KUALA LUMPUR – Tanah air terkejut kerana penyanyi lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor, 52, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam ini.
Berita duka disahkan rakan artis, Datin Emylia Rosnaida yang juga isteri kepada Datuk AC Mizal menerusi laman Facebook.
“Ya, betul arwah baru sahaja meninggal dunia di hospital sebentar tadi,” katanya yang dalam perjalanan ke pusat perubatan swasta itu.
Mengikut sumber, arwah menghidap kanser ovari dan kini sudah berada pada tahap empat, namun, merahsiakannya.-SAHIH.
SUmber- Berita Harian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Salah sebuah sekolah Maktab Rendah Sains Mara di Bentong (gambar hiasan).
5,827 calon SPM 2021 MRSM catat gred kepujian tertinggi semua subjek
KUALA LUMPUR – Seramai 5,827 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua subjek menerusi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021 yang diumumkan hari ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian pelajar MRSM ini satu kejayaan yang memberangsangkan kerana mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sejak mereka di Tingkatan 4.
SPM 2021 juga merupakan peperiksaan yang pertama kali menggunakan format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“Calon-calon SPM 2021 ini berhadapan dengan cabaran pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana mereka hanya berpeluang mengikuti pembelajaran secara bersemuka selama tiga bulan sahaja.
“Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi, seramai 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas beliau, format SPM 2021, telah diperkenalkan Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penjajaran subjek Bahasa Inggeris kepada The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta Ujian Amali Sains.
Walaupun terdapat perubahan dalam format kertas peperiksaan, kedua-dua subjek teras tersebut menunjukkan pencapaian yang baik oleh pelajar MRSM.
Subjek Bahasa Melayu juga katanya menunjukkan pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) 1.097 dengan seramai 6,682 orang calon memperoleh gred A.
Manakala bagi subjek Bahasa Inggeris mencapai GPS 1.577 dengan bilangan calon seramai 5,749 orang.
“Secara keseluruhan, keputusan SPM 2021 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.536.
4 buah MRSM mencatat prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Taiping, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi dan MRSM Tun Abdul Razak”, ujar Mahdzir.
Untuk rekod, seramai 7,307 orang pelajar dari 53 buah MRSM di seluruh Malaysia menduduki peperiksaan SPM 2021 pada bulan Mac 2022.
“Saya menyeru kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk merebut peluang penajaan yang disediakan MARA untuk mereka menyambung pengajian di dalam dan luar negara.
Syabas dan tahniah kepada semua pelajar dan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan demi kejayaan anak-anak pelajar.”
Pengurusan MARA kata Mahdzir, akan terus komited untuk memastikan peningkatan prestasi akademik calon-calon SPM bagi tahun 2022.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Seorang pemandu lori dengan muatan barangan pos laju tersepit kerana terlanggar belakang lori yang membawa muatan barangan perabot yang datang dari arah Lembah Klang ke Kelantan dalam kemalangan jalan raya di KM7, Jalan Lipis-Benta, pada jam 1.35 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, ketika tiba di tempat kejadian lori yang membawa muatan pos laju cuba memotong lori di hadapannya tetapi masuk ke lorongnya semula kerana terdapat sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Tindakan pantas pemandu lori dengan muatan pos laju itu menyebabkan terlanggar bahagian belakang lori membawa muatan perabot di hadapannya.
“Pemandu lori belakang telah tersepit di tempat duduknya, pemandu tersepit itu selamat dikeluarkan oleh pihak bomba dan di hantar ke Hospital Lipis untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, pemandu tersebut dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kiri. Kenderaan terlibat telah dialihkan dari lokasi kemalangan.
Azli menasihati pengguna jalan raya memandu dengan berhati-hati terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menantu terutama di waktu malam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Dua kakak, Noor Azlina dan Noor Ain menguruskan adiknya yang terlantar sejak 2017.
Dua kakak korban karier dan masa muda demi adik yang terlantar
JERANTUT – Dua orang gadis berusia 31 dan 28 tahun sanggup mengorbankan karier dan masa mudanya demi seorang adiknya yang terlantar sakit akibat ketumbuhan di bahagian kepala sejak 2017.
Kakak kepada Muhammad Ridwan Momin (27) yang terlantar, Noor Azlina Momin (31), sanggup berhenti kerja di Temerloh dan kemudian mencari kerja di Bandar Pusat Jengka dengan harapan untuk memudahkan dia untuk berulang alik ke Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
Noor Azlina mengurus adiknya, Muhammad Ridwan yang terlantar di rumahnya di Felada Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
“Oleh kerana tumpuan sepenuh perlu diberikan kepada adik, saya berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan adik yang terlantar kerana adik saya tidak boleh bergerak.
“Untuk menampung serba sedikit perbelanjaan, saya turut membuat kuih dan menghantar kepada penjual gerai di sekitar Felda Gelanggi Dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, dia perlu memberi tumpuan kepada adik (Muhammad Ridwan ) sepanjang masa seperti menyediakan makan minum, ubat, pakaian, membersihkan badan, memakai lampin pakai buang termasuk menjaga ketika menjalani pembedahan di hospital.
“Saya sekeluarga perlu berbelanja hampir RM1,500 ketika menjaga dia (adiknya) lebih daripada seminggu tinggal di wad hospital sama ada di hospital di Kuantan, Temerloh atau Kuala Lumpur selepas pembedahan serta pemulihan sebelum dibawa pulang ke rumah.
“Dalam tempoh ini, saya menjaga adik dengan melibatkan perbelanjaan yang agak banyak termasuklah menyewa penginapan dan kenderaan pergi dan balik dari hospital,” katanya.
Seorang lagi kakak Ridwan, Noor Ain Momin, 28, berkata, adiknya dikenalpasti mengalami sakit bahagian kepala sejak 2013, ketika itu dia sering mengadu sakit kepala seperti kena sawan, tetapi lebih serius apabila adiknya tiba-tiba terjatuh di rumah dan mengalami pengsan.
“Setakat ini, sudah lima kali pembedahan dilakukan, pada tahun ini sahaja (2022) sudah dua kali, pada Januari dan bulan Mei, baru-baru ini.
“Keadaan kesihatan adik agak merosot kebelakangan ini, selepas pembedahan ini adik saya tidak boleh menggerakkan anggota badannya serta tidak boleh bercakap hanya berbaring di katil dan berkerusi roda serta rutin hariannya dibantu oleh keluarga,” kataya.
Katanya dia mengambil upah menjahit baju dengan pendapatan tidak seberapa, purata RM300 sebulan bagi menyara serta menampung keperluan kebajikan adiknya dan keluarga.
Katanya, sehingga ini, mereka sekeluarga sudah berbelanja kira-kira RM12,000 untuk memenuhi kebajikan Muhammad Ridwan termasuk makan minum, pengangkutan ke hospital, kos ubat dan perbelanjaan ketika menjaganya di rumah.
Menurut Noor Ain, bersama dengan kakaknya, Noor Azlina serta adik beradik lain bergilir-gilir menjaga kebajikan Muhamad Ridwan di rumah kerana dia perlu menumpukan kerja menjahit bagi menambah pendapatan.
“Bapa saya (Momin) yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis kerap uzur dan sudah tidak mampu bekerja. Lagipun pendapatan hasil sawit tidaklah seberapa kerana waktu ini musim buah sawit berkurangan,” katanya.
Dia menambah, sebelum ini Muhammad Ridwan ada menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Jerantut dan bersyukur kerana adiknya turut menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya berharap mendapat ihsan daripada kerajaan, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para dermawan kerana memerlukan perbelanjaan untuk kebajikan dan perubatan adik (Muhammad Ridwan) yang masih menanggung derita penyakit ini,” katanya.
Orang ramai serta dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk membantu Muhammad Ridwan bolehlah menghubungi Noor Ain Momin melalui talian 011-25409790 atau terus akaun Affin Islamic Bank, Noor Azlina Momin bernombor 205130910166.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Barudin (tengah), Ibrahim (dua dari kanan) dan Syed Mohd Zulkefli (dua dari kiri) bergambar bersama-sama pegawas sekolah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SKTB, baru-baru ini.
Pegawai Polis hadir sampai watikah suntik semangat dan jati diri murid SKTB
LAMBOR KANAN, Perak – Kesudian Ketua Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso hadir di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Sekolah Kebangsaan Telok Bakong (SKTB), Lambor Kanan, Perak, memberi kesan besar kepada pihak sekolah dan murid yang dilantik menjadi pemimpin.
Kehadiran beliau itu bukan setakat menyuntik semangat dan jati diri kepada murid terbabit yang menggambarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menjadi contoh terbaik dalam kepemimpinan dan disiplin tertinggi di samping kepatuhan melaksanakan tugasan.
Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Ammar Rasul Shaifolnizam menerima watikah pelantikan daripada Barudin
Guru Besar SKTB, Ibrahim Pardi, menzahirkan rasa terharu di atas kesudian PDRM khususnya Barudin memenuhi jemputan untuk menyampaikan watikah pelantikan kepada murid terbabit walaupun sentiasa sibuk dengan tugas.
“Jaringan yang diwujudkan ini selaras dengan Sarana Sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Menerusi sarana itu semua pihak terlibat berpeluang dan berperanan penting dalam membantu membangunkan modal insan supaya selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kecemerlangan sistem pembelajaran dan mampu membentuk jati diri yang hebat,” katanya pada majlis itu baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber Teknologi dan Pendidikan, Syed Mohd Zulkefli Syed Yahya.
Katanya, majlis itu merupakan detik penuh bermakna dan melakar sejarah berprestij kepada SKTB yang dikelolakan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) bersama Unit Disiplin Sekolah dengan jaringan kerjasama PDRM Daerah Perak Tengah.
Barudin yang berasa terharu dengan jemputan berkenaan menegaskan bahawa kepemimpinan penuh dengan disiplin mampu menjadikan barisan pemimpin muda hari ini seorang murid yang hebat.
“Dalam memikul tanggungjawab diamanahkan murid yang terpilih itu hendaklah sentiasa menghormati guru dan patuh pada arahan yang telah ditetapkan selain mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian khusus ketika bertugas.
“Majlis ini secara tidak langsung mewujudkan satu jaringan kerjasama yang sangat baik dan pihak PDRM sentiasa bersedia membantu pihak sekolah dalam apa juga aktiviti yang diadakan. Ini Bertepatan dengan slogan PDRM, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.
Seramai 56 Pemimpin Muda SKTB menerima watikah pelantikan membabitkan 24 daripadanya Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (20) iaitu dari Tahun 3 hingga Tahun 6. Manakala 12 murid lagi menerima watikah untuk Ketua dan Penolong Ketua Kelas.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB – Seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan selepas rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Chalit, di sini pada jam 9.00 pagi, hari ini.
Mangsa, Lhew Sey Leuy yang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raub oleh ambulans Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut akibat melecur di bahagian muka dan tangan.
Ketua Zon 3 Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Raub menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian.
Anggota bomba dan penyelamat Raub dan Bentong serta anggota sukarela Sungai Klau sedang memadamkan api dalam kebakaran rumah di Kampung Sungai Chalit, Raub, Pahang hari ini. – Foto Ihsan Balai Bomba Raub.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kita mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal telah musnah terbakar.
“Seramai 11 anggota terdiri daripada pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Bentong dengan dibantu 13 orang anggota Bomba Sukarela Sungai Klau beraya memadam api,’ katanya.
Menurut Shahrul Nizam, anggota bomba memadamkan api dengan menggunakan dua aliran nozel bagi mengelak api merebak ke rumah jiran berdekatan.
Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta taksiran kerugian masih dalam siasatan.
“Anggota bomba terus membuat pemeriksaan sehingga api padam sepenuhnya serta pemantauan keselamatan sebelum pulang ke BBP Raub dan BBP Bentong,” katanya.
Shahrul Nizam selanjutnya menasihatkan semua pemilik kediaman supaya memberikan tumpuan ketika memasak dan elakkan ke dapur sekiranya keadaan badan letih dan mengantuk.
“Keadaan dapur perlu bersih dan tanpa berminyak selain memastikan peralatan elektrik diperiksa dan ditutup selepas digunakan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua pelajar SMK Felda Kota Gelanggi 2 guna ‘kelas online’ untuk capai kejayaan cemerlang dalam SPM 2021
JERANTUT – Dua pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini, mengguna kaedah belajar menggunakan platform atas talian untuk menggukuh dan meningkatkan kefahaman teknik menjawab soalan dengan baik.
Pelajar tersebut, Ain Natasha Anizul (18) yang berjaya memperolehi keputusan 8A dan 1C, berkata, selain bantuan guru sekolahnya, dia memerlukan maklumat tambahan kerana dua tahun dia banyak belajar melalui kelas Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bermula di tingkatan 4 pada 2020 ketika bermulanya pandemik Covid-19.
Ain Natasha berkongsi kegembiraan bersama ibunya, Mazarina Mat setelah memperolehi keputusan SPM 8A dan 1C yang diumumkan hari ini.
“Tidak dinafikan guru sekolah saya turut membantu saya dan rakan-rakan lain melalui PdPR, malah kalau ada kesempatan saya bertanya dengan guru mata pelajaran melalui telefon, kami terpaksa mengerah lebih tenaga untuk mencari maklumat tambahan bagi meningkatkan kefahaman.
“Ketika hampir peperiksaan banyak ‘kelas’ secara atas talian melalui aplikasi zoom dan telegram yang dijalankan oleh guru lain secara percuma dan saya menggunakan sepenuh kemudahan itu untuk meningkatkan kefahaman,” ketika ditemui di rumahnya di Felda Kota Gelanggi 2, hari ini.
Anak bongsu 3 beradik itu, turut berterima kasih kepada ibunya, Mazarina Mat yang berkorban membelanja tambahan memasang internet di rumah bagi kemudahan dia mengikuti kelas secara online dengan lebih selesa dan tidak terganggu.
Ain Natasha yang juga ketua pelajar sekolah itu, tidak menolak kemungkinan dia akan melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan kerana sesuai dengan jiwanya yang suka dengan kanak-kanak.
Seorang lagi pelajar sekolah yang sama, Afif Jazimin Mohd Jusni (18) yang memperolehi keputusan 7A dan 1B, berkata, cabaran selama 2 tahun melalui fasa PdPR sangat mendebarkan kerana dia sedar kelas PdPR memerlukan kesabaran dan kecekalan menghadapi pelajaran.
Afif Jazimin Mohd Jusni (tengah) diapit oleh ibunya, Azizah Abu Hanifah (kiri) dan bapanya, Mohd Jusni (kanan) di kediamannya, hari ini
‘Saya mengikuti kelas PdPR sekolah saya, selain itu mengikuti ‘kelas atas talian’ melalui pelbagai aplikasi dan laman sesawang di waktu malam dan lebih serius menjelang beberapa bulan terakhir untuk menghadapi peperiksaan SPM.
“Banyak laman sesawang pengajaran secara atas talian yang dijalankan oleh ‘guru luar’, maka kemudahan yang diberikan saya guna dan kongsi tips yang saya dapat dengan rakan lain dengan mengadakan perbincangan melalui aplikasi zoom sesama sendiri,” katanya.
Anak sulung kepada kedua ibu bapa yang juga guru itu berkata, dia berminat mengikuti pengajian pengurusan sukan kerana sangat berminat dalam sukan kerana banyak mewakili sekolah dalam sukan bolabaling, merentas desa dan bolasepak.
“Terima kasih kepada semua guru di sekolah saya yang memberi sepenuh jiwa dan raga menyampaikan pengajaran dengan baik dan keputusan SPM di sekolah saya yang terletak di luar bandar setaraf dengan keputusan di sekolah yang berada di bandar,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UNIKL cipta sejarah universiti pertama di Asia Tenggara jalin dalam bidang sistem kawalan isyarat pengangkutan rel
LONDON – Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) mencipta sejarah dalam bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET, apabila menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menjalin kerjasama dengan Badan Perlesenan antarabangsa berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.
Pencapaian itu menerusi kolaborasi bersama Institute of Railway Signal Engineers United Kingdom, (IRSE) yang ditubuhkan lebih 100 tahun lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu perjanjian khusus akan dimeterai dengan IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus diperingkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Selepas ini pihak MARA akan ada kesinambungan dengan UniKL untuk membolehkan akhirnya kita dapat satu persetujuan di antara UniKL dan IRSE dan salah satu yang saya nampak adalah pembangunan tenaga pakar dan profesional dalam bidang rel.
“Keduanya ada kolaborasi dari segi keahlian untuk Malaysia dan barangkali kita boleh menjadi Pusat Penilaian dan wakil IRSE di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Mahdzir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif IRSE, Blane Judd di Ibu Pejabat IRSE di London bagi memuktamadkan kolaborasi bidang yang dipersetujui bersama itu.
Turut sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf serta Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin.
“Dalam perjumpaan tadi bahawa kita akan ada banyak perbincangan di peringkat pegawai MARA dan juga di peringkat UniKL untuk membolehkan kerjasama antara UniKL dan IRSE ini dapat diperluaskan.
“Menerusi kolaborasi itu, Pusat Rel Asia UniKL dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula diperingkat sijil dan Diploma Lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE,” katanya.
Katanya, selain itu IRSE juga bersetuju menjadikan UniKL sebagai Pusat Penilaian kepada mana-mana individu profesional serta jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan juga IRSE untuk membolehkan mereka mendapat persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.
“IRSE turut menawarkan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur Konvensyen Antarabangsa IRSE pada tahun 2025.
“IRSE yang ditubuhkan pada tahun 1912, kini mempunyai lima ribu ahli dari 53 buah negara serta mempunyai 5,759 pemegang lesen profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat dan telekomunikasi pengangkutan rel,” katanya.
Katanya, UniKL di bawah MARA mempunyai fakulti yang berkaitan dengan rel dan kita telah ada universiti ini lebih kurang dalam 7 tahun yang lalu menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.
“Setakat ini kita mempunyai 180 orang pelajar dan baharu sahaja melahirkan seramai 7 orang graduan dalam bidang tersebut,” katanya Mahdzir.
Sementara itu, Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin berkata, bidang sistem kawalan isyarat komunikasi pengangkutan rel mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan yang boleh dimanfaat oleh pelajar UniKL.
“Kita juga mempunyai keperluan daripada operator untuk mendapat tenaga kerja pakar dan kompetensi dengan pensijilan daripada IRSE, graduan-graduan yang kita lahirkan akan dapat bekerja dan diiktiraf bukan sahaja di peringkat Malaysia malah ia diiktiraf di peringkat Asean.
“Ini sebagai hasrat pertama kita dan tentulah kita ingin melihat kita mampu melatih pelajar atau graduan kita sehingga diperingkat boleh bekerja dan diiktiraf diperingkat global,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Abdul Fattah (3 dari kanan) dan Yang Dipertua Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (2 dari kini) di majlis perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Kakitangan Majlis Daerah Jerantut , hari ini
ANGKASA dan NAFAS akan terajui ternakan ayam daging negara
JERANTUT – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan menerajui bidang penternakan ayam sebagai menjamin sekuriti makanan negara.
Kedua-dua pertubuhan masing-masing mempunyai seramai 8 juta dan sejuta anggota melalui 14,835 koperasi diyakini dapat membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan negara.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA mensasarkan sebanyak 30 juta dan NAFAS sebanyak 148 juta ekor pengeluaran ayam daging setahun.
“ANGKASA diarahkan menerajui program ternakan ayam daging dan setiap pusingan dapat menghasilkan 30 ekor juta ayam dan memohon pinjaman untuk pengurusan program ini.
“Selain itu, untuk mengawal harga ayam dan juga makanan untuk ternakan di bawah tanggungjawab ANGKASA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Kakitangan Majlis Daerah Jerantut (KOMADA) kali ke-7 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
“Bagi tujuan itu, NAFAS mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.
“Manakala ANGKASA pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya.
Beliau bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan ANGKASa dan NAFAS supaya lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.
“Kerajaan menyambut baik inisiatif tersebut selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahukan kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” katanya.
Katanya, anggota koperasi juga perlu berperanan dan bertangungjawab ke atas koperasi masing-masing dengan mempelbagaikan perniagaan yang memberi keuntungan kepada koperasi.
“Sebagai contoh, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), koperasi yang terbabit dengan industri pelancongan dan penginapan mengalami cabaran yang besar tanpa kehadiran pengunjung.
“Oleh itu koperasi kena berfikiran lebih kreatif untuk mempelbagaikan perniagaan masing-masing bagi menjana pendapatan,” katanya.
Katanya, selain itu koperasi perlu bergabung dengan beberapa koperasi lain di bawah satu konsortium untuk mengukuh dalam perniagaan yang lebih besar dan serius.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto Atas : Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menerima Trofi Pengiktirafan daripada Pengarah Pemasaran dan Pengiklanan Asia Pasifik Readers Digest, Sheron White. Foto: UKK KPLB
KEMAS diiktiraf paling dipercayai oleh Readers Digest
Kuala Lumpur – Pengurusan Jabatan Kemajuan masyarakat (KEMAS) serta 10,206 orang Pendidik Masyarakat Tabika KEMAS terus mendapat kepercayaan dan keyakinan dengan menerima pengiktirafan sebagai jenama yang dipercayai oleh Readers Digest dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di negara ini kali ke-3.
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, transformasi yang diperkenalkan oleh KEMAS dalam pendidikan awal kanak-kanak termasuk memperkenalkan pendigitalan dalam pembelajaran membuktikan pendidikan awal kanak-kanak di bawah KEMAS seiring dengan peredaran semasa.
Bergambar kenangan di majlis penerimaan trofi Anugerah Jenama Dipercayai Readers Digest Tahun 2022 bagi pihak KEMAS.
“Semasa pandemik Covid-19 menyaksikan pelbagai transformasi dilaksanakan oleh KEMAS dalam memastikan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PDPR) secara dalam talian membolehkan kanak-kanak KEMAS mengikuti PDPR dengan lebih tersusun dan sistematik.
“PDPR secara dalam talian juga mampu memastikan kanak-kanak KEMAS tidak ketinggalan dalam pembelajaran sekaligus memberikan keyakinan kepada ibu bapa dalam memilih dan mempercayai KEMAS sebagai pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika hadir menerima Anugerah Jenama Dipercayai Readers Digest Tahun 2022 bagi pihak KEMAS.
Katanya, penilaian Readers Digest berteraskan kepada 7 aspek iaitu kualiti, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti dan memahami kehendak pengguna.
Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yazid Bidin, Ketua Pengarah KEMAS dan pengurusan tertinggi KEMAS.
“Kaedah pengukuran kualiti dan penilaian persepsi ke atas pengguna yang dilaksanakan oleh Readers Digest berbentuk subjektif ini membuktikan penilaian yang telus serta tiada unsur-unsur paksaan kepada pengguna untuk meletakkan jenama tertentu dalam soal selidik yang dibuat.
“Sesi Libat Urus KEMAS, Ibu bapa dan masyarakat setempat secara berterusan dalam program dan aktiviti melibatkan pendidikan awal kanak-kanak akan diteruskan dan ditingkatkan demi memastikan kepercayaan ini terus kekal sekaligus memartabatkan institusi pendidikan awal kanak-kanak di bawah KEMAS terus unggul di persada pendidikan negara,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!