PESAKIT KANSER KULIT TERIMA SUMBANGAN DATUK SERI NICKY LIOW
KUALA LUMPUR: Nasib seorang wanita bekerja sebagai peniaga sayur-sayuran di pasar pagi dekat Petaling Jaya, yang dikesan mengidap penyakit kanser kulit atau ‘Melanoma Cancer’ sejak awal tahun ini, mendapat perhatian syarikat pengurusan dana dan pelaburan, Winner Dynasty Group (WDG) dan Yayasan Winner Global Sedunia.
Pengerusi WDG, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee berkata, pihaknya dengan kerjasama Yayasan Winner Global Sedunia menderma RM60,000 bagi membantu Liew Koon Eng yang kini berusia 49 tahun, menjalani rawatan awal bagi mengatasi penyakit berkenaan.
“Sumbangan (derma) ini adalah bagi Puan Koon Eng mendapatkan suntikan imunisasi untuk mengurangkan risiko sel kanser kulit itu merebak lebih cepat ke bahagian anggota badan yang lain.
Peniaga sayur-sayuran, Liew Koon Eng, 49, menghidap penyakit ‘Melanoma Cancer’ sejak awal tahun ini.
“Saya dimaklumkan, dia perlu mendapatkan suntikan setiap tiga minggu sekali dan kos bagi setiap kali suntikan yang diimport dari luar negara itu mencecah RM12,000… untuk setahun pula, dia perlukan kira-kira RM220,000 untuk suntikan itu sahaja, belum termasuk kos (perubatan) lain.
“Jadi, melalui sumbangan RM60,000 daripada pihak kami, kita harap ia dapat membantu dia dan keluarganya… kita juga berharap semuanya (keadaan kesihatan) kembali pulih selepas setahun rawatan (melalui suntikan) ini dijalankan,” katanya.
Koon Eng yang sebelum ini mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan hasil jualan sayur-sayuran di pasar pagi, kini berdepan masalah kehilangan punca pendapatan sejak pandemik koronavirus (COVID-19) melanda negara, awal tahun ini.
Lebih menyukarkan keadaan, suaminya, Huang Wei Xiong, 50 tahun, turut mengalami serangan angin ahmar yang membataskan pergerakan dan tidak mampu melakukan kerja berat sejak lapan tahun lalu.
“Keadaan keluarga ini amat sukar… sebelum COVID-19, mereka mampu memperoleh sehingga RM4,000 sebulan, sekarang (pendapatan) sangat merosot… ada kalanya hanya dapat RM800 sahaja (sebulan),” katanya.
Sementara itu, Koon Eng berkata, sumbangan pihak WDG dan Yayasan Winner Global Sedunia sangat dihargai dan ia jelas menunjukkan sikap prihatin Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dalam membantu mereka yang berada dalam kesulitan.
Datuk John Lee (dua dari kanan) mewakili Pengasas Winner Destiny Global, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menyampaikan sumbangan RM60,000 untuk Liew Koon Eng menjalani rawatan akibat penyakit ‘Melanoma Cancer’.
“Saya sudah hampir putus asa apabila memikirkan masalah (penyakit) ini… dengan punca pendapatan semakin merosot, kami perlu fikirkan juga kos pelajaran untuk anak kami yang kini berusia 14 tahun.
“Sumbangan (Datuk Seri) Nicky (Liow Soon Hee) sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan yang keluarga kami pikul… saya harap ia dapat memberi semangat kepada saya, suami dan anak kami untuk terus tabah berdepan ujian ini,” katanya yang turut meminta bantuan Persatuan Kebajikan Amal Da Ai Malaysia untuk mengutip derma bagi menampung kos perubatan bagi penyakit dihidapinya.
tamat