MATI JATUH SUNGAI
MAYAT DITEMUI BOMBA PAGI TADI
SEBERANG PERAI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Nibong Tebal di sini semalam ditemui mati pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, mayat mangsa dikenali Oi Kian Wat, 56, ditemui dalam keadaan terapung di sungai tersebut oleh pasukan mencari dan menyelamat kita-kira pukul 10.40 pagi.
“Mayat ditemui dalam jarak kira-kira 5 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh semalam,” katanya dipetik dari Kosmo Online.
Difahamkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal bagi urusan bedah siasat.
Semalam, Kosmo Online melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang kira-kira pukul 9.18 pagi.
Pihak polis menemui barangan peribadi mangsa bersama sebuah motosikal berdekatan lokasi dia dilaporkan terjatuh.