IBU AARON AZIZ MENINGGAL DUNIA
IBU AARON AZIZ MENINGGAL DUNIA DIPERCAYAI AKIBAT SAKIT JANTUNG
KUALA LUMPUR: Ibu pelakon popular, Datuk Aaron Aziz meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Singapura, malam tadi.
Isteri Aaron, Datin Diyana Halik mengesahkan punca kematian ibu mentuanya, Allahyarham Juriana Jaafar disebabkan serangan jantung.
“Ya, Mummy meninggal dunia di hospital di Singapura akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Terdahulu, pelakon drama rantaian Jalan Sesat Ke Syurga ini turut berkongsi berita duka pemergian ibunya di Facebook (FB) dan Instagram (IG).
“Innalillahwainailaihirojiuun. Ya Allah ambillah pahala daripada ibadat umrahku serta selamatkanlah ibuku dari seksa kubur dan api neraka. Ambillah segala kerja amalku untuk menemani ibu di Alam Barzakh.
“Tempatkanlah ibuku di antara hamba hamba Mu yang akan menikmati Jannahtul Firdaus A’la. Allahummaghfirlaha warhamha wa’afihi wa’fuanha. Saya sayang ibu lebih daripada segala-galanya di dunia ini,” katanya.
Sebelum ini, pemenang dua kali Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini sering berkongsi keadaan kesihatan arwah serta memohon doa agar ibunya pulih seperti sedia kala.