BERA – Seorang guru besar maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar dalam kemalangan di Jalan Utama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Guai, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohd Sabri Bakar, 59, yang merupakan Guru Besar SK Durian Hijau, Jerantut, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Preve dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar kira-kira 80 peratus.
“Ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri dari arah Jambatan Guai menuju ke Kampung Guai dipercayai untuk ke rumah abangnya.
“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbabas. Mangsa sempat dikeluarkan orang awam sebelum kereta terbakar, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan jalan ketika itu lurus, permukaan rata dan kering serta cuaca dan pencahayaan baik.
Zulkiflee berkata, tiada kesan kecederaan luaran ditemui pada badan mangsa dan tiada saman trafik dikeluarkan membabitkan kes itu.
“Punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan dipandunya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Bera pada 30 Julai ini,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang berasal dari Kampung Guai tinggal di Bukit Lada, Kerdau, Temerloh dan difahamkan mahu pulang ke rumah abangnya sebelum insiden berlaku.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Orang ramai terus mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas, pantas dan telus berhubung kes tragis membabitkan seorang kanak-kanak perempuan, Adik Zara, yang dipercayai menjadi mangsa penderaan.
Menurut perkongsian Facebook , Syafiq Fadeli, keadaan mangsa ketika tiba di hospital amat menyayat hati apabila dia didapati mengalami kecederaan dalaman dan luaran yang teruk.
“Keadaan kepala lembik dan berair apabila disentuh, tengkorak pecah serta otak disahkan mati (brain death).
“Tengkuk seperti patah namun tiada darah keluar. Darah hanya mengalir dari bahagian kaki,” katanya dalam satu hantaran yang kini tular di media sosial.
Lebih menyedihkan, saraf tunjang dipercayai putus atau mengalami kerosakan teruk yang berisiko mengakibatkan lumpuh dan kegagalan sistem utama badan.
Selain itu, organ dalaman turut dilaporkan rosak dengan jantung membengkak, tangan dan kaki patah, manakala kaki kiri terkehel dari buku lali.
Difahamkan, kemungkinan besar berlaku pendarahan dalaman apabila arteri utama terputus. Walaupun tiada pendarahan luaran, darah terkumpul dalam rongga badan sehingga menyebabkan kegagalan organ dan pembengkakan jantung.
“Ini bukan kecuaian biasa. Ini satu kezaliman,” tulis seorang pengguna media sosial yang turut berkongsi hantaran berkenaan.
Orang ramai menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan dengan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan buat Adik Zara yang kini menjadi simbol mangsa penderaan kanak-kanak di negara ini.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan kes berkenaan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NKNS 3.0 kembali gegarkan Temerloh, rebut hadiah lumayan hanya dengan beli T-shirt!
TEMERLOH – Fenomena permotoran yang dinanti ramai, Kroni Select Version Three (NKNS 3.0) kembali meledakkan suasana apabila pendaftaran pra-tempah T-shirt rasmi kini dibuka menerusi laman rasmi https://nokroninoselect.com/order/form/NKNS012025/311279khir
Program yang bakal berlangsung di Dataran Temerloh, Pahang pada 8 dan 9 November 2025 itu bukan sekadar himpunan permotoran, tetapi turut menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, hadiah lumayan serta cabutan bertuah luar biasa.
Setiap pembelian pakej T-shirt edisi khas bernilai RM85 (tidak termasuk kos penghantaran) melayakkan pembeli menyertai Lucky Draw dengan 40 hadiah menarik termasuk sebuah kereta Honda, motosikal, dan seekor lembu sebagai ganjaran utama!
Pakej eksklusif yang ditawarkan merangkumi:
1 helai T-shirt Official NKNS 3.0
1 beg ziplock edisi khas
1 pelekat premium
1 rantai kunci
1 kupon penyertaan cabutan bertuah
T-shirt ditawarkan dari saiz XS hingga 5XL, lengkap dengan carta ukuran untuk memudahkan pembeli memilih saiz yang tepat. Reka bentuk edisi tahun ini tampil dengan corak neon futuristik yang membawa semangat slogan “Searah Jadikan Sejarah, Dua Roda 1 Jiwa”.
Tempahan awal atau Early Birds kini dibuka dengan sambutan hangat. Nama pembeli terkini dipaparkan secara langsung di laman web rasmi sebagai tanda sokongan komuniti permotoran tanah air.
“Bukan sekadar baju – ini lambang penyatuan, gaya hidup dan kenangan permotoran sebenar!” kata wakil penganjur.
Jangan tunggu lagi! Tempah sekarang di: 👉 https://nokroninoselect.com/order/form/NKNS012025/311279khir
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kawasan bayi dipercayai ditanam – IPD Cameron Highlands
Polis tahan remaja dipercayai tanam bayi
CAMERON HIGHLANDS – Polis menahan remaja lelaki kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dan menanam bayi itu berhampiran tangki air di Kampung Melayu Desa Kayangan, dekat Brinchang di sini semalam.
Suspek berusia 19 tahun itu didakwa menjalinkan hubungan dengan kakak tirinya berusia 21 tahun, yang telah dihamilkannya.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Superintendan Azri Ramli berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi semalam selepas orang ramai menemui mayat bayi yang baru lahir dibaluti kain putih.
“Bayi lelaki itu dilaporkan dilahirkan pada 16 Julai dan kemudiannya dikebumikan oleh suspek.
“Sesetengah penduduk kampung melihat kesan tanah yang digali berhampiran tangki air dan selepas pemeriksaan lanjut, menemui mayat bayi yang baru lahir itu. Mereka segera memaklumkan polis. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Tetamu yang hadir pada Program Bicara Dari Hati terkedu apabila Fauziah memberi penjelasan tiga Ikon YNI merupakan OKU cacat penglihatan walaupun kelihatan normal dari segi fizikal.
Program YNI buka mata masyarakat tentang erti syukur
KAJANG – Bersyukur bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi satu manifestasi rendah diri serta pengakuan terhadap nikmat kurniaan Allah SWT. Ia menjadi benteng kepada sifat mazmumah seperti riak, hasad dan takbur, di samping mendorong insan untuk berbuat baik sesama manusia.
Atas semangat ini, Yayasan Nur Inspirasi (YNI) telah menganjurkan Program Bicara Dari Hati di pelbagai lokasi seluruh negara. Program ini mensasarkan komuniti berbeza seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, penghuni rumah kebajikan, pusat tahanan dan perkampungan nelayan.
Fauziah ketika menceritakan mengenai fungsi YNI dalam menyantuni pelbagai komuniti seluruh negara dengan mengetengahkan erti syukur.
Menariknya, program ini digerakkan oleh tiga ikon YNI yang merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, iaitu Dinie Rashid, Rashidi Abd dan Khairilazreen.
Walaupun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan seperti pemuda biasa, hakikatnya mereka ialah insan istimewa yang pernah mengalami kegelapan penglihatan dalam usia muda akibat penyakit glaukoma.
Dalam sesi santai namun menyentuh hati itu, ketiga-tiga ikon berkongsi kisah perjuangan dan kecekalan mereka menerima takdir, serta bagaimana mereka mengubah ujian menjadi kekuatan.
Dinie Rashid, yang kini melanjutkan pelajaran di universiti, pernah mengalami tekanan dan kemurungan setelah penglihatannya merosot.
“Namun sokongan ibu bapa dan kesedaran saya sendiri serta bersyukur menjadikannya lebih tabah.
“Saya kini hanya mampu melihat 20 peratus, namun saya bersyukur kerana dapat menyanyi dan berkongsi kisah sebagai ikon YNI,” katanya.
Rakannya, Rashidi Abd, dia kehilangan penglihatan semasa usia remaja dan pernah gagal dalam SPM akibat tekanan.
“Namun kini, saya merupakan penulis dan jurufoto yang berjaya. “Allah itu Maha Adil. Saya diberi kemahiran dalam bidang lain, dan itu saya syukuri,” katanya dalam sesi di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih.
Khairilazreen, yang kini buta sepenuhnya, berkongsi bahawa beliau tetap bersyukur kerana sempat menikmati keindahan dunia sebelum gelap sepenuhnya.
Kini, beliau mahir bermain muzik dan urutan, serta memberi inspirasi kepada ramai dalam setiap jelajah bersama YNI.
“Walaupun saya tidak nampak wajah ibu bapa di pusat jagaan ini, saya harap mereka tetap bersyukur kerana masih dapat meneruskan kehidupan dengan aman,” katanya di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang.
Pengerusi YNI, Datin Fauziah Mohd Ramly, turut menyentuh pengajaran besar daripada Surah Ar-Rahman yang mengingatkan manusia supaya tidak mengingkari nikmat Allah. Sejak 13 tahun lalu, beliau aktif menyantuni golongan memerlukan seperti gelandangan, miskin bandar dan remaja bermasalah melalui mesej kesyukuran.
“Melalui pengalaman tiga ikon ini, masyarakat dapat memahami bahawa bersyukur bukan hanya ketika senang, tetapi lebih bermakna apabila diuji. Kita perlu sentiasa bersyukur agar tidak kufur nikmat,” katanya yang juga ibu kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Program YNI ini membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Syukur adalah anugerah hati yang dapat menyinari hidup sesiapa sahaja yang mahu melihat dengan mata hati.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARAN – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa dan sedih selepas menyaksikan seorang pekerja wanita Muslim yang bertudung terpaksa menguruskan pembelian minuman keras di sebuah pasar raya rantaian di daerah ini.
Menurut lelaki terbabit, dia jarang mengunjungi premis berkenaan kerana mengetahui ia menjual arak, namun terpaksa berbuat demikian kerana hanya di situ terdapat jenama tisu tertentu yang dicarinya.
“Saya memang tak suka masuk Speedmart sebab mereka jual arak, tapi hari ni saya tiada pilihan kerana hanya di situ saja ada jual tisu yang saya cari,” katanya dalam satu video yang kini tular di TikTok.
Katanya, ketika ingin membuat pembayaran, dia ternampak seorang pelanggan lelaki bukan Islam membeli beberapa botol minuman keras, manakala pekerja yang menjaga kaunter tersebut adalah seorang wanita Muslim.
“Saya rasa sangat sedih… tak boleh buat apa-apa. Bila tengok adik bertudung itu kena scan botol arak, saya rasa berdosa kalau tak buat sesuatu,” katanya.
Susulan itu, lelaki berkenaan mendekati pengurus premis terbabit dan menyuarakan rasa tidak puas hati. Menurutnya, pengurus wanita berkenaan memaklumkan mereka telah beberapa kali memohon agar lesen jualan arak dihentikan namun tiada tindakan daripada pihak atasan.
“Kami tak setuju dengan penjualan arak, tapi kami tak ada kuasa. Semua keputusan dibuat oleh pihak pengurusan pusat,” kata pengurus itu.
Lelaki itu juga mendakwa sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa agama dan berharap isu penjualan arak di premis itu dapat ditangani segera.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Datuk Seri Wan Rosdy melakukan upacara gimik pecah tanah di di sini, hari ini.
Pahang bina rumah PR1MA 240 unit pangsapuri 7 tingkat di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh komitmen dalam menyediakan kediaman mampu milik dan selesa kepada rakyat
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai kesinambungan kepada pelan pembangunan perumahan negeri, projek baharu PR1MA di Ringlet akan dibangunkan melibatkan 240 unit pangsapuri 7 tingkat di atas tanah kerajaan seluas 10.76 ekar.
“Projek ini dijangka bukan sahaja memenuhi keperluan tempat tinggal, tetapi turut memacu pembangunan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan infrastruktur baharu.
“Sebanyak 112 unit kediaman telah habis dijual sepenuhnya dan majlis hari ini merupakan simbolik penyerahan kunci kepada pembeli-pembeli yang berjaya memiliki rumah impian mereka,” katanya di Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Tanah Rata Jaya, Cameron Highlands, hari ini.
Katanya, Projek PR1MA Pahang di Tanah Rata Jaya melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri setinggi 10 tingkat di atas tanah kerajaan seluas 4 ekar.
“Projek ini telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada April 2025 dan ditawarkan pada harga mampu milik sebanyak RM200,000 seunit.
“Kerajaan Negeri menyasarkan 946 unit rumah baharu dapat disiapkan melalui tujuh lagi projek PR1MA yang sedang dirancang dan dibina di daerah Kuantan, Jerantut, Rompin, Temerloh dan Lipis pada tahun ini,” katanya.
Katanya, setakat ini, sebanyak 46 projek PR1MA Pahang telah berjaya disiapkan, melibatkan 8,418 unit rumah dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.26 bilion.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ajak ‘Check-in’ Ketika Beruniform – Anggota Polis Boleh Dipecat!
KUALA LUMPUR – Tindakan anggota polis berpakaian seragam yang mengajak individu awam ‘melepak’ atau ‘check-in’ boleh membawa padah termasuk dibuang kerja, jika disabit pelanggaran tatatertib serta salah guna kuasa.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan bahawa sebarang tingkah laku tidak profesional ketika memakai uniform rasmi dianggap menjejaskan imej pasukan serta maruah penjawat awam.
Menurut JIPS, anggota polis yang menyalahgunakan kedudukan untuk mengugut atau mengajak secara tidak bermoral boleh disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (gangguan seksual secara lisan atau perbuatan) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas perbuatan tidak senonoh di tempat awam.
Bukan sahaja melanggar Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), malah bercanggah dengan Kod Etika PDRM yang jelas menggariskan larangan perlakuan tidak bermoral ketika bertugas.
Tambahnya, anggota yang disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti gantung tugas, diturunkan pangkat atau dibuang kerja selepas siasatan dalaman dijalankan.
Orang awam yang menjadi mangsa gangguan boleh membuat aduan rasmi kepada JIPS melalui portal https://jips.rmp.gov.my atau emel aduan@eaic.gov.my, atau hotline PDRM di 03-2266 3333.
Aduan juga boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) jika melibatkan pelanggaran hak asasi.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dr Wan Nurul Izza Wan Husin mengendalikan sesi perkongsian santai bersama ibu bapa mengenai bahaya ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
Mahasiswa Psikologi UPSI Santuni Masyarakat Kampung Menerusi Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti
TANJONG KARANG – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan semangat kesukarelawanan tinggi apabila turun padang menyantuni penduduk Kampung Sungai Sireh dalam Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Psikologi UPSI ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ampangan Sungai Sireh, DUN Sungai Burung, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut (SKSG), Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Pusat Transformasi Komuniti UPSI, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM UPSI), dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI.
Sesi penyediaan pencuci mulut bersama kaum hawa yang dibimbing tenaga pengajar dari FTV UPSI.
Setiausaha Program, Hikmah Hakimien Izzati Sarmin, pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan alam sekitar, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, antara aktiviti menarik termasuk slot penyediaan pencuci mulut bersama kaum wanita, dibimbing oleh Fuad Ashriq Mohamad Farid dari Fakulti Teknikal Vokasional UPSI, dengan menu utama Tat Buah. Aktiviti ini bertujuan menggalakkan kaum wanita menjana pendapatan melalui perniagaan kecil serta mempererat hubungan silaturahim dalam komuniti.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian keibubapaan bersama Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin dari Jabatan Psikologi UPSI. Sesi ini memberi penekanan terhadap isu ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak, serta peranan ibu bapa dalam mendidik dan mengawal penggunaan teknologi di rumah.
Bagi menghargai penglibatan penduduk kampung, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula.
Dalam usaha membimbing generasi muda, program ini turut menganjurkan sesi “Kenali Potensi Diri dan Minat Kerjaya” yang bersifat edutainment untuk murid SK Seri Gambut. Sesi ini membantu pelajar mengenal potensi diri, membina keyakinan dan memahami pilihan kerjaya masa depan. Guru Besar SKSG, Puan Azizah Ajis, turut hadir memberi sokongan.
Sesi penyediaan pencuci mulut bersama kaum hawa yang dibimbing tenaga pengajar dari FTV UPSI.
Selain itu, aktiviti kesedaran penjagaan alam sekitar turut dijalankan melalui gotong-royong membersihkan tali air yang dicemari bahan pertanian dan sampah sarap. Turut serta dalam aktiviti ini ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM UPSI.
Menambahkan kemeriahan, perlawanan sukan persahabatan antara belia kampung dan mahasiswa UPSI turut diadakan sebagai platform menjalin ukhuwah dan membina semangat kesukanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Sungai Burong, Tuan Maruwan Ahmad, di Dewan Agrotourism Sungai Sireh dengan kehadiran ramai penduduk kampung.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kesejahteraan komuniti dan memperkukuhkan hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LAPORAN KHAS: IMUNITI DI MAHKAMAH – SATU LANGKAH SILAP PMX?
Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon imuniti mahkamah dalam kes saman melibatkan tuduhan skandal seks semakin mencetuskan perdebatan hangat — bukan sahaja di tanah air, malah di pentas antarabangsa.
Tindakan tersebut yang difailkan secara terbuka di Mahkamah Tinggi telah menarik perhatian ramai pihak, khususnya komuniti perundangan serta media antarabangsa, yang mula mempersoalkan prinsip asas kedaulatan undang-undang iaitu “semua orang sama di sisi undang-undang” atau equality before the law.
Bagi sesetengah pihak, langkah itu dilihat sebagai satu kesilapan besar dalam karier politik Datuk Seri Anwar, yang kini menjawat jawatan tertinggi dalam negara. Tindakan tersebut secara tidak langsung telah membuka semula perbincangan mengenai kes yang selama ini dilihat tenggelam dalam lipatan masa.
Isu Yang Mula Tersebar Luas
Kes melibatkan dakwaan seorang lelaki muda bernama Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri itu kini kembali menjadi perhatian — bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara. Media asing mula memberikan liputan terhadap permohonan imuniti itu, malah ada yang membandingkan kedudukan Anwar kini dengan pemimpin-pemimpin lain yang berdepan isu moral di negara mereka.
Lebih membimbangkan, jika Mahkamah Tinggi pada 12 Jun nanti memutuskan untuk melepaskan Yusoff tanpa perlu membela diri, maka timbul persoalan yang lebih besar – adakah dakwaan wujudnya komplot seperti yang didedahkan oleh Yusoff selama ini benar?
Jika ya, siapa pula dalang sebenar di sebalik semua ini?
Kesan Kepada Reputasi Negara
Menurut pemerhati politik, langkah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kredibiliti peribadi Perdana Menteri, malah turut mencalar imej Malaysia di mata dunia.
“Selama ini kita bangga apabila pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kini, dengan satu tindakan ini, perhatian dunia diberikan semula kepada negara kita – bukan atas kejayaan, tetapi kerana persoalan integriti seorang pemimpin tertinggi negara,” kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.
Sorotan Imuniti: Perlindungan Atau Persepsi Buruk?
Perlu diingatkan, permohonan imuniti oleh seorang Perdana Menteri adalah sesuatu yang jarang berlaku dan sensitif. Di negara-negara maju, tindakan seumpama ini sering mengundang persepsi bahawa pemimpin cuba berlindung di sebalik kuasa, berbanding berdepan dengan proses kehakiman secara terbuka.
Sementara itu, dalam kalangan rakyat, terdapat kebimbangan bahawa langkah ini mungkin memberi isyarat yang salah kepada sistem keadilan negara.
“Kalau pemimpin sendiri mohon imuniti, apa mesej kepada rakyat biasa? Bahawa ada dua darjat di depan undang-undang?” ujar seorang pengguna media sosial yang memetik kenyataan tersebut di Facebook.
Kesimpulan
Apa jua keputusan Mahkamah pada 12 Jun nanti, kesan tindakan PMX ini sudah pun terasa. Perdebatan tentang kesaksamaan, keadilan dan integriti kini bukan lagi tertumpu di dalam negara — tetapi sudah menjadi perhatian dunia.
Dan semua ini bermula dengan satu permohonan: imuniti.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!