PKPB ATAS NASIHAT KKM
Berita Nasional
PKPB ATAS NASIHAT KKM
UNTUK ELAK KEADAAN MAKIN TERUK
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri di Semenanjung, mulai semalam, dibuat berikutan terdapat keperluan menggunakan pendekatan lebih tegas sebelum keadaan semakin buruk.
Keputusan itu antara lain dibuat berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kes harian COVID-19 yang mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 1,755 kes, pada 6 November lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata rentetan itu, KKM segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri terbabit.
“Atas sebab ini, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB selama 4 minggu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti dikenal pasti mempunyai kadar penularan tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak ini.
“Malah, prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial.
“Ia termasuk di kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, dilaporkan BH Online.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mahu kerajaan menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri, mulai semalam hingga 6 Disember depan.
Mengenai SOP PKPB, Mohd Redzuan berkata, masyarakat perlu mendapat kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri, selain sekatan tegas perlu dilaksanakan terhadap sebarang aktiviti sosial oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Sekatan rentas negeri bagi semua tujuan, selain kegiatan ekonomi dan bekerja dilaksanakan di seluruh negara dengan kawalan sekatan jalan raya di semua sempadan negeri bermula 12.01 tengah malam tadi.