5 MAT REMPIT DIBERKAS SELEPAS SEMINGGU BERAKSI
5 MAT REMPIT DIBERKAS SELEPAS SEMINGGU BERAKSI
JERANTUT: Lima orang remaja berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kesemua remaja itu ditahan ketika tampil untuk direkodkan keterangan di Balai Polis Trafik Daerah kira-kira jam 6 petang.
“Kumpulan lima remaja ini dikesan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar dan melakukan aksi berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain pada 10 September lalu.
“Pegawai dan anggota kita melakukan pemantauan di Kilometer 17, Jalan Jerantut-Temerloh selepas mendapat maklumat awam mengenai aktiviti mat rempit di kawasan itu.
“Pihak kami turut merakam aksi kumpulan remaja terbabit menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang, pada tarikh berkenaan sebelum mengesan mereka dan meminta remaja terbabit tampil ke Balai Polis Trafik Daerah bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mazlan berkata, tiga daripada remaja itu tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala dua lagi memiliki lesen.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak mereka, terutamanya remaja dan mempunyai motosikal bagi mengelak daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat.
tamat