HADIAH ISTIMEWA DARI ISTANA
PERMAISURI SELANGOR KURNIA MOTOSIKAL BAHARU GANTI MOTOSIKAL DICURI
GOMBAK: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff yang ditimpa musibah apabila motosikalnya dicuri ketika sedang melakukan kerja penghantaran makanan di Batu Caves, Selangor.
Berita itu dikongsikan melalui paparan dalam laman sosial rasmi Selangor Royal Office, petang tadi.
INSPEKTOR Noor Hidayu Aziz mewakili Tengku Permaisuri Selangor menyampaikan sumbangan motosikal baharu kepada Nur Athirah Abdul Latiff
Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) kepada Tengku Permaisuri Selangor, Inspektor Noor Hidayu Aziz.
Nur Athirah yang merupakan anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya di Batu Caves, kini bertindak selaku penyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.
BERITA mengenai kehilangan motosikal Nur Athirah tular di media sosial semalam
Tengku Permaisuri Norashikin berharap dengan sumbangan ini Nur Athirah akan dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga.
Titah Baginda lagi, di waktu kita semua sedang diuji dengan pelbagai dugaan ketika ini, Baginda amat berharap agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain.
Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa dalam perlindungan Allah.