Foto atas : Jenazah Allahyarham di kediamannya di Sri Damak, Taman Sri Andalas, Klang. -Foto Surau Al Kuatsar, Seri Sedeli.
Hamid Gurkha meninggal dunia sakit tua
KLANG – Pelawak terkenal Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Ab Rahman meninggal dunia pada usia 90 tahun kerana sakit tua dan beberapa komplikasi lain.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada jam 2.06 petang, hari ini.
Dilaporkan allahyarham telah dimasukkan ke hospital HTAR enam hari lalu, namun keluarganya menafikan arwah dalam keadaan tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jenazahnya akan dikebumikan selepas Solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Sungai Jati, dekat sini.
Sebelum ini Allahyarham dilaporkan tidak pernah menghidap penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan keadaannya yang semakin uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Bintang turut dikenali melalui filem komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978, selain itu turut membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kerajaan negeri sumbang RM1.8 juta kepada veteran tentera dan polis
TEMERLOH – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 1. 8 juta dengan sumbangan tunai secara one-off sebanyak RM200 kepada 8,000 orang veteran tentera dan 1,000 orang bekas polis, hari ini.
Kerajaan negeri berterima kasih kepada anggota tentera dan polis yang berjasa pada ketika banyak kawasan hitam yang membawa kepada rentetan pertempuran yang berlaku seperti tragedi serangan Balai Polis Kuala Krau (Temerloh), pertempuran di Sungai Calit (Raub), pertempuran di Ulu Atok (Raub), serangan hendap yang berlaku di Chenor (Maran) serta serang hendap di Sungai Yu (Lipis).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kita bersyukur, sehingga hari ini, tanah air Malaysia kekal bebas dan merdeka daripada hasil jasa dan pengorbanan perwira negara yang berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis.
“Semuanya adalah wira-wira negara sama ada yang terlibat dalam pertempuran secara langsung mahupun tidak secara langsung, kerana yang pastinya, anda semua berperanan mempertahankan tanah air.
Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan one-off kepada veteran tentera polis, di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh, hari ini.
“Sudah terpahat dalam sejarah negara kita betapa besarnya pengorbanan dan hebatnya perjuangan anggota tentera dan polis demi mempertahankan negara dengan melalui pelbagai cabaran berliku terutama sekali sepanjang tempoh darurat yang pastinya mencatat banyak kisah pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Veteran Polis dan Tentera di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh, hari ini.
Katanya, beliau berasa bangga dan teruja dapat bersua muka dengan veteran polis dan tentera yang merupakan antara benteng keselamatan negara yang pernah mempertaruhkan jiwa dan raga bagi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ada yang telah diabadikan dalam buku-buku sejarah, dalam filem dan drama, malah ada juga kisah yang diwarisi melalui penceritaan daripada orang tua kita.
“Bumi Pahang sememang terkenal dengan lahirnya pahlawan Melayu yang berjuang demi agama negara dan bangsa seperti nama-nama besar Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela dan semuanya pendekar yang gagah menentang penjajah,” katanya.
Katanya, aura perjuangan dan semangat kepahlawan pendekar-pendekar inilah yang telah diwarisi oleh kita semua terutamanya perwira negara yang berada di depan saya ini.
“Atas hakikat ini, kerajaan Pahang tidak pernah sesekali melupakan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan terutamanya yang berasal dari negeri ini, pada BBP 2020 dan 2021 telah disampaikan berjumlah RM450,000.
“Tahun ini, menerusi BPP 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan khas untuk veteran tentera dan bekas polis yang dikenali sebagai Kluster Apresiasi sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RANTAU PANJANG – Insiden tembakan di Sungai Golok melibatkan seorang warganegara Malaysia pada Sabtu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.00 petang ketika mangsa ingin menyeberangi balik ke Malaysia melalui melalui Pengkalan Haram, Belakang Klinik Rantau Panjang.
Sebelum kejadian, mangsa, Mohd Khairul Azwani Mohamed Nor (36) telah pergi berseorangan untuk menyaksi dan mengikuti pertandingan laga ayam di Bon Ayam, Sungai Golok, Thai.
Pertandingan laga ayam tersebut bermula jam 5.00 petang, hari tersebut, namun mangsa bertindak pergi lebih awal ke Thai.
Tujuan mangsa pergi lebih awal daripada rakan-rakannya adalah bagi mengikuti lebih awal pembukaan bon ayam Sungai Golok yang sudah lama tidak dibuka semenjak kawalan pegerakan diketatkan (PKP) di Thai.
Mangsa telah mengikuti majlis pembukaan bon ayam tersebut lebih awal sehingga tamat permainan. Semasa pertandingan diadakan mangsa dikatakan telah memperolehi kemenangan.
Ketika ingin menaiki perahu menyeberangi sungai golok telah didatangi beberapa individu dipercayai warga Thai ingin mencari mangsa.
Semasa kejadian tersebut individu telah melepaskan sebanyak 3 das tembakan ke arah mangsa dan satu das tembakan tersebut telah mengenai tangan kiri mangsa sebelum mangsa berjaya melarikan diri secara berenang ke Rantau Panjang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GENTING HIGHLANDS – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah selenggaraan KEMAS akan memberikan peluang kepada golongan B40 untuk menjalani latihan TVET sekali gus mampu menambah pendapatan keluarga.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta untuk Program TVET tahun ini.
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta untuk Program TVET tahun ini.
“Kemas akan berperanan mengatur program ini untuk golongan B40 merangkumi bimbingan, kursus serta kita juga akan menanggung biasiswa untuk peserta kategori ini yang berpendapatan rendah mengikuti kursus dalam industri tekstil dan fesyen.
“Kursus ini akan dilaksanakan di Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar Perak dan sehingga ini telahpun melahirkan seramai 1,414 individu yang memiliki diploma bidang tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian. Sumber Manusia dikhtiraf sejak 2007.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Pahang di Genting Highlands hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan, Rafea’ah Mohd Nahar dan Pengarah Kemas Pahang, Zainal Abidin Ali.
Katanya, KPLB sudah mengenalpasti industri tekstil dan fesyen mempunyai potensi besar di Malaysia dan selari dengan hasrat tersebut, Kemas akan membuka tawaran kepada penduduk berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat sijil dan diploma dalam bidang pembuatan pakaian wanita dan pentadbiran fesyen.
“Kerajaan memberikan peluang serta kemudahan bidang ini secara lebih sempurna dan profesional dengan pengikhtirafan sijil dan diploma berbanding sebelum ini cuma peserta kelas jahitan yang dilaksanakan oleh Kemas di kampung yang belajar menjahit langsir, baju kurung, sarung bantal dan sebagainya.
“Sehingga ini sebanyak 279 buah institusi di bawah KPLB memberikan peluang penduduk khususnya belia berkenaan untuk melanjutkan pengajian pelbagai bidang kurikulum TVET,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak menyerahkan peralatan pengurusan pengaliran kebun durian kepada pekebun durian
Tubuh Lembaga Durian, kawal kualiti dan harga
LIPIS : Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) untuk mengawal kualiti dan memperkasakan pengeluaran durian tempatan serta harga bagi pasaran tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang.
Selain itu LDP berperanan untuk mewujudkan standard buah durian yang terbaik dari jenis premium keluaran negeri ini sebagai menjaga imej durian Pahang yang sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak menyerahkan benih durian musang king kepada pekebun yang menyertai Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang di Lubuk Hik, Budu, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, LDP antara lain untuk membantu kalangan pekebun durian mengenai kemahiran pengurusan tanaman bagi meningkatkan hasil setiap musim bagi memenuhi jumlah permintaan yang semakin tinggi.
“Penubuhan LDP akan diteliti terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri serta dengan kerjasama berupa pandangan teknikal dengan Jabatan Pertanian Pahang dan pemain industri perkebunan di negeri ini.
“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan ahli exco yang komited untuk memastikan pekebun dan pengeluar durian di negeri ini terus memainkan peranan proaktif meningkatkan hasil serta mencongak peluang yang lebih luas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya di Lubuk Hik, Budu dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang disertai seramai 60 orang peserta di kalangan pekebun di mukim Budu dan mukim Tanjung Besar di Lubuk Hik, Budu, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd. Rizal Baharom.
“Jabatan Pertanian dengan kerjasama beberapa agensi lain dan pemain sektor ini akan memastikan tanaman klon yang bermutu tinggi, pemantauan pengurusan dan teknikal di ladang dan kebun serta jaminan kualiti berasaskan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
“Pada peringkat ini, fokus utama LDP antaranya memastikan pekebun menanam klon yang bermutu tinggi terutama pengusaha dan pekebun kecil bukan sahaja durian Musang King, IOI dan baka luar, malahan turut menggalakkan durian premium tempatan,” katanya.
Katanya, Jabatan Pertanian Pahang kini sedang berusaha menggalakkan lebih banyak tanaman dan pengeluaran durian premium dari cantuman klon durian kampung dengan memfokuskan pekebun di Raub, Lipis, Jerantut dan Bentong.
“Sejak 2019 menerusi usaha pekebun di Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub dikenalpasti menerusi hasil pertandingan peringkat daerah dan negeri yang sudah dikenali serta memenuhi permintaan ramai pelanggan.
“Jumlah baka premium durian kampung masih kecil dan Jabatan Pertanian Pahang sedang menggiatkan usaha menerusi pendedahan kursus cantuman, pengurusan kebun dan buah untuk jaminan bukan sahaja mengisi pasaran tempatan malahan mampu melepasi peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, secara tidak langsung membawa kembali generasi muda yang berhijrah ke bandar untuk balik ke kampung untuk mengusahakan kebun durian masing-masing di tanah yang masih kosong sebagai mata pencarian baharu.
“Walaupun durian yang ditanam dan diusahakan bukan untuk dijual, sekurang-kurangnya boleh makan sendiri oleh generasi muda dalam keluarga akan datang dan tidak perlu membeli apabila sampai musim durian.
“LDP menerusi Jabatan Pertanian akan memberikan tumpuan projek tanaman benih termasuk cantuman baka terbaik, pengurusan tanaman, pengeluaran buah durian serta kriteria harga supaya dapat menembusi pasaran luar sekali gus meningkatkan lagi jumlah permintaan sepanjang musim,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hasrat tunai umrah tidak kesampaian, pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
JERANTUT – Hasrat sepasang suami isteri untuk menunaikan ibadah umrah pada 5 Oktober akan datang tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.15 petang, semalam.
Pasangan yang maut itu, Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis dan Fuziah Mohd Marzuki (62) kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut telah pergi ke Kuantan pada hari Sabtu untuk mengikuti kursus umrah di Taman Indera Mahkota, Kuantan.
Muhammad Tarfizam Abd Talib menunjukkan gambar baoa dan emaknya yang terbaharu, di rumahnya di Jerantut, hari ini.
Anak keduanya, Muhammad Tarfizam Abd Talib (40) berkata, selesai kursus umrah, bapa dan emaknya pergi ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan untuk membuat urusan pasport sebagai persediaan ke Arab Saudi.
“Selepas siap urusan di jabatan imigresen, bapa dan emak serta adik kelima, Muhammad Taufik yang memandu kenderaan 4 x 4 dan ipar terus balik ke Jerantut.
“Saya menerima panggilan daripada adik yang tinggal di Ipoh memaklumkan kejadian tersebut setelah menerima panggilan isteri pemandu 4 x 4,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa di Taman Muhibbah, dekat sini, hari ini.
Hasrat pasangan untuk menunaikan umrah tidak kesampaian apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, petang semalam.
Manakala, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Taufik Abd Talib (34) dan isterinya Noor Syafiyana Ahmad Sobri (32) mengalami cedera ringan dan dijangka keluar wad hari ini.
Kata Tarfizam, mereka adik beradik merancang untuk membuat kejutan untuk menyambut hari lahir bapa dan emaknya pada bulan Julai ini.
“Kami berpakat adik-baradik dan merancang cuti pada bulan Julai ini untuk membuat kejutan menyambut hari lahir bapa dan emak di Kuantan.
“Tapi, takdir Allah menjemput kedua orang tua saya yang berhasrat tidak sempat menunaikan umrah pada Oktober dan kami sekeluarga juga terkejut kerana perancangan dan persiapan hampir siap untuk kejutan sambutan hari lahir mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.15 petang hanya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Kenderaan yang dipandu dari arah Kuantan yang menghala ke Jerantut itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam gaung.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan itu remuk pada keseluruhan bahagian. Dua daripada mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kamarulzaman berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan adalah lurus dan mempunyai dua lorong sehala.
Jelasnya, namun keadaan ketika itu cuaca hujan lebat dan keadaan jalan adalah basah. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Kemalangan jalan raya meragut nyawa pesara polis dan isteri di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), hari ini – Foto BBP Taman Tas.
Pesara polis dan isteri maut dalam kemalangan jalan raya LPT hala Kuala Lumpur
KUANTAN – Suami isteri maut manakala 2 lagi cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 192.6, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang, hari ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian, Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis dan Fuziah Mohd Marzuki (62) kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut.
Mangsa yang maut, Fuziah Mohd Marzuki (62) dan Abd Talib Akob, 73 tahun seorang pesara polis, kedua-duanya beralamat di Taman Muhibbah, Jerantut.
Manakala, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Taufik Abd Talib (34) juga dari Taman Muhibbah, Jerantut dan Noor Syafiyana Ahmad Sobri (32) beralamat Bukit Setongkol, Kuantan mengalami cedera ringan.
Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, di sini dengan kekuatan 13 keanggotaan dikejarkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter.
Komander Operasi dari BBP Taman Tas, PPgB Helmi Kashfi berkata, terdapat 4 orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut membabitkan 2 lelaki dewasa dan 2 wanita dewasa.
Anggota BBP Taman Tas membawa naik mangsa yang maut terlibat dalam kemalangan itu.
“Dua daripada mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa lelaki dan wanita mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak ambulans.
“Kedua mangsa yang meninggal dunia dipercayai ibu dan bapa kepada pemandu kenderaan berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARA sedia perluas kerjasama strategik bidang pengajian baharu pelajar tajaannya ke luar negara
MANCHESTER -Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk memperluaskan kerjasama strategik bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya ke luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, MARA menetapkan kerjasama strategik itu membabitkan universiti di luar negara yang berada di ranking terbaik dunia.
Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.
“Universiti ini adalah ranking yang ke-35 di seluruh dunia dan di United Kingdom ni adalah ranking yang kelima, di Eropah mereka ranking yang kelapan.
“Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini adalah 40 ribu lebih pelajar dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan kerja ke University of Manchester (UoM), United Kingdom di sini semalam.
Dalam lawatan itu, Mahdzir turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM yang diketuai oleh Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.
Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Katanya, MARA ketika ini menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya mengikuti pengajian bidang kejuruteraan di United Kingdom dan juga di 21 buah negara lain.
“Setakat ini MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di United Kingdom iaitu 1,422 pelajar.
“Kita dapat melihatlah bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar-pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar-pelajar Malaysia dalam penyertaan NGO, ko-kurikulum dan juga pengajian akademik,” katanya.
Mahdzir berkata, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor ranking universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.
“Antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi 4 juta buah buku dan manuskrip bercetak, 800 ribu buku elektronik dan 500 ribu jurnal elektronik.
“MARA mempunyai pelajar yang ramai di universiti ini di kalangan universiti yang ada di United Kingdom. Kita ada lebih kurang 229 pelajar di kampus University of Manchester dan ini di bawah tajaan MARA,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Anggota APM memantau keadaan air di kawasan Kampung Batu 55, Mukim Luit dalam kejadian banjir kilat, petang ini.
Banjir kilat landa bandar Maran
MARAN – Sekitar bandar Maran dan Perkampungan Orang Asli Batu 55 dalam Mukim Luit dekat sini dilanda banjir kilat, hari ini.
Kejadian berlaku disebabkan hujan sederhana lebat beberapa jam di beberapa tempat di sekitar daerah ini mulai petang, hari ini.
Hujan lebat berterusan selama beberapa jam telah mengakibatkan kawasan di sekitar bandar Maran dan makluman awal terdapat 8 buah rumah dimasuki air di Kampung Batu 55.
Agensi penyelamat di daerah Maran sedang membuat pemantauan dan mendapatkan maklumat kawasan serta bilangan rumah dan mangsa yang terjejas.
Namun, trend air surut mula pada kira-kira jam 7.30 petang, hari ini.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Seramai 20 sukarelawan APM anggota pasukan Nature Lifeguard pertama di Malaysia
JERANTUT- Seramai 20 orang yang terdiri daripada ahli sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq menganggotai pasukan Nature Lifeguard yang pertama di negara ini di Taman Negara, Kuala Tahan, dekat sini.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali (2 dari kanan) memperkenalkan pakaian Nature Lifeguard dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Kol (PA) Che Adam A. Rahman (kiri)
Penubuhan pasukan Nature Lifeguard ini untuk menjalankan tugasan sepanjang masa demi kepentingan menjaga keselamatan pelancong yang melawat di pusat peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh. Mohamed Puzi Sh. Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard di bawah APM Pahang itu merupakan nilai tambah terhadap pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya bagi menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Anggota pasukan ini dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot selain penyelamatan, ini turut meningkatkan lagi keyakinan lebih tinggi kepada pelancong yang berada di sini berasa selamat.
Gimik penyelamatan mangsa lemas di Sungai Tembeling oleh JPAM dan anggota Nature Lifeguard, hari ini.
“Kita sedar berasaskan pengalaman banjir 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan tersebut,” katanya di Kuala Tahan dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melancarkan pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan dekat sini.
Turut hadir Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Sempena majlis pelancaran itu, Sh. Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.
“Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan.
“Ini cukup memberikan manfaat kepaka pelancong luar serta pelawat domestik yang saban hari menunjukkan peningkatan singgah di Taman Negara malahan lebih meyakinkan mereka untuk menjalani aktiviti riadah khususya aktiviti ekstrem di air dan darat,” katanya.
Katanya, pasukan Nature Lifeguard sudahpun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang proaktif untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan penyelamatan.
“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan lojistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari masa ke semasa serta melatih ramai ahli sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.
“Kita juga mencadangkan sebuah pusat lojistik dan pentabiran di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan dan maklumat dan sebagainya daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dalam usaha memperkemaskan pengurusan pasukan tersebut termasuk Sukarelawan APM,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!