KIM SWEE CALON UTAMA GANTI DE ROO
Berita Sukan
KIM SWEE CALON UTAMA GANTI DE ROO
KUALA LUMPUR: Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi jawatan pengarah teknikal badan induk itu selepas kontrak penyandangnya, Peter de Roo berakhir hujung tahun ini.
Pemerhati bola sepak, Dr Zulakbal Abd Karim berharap badan induk itu dapat mempertimbangkan supaya melantik bekas jurulatih skuad kebangsaan dan pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara, sekali gus membolehkan projek F:30 diteruskan.
“Kedudukan Kim Swee sebagai individu yang sudah berada dalam sistem pasti memudahkan perancangan selepas ini, apatah lagi dia sudah ‘masak’ dengan budaya kerja dan iklim bola sepak di negara ini.
“Bagi saya, (Kim Swee) memang individu paling tepat kerana ketika ini pun dia penolong pengarah teknikal FAM… jadi dia boleh meneruskan apa yang sudah sedia ada bagi memastikan kesinambungan projek F:30 dan program bola sepak lain.
“Bukan tidak boleh ambil kepakaran luar tetapi untuk pembangunan dalam F:30, kita baru sahaja bermula dengan silibus baharu dan saya khuatir bila orang luar masuk, dia mungkin akan merombak sistem yang ada dan mengganggu perancangan yang sudah disusun,” katanya.
Zulakbal berkata, FAM juga wajar memberi kepercayaan penuh kepada anak tempatan dalam membina DNA bola sepak Malaysia yang sebenar.
Kontrak de Roo sebagai pengarah teknikal berakhir hujung tahun ini selepas pengendali dari Belanda itu membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu selepas mula dilantik tiga tahun lalu.
Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mengakui satu kerugian sekiranya FAM tidak menggunakan khidmat Kim Swee selepas badan induk itu sendiri yang ‘menariknya’ untuk terbabit dalam bola sepak.
tamat