APA DAH JADI TSK?
ESKALATOR TAK BERFUNGSI, PREMIS KOSONG
KUANTAN: Projek pembinaan Terminal Sentral Kuantan (TSK) siap sepenuhnya dan mula beroperasi tujuh tahun lalu.
Sejak beroperasi sehingga hari ini, pelbagai pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara terminal termoden di Pantai Timur Semenanjung.
ESKALATOR di Terminal Sentral Kuantan tidak berfungsi
Namun, saban tahun masalah hampir sama berulang, terutamanya membabitkan operasi eskalator yang dikatakan sering mengalami kerosakan.
Tahun lalu, masalah ini sudah disuarakan pengguna terminal itu dan akhirnya berjaya diatasi melalui tindakan proaktif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan peruntukan kira-kira RM200,000 disalurkan pejabat ahli Parlimen Indera Mahkota.
Namun, nampaknya masalah kemudahan asas itu berulang sekali lagi dan tinjauan dilakukan mendapati eskalator menghubungkan aras satu yang menempatkan kaunter tiket bas ekspres dan medan selera, tidak berfungsi.
Selain itu, banyak premis perniagaan tidak beroperasi dan dibiarkan kosong, dipercayai impak wabak COVID-19 yang menjejaskan pendapatan peniaga hingga terpaksa memilih untuk menutup seketika operasi premis atau gerai mereka.
BANYAK premis kosong di Aras Satu Terminal Sentral Kuantan
Semoga pihak kerajaan negeri dan MPK dapat mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan mercu tanda bandar Kuantan tidak terus dibiarkan tanpa sebarang pembelaan.