PM PERANCIS ANGGAP ISLAM RADIKAL MUSUH
ISLAM RADIKAL IDEOLOGI POLITIK PUTAR BELIT AGAMA
NICE: Perdana Menteri Perancis, Jean Castex, meratapi pembunuhan tiga orang oleh penyerang bersenjatakan pisau di bandar Mediterranean, Nice dan menamakan Islam radikal sebagai musuh negara itu.
“Kami tahu siapa musuh, ia kini tidak hanya dikenali tetapi memiliki nama, iaitu Islam radikal.
“Perancis membayar harga yang tinggi apabila 86 orang terbunuh selepas seorang pemandu trak merempuh orang ramai ketika Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai 2016.
“Islam radikal adalah ideologi politik yang memutarbelitkan agama Islam serta kitab suci dan setiap kali Perancis menjadi tumpuan, ia berkait dengan keganasan,” katanya pada satu majlis memperingati mangsa keganasan di Nice.
Memetik laporan AFP, sebagai tindak balas terhadap serangan Nice, yang dipercayai dilakukan oleh migran Tunisia yang baru tiba, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mula menekankan kawalan lebih ketat di sempadan luar zon perjalanan bebas Schengen, Eropah.
Selain itu, kes seorang lelaki bersenjata membunuh empat orang di ibu kota Austria, Vienna Isnin lalu turut mendorong Perancis melipatgandakan jumlah pengawal di perbatasan dengan negara jirannya di EU sehingga 4,800 orang dan meningkatkan tahap amaran keganasan ke tahap tertinggi.
Castex juga menegaskan supaya negara Afrika Utara bekas jajahannya iaitu Tunisia dan Algeria, mengambil balik warganegara mereka yang disabitkan di Perancis atas tuduhan keganasan.
Serangan di Nice berlaku selepas seorang guru sekolah, Samuel Paty, dipenggal oleh seorang pelarian Chechen berusia 18, selepas guru itu menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW semasa pelajaran mengenai kebebasan bersuara.
Pada September lalu, seorang lelaki menyerang orang awam di luar bekas pejabat akhbar satira mingguan, Charlie Hebdo, yang pada awalnya menerbitkan karikatur itu.
Perancis yang kini menghadapi peningkatan kes keganasan, menyaksikan 200 kertas siasatan dibuka minggu lalu saja membabitkan dakwaan menyokong keganasan, ancaman bunuh, penghinaan atau ucapan kebencian berkaitan pembunuhan Paty.
Sumber kehakiman berkata, mereka menerima banyak ancaman yang menyasarkan ahli politik, presiden, perdana menteri, beberapa menteri, anggota Parlimen dan guru.
Namun, pendakwa raya Paris, Remy Heitz, berkata siasatan merangkumi semua orang, bukan hanya radikal tetapi juga orang yang mengalami masalah mental atau yang mengirim pesan tanpa menyedari betapa seriusnya perkara itu.
Sejumlah pelajar sekolah juga menjadi sasaran siasatan kerana menyokong keganasan dengan bergurau atau berkongsi gambar kematian Paty.