PASTIKAN VAKSIN COVID-19 HALAL
MUFTI PAHANG CADANG KKM BERI PERHATIAN
KUANTAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memastikan vaksin COVID-19 berkesan, selamat dan bebas daripada unsur haram di sisi agama Islam supaya rakyat tidak menolak pengenalan vaksin itu, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
DATUK Seri Dr Abdul Rahman Osman
“Kita perlu pastikan halal dan haramnya. Kalau vaksin ini tidak ada perkara yang haram, tidak ada najis, maka kita boleh gunakan ia dari segi syarak.
“Perlu pastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada mana-mana pihak. Jika semua ini dipenuhi, maka tidak ada halangan.
“Buat masa ini, COVID-19 masih tidak ada lagi ubat, tetapi percayalah setiap penyakit pasti ada penawarnya, kecuali mati. Macam mana sekalipun, jika ia tidak memberi kemudaratan, maka ia boleh digunakan,” katanya seperti dilaporkan FMT, semalam.
Beliau berkata, usaha menyelamatkan nyawa antara perkara terpenting dituntut agama Islam menerusi konsep Maqasid Syariah.
Beliau mengulas keraguan dibangkitkan pengguna media sosial terhadap catatan Facebook Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kerana ada yang memberi pelbagai alasan terhadap pengenalan vaksin COVID-19 di negara ini kelak.
Gambar Hiasan
Khairy sebelum ini mengumumkan Malaysia dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin dari China.
Selain China, Malaysia sedang memuktamadkan rundingan pembangunan vaksin dengan beberapa negara lain.
Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19, berkata peruntukan sekurang-kurangnya RM3 bilion diperlukan tahun depan untuk mengimunisasi 70 peratus rakyat negara ini.
Katanya, bekalan vaksin dijangka mula diperolehi pada suku pertama 2021 dengan petugas barisan depan ialah kumpulan pertama yang akan diimunisasikan.