ANGKASA, JAKOA JALIN KERJASAMA STRATEGIK
Berita Nasional
BANTU RANCAK GERAKAN KOPERASI ORANG ASLI
KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) sedia menjadi orang tengah bagi membantu merancakkan gerakan koperasi dalam kalangan Orang Asli di Pahang.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya sedang merangka kerjasama strategik boleh dilaksanakan antara koperasi setempat dan koperasi Orang Asli bagi memasarkan produk yang dihasilkan.
“Buat masa ini, kita ada 48 koperasi Orang Asli di seluruh Pahang dengan kira-kira 2,000 ahli.. mereka mempunyai produk unik seperti berasaskan herba dan hasil hutan yang berkualiti tinggi.
DATUK Abdul Fattah Abdullah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi
“Selain itu, kita juga melihat kepada potensi tanaman vanilla yang turut menjanjikan pulangan lumayan.. setakat ini kita sudah ada tiga koperasi Orang Asli yang menyatakan komitmen untuk menjayakan projek vanilla tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Strategik ANGKASA dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah JAKOA negeri, Johari Alwi.
Abdul Fattah berkata, kerjasama strategik antara ANGKASA dan JAKOA bagi projek penanaman vanilla dijangka dapat dimuktamadkan hujung tahun ini dan projek berkenaan boleh dimulakan Januari depan.
Katanya, pihaknya juga sedang mengenalpasti beberapa lagi produk dihasilkan koperasi Orang Asli yang memerlukan bantuan dari aspek pemasaran dan penjenamaan.