pergigian juga turut disediakan.
Pengerusinya, Yap Yoke Moey berkata, semua perkhidmatan dan layanan baik ini dapat diberikan kerana hubungan rapat antara pihak pengurusan Sang Riang dan agensi berkaitan.
“Untuk pemeriksaan pergigian sebagai contoh, pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bera akan datang ke Sang Riang bagi memberikan perkhidmatan kepada 418 penghuni.
“Maknanya, penghuni Sang Riang tak perlu keluar ke klinik dan tunggu saja di sini, mereka (pegawai perubatan) akan datang.
“Oleh sebab itu, penghuni Sang Riang mempunyai rekod kesihatan dan pergigian yang lengkap kerana kita sentiasa mendapat perkhidmatan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan,” katanya.
Yoke Moey turut memberitahu penghuni Sang Riang yang mengalami masalah kesihatan mental juga diberikan rawatan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, petugas dari Hospital Temerloh dan Klinik Kesihatan Bera sering menyemak tarikh temujanji penghuni rumah kebajikan itu bagi memastikan mereka mendapat rawatan tepat pada masa.
“Semua bantu kami, polis pun bantu, kakitangan kesihatan bantu dan bila ada kejadian penghuni Sang Riang hilang atau sesat, mesti polis akan tolong cari sampai ditemui semula,” katanya.
Yoke Moey berkata, rumah kebajikan Sang Riang bukan sahaja terbuka kepada semua kaum dan agama, tetapi sedia menerima warga emas yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai tempat untuk berlindung.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rompin – Susulan kejadian jalan terputus akibat arus air banjir berhampiran jalan masuk ke Perwira Jaya dan gugusan Felda Selancar, dekat Rompin, awal pagi tadi.
Sebuah jambatan Bailey akan dibina secepat mungkin bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan Bailey berkenaan dijangka siap dalam masa antara 48 hingga 72 jam lagi.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Nadma bagi menyediakan peruntukan dan menghubungi Paglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Darat ke tempat kejadian dan segera membina jambatan bailey (Bailey Bridge) bagi menghubungkan laluan jalan yang terputus.
“Kerja (pembinaan) ini dijangka siap dalam tempoh 48-72jam.
“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan banjir di sekitar daerah Rompin, petang tadi.
Ahmad Zahid berkata, terdapat 110 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari kawasan itu tidak dapat menduduki peperiksaan mereka berikutan kejadian terputus itu.
Selain itu, terdapat laporan mengenai ambulan membawa pesakit yang perlu menjalani rawatan dialisis dan ibu mengandung terpaksa berpatah balik dan menghantar pesakit itu ke klinik kesihatan lain untuk tujuan rawatan.
“Oleh kerana (ramalan) hujan berterusan selama beberapa hari lagi, saya berharap kawasan-kawasan yang terdedah banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” katanya lagi.
Dalam kejadian awal pagi tadi, lebih 5,000 penduduk di Felda Selancar terputus hubungan selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan itu runtuh susulan hujan lebat.
Hujan lebat turut menyebabkan laluan alternatif ke kawasan yang mempunyai kira-kira 10 tanah rancangan itu ditenggelami air dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sang Riang Boleh Jadi Model Pusat Jagaan Warga Emas
BERA – Perkembangan pusat jagaan warga emas Sang Riang sejak awal penubuhan hingga kini adalah sesuatu yang membanggakan.
Pusat jagaan itu juga membuktikan semua penghuni tanpa mengira bangsa dan agama boleh duduk bersama dalam suasana harmoni.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, pemilihan Sang Riang sebagai lokasi sambutan Hari Harmoni Peringkat Pahang juga sangat bertepatan.
“Saya sebagai penduduk asal Triang menyaksikan sendiri transformasi pusat jagaan ini yang bermula pada skala kecil sehinggalah menjadi antara pusat jagaan paling berjaya di Pahang.
“Sang Riang bukan saja popular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan menjadi pilihan ramai pihak yang berminat untuk melakukan kajian berkaitan cara menguruskan rumah kebajikan seumpama ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang berterusan memberi sokongan dan bantuan kepada Sang Riang sejak dulu hingga sekarang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Harmoni Peringkat Pahang di Sang Riang, dekat sini, hujung minggu lalu.
Majlis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pahang itu turut dihadiri pengarah JPNIN negeri, Amira Abdullah dan pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey.
Sementara itu, Amira dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Harmoni bertujuan memupuk rasa saling menghormati dan memahami budaya hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sikap saling memahami, menghormati orang lain yang berbeza dari segi bangsa dan budaya adalah sikap terpuji untuk mewujudkan satu masyarakat bertimbang rasa.
“Sudah pasti inilah hasrat kerajaan apabila Hari Harmoni diperkenalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Yoke Moey pula memuji semua pihak yang terus memberi sokongan kepada Sang Riang.
“Tanpa sokongan pihak kerajaan Pahang, kerajaan Persekutuan, kakitangan hospital Temerloh dan klinik kesihatan daerah Bera, sudah tentu kami berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi rumah kebajikan ini.
“Begitu juga bantuan pihak polis dan agensi lain, kami tidak mampu membalas semua bantuan diberikan oleh mereka atas khidmat diberikan dalam menjaga keselamatan penghuni Sang Riang selama ini,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ENAM daripada 15 penumpang dan pemandu maut selepas van dinaiki mereka terbabas di kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands, petang tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pusat gerakan operasi bomba Pahang menerima laporan kemalangan itu jam 1.15 petang.
“Seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dihantar ke lokasi kejadian sebaik laporan diterima.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat 15 penumpang, termasuk pemandu van yang terbabit dalam kejadian itu.
“Enam daripadanya maut dalam kemalangan itu akibat tersepit dan mayat mereka berjaya dikeluarkan pegawai dan anggota kami menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ismail berkata, lima yang maut adalah penumpang wanita manakala seorang lagi adalah lelaki.
Katanya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong bagi tujuan bedah siasat.
“Pasukan ambulan dari Genting Highlands dan hospital berhampiran turut berada di lokasi bagi memberikan bantuan.
“Operasi mengeluarkan semua mangsa sedang dijalankan dan mereka yang selamat dan cedera akan dihantar ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!