DUA BERADIK HANYUT
DUA BERADIK HANYUT
KENINGAU: Dua beradik berusia empat dan enam tahun hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu bapa mereka dihanyutkan air sungai yang naik mendadak, ketika melalui jambatan di Kampung Dangulad, di sini tengah malam tadi.
Difahamkan tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka. Bapa mereka bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri.
Menurut laporan BH Online, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran, berkata pihaknya yang menerima panggilan jam 12.08 bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Bomba menemui kenderaan dinaiki itu tidak jauh dari lokasi kejadian namun mangsa belum ditemui.
“Operasi SAR ditangguh jam 1.30 pagi dan akan disambung semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Mudi berkata, bomba turut menjalankan operasi berikutan air Sungai Penampang melimpah yang menyebabkan dua rumah hanyut, manakala lima lagi dimasuki air dan lumpur.
“Kejadian berlaku disebabkan hujan lebat di kawasan itu. Bagaimanapun semua penghuni dapat menyelamatkan diri,” katanya.
Sungai Pampang adalah antara sungai yang terbabit dalam kejadian ribut tropika Greg yang berlaku pada 1996 hingga mengorbankan banyak nyawa.