5 sekeluarga nyaris maut kereta terbabas sebelum terbakar
SEBUAH kereta jenis Perodua Alza terbabas sebelum terbakar di Kilometer 146, Lebuh raya Pantai Timur, dekat Chenor, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 6.59 pagi.
“Berdasarkan maklumat awal diterima, terdapat lima penumpang dalam kenderaan yang terbabas itu.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
“Ketika tiba di lokasi, kenderaan itu sedang terbakar dan kereta itu musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Zulfadli berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan dan diberi rawatan awal oleh unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) bomba.
Katanya, kereta itu dipercayai dari Kemaman, Terengganu dan dalam perjalanan ke ibu negara.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbakar,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rugi RM9.74 juta akibat jenayah komersil dalam masa tiga bulan
POLIS Pahang merekodkan kerugian berjumlah RM9.74 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini angkara jenayah komersil.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penyumbang utama kes jenayah komersil di negeri ini adalah penipuan secara dalam talian.
“Untuk itu saja (penipuan dalam talian) kita terima laporan paling tinggi dengan jumlah (kerugian) RM6.9 juta,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Ramli berkata, kebanyakan kes membabitkan penipuan e-belian dan tawaran kerja.
Katanya, untuk tempoh tiga bulan ini juga sebanyak 564 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu, 260 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
“Berdasarkan data yang kita ada, individu dari sektor swasta paling ramai menjadi mangsa sindiket penipuan ini.
“Kebanyakan mangsa berusia antara 17 hingga 40 tahun,” katanya lagi.
Beliau menasihatkan orang ramai melakukan semakan nombor akaun dan nombor telefon yang tidak dikenali menggunakan pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Selain itu, selalu juga semak akaun bank dan segera melaporkan kepada pihak polis atau pihak bank jika terdapat aktiviti mencurigakan dalam akaun milik anda,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Dua kemalangan meragut tiga nyawa dilaporkan berlaku dalam masa kurang 24 jam di Kuantan dan Pekan, pagi tadi.
Dalam kemalangan pertama, seorang pemandu lori disahkan meninggal dunia selepas lori dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam kolam takungan di Jalan Pintasan Sungai Ular, dekat Gebeng.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9 malam semalam dan mayat mangsa hanya berjaya dibawa keluar dari lori itu dengan bantuan bomba kira-kira jam 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal lori itu berikutan keadaan jalan yang licin.
“Tempat kejadian adalah dalam kawasan kilang memproses bahan mineral dan mangsa dikenali sebagai Mohd Azrifazrin Abdul Razak, berusia 35 tahun.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Jalan Rompin Lama, dekat Pekan, dua wanita maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan lori treler.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu jam 8.46 pagi tadi.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
“Operasi menyelamat mangsa dilakukan sembilan pegawai dan anggota dari balai bomba berkenaan.
“Mereka menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dinaiki itu.
“Berdasarkan maklumat awal, kedua mangsa yang maut adalah kakitangan sebuah jabatan kerajaan dan mereka dikatakan sedang dalam perjalanan ke Rompin untuk tugasan rasmi,” katanya.
Zulfadli memaklumkan, identiti kedua mangsa yang maut belum diperoleh dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
tamat-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Jalan utama Jerantut – Lipis dekat Kuala Tembeling, yang menjadi laluan penting bagi penduduk daerah ini, perlu diberi penambahbaikan.
Selain keadaannya terlalu tinggi atau curam, pokok di sepanjang laluan itu juga mengganggu pandangan pengguna jalan raya.
Ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, cadangan untuk memperbaiki keadaan laluan itu sudah dikemukakan bagi perhatian kerajaan sebelum ini, namun sehingga sekarang belum ada apa-apa tindakan dilakukan.
“Ketika zaman Datuk Wan Amizan (Wan Abdul Razak) jadi ADUN Tahan dulu, nampak juga usaha untuk membawa perkara itu ke peringkat kerajaan Persekutuan.
“Selepas arwah tidak ada (meninggal dunia), terbiar begitu saja usaha, tidak ada yang menyambung (usaha) memperbaiki keadaan struktur jalan itu,” katanya.
Razak turut berharap kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan boleh memberi pertimbangan semula untuk menaik taraf jalan berkenaan.
“Kerja naik taraf laluan ini adalah untuk kemudahan semua pengguna jalan raya dari Jerantut dan Kuala Lipis.
“Kalau boleh, biarlah laluan ini menjadi lebih selamat dan selesa untuk semua pengguna dan dapat merancakkan kegiatan ekonomi di daerah ini,” katanya.
TAMAT-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lebih 1,400 Murid Darjah Satu DUN Pelangai Terima BPP
KUANTAN – Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk murid darjah satu bagi kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai mula diagihkan semalam.
Majlis penyampaian dilakukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Simpang Pelangai, dekat Bentong.
Johari dalam ucapan pada majlis itu berkata, bantuan berkenaan adalah antara inisiatif kerajaan Pahang bagi membantu meringankan beban ibu bapa di negeri ini.
“Melalui bantuan ini, seramai 25,146 murid darjah satu di seluruh Pahang akan menerima ‘one-off’ RM100.
“Secara keseluruhannya, kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM2.514 juta bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Inisiatif ini juga adalah hasil keprihatinan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang berharap bantuan itu dapat memberi semangat kepada murid-murid tahun satu dan pada masa sama membantu ibu bapa menyediakan keperluan anak-anak mereka yang pertama kali memasuki alam persekolahan.
Katanya, seramai 1,458 murid darjah satu dalam kawasan DUN Pelangai turut menikmati bantuan berkenaan.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sang Riang Menang Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan
KUANTAN – Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menerima Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan pada persidangan antarabangsa kebudayaan, pelancongan dan pendidikan 2023 yang diadakan di ibu negara kelmarin.
Kejayaan itu dikongsi Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
“Tahniah kepada lapan pemegang anugerah pelancongan dari Pahang dan terima kasih kepada Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia – China,” katanya.
Selain Sang Riang, turut memenangi anugerah adalah Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pekan; Homestay Kampung Kuala Medang, Lipis dan Kuil Sri Marathandavar Aalayam, Maran.
Pada majlis sama Mossy Forest Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Taman Negeri Rompin menerima anugerah kategori pelancongan hijau.
Sementara itu, pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, kejayaan diperoleh rumah kebajikan itu adalah satu pencapaian membanggakan semua pihak.
“Semuanya hasil kerjasama Jabatan Pelancongan Pahang dan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia-China.
“Ini juga menunjukkan usaha Sang Riang mewujudkan suasana harmoni dan kelestarian dalam pengurusan rumah kebajikan itu mendapat perhatian orang ramai,” katanya.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Kerajaan Pahang mengemukakan permohonan bagi pembinaan empat masjid baharu di negeri ini.
Permohonan itu dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Falah, Kampung Lebu, dekat Bentong, petang semalam.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri memohon jasa baik Datuk Seri mempertimbangkan cadangan (pembinaan) empat masjid kariah baharu di negeri ini.
“Masjid itu adalah Masjid Kariah Kampung Batu 8, Lepar, Pekan yang musnah dalam kebakaran pada Disember 2021; Masjid Kariah Kampung Tebal, Temerloh yang ketika ini berada di jajaran pembinaan jambatan kedua Temerloh.
“Selain itu, Masjid Kariah Kampung Serambi, Pekan juga perlu dibina semula kerana setiap tahun ditenggelami banjir dan Masjid Kariah Kampung Bukit Lada, Kuala Krau yang juga sering ditenggelami banjir setiap tahun,” katanya.
Wan Rosdy memaklumkan permohonan bagi pembinaan semua masjid ini dianggarkan berjumlah RM17 juta.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi jaminan akan meneliti permohonan itu dan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan kelulusan berkenaan.
“Kalau tak boleh bagi semua, takkan kita tak boleh bagi langsung, jadi saya akan ‘bisik’ perkara itu kepada (pengetahuan) PM (perdana menteri) dan saya fikir, kalau tak dapat empat (masjid) mungkin boleh tiga,” katanya ketika berucap pada majlis sama.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan sepanjang tahun lalu kerajaan Pahang menerima peruntukan RM411.2 juta membabitkan 114 projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Katanya lagi, untuk tahun ini pula kerajaan Pahang sudah mengemukakan permohonan 56 projek untuk pembangunan luar bandar dianggarkan bernilai RM2.17 bilion.
“Selain itu, kerajaan negeri juga turut mengemukakan permohonan RM1.3 bilion yang merangkumi projek jambatan luar bandar, program pemajuan kawasan dan bekalan air luar bandar.
“Kita (kerajaan Pahang) sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan kawasan luar bandar agar kawasan ini turut sama menikmati pembangunan seperti kawasan bandar dan kawasan industri.
“(Dan) sekiranya semua permohonan ini diluluskan kerajaan Persekutuan, ia akan menjadi antara agenda pembangunan luar bandar Pahang pada tahun ini,” katanya.
tamat-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEORANG juru kimpal menjadi mangsa ‘love scam’ sejak Januari lalu hingga mengalami kerugian RM183,600.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 55 tahun menetap di sekitar Kuantan, mengenali suspek melalui laman sosial Facebook dan bercadang berkahwin dengan suspek.
“Mangsa berstatus duda dan berkenal dengan suspek melalui Facebook, suspek dipercayai menyamar sebagai perempuan Melayu dan menggoda mangsa.
“Selepas berkenalan untuk beberapa ketika, mangsa dan suspek bersetuju untuk berkahwin.
“Sejak Februari lalu, mangsa sudah memindahkan sejumlah wang ke nombor akaun diberikan suspek kononnya untuk persiapan majlis perkahwinan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ramli memaklumkan, mangsa menggunakan wang simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membuat pinjaman peribadi bagi memenuhi permintaan suspek.
Katanya, jumlah pindahan wang dilakukan mangsa adalah 10 kali ke dua nombor akaun diberikan suspek, dengan nilai keseluruhan RM183,600.
“Mangsa mendakwa suspek masih meminta RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara,” katanya.
Satu laporan polis sudah dibuat mangsa di balai polis Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Seorang pembantu kedai makan menjadikan bangsal berhampiran rumah keluarganya dekat Kampung Chendering, di Kuantan, sebagai tempat simpanan ganja sejak awal tahun ini.
Kegiatan licik itu dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Bagaimanapun aktiviti suspek berusia 28 tahun ini terbongkar selepas ditahan polis dalam satu pemeriksaan di kawasan Jaya Gading, dekat Kuantan pada 21 Mac lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 1 kilogram ketika pemeriksaan itu.
“Dia tidak cuba melarikan diri ketika ditahan kira-kira jam 5.30 petang, hari Selasa lalu (21 Mac) dan selepas soal siasat dilakukan, dia membawa pegawai dan anggota polis ke bangsal yang dijadikan stor.
“Pemeriksaan di bangsal itu pula membawa kepada penemuan 32 ketulan mampat dipercayai dadah jenis gajah seberat 31.2 kilogram dianggarkan bernilai RM80,707,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ramli berkata, suspek juga mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Beliau berkata, suspek mendedahkan dia memperoleh bekalan dadah itu dari negeri jiran dan ia adalah untuk pasaran sekitar daerah Kuantan.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan diusahakan keluarganya itu dipercayai mula menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan sejak dua bulan lalu.
tamat-sahih
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KERAJAAN negeri Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM2.514 juta bagi tujuan agihan melalui inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk pelajar darjah satu di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 25,146 murid dari 540 sekolah akan menerima RM100 setiap seorang.
“Pengagihan bermula hari ini sehingga 7 April depan di semua (540) sekolah rendah seluruh Pahang.
“Tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM42.4 juta, peningkatan RM8 juta berbanding tahun lalu melalui (BPP) Bantuan Prihatin Pahang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian BPP di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, dekat Kuantan, hari ini.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.
BPP mempunyai empat kluster iaitu kluster pelajar dan anak muda; kluster golongan B40; kluster masyarakat umum dan kluster pemberian aspirasi.
tamat-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!