SEKOLAH PONDOK, TAHFIZ BOLEH BEROPERASI
SYARAT TAMBAHAN DITETAPKAN UNTUK ELAK RISIKO
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memutuskan untuk membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi secara bersyarat, iaitu pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu tenaga pengajar dari luar Pahang khususnya yang datang dari kawasan zon merah wabak koronavirus (COVID-19), dilarang untuk kembali mengajar di pusat pengajian agama di negeri itu untuk sementara waktu.
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
“Keputusan ini adalah bergantung kepada keadaan. Jika terdapat kes jangkitan baharu dilaporkan di sekolah pondok atau maahad tahfiz terlibat, maka arahan berhenti operasi akan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan disiarkan Bernama.
Wan Rosdy berkata langkah itu merupakan langkah awalan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Pahang, walaupun negeri ini buat masa ini tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti negeri lain.
Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin pada hari Ahad lalu mengumumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu, ditutup mulai hari ini sehingga tahun hadapan sebagai langkah memutuskan rantaian penularan COVID-19.
SEKATAN jalan raya akan dipertingkatkan bermula esok/Gambar Hiasan
Selain itu, Wan Rosdy berkata pasukan keselamatan dengan diketuai pihak polis akan meningkatkan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi terpilih mulai Rabu ini, bagi menyekat tindakan rentas negeri terutamanya dari zon merah ke Pahang.