JANGAN CUBA PALSUKAN DOKUMEN
KUANTAN: Polis memberi amaran kepada mereka yang cuba memperdaya polis dengan memalsukan dokumen untuk merentas negeri ketika kebanyakan negeri di semenanjung diarahkan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis akan mengambil tindakan kepada mereka terutama di daerah Kuantan yang cuba memalsukan dokumen untuk kepentingan peribadi.
KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali
Beliau berkata, di Kuantan dalam tempoh 25 hari sehingga semalam, polis menerima 5,168 permohonan merentas negeri dan 613 daripadanya ditolak atas justifikasi yang tidak dibenarkan seperti mahu melihat rumah yang berada di negeri terlibat PKPB.
Katanya, polis membenarkan mereka yang mahu membawa pulang anak-anak yang bersekolah atau belajar di luar Pahang namun jumlah individu yang perlu berada di dalam kenderaan dimaksimumkan kepada dua orang.
Bagi mereka yang mempunyai urusan kerja yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau PKPB serta mendapat surat daripada majikan tidak perlu lagi ke balai polis untuk permohonan.
“Kami akan memberi kebenaran jika hal berkaitan suami isteri itu melibatkan kes kecemasan dengan menyertakan dokumen yang lengkap.
“Berkaitan pergerakan merentas negeri bagi tujuan menyambut atau bercuti sempena Hari Deepavali pada minggu hadapan tidak dibenarkan setakat ini sehingga ada perubahan dan mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Negeri.
“Malah pegawai dan anggota polis beragama hindu juga perlu berada di dalam negeri Pahang walaupun permohonan cuti mereka diluluskan, ” katanya kepada media selepas program Sepakat@ Komuniti Pembudayaan Norma Baharu di Kuantan, Pahang.