Anggota APM hantar bantuan makanan nyaris maut
Anggota APM hantar bantuan makanan nyaris maut
Foto atas: Anggota APM, sempat merakam perjalanan ke Kampung Aur sebelum karam dipukul ombak.
JERANTUT – Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) nyaris maut apabila bot yang mereka naik tenggelam dalam perjalanan misi menghantar bantuan makanan ke perkampungan orang asli di Kampung Aur, Kuala Tahan, pada 11.00 pagi, hari ini
Ketika tiba di lokasi kejadian di Jeram Panjang, bot itu dipukul ombak dan arus deras sehingga menenggelamkan bot tersebut dan menghanyutkan bekalan makanan yang nak disampaikan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, bot tersebut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam perjalanan menghantar bekalan makanan dan setiba di Jeram Panjang bot tersebut dipukul ombak dan arus deras seterusnya terbalik.
“Sejurus kejadian tersebut berlaku, ketiga-tiga sukarelawan APM tersebut berjaya menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat dan bot yang mereka guna pecah dan barang-barang bantuan musnah dibawa arus sungai yang deras.
“Syukur, tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku kepada penjawat awam yang menjalankan misi murni menjaga rakyat dalam menangani isu banjir, kadang kala boleh membahayakan nyawa mereka sendiri demi tugas yang diamanahkan,” katanya.
Katanya, anggota polis dari Pondok Polis Kuala Tahan bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan dan dibantu seramai 10 orang penduduk kampung menggunakan 4 buah bot telah bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.
“Saya percaya isteri atau anak mangsa akan risau, semasa mereka menjalankan tugas, saya berdoa agar Allah membalas budi dan sumbangan mereka dalam misi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa agar rakyat berada dalam keadaan sejahtera.
“Ketiga-tiga mangsa anggota APM itu selamat dan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kuala Tahan,” katanya. -SAHIH.