TIDAK ADA KOTAK HITAM
2 MANGSA SELAMAT AKAN DIPANGGIL BANTU SIASATAN
KUALA LUMPUR: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan memanggil dua mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter terhempas di Jalan Taman Melawati di sini esok bagi membantu siasatan, kata Ketua Inspektor Kemalangan Udara BSKU Brigedier Jeneral Izani Ismail.
“Pada hari ini, kedua-dua mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di hospital, jadi esok kedua-dua mangsa akan dipanggil oleh BSKU bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau juga berkata kedua-dua helikopter jenis pesawat ringan itu tidak mempunyai kotak hitam.
“Kotak hitam hanya terdapat pada jenis helikopter yang saiznya lebih besar dan berat,“ katanya ketika ditanya sama ada helikopter itu mempunyai kotak hitam yang merupakan alat penting jika berlaku nahas udara.
Bernama yang berada di lokasi kejadian menyaksikan bangkai helikopter itu dibawa keluar selepas mengambil masa hampir sejam untuk dileraikan dan dibawa ke Subang menggunakan treler panjang bagi urusan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR).