ROBOH MASJID PILIHAN PALING MUDAH, MURAH?
Berita Global
ROBOH MASJID PILIHAN PALING MUDAH, MURAH?
Dalam proses pembangunan sesebuah negara atau wilayah, kos paling minimum adalah antara perkara yang sering diberi keutamaan.
Perkara itu turut menjadi pertikaian dan perdebatan dalam kalangan masyarakat di bandar Batman, Wilayah Anatolia, Turki, ketika kerajaan negara berkenaan merancang untuk membina empangan di kawasan berkenaan.
Penyelidikan dibuat sekumpulan pakar dilantik kerajaan Turki mengenalpasti lokasi paling sesuai untuk membina empangan itu, namun ia perlu mengorbankan sebuah masjid berusia kira-kira 600 tahun, iaitu Masjid Eyyubi.
Namun, cadangan berkenaan mendapat bantahan penduduk yang meminta masjid itu tidak dirobohkan hanya untuk memberi laluan kepada pembinaan empangan.
Selepas mengambilkira bantahan dan desakan penduduk setempat, akhirnya kerajaan Turki mengambil keputusan untuk memindahkan struktur masjid bersejarah itu ke satu lokasi baharu, terletak sejauh kira-kira tiga kilometer dari tapak asal.
Kerja memindahkan struktur masjid berkenaan dilakukan dengan berhati-hati, menggunakan trak khas yang membawa masjid seberat 17,000 tan ke lokasi baharu dan membabitkan kos tambahan lebih tinggi berbanding pelan asal untuk merobohkan masjid itu.
Proses pemindahan struktur masjid itu bermula pada tahun 2017 dan selesai sepenuhnya setahun kemudian.
tamat