RAMPAS ROKOK, MINUMAN KERAS DALAM PAJERO
NILAI RAMPASAN DIANGGARKAN LEBIH RM120,000
MUKAH: Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM121,836 di kawasan belakang sebuah premis niaga di Boulevard Setia Raja, petang tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMW5 Bintulu, Asisten Superintendan Ezuandi Bahadin, berkata hasil maklumat serta risikan, pasukannya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Pajero di bahagian belakang sebuah premis yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai pemilik kenderaan berkenaan,” katanya.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan terbabit menemukan rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang diletakkan di bahagian bonet dan kerusi penumpang kenderaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan rokok dan minuman keras berkenaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan turut mendapati minuman keras dan rokok tidak mempunyai tanda berbayar cukai kastam, sekali gus salah di sisi undang-undang,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.