STRUKTUR SEMULA BEBAN PINJAMAN
PENGUSAHA BAS PERLU PERHATIAN ATAU BERISIKO LINGKUP
KUANTAN: Gabungan Pengusaha Bas Malaysia Cawangan Pahang meminta kerajaan membantu kira-kira 80 ahli mereka yang terkesan akibat COVID-19 sejak November lalu.
Wakil Sekretariat gabungan itu, Zainal Abidin Mehat berkata, pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu dilihat tidak banyak membantu meringankan bebanan ditanggung mereka yang semakin terhimpit dengan tunggakan hutang dan kos operasi syarikat masing-masing.
“Kita sedang berdepan masalah yang sangat serius sejak tahun lalu dan apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun ini, banyak pengusaha terduduk kerana tidak lagi mampu menanggung beban (kos operasi), terutamanya tunggakan hutang.
“Kami cadangkan supaya kerajaan pertimbangkan untuk membantu menstrukturkan semula pinjaman dianggarkan berjumlah RM3 billion.. maknanya, beban pinjaman dipindahkan kepada SME Bank atau Bank Pembangunan Malaysia dan kami (pengusaha) dapat strukturkan semula pinjaman dengan institusi terbabit dengan kadar faedah lebih berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersama 10 pengusaha bas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.
Laporan itu dibuat terhadap Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelancongan kerana mendakwa tidak ada dana khusus diperuntukkan bagi membantu pengusaha bas.
Zainal Abidin berkata, jumlah tunggakan pinjaman RM3 bilion itu membabitkan hutang ditanggung pengusaha bas di seluruh negara.
”Kalau di Pahang pula, kami secara keseluruhan mempunyai bebanan hutang dianggarkan berjumlah RM200 juta.. jumlah ini membabitkan pelbagai jenis hutang antaranya tunggakan sewa beli bas, kos penyelenggaraan, bayaran gaji pekerja dan pelbagai kos lain.
“Jika mereka (Kerajaan) tidak boleh membantu kami, saya percaya lebih ramai lagi pengusaha bas di Pahang berisiko menghentikan operasi mereka dan akhirnya mengakibatkan kira-kira 3,000 pemandu pelbagai jenis bas kehilangan mata pencarian,” katanya.