JERANTUT KAYA KHAZANAH ALAM
JERANTUT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi daerah Jerantut perlu memelihara produk pelancongan yang ada bagi memastikan pelancong domestik dan antarabangsa yang mengunjungi daerah ini berpuas hati, selain memenuhi kriteria ditetapkan.
Pengarah MOTAC Pahang, Datuk Idros Yahya, berkata sikap membudayakan kualiti produk dalam kalangan pemain sektor pelancongan perlu diberi perhatian, di samping menggiatkan usaha meningkatkan kualiti produk sedia ada serta memperbaiki mutu perkhidmatan ditawarkan supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“Banyak jenis (produk) pelancongan seperti tempat budaya dan warisan, alam sekitar, pengembaraan, pelancongan berasaskan pertanian, pulau dan pantai, taman tema dan pelbagai aset pelancongan yang ada di sini serta berpotensi untuk diketengahkan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa daerah Jerantut kaya dengan flora dan fauna yang berusia 130 juta tahun, terutamanya di sekitar Kuala Tahan dan kawasan tanah tingginya juga memiliki banyak tempat yang sudah mula dikenali oleh orang tempatan dan luar untuk aktiviti hiking seperti Bukit Seladang dan Bukit Panau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ekspedisi Mendaki Bukit Seladang Sempena Sambutan Hari Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris berkata, kawasan tanah tinggi seperti Bukit Panau di Kampung Bharu, Bukit Buluh berdekatan FELDA Padang Piol dan kawasan pendakian Via Ferrata Raya di Paya Gunung semakin mendapat perhatian peminat aktiviti lasak.
“Kini, Bukit Seladang setinggi 370 meter yang berada tidak jauh dari bandar Jerantut juga mula menjadi pilihan terbaharu serta memberi banyak kemudahan kepada pendaki melakukan aktiviti kegemaran mereka.
Program itu disertai 100 orang dan turut dirasmikan pada program sama ialah papan tanda I LOVE BUKIT SELADANG yang bakal menjadi daya tarikan baharu untuk kaki hiking.