BAKAL PENGANTIN, ROMBONGAN PERLU KEMUKA RTK-Ag
URUSAN PERLU DIBUAT 72 JAM SEBELUM MAJLIS AKAD NIKAH
KUANTAN: Setiap bakal pengantin dan rombongan yang datang dari luar Pahang perlu mengemukakan keputusan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) COVID-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum majlis akad nikah berlangsung di negeri ini.
PENGARAH JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali
Menurut laporan Bernama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata ujian tersebut boleh dibuat di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan termasuk di negeri asal individu terlibat.
“Kos menjalani ujian itu adalah tanggungan sendiri dan ketidakpatuhan dalam aspek masa, jenis dan keputusan ujian RTK boleh menyebabkan majlis akad nikah ditangguhkan dengan kuasa kadi daerah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Zulkifle berkata keputusan ujian itu hendaklah dikemukakan kepada pejabat agama Islam daerah bersama dengan permit kebenaran merentas negeri sebelum majlis dibenarkan berlangsung.
Syarat itu dibuat berdasarkan situasi terkini COVID-19 yang menyaksikan sebilangan besar negeri tertakluk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), selain untuk membendung penularan wabak tersebut di Pahang.