TWEET YB KETARI CETUS PERSOALAN
RARA UMUM LEPAS SIDANG DUN PAHANG
KUANTAN: Susulan insiden meraikan sambutan hari lahir dalam kawasan Zon Merah baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman mendapat kritikan hebat daripada netizen.
Selepas memohon maaf dan menyatakan kekesalan terhadap kesilapan itu, dia yang lebih dikenali dengan nama panggilan Rara, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, petang semalam untuk direkodkan keterangan selepas pihak polis menerima dua laporan berkaitan kejadian berkenaan.
Pagi tadi, ADUN dari DAP sekali lagi mencetuskan pertanyaan dalam kalangan netizen apabila memaklumkan melalui akaun Twitter bahawa dia akan membuat satu pengumuman selepas selesai sidang DUN Pahang yang bermula Isnin depan.
TWEET dari akaun Twitter ADUN Ketari, Young Syefura Othman
“Saya akan membuat satu pengumuman selepas sidang dewan DUN Pahang yang akan berlangsung seminggu bermula 16 November ini. Terima kasih,” katanya.
Sejak gambar dia bersama rakan meraikan sambutan hari lahir tersebar, Rara menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ada antaranya meminta dia meletakkan jawatan dan ada juga yang berharap ADUN itu belajar dari kesilapan serta lebih berhati-hati pada masa akan datang.