6 PATI DICEKUP
MEREKA DITAHAN DALAM OP BENTENG
KUALA LUMPUR: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan semalam menerusi Op Benteng yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan keselamatan turut merampas tiga kenderaan darat melalui operasi sama.
“Operasi ini bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan mengekang penularan COVID-19.
“Sebanyak 298 sekatan jalan raya (SJR) melalui ops sama turut dilaksanakan semalam membabitkan pelbagai agensi iaitu 157 melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), 132 melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sembilan melalui Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya dalam kenyataan disiarkan BH Online.
Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan pendekatan Op Benteng diubah dengan tindakan mengusir PATI akan lebih diutamakan berbanding penahanan.
Selain ATM, PDRM dan AKSEM, Op Benteng turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan agensi lain.