RAHSIA BIDEN TUMBANGKAN TRUMP
PERLUMBAAN TAMAT TENGAH MALAM TADI
WASHINGTON: Calon Demokrat, Joe Biden memulakan perlumbaan menuju ke Rumah Putih dengan penuh bergaya apabila mendapat 187 undi elektoral dari District of Columbia dan 14 negeri kubu kuat Demokrat.
Biden dan Demokrat memulakan pecutan dengan 187 undi itu menerusi negeri yang menawarkan undi elektoral terbanyak iaitu California (55 undi).
CALON Demokrat, Joe Biden (kanan) dipilih Presiden Amerika Syarikat yang baru
Turut menyumbang undi elektoral yang besar kepada Biden ialah New York yang memberikan 29 undi.
Biden dengan mudah menawan Colorado, Virgina dan New Hampshire pada malam kiraan undi 3 November lalu. Tiga negeri itu menawarkan 26 undi elektoral membolehkan pemimpin berusia 77 tahun itu mengumpul 213 undi elektoral.
Namun, lawannya Donald Trump juga ketika mula mengejar apabila menguasai negeri-negeri di kawasan tengah AS yang dikenali sebagai kubu kuat Republikan.
Trump menawan Texas yang memberikan 38 undi elektoral dan turut menang di Florida yang memberikan beliau tambahan 20 undi elektoral.
DONALD Trump terpaksa akur dengan keputusan dibuat rakyat Amerika Syarikat
Bagaimanapun, Trump mula ketinggalan apabila memasuki kiraan undi di negeri panas atau battleground states.
Biden yang mengekalkan kemenangan Demokrat di Minnesota sudah boleh membayangkan kemenangan beliau sebagai Presiden AS yang baharu apabila merampas battleground states seperti Michigan dan Wisconsin yang dikuasai Trump empat tahun lalu.
Tiga negeri itu memberikan Biden 36 undi membolehkan beliau semakin jauh di depan dengan 249 undi elektoral.
Biden turut menang di Maine dan Nebraska yang mengamalkan sistem pecahan undi elektoral tetapi memberikan Biden empat lagi tambahan undi kepada 253.
Sekali lagi, Biden membuatkan kem Trump kecewa apabila merampas sebuah lagi battleground states, Arizona yang membolehkan dia memperoleh 264 undi elektoral.
Namun angka 264 untuk Biden dan 214 untuk Trump tersekat hampir tiga hari, apabila lima negeri panas lain iaitu Pennsylvania, Georgia, Nevada, North Carolina dan Alaska masih belum menamatkan kiraan undi.
Bagaimanapun, akhirnya Pennsylvania dan Nevada menjadi pelengkap kemenangan hebat Biden apabila membolehkan Biden mendapat 290 undi tengah malam tadi (waktu Malaysia).