TURUN PADANG BERTEMU PENEROKA
Berita Nasional
PENGERUSI, PENGURUS BESAR FELDA LUANG MASA BERIADAH SAMBIL DENGAR ISU PENEROKA
JERANTUT: Lawatan kerja Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Pengarah Besar kominiti & perladangan Felda, Datuk Amir Hamdan Yusof ke FELDA Wilayah Jengka semalam sangat dinanti-nanti warga peneroka di tanah rancangan itu.
Mereka meluangkan masa melawat kawasan FELDA Wilayah Jengka dan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan warga peneroka bagi mendapatkan maklum balas mengenai pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu.
Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, rombongan pengurusan besar FELDA itu juga sempat melawat Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di bandar Pusat Jengka.
“Petang semalam kami mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pilihan Pengerusi FELDA dan pasukan veteran peneroka FELDA Wilayah Jengka.
“Turut beraksi dalam perlawanan itu adalah Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir dan wakil JKKR (FELDA Wilayah) Jengka,” katanya.
Razak berharap lawatan itu dapat memberi gambaran sebenar hasrat warga peneroka terhadap Kerajaan Persekutuan, terutamanya membabitkan aspek penjagaan kebajikan warga peneroka di Wilayah Jengka dan tanah rancangan FELDA seluruh negara.